~Eratkan Ukhuwah Gerakkan Islah~

 

~ Saturday, February 28, 2004


Bismillaahirrahmaanirraheem...

Siri 2: Bagaimanakah Al-Quran diturunkan

Soalan Keempat :

Kenapakah al-Quran tidak diturunkan sekaligus ?

Jawapan :
Adalah tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa sebelum daripada kita mengemukakan persoalan sebegini, adalah baik jika sekiranya kita membaca dan menghayati sepotong ayat al-Quran melalui firman Allah Ta'ala di dalam Surah al-Furqan, ayat yang ke-32 yang bermaksud :

"Dan orang-orang kafir berkata: Mengapa tidak diturunkan al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (sekaligus)? Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu."

Kita sebenarnya tidak menuduh orang yang menanyakan soalan sebegini sebagai seorang yang bodoh dan tidak memahami al-Quran dan jauh sama sekali kita menaruh syak wasangka buruk kepada mereka. Akan tetapi jika mereka bersabar dalam tempoh masa yang sedikit sahaja pasti dia akan mengetahuinya kelak. Tidak mengapa semua itu dan sekarang kita lihat apa sebenarnya yang berlaku ? Sesungguhnya ayat ini mempunyai cerita atau kisah di sebalik penurunannya atau dikenali sebagai Asbab al-Nuzul al-Ayat iaitu di mana diceritakan bahawa orang Yahudi dan Nasrani telah meminta Rasulullah s.a.w supaya memohon kepada tuhan untuk menurunkan al-Quran sekaligus sepertimana yang telah berlaku kepada Taurat dan Injil yang telah diturunkan sekaligus kepada mereka. Jadi dengan itu, maka turunlah ayat ini menjawab persoalan itu dan perhatikanlah akan hikmah kenapa al-Quran itu diturunkan beransur-ansur tidak secara sekaligus.

Sebenarnya hikmah itu perlu dijelaskan dan kata-kata yang paling baik adalah yang pendek dan memberi faedah padanya. Baiklah tidak syak lagi bahawa turunnya al-Quran sedemikian rupa sebenarnya telah memudahkan usaha Rasulullah s.a.w menghafaz, begitu juga dengan sahabat. Mereka boleh menghafaz, memahami serta beramal dengan mudah. Di samping itu, turunnya al-Quran sedikit demi sedikit telah menolong untuk menguatkan hati Rasulullah s.a.w pada hakikatnya. Firman Allah Ta'ala di dalam Surah Hud, ayat yang ke-120 yang bermaksud :

"Dan tiap-tiap berita daripada berita rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) adalah untuk menguatkan hatimu dengannya."

Mungkin kita bertanya lagi, kerana itu sahajakah al-Quran diturunkan secara sedikit demi sedikit ? Dan telah kita katakana bahawa hikmah nuzulnya (turunnya) al-Quran itu secara sedikit demi sedikit dan berpanjangan adalah bagi memudahkan penghafazannya dan yang lebih penting dari itu ialah untuk membiasakan mereka untuk beramal dengannya.

Mungkin juga kita akan bertanya, apa hikmahnya al-Quran itu diturunkan sedikit demi sedikit kepada orang kafir pula ? Jawapanyanya ialah pada masa itu orang-orang kafir dan ahli-ahli kitab sering mengejek Rasulullah s.aw di samping menyebarkan keraguan berhubung dengan dakwah baginda s.a.w. Mereka senantiasa mengemukan soalan-soalan untuk mencabar baginda s.a.w. Jadi untuk menjawab soalan-soalan itu, maka jawapannya selalu didapati secara langsung dari Allah melalui wahyu yang diturunkan kepada baginda s.a.w. Cuba kita perhatikan firman Allah ta'ala di dalam Surah al-Isra', ayat yang ke-85 yang bermaksud :

"Dan mereka bertanya kepadamu tentang perihal Roh. Katakanlah: Roh itu daripada perkara dan urusan tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan hanya sedikit sahaja."

Memadailah itu sebagai penjelasan dan di suatu hari nanti kita akan mengetahui akan rahsia-rahsia yang tersirat di sebalik turunnya al-Quran sedikit demi sedikit kepada Rasulullah s.a.w jika kita senantiasa melazimi al-Quran dan mendalaminya. Wallahu a’lam.

Ibnu Sulaiman al-Fakwie al-Marani al-Hafiz, UM

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 10:26 PM

 

~ Friday, February 27, 2004



Bismillaahirrahmaanirraheem...

Siri 2: Bagaimanakah Al-Quran diturunkan

Soalan Pertama :

Bagaimanakah al-Quran diturunkan ?

Jawapan :
Sama-samalah kita memperhatikan firman Allah Ta'ala mengenai hal ini yang mana ianya terdapat di dalam Surah al-Syu'ara', ayat yang ke-193, 194 dan 195 yang bermaksud :

"Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang daripada pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada manusia), (ia diturunkan) dalam bahasa Arab yang fasih serta terang nyata."

Walaupun ianya jelas, harapan kita agar tafsiran dan penjelasan mengenai turunnya al-Quran itu dapat dikembangkan lagi. Jadi dengan itu, mari kita melihat kepada sebuah hadith Rasulullah s.a.w yang telah dikeluarkan oleh al-Tabrani yang bermaksud :

"Jika Allah mula mengucapkan wahyu, seluruh langit menggeletar dengan kuat; takut kepada Allah dan jika penghuni langit mendengarnya, mereka terus seperti disambar dan terus bersujud. Jibril adalah makhluk yang pertama sekali mengangkat kepala dan pada masa itulah Allah menyampaikan wahyu-Nya yang dikehendaki. Jibril menyampaikannya kepada para malaikat setiap kali ia melalui satu langit, penduduknya bertanyakan kepadanya: Apakah yang dikatakan oleh Allah ? Jibril menjawab: Al-Haq. Dan terus Jibril membawanya kepada pihak yang ditujukan."

Akan tetapi terdapat sebuah hadith daripada Ibnu Abbas memberitahu kita mengenai cara bagaimana al-Quran diturunkan : Ia berkata bahawa al-Quran telah diteruskan sekaligus ke langit yang paling dekat iaitu langit dunia semasa Lailatul Qadar- kemudian ia diturunkan sedikit demi sedikit dalam masa dua puluh tahun. Kemudian beliau membaca firman Allah Ta’ala di dalam Surah al-Furqan, ayat yang ke-33 yang bermaksud :

"Dan mereka tidak membawa kepadamu sesuatu kata-kata yang ganjil (untuk menentangmu) melainkan Kami bawakan kepadamu kebenaran dan penjelasan yang sebaik-baiknya (untuk menangkis segala yang mereka katakan itu)."

Soalan Kedua :

Apakah sebenarnya yang telah diturunkan oleh Jibril a.s ke atas Rasulullah s.a.w ?

Jawapan :
Dengan terus-terang jawapannya ialah Jibril a.s telah turun dengan membawa lafaz-lafaz yang kita baca bermula daripada awal surah al-Fatihah sehingga akhir surah al-Nas. Lafaz-lafaz (kata-kata) ini ialah kata-kata Allah Ta'ala sahaja dan Jibril a.s hanya sebagai malaikat yang diwakilkan untuk menyampaikan al-Quran kepada Rasulullah s.a.w. Nabi Muhammad s.a.w hanya seorang rasul (utusan) yang menerima al-Quran, menghafaz serta beramal dengannya dan menyebarkannya kepada seluruh manusia. Benarlah firman Allah di dalam Surah al-A'raf, ayat yang ke-203 yang bermaksud :

"…Katakanlah: Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku daripada tuhanku…"

Dan firman-Nya lagi di dalam Surah Yunus, ayat yang ke-15 yang bermaksud :

"Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami (untuk menerima balasan): Bawalah al-Quran yang lain daripada ini atau tukarkanlah dia. Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak berhak menukarkannya dengan kemahuanku sendiri, aku hanya menurut apa yang telah diwahyukan kepadaku sahaja. Sesungguhnya aku takut jika aku menderhaka kepada tuhanku dan akan azab hari yang besar (soal jawabnya). Katakanlah (wahai Muhammad): Jika Allah kehendaki (supaya aku tidak membacakan al-Quran ini kepada kamu), tentulah aku tidak dapat membacakannya kepada kamu, dan tentulah Ia tidak memberitahu kamu akn al-Quran ini (dengan perantaraanku); kerana sesungguhnya aku telah tinggal dalam kalangan kamu satu masa yang lanjut (dan kamu pula mengenali aku sebagai seorang yang amanah) sebelum turunnya al-Quran ini; mengapa kamu tidak mahu memikirkannya ?"

Soalan Ketiga :

Bagaimana dengan masa turunnya pula ?

Jawapan :
Perhatikanlah apa yang telah diperjelaskan di dalam al-Quran. Firman Allah Ta'ala di dalam Surah al-Qadr, ayat pertama yang bermaksud :

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar."

Dan firman-Nya lagi di dalam Surah al-Baqarah, ayat ke-185 yang bermaksud :

"(Masa yang diwajibkan kepada kamu untuk berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran…"

Jadi berdasarkan kepada ayat di atas maka jelaslah bahawa al-Quran diturunkan pada malam Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan. Besar kemungkinan juga kita ingin mengetahui tentang berapa lamakah al-Quran itu diturunkan ? Di sini kita menaqalkan apa yang telah dinyatakan oleh Ibnu Abbas mengenainya yang mana beliau mengatakan bahawa al-Quran diturunkan sekaligus ke langit dunia pada malam Lailatul Qadar yang kemudiannya diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dalam masa dua puluh tahun.

Kadangkala juga kita mendengar orang berkata bahawa al-Quran diturunkan secara berterusan kepada Rasulullah s.a.w daripada mula baginda diutuskan sampailah kepada hari kewafatan baginda s.a.w. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan kenyataan itu? Jadi jawapannya kita katakan bahawa itu adalah satu kenyataan yang tepat dan betul, akan tetapi perbezaan pendapat hanyalah mengenai masa yang dihabiskan oleh Rasulullah s.a.w di Makkah selepas turunnya al-Quran kerana masa tinggalnya Rasulullah s.a.w di Madinah adalah diketahui iaitu sepuluh tahun, tetapi masa baginda s.a.w tinggal di Makkah adalah antara sepuluh hingga ketiga belas tahun. Itu adalah perbezaan pendapat sahaja yang tidak menjejaskan apa-apa pun perkara yang berkaitan dengan penurunan al-Quran.

Kalau dilihat pada masa al-Quran diturunkan, para ulama tarikh ataupun sejarawan pula menyatakan bahawa permulaan al-Quran itu diturunkan ialah pada 17 Ramadhan tahun yang ke-41 (Tahun Gajah) bersamaan 6 Ogos tahun 610 Masihi, di waktu usia junjungan Nabi Muhammad s.a.w 40 tahun 6 bulan 8 hari. Manakala penghabisan turunnya al-Quran ialah pada hari yang ke-9 Zulhijjah tahun ke-10 Hijrah bersamaan 8 Mac tahun 632 Masihi. Maka jumlah masa awal turunnya hingga akhirnya adalah 22 tahun 2 bulan 22 hari yang mana di Makkah selama 12 tahu 5 bulan 13 hari sedang di Madinah adalah selama 9 tahun 9 bulan 9 hari.

Pada hakikatnya ulama'-ulama' telah berselisih pendapat dalam menetapkan akan bagaimana cara turunnya al-Quran itu dari Luh al-Mahfuz ke langit dunia seterusnya kepada nabi s.a.w. Dan pendapat yang paling tepat dan masyhur mengatakan bahawa al-Quran itu diturunkan ke langit dunia pada malam Lailatul Qadar adalah dengan jumlah yang satu yang kemudiannya diturunkan selepas itu secara berperingkat-peringkat dalam tempoh masa sekitar 20-25 tahun berdasarkan kepada perbezaan pendapat tentang penetapan tempoh menetapnya Rasulullah di Makkah selepas diutus menjadi Rasul.

Di dalam kitab Sahih al-Bukhari karangan al-Imam Abdullah Muhammad bin Ismail al-Bukhari al-Ja'fi Rahimahullahu Ta'ala 'anhu di dalam Kitab Fadhail al-Quran dalam bab yang menyatakan Kaifa Nazala al-Wahyi wa Awwala Ma Nazala, hadith yang bernombor 479 mengatakan :

"Diceritakan kepada kami oleh Ubaidillah bin Musa dari Syaiban dari Yahya dari Abi Salamah telah berkata: Dikhabarkan kepadaku oleh 'Aisyah dan Ibnu Abbas dan mereka berdua berkata: Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w telah menetap di Makkah selama sepuluh tahun dan telah turun padanya al-Quran dan begitu juga di Madinah selama sepuluh tahun."

Berdasarkan kepada hadith ini, dapat kita fahami bahawa al-Quran itu diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w secara berperingkat-peringkat dalam tempoh sepuluh tahun di Makkah dan sepuluh tahun di Madinah yang kesemuanya memakan masa selama dua puluh tahun. Maka di sini kita akan dapati ianya bertepatan dengan apa yang telah dinyatakan oleh Ibnu Abbas dan juga ulama'-ulama' yang mengatakan bahawa al-Quran itu diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w selama dua puluh tahun. Adapu pendapat yang lain itu adakah ianya kita hendak mengatakan ianya salah dan tidak benar ? Jawapannya tidak kerana ia hanya perbezaan pendapat tentang masa atau tempoh turunnya sahaja dan hanya Allah sahaja yang mengetahui.

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 10:00 PM

 

~ Thursday, February 26, 2004



Bismillaahirrahmaanirraheem...

Siri 1: Mengenali Al-Quran melalui Al-Quran

Soalan Keenam :

Apakah jawapan yang paling baik dan tepat jika ada sebilangan orang mengatakan bahawa al-Quran telah membawa teori-teori geometri, falak, ekonomi dan sebagainya ?

Jawapan :

Jawapan yang paling baik dan tepat ialah al-Quran bukannya kitab geometri, perubatan ataupun sains meskipun al-Quran telah menggalakkan untuk mempelajari ilmu-ilmu tersebut serta memahaminya. Fahamilah firman Allah Ta’ala di dalam Surah Yunus, ayat yang ke-101 yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad) : Perhatikanlah dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi (dari segala kejadian yang menakjubkan dan yang membuktikan keEsaan Allah dan bukti kekuasaan-Nya)…"

Dan perhatikanlah lagi firman Allah Ta’ala di dalam Surah al-Jathiyah, ayat yang ke-13 yang bermaksud :

"Dan ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu segala yang ada di langit dan di bumi (sebagai rahmat pemberian) daripada-Nya, sesungguhnya semua itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan-Nya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti."

Walaupun begitu, kita perlu menyedari bahawa al-Quran itu sendiri telah banyak menyingkap rahsia-rahsia alam serta pelbagai bidang ilmu seperti ilmu falak, perubatan, kejuruteraan dan lain-lain. Firman Allah Ta’ala di dalam Surah Fathir, ayat yang ke-27 yang bermaksud :

"…Dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya(tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam."

Firman Allah Ta’ala di dalam Surah al-Anbiya’, ayat yang ke-30 yang bermaksud :

"…Dan Kami jadikan daripada air, tiap-tiap benda yang hidup…"

Al-Quran juga telah menegaskan bahawa madu lebah merupakan penyembuh kepada penyakit yang dialami oleh manusia kecuali mati. Begitu juga al-Quran melarang kita memakan sesuatu yang dibunuh (mati) dan memakan daging babi. Al-Quran juga melarang kita mendekati isteri kita yang sedang haid kerana ianya boleh membawa mudarat. Dan secara jelasnya dikatakan bahawa terdapat ribuan ayat-ayat yang telah menjelaskan tentang keistimewaan jiwa serta alam tetapi ianya tidak datang begitu sahaja malah ianya dihubungkan dengan hikmah serta nasihat yang baik. Perhatikanlah bersama beberapa ayat dari Surah al-Ankabut, ayat yang ke-48 dan 49 yang bermaksud :

"Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sebuah kitab pun sebelum turunnya al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu (kalaulah engkau dahulunya pandai membaca dan menulis) tentulah ianya menjadi alasan bagi orang-orang kafir yang menentangmu akan merasa ragu-ragu (tentang kebenaranmu). (Al-Quran tetap datangnya daripada Allah dengan tidak syak lagi) bahkan ia adalah ayat-ayat keterangan yang jelas dan nyata, yang terpelihara di dalam dada orang yang berilmu, dan tiadalah yang mengingkari ayat-ayat keterangan kami melainkan orang-orang yang zalim."

Dan firman-Nya lagi di dalam Surah Fathir, ayat yang ke-28 yang bermaksud :

"…Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu…"

Maka sekarang sudah jelas. Dan yang jelas itu ialah al-Quran al-Karim yang sedang berada di tangan kita pada hari ini ialah kitab hidayah, petunjuk, pembimbing serta syariat yang telah diturunkan melalui Jibril a.s ke atas hati Rasulullah s.a.w yang kemudiannya disampaikan kepada seluruh manusia. Dan sesungguhnya al-Quran telah sampai kepada kita tanpa ada apa-apa perubahan serta dipelihara daripada segala penyelewengan. Marilah kita mendengar dan menghayati bersama penjelasan yang tulen serta membawa penyembuhan mengenai al-Quran beserta peranan Rasulullah s.a.w dalam usahanya menyebarkan (agama Allah) kepada seluruh manusia. Firman Allah Ta’ala di dalam Surah Yunus, ayat yang ke-15 dan 16 yang bermaksud :

"…Berkatalah orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami (untuk menerima balasan): Bawalah al-Quran yang lain daripada ini atau tukarkanlah dia. Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak berhak menukarkannya dengan kemahuanku sendiri, aku hanya menurut apa yang telah diwahyukan kepadaku sahaja. Sesungguhnya aku takut jika aku menderhaka kepada tuhanku dan akan azab hari yang besar (soal jawabnya). Katakanlah (wahai Muhammad): Jika Allah kehendaki (supaya aku tidak membacakn al-Quran ini kepada kamu), tentulah aku tidak dapat membacakannya kepada kamu, dan tentulah Ia tidak memberitahu kamu akn al-Quran ini (dengan perantaraanku); kerana sesungguhnya aku telah tinggal dalam kalangan kamu satu masa yang lanjut (dan kamu pula mengenali aku sebagai seorang yang amanah) sebelum turunnya al-Quran ini; mengapa kamu tidak mahu memikirkannya ?"

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 8:52 PM

 

~ Wednesday, February 25, 2004


Bismillaahirrahmaanirraheem...

Thaqafah Dai'yah

Seorang da'I memerlukan bekalan yang cukup dalam bidang thaqafah dan wawasan intelektual di samping aspek kerohanian dan akhlak wawasan yang luas merupakan ciri khusus yang menonjol dalam kehidupan sosialnya. Kematangan intelektual merupakan cermin kematangan peribadi. Dengan bekalan itulah ia dapat menyelesaikan setiap masalah yang timbul dengan bijak.

Thaqafah bukan setakat ilmu pengetahuan dan sains sahaja, bukan pula setakat kebudayaan. Thaqafah mencakupi segala hasil budaya manusia berupa ilmu pengetahuan, sains, seni budaya, teknologi dan bidang kehidupan yang lain. Kerja dakwah sangat memerlukan thaqafah dan wawasan yang luas, kerana seorang da'i harus memberikan nilai-nilai murni kepada orang lain. Orang yang tidak mempunyai tidak akan memberi (faqidus syai la yu'ti).

Syeikh Dr. Yusof al-Qaradhawiy dan Ustaz Nasih 'Ulwan pernah membincangkan tentang Thaqafah Islamiyyah secara panjang lebar. Ia dapat dibahagikan kepada enam bahagian dan kesemuanya amat diperlukan oleh seorang da’I dan aktivis dakwah, iaitu:

i. Wawasan (thaqafah) Islamiyyah
ii. Wawasan Sejarah
iii. Wawasan Bahasa dan Sastera
iv. Wawasan Kemanusiaan
v. Wawasan Ilmiah
vi. Wawasan Kontemporari


Wawasan Islamiyyah

Wawasan Islamiyyah ialah wawasan yang bersumber pada Islam sebagai titik utama perbahasannya. Ia meliputi:

a) Al-Quran al-Karim dan tafsirannya

Al-Quran merupakan sumber Islam yang pertama dan merupakan tiang utama dalam thaqafah Islamiyyah. Segala nilai, akhlak, syariah dan ibadah serta prosa dan puisi harus merujuk pada al-Quran. Ia mengandungi hakikat alam ghaib, jiwa dan kehidupan serta hakikat sosial kemanusiaan. Ia merupakan nur (cahaya) yang menerangi dan membri petunjuk. FirmanNya: "Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu bukti kebenaran dari Rabb mu (Muhammad dengan mukjizatNya) dan telah kami turunkan kepadamu cahaya yang terang benderang (Al-Quran)." (QS 4: 174)

Allah S.W.T menamakan al-Quran sebagai ruh yang menjadi penggerak dalam kehidupan: "Dan apakah orang yang sudah mati (hatinya) kemudian Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu ia dapat berjalan ditengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya dalam gelap gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya?" (QS 6: 122)

Jika seorang aktivis dakwah berhadapan dengan sebahagian atau seluruh al-Quran dia hendaklah menjadikan ayat al-Quran sebagai hujah dalam apa sahaja acara, keadaan dan situasi yang ada. Al-Quran merupakan lautan yang tidak pernah kering. Ia tidak akan habis dikaji sebagai pegangan dan persiapan seorang da'i. Hendaklah ia membaca al-Quran dengan tajwid yang baik sehingga tumbuh khusyu’ dan penghayatan yang mendalam agar bacaan itu mempunyai pengaruh positif pada dirinya.

Ilmu Tafsir

Ia merupakan ilmu yang paling penting. Untuk memahami makna yang dikehendaki dalam ayat-ayat al-Quran, ratusan kitab-kitab tafsir telah dicetak. Masing-masing memiliki pengkhususan dan keistimewaan yang tersendiri. Penulisan tafsir mempunyai dua cara penulisan iaitu aliran riwayat (ma'thur) dan aliran dirayah (berdasarkan akal fikiran). Di antara tafsir yang terkenal ialah Tafsir at-Tabari dan Ibnu Kathir. Kedua-duanya menggunakan aliran riwayat, manakala tafsir dirayah memiliki ragam, warna dan corak yang berbeza, sesuai dengan aliran zaman, wawasan intelektual dan pengkhususan serta jurusan penulisannya. Tafsir al-Kasyaf misalnya, banyak diwarnai dengan bahasa, nahu dan pembahasan balaghah serta pendapat-pendapat mu'tazilah. Berbeza dengan Tafsir Qurtubi, ia banyak diwarnai dengan fiqh, hukum-hukum syariah dan pendapat mazhab. Oleh itu, seseorang da’I tidak memadai hanya dengan satu buku tafsir. Hendaklah ia membiasakan dengan mengambil kelebihan bagi setiap tafsir dan menghindari daripada pendapat mazhab yang tidak sesuai dengan akidah salaf. Ini adalah kerana setiap insan tidak maksum (tidak bebas dari kesalahan).

b) Sunnah Nabawiyyah

Ia merupakan sumber kedua syariat Islam dan tiang utama setelah al-Quran bagi thaqafah da'i. Ia adalah pensyiar al-Quran, menjelaskan hal-hal yang global. Dalam hadith itulah kita mendapati tafsiran al-Quran secara teori dan praktik secara jelas. Allah S.W.T berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.: "Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka berfikir." (QS 16:44, juga lihat 16:64)

Sunnah Nabi meliputi perkataan, perbuatan, ketetapan, sifat dan perjalanan hidupnya. Ia merupakan ensiklopedia lengkap kehidupan dan perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. di jalan dakwah. Irama kata yang indah dan mutiara-mutiara hikmah, gudang makrifat, rahsia, agama, hakikat wujud, kemuliaan akhlak, syariah yang gemilang, bimbingan yang kekal abadi, selok-belok tarbiyyah, keagungan sikap dan keperibadian, keindahan dan ketinggian bahasa. Semuanya merupakan perbendaharaan dan kekayaan yang tidak habis dikaji, takkan haus atau usang ditelan masa. Seorang da’I yang hendak bercakap, mengajar, ceramah, khutbah, menulis dan sebagainya, tidak akan merasakan sempurna sebelum merujuk kepadanya.

Ia merupakan mata air yang sejuk segar dan menyegarkan. Terdapat pelbagai kitab hadith, namun hendaklah seorang da’I mengutamakan kitab-kitab yang lebih penting seperti al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Sunan Abu Dawud, Sunan at-Tarmizi, an-Nasa'ie, Musnad Ad-Darami dan Muwatta Imam Malik. Bagi mereka yang kesuntukan masa, kitab-kitab ikhtisar hadith seperti at-Tajdid as-Sahih, Jami’ul Usul, Mukhtasar Sahih Muslim dan sebagainya boleh digunakan. Terdapat beberapa perkara yang harus diperhatikan ketika mempelajari sunnah.

Pertama, waspadalah terhadap hadith yang tidak terletak pada tempatnya. Pemahaman dan ta'wil yang mengelirukan tentang sahih dan hasan, mungkin menjauhkan dari makna yang dikehendaki Allah dan RasulNya. Di antara contoh penafsiran yang mengelirukan ialah tafsiran terhadap sabda Nabi Muhammad s.a.w.: "Kamu lebih mengetahui tentang urusan duniamu." Dengan hadith ini, orang-orang tertentu sengaja hendak mengenepikan syariat Islam dari lapangan ekonomi, politik dan masalah kehidupannya. Mereka beranggapan dengan sabdanya itu Rasulullah s.a.w. telah menyerahkan urusan dunia dan masalah kehidupan ini kepada kita. Walhal yang dimaksudkan dengan urusan duniamu dalam hadith tadi ialah hal-hal yang berkaitan dengan cara dan sarana seperti masalah atau kaedah pertanian dan industri serta masalah yang seumpamanya diserahkan kepada akal, ijtihad dan kreativiti manusia. Jika benar apa yang mereka katakan tentulah Allah S.W.T, tidak menurunkan ayat yang panjang dalam al-Quran untuk mengatur urusan ekonomi iaitu tentang catitan hutang (QS 2: 282). Kalaulah benar pendapat mereka tentulah tidak ada nas-nas daripada ayat al-Quran dan hadith yang begitu banyak yang mengatur kehidupan dan ekonomi mereka.

Dengan hadith fitnah dan kerosakan di akhir zaman setengah orang mengatakan bahawa kejahatan itu telah bermaharajalela, kerosakan telah menjadi lumrah, tidak ada jalan untuk membebaskan diri, tiada harapan untuk memperbaiki keadaan, segalanya telah berlalu menuju keadaan yang lebih buruk hingga ke hari akhirat. Contoh terdekat yang kami sebutkan di sini ialah hadith: "Islam datang sebagai sesuatu yang dagang dan asing dan akan kembali menjadi asing sebagaimana permulaannya, maka beruntunglah orang yang asing (dagang) itu."

Ia merupakan hadith sahih riwayat Muslim dan lainnya, tetapi terdapat beberapa orang yang menjadikan hadith itu sebagai hujah untuk meninggalkan tugas kewajipan dakwah amar ma'ruf nahy munkar. Adakah kita menganggap bahawa Rasulullah s.a.w. melumpuhkan semangat kerja dakwa para sahabat serta mematahkan sikap optimis dan memadamkan bara api yang berkobar dalam sanubari mereka.

Tidak, baginda hanya ingin mengingatkan mereka agar sentiasa waspada dan berhati-hati dan supaya kita yang meniti jalan mereka tidak terjatuh. Pada riwayat lain, ditanyakan, "Siapakah al-ghuraba' itu ya Rasulullah?”, baginda bersabda: "Orang-orang yang mengembalikan sunnahku yang telah dirosakkan oleh manusia semasa peninggalanku nanti." (HR Tirmizi)

Dalam nas ini, jelas kelihatan usaha untuk mengembalikan manhaj kenabian yang telah dirosakkan. Al-Ghuraba' yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. bukanlah kelompok-kelompok tertentu yang mengasingkan diri. Mereka adalah kumpulan yang tegak di atas kebenaran menunaikan peranan yang telah ditunaikan para sahabat pada masa permulaan Islam. Mereka adalah golongan yang unik dan ini tidak menghalang mereka dari berdakwah, bekerja dan berjihad meskipun terdapat lebih banyak penghalang daripada mereka yang turut dan taat. Hadith ini merupakan seruan membangun dan positif dan bukan untuk menakutkan serta lari dari medan perjuangan dakwah.

Kedua, waspadalah terhadap mereka yang menyeru ke arah meragukan terhadap hadith-hadith sahih. Aktivis dakwah hendaklah sedar akan gelombang pengkaburan dan keraguan yang ditiupkan oleh musuh-musuh Islam. Kaum misionari, orientalis dan boneka-boneka kekafiran, tidak henti-henti memalingkan umat dari kata-kata hikmah ini.

Sayangnya ramai yang termakan racun 'ghazw al-fikr' (perang pemikiran) sehingga terdapat mereka yang meragukan kitab-kitab sunnah yang asli seperti Sahih Bukhari. Malahan ada pula yang menolak hadith-hadith sahih kerana mengikuti hawa nafsu mereka. Sebahagian mereka menyatakan bahawa hadith, "Terdirinya Islam di atas lima perkara", yang dihafal oleh semua kalangan umat Islam sebagai hadith yang dipalsukan penjajah kerana tidak disebutkan "jihad" di dalamnya. Yang lain pula menyatakan hadith, "Takkan datang hari qiamat sehingga Muslimin memerangi Yahudi, maka orang Yahudi bersembunyi di sebalik batu. Batu pun berkata, hai hamba Allah atau hai Muslim, ini Yahudi dibelakangku, marilah bunuh dia." Mereka beranggapan bahawa hadith ini menghalang umat Islam dari jihad kerana ia mengajar mereka duduk dan tunggu ketika batu atau pohon-pohon berkata-kata menunjukkan mereka bahawa ada Yahudi yang duduk dibelakangnya. Mereka lupa bahawa hadith ini merupakan berita gembira akan tumbang dan robohnya Yahudi, manakala umat Islam pula berperang dengan nama Islam dan pengabdian kepada Allah S.W.T semata-mata.

Ketiga, waspadalah terhadap hadith-hadith palsu dan lemah. Imam Nawawi berkata: "Meriwayatkan hadith palsu, adalah haram walaupun dengan apa makna jua, mahupun berupa hukum atau kisah dan sebagainya kecuali dengan keterangan akan kepalsuannya." Di atas hadith sahih yang diriwayatkan oleh Samrah bin Jundub: "Barangsiapa meriwayatkan sebuah hadith yang ia pandang sebagai palsu maka ia termasuk dari golongan pembohong." Umat ini dikehendaki menjaga sumber-sumber syariat dari awal fajar Islam hingga Allah mewarisi bumi dan seisinya. Allah S.W.T telah menjaminkan keasliannya dalam firmanNya: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya." (QS 15:9)

Apabila Allah S.W.T memelihara al-Quran dari sebarang perubahan hingga akhir zaman, maka Dia pun memelihara Sunnah dari kepalsuan. Sunnah menguat dan menyempurnakan dengan menerangkan hallhal yang global di dalam al-Quran.

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 8:59 PM

 

~ Tuesday, February 24, 2004



Bismillaahirrahmaanirraheem...

Siri 1: Mengenali Al-Quran melalui Al-Quran (sambungan)...

Soalan Ketiga :

Kita secara dasarnya telah mengetahui bahawa terdapat banyak lagi nama-nama lain bagi al-Quran yang mana ianya telah disebut di dalam al-Quran itu sendiri, sehingga dikatakan bahawa terdapat lima puluh nama bagi al-Quran bahkan ada yang mengatakan ianya samapai seratus nama, jadi persoalannya sejauhmanakah kebenaran itu ?

Jawapan :
Inilah apa yang akan diperkatakan supaya kita lebih memahaminya. Sesungguhnya terdapat segelintir di kalalangan kita sebenarnya telah mencampuradukkan antara nama-nama yang telah diberikan kepada al-Quran dengan sifat-sifatnya dan itulah yang menyebabkan terjadinya sedemikian. Misalnya al-Quran telah disifatkan sebagai Kitabun Karimun. Firman Allah Ta’ala di dalam Surah al-Waqi'ah, ayat yang ke-77 yang bermaksud :

"Bahawa sesungguhnya(yang dibacakan kepada kamu) itu ialah al-Quran al-Karim yang mulia (yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan pimpinan)."

Dan ianya sebagai Mubarak (yang membawa berkat). Firman Allah Ta’ala di dalam Surah al-Anbiya', ayat yang ke-50 yang bermaksud :

"Dan al-Quran ini juga merupakan pengajaran yang berkat, yang Kami turunkan ianya kepada Nabi Muhammmad s.a.w."

Jadi sebahagian dari contoh atau misalan ini sebenarnya adalah sifat-sifat al-Quran dan tidak sekali-kali kita katakan ianya adalah nama-nama bagi al-Quran.


Soalan Keempat :

Apakah maksud atau erti dari perkataan sebilangan orang yang mengatakan bahawa al-Quran itu lafaz yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w bermula dari al-Fatihah ke akhir surah al-Nas ?

Jawapan :
Pada hakikatnya bahawa takrif ini telahpun diperkatakan oleh para ulama' bahasa, para ulama' usul dan juga para ulama' fiqh dan ianya merupakan suatu penakrifan yang berasaskan kepada bentuknya bukan terhadap isi kandungannya.

Jika dilihat dari sudut penakrifan yang dibuat oleh ulama' bahasa kita dapati mereka menakrifkan al-Quran sebagai bacaan atau sesuatu yang dibaca. Jika kita beralih kepada penakrifan yang dibuat oleh ulama' usul, kita dapati mereka menakrifkan al-Quran sebagai Kalam Allah yang azali yang berdiri pada zat Allah yang tidak tertimpa ke atasnya dengan sesuatu bencana. Di dalam kitab Ruh al-Ma’ani karangan al-Alusi ada diterangkan bahawa para ulama' usul menamakan al-Quran itu kepada kalimah-kalimah yang ghaib yang azali bermula dari al-Fatihah hingga ke akhir surah al-Nas iaitu lafaz-lafaz yang terlepas sama sekali ianya dari sifat kebendaaan baik ianya dirasai ataupun tidak dan ianya tersusun pada sifat Allah yang qadim. Jika dilihat dari sudut penakrifan yang dibuat oleh ulama-ulama fiqh, maka kita akan dapati mereka menakrifkan al-Quran sebagai nama bagi keseluruhan al-Quran dan nama bagi suku-sukunya. Jelasnya, al-Quran itu menunjukkan kepada pengertian tersebut secara hakikat dan mereka ini membahaskan al-Quran dari sudut kedudukannya sebagai pokok dan asas kepada pembentukkan dalil-dalil bagi sesuatu hokum. Maka dengan demikian nyatalah bahawa yang menjadi pokok dalil ialah ayat-ayatnya da tiap-tiap satu ayatnya dinamakan al-Quran.



Soalan Kelima :

Jika kita inginkan isi kandungannya, apakah pula takrif al-Quran itu ?

Jawapan :
Al-quran merupakan kitab hidayah serta mukjizat. Mari kita perhatikan bersama firman Allah Ta'ala di dalam Surah Ibrahim, ayat yang pertama yang bermaksud :

"…Ini ialah Kitab(al-Quran) yang Kami turunkan ia kepadamu wahai Muhammad supaya engkau dapat mengeluarkan manusia seluruhnya dari kekufuran kepada cahaya iman… ."

Firman Allah Ta'ala juga di dalam Surah al-Isra’, ayat yang ke-88 yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad) : Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri."

Maka dengan itu, jelaslah mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebuah kitab yang seumpama kitab al-Quran walaupun hanya satu surah daripadanya kerana al-Quran adalah sebuah kitab yang dipelihara kesuciannya daripada dicemari oleh sesiapa sahaja dan ianya merupakan kitab hidayah dan mukjizat yang paling agung dan suci.

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 9:18 PM

 

~ Monday, February 23, 2004



Bismillaahirrahmaanirraheem...

Siri 1: Mengenali Al-Quran melalui Al-Quran


Disajikan oleh Al-Fadhil Al-Ustaz Suhaimi Sulaiman,UM


Firman Allah Ta’ala di dalam Surah al-Qiyamah, ayat yang ke-17 dan ke-18 yang bermaksud :

"Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan al-Quran itu di dalam dadamu, dan menetapkan bacaannya pada lidahmu, oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya kepadamu dengan perantaraan Jibril a.s, maka bacalah menurut bacaannya itu."

Soalan Pertama :
Apakah rahsia mengenai nama al-Quran ini ?

Jawapan :
Ahli-ahli bahasa berpendapat bahawa al-Quran merupakan dasar yang serupa dan menyamai dengan Qira’ah yang membawa pengertian pembacaaan. Firman Allah Ta’ala di dalam Surah al-Qiyamah, ayat yang ke-18 yang bermaksud :

"oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya kepadamu dengan perantaraan Jibril a.s, maka bacalah menurut bacaannya itu.”"

Ini dinyatakan supaya kita tidak mengharungi lautan ilmu-ilmu bahasa yang lain kerana ia merupakan lautan yang amat luas dengan kekayaannya yang tidak mempunyai had. Di sini juga kita boleh mengatakan bahawa al-Quran ialah kata-kata mukjizat yang telah diturunkan oleh Allah Ta’ala kepada junjungan besar nabi kita Muhammad s.a.w. Dan takrifan ini memadai untuk kita mengenali lafaz al-Quran.

Soalan Kedua :
Adakah al-Quran mempunyai nama-nama ?

Jawapan :
Inilah yang telah dijelaskan oleh al-Quran dan secara ringkasnya marilah kita merujuk kepada firman Allah Ta’ala di dalam Surah al-Furqan, ayat pertama dari surah tersebut yang bermaksud :

"Maha Berkat Tuhan yang menurunkan al-Furqan( kitab yang suci, kitab yang memisahkan antara perkara yang hak dan yang batil) kepada hamba-Nya(Muhammad) untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam."

Jadi di sini kita dapati bahawa al-Quran telah dinamakan sebagai al-Furqan iaitu sebuah kitab yang memisahkan antara dua perkara iaitu perkara yang hak dan yang batil supaya ianya menjadi peringatan dan juga amaran kepada seluruh penghuni alam ini. Dalam pada itu juga, ada di antaranya nama-nama al-Quran yang lain dan yang paling terkenal ialah seperti al-Kitab, al-Zikr dan al-Tanzil. Nama-nama ini telahpun disebutkan di dalam al-Quran sendiri. Mari kita menelitinya. Firman Allah Ta’ala di dalam Surah Ibrahim, ayat yang pertama dalam surah tersebut ada menyatakan mengenai nama lain bagi al-Quran yang bermaksud :

"…Ini ialah Kitab(al-Quran) yang Kami turunkan ia kepadamu wahai Muhammad supaya engkau dapat mengeluarkan manusia seluruhnya dari kekufuran kepada cahaya iman… ."

Firman Allah Ta’ala di dalam Surah al-Hijr, ayat yang ke-9 yang bermaksud :

"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Zikr(al-Quran), dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya."

Dan firman Allah Ta’ala lagi di dalam Surah al-Waqiah, ayat yang ke-80 yang bermaksud :

"Al-Quran ini ialah (Tanzil) diturunkan daripada Allah tuhan sekalian alam."

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 8:53 PM

 

~ Sunday, February 22, 2004



Bismillaahirrahmaanirraheem...

SAYA MESTILAH MUSLIM DI SUDUT IBADAH

1.2 SAYA MESTILAH MUSLIM DI SUDUT IBADAH

Ibadah dalam Islam adalah merupakan kemuncak dan perasaan tunduk dan patuh kepada Allah dan kelaimik dari perasaan yang merasakan kebesaran Allah sebagai tempat pengabdian diri. Ibadah juga merupakan tangga penyambung antara makhluk dan penciptanya. Selain dari itu ibadat mempunyai kesan-kesan yang mendalam di sudut hubungan makhluk dengan penciptanya. Tidak ada perbezaan antara rukun-rukin Islam dalam bidang ini. Solat, puasa, zakat, haji dan semua amal-amal yang dilakukan manusia untuk mendapat keredaan Allah dan memelihana syariatnya adalah sama. Logik Islam menuntut supaya seluruh kehidupan ini adalah ibadat dan taat kepada Allah. Inilah yang dimaksudkan dengan firman Allah:

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu. Aku sekali-kali tidak menghendaki rezeki sedikitpun dar mereka dan tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan. (S. 51:56 —57)

Untuk menjadikan saya seorang muslim dalam seluruh peribadatan saya, saya haruslah melakukan perkara-perkara berikut:

1. Menjadikan seluruh ibadat saya hidup dan benhiibung terus dengan Allah sebagai tempat saya mengabdikan diri. Inilah yang dikatakan mantabat ehsan dalam ibadat. Rasulullah s.a.w. telah ditanya tentang ehsan beliau menjawab dengan sabdanya:

Kamu hendaklah beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatNya. Jika kamu tidak melihatNya sesungguhnya Dia melihatmu.

2. Ibadat yang saya lakukan haruslah merupakan ibadat yang khusyuk. Dalam ibadat saya itu saya haruslah merasa-rasakan kepanasan perhubungan saya dengan Allah dan merasa-rasakan kelazatan dati ibadat yang khusyuk. Dalam hubungan ini Aishah radiallahuanha telah menyatakan:

Selalunya Rasulullah s.a.w. bercakap dengan kami dan kami bercakap dengannya. Apabila sampai waktu solat beliau seolah-olah tidak mengenali kami dan kami tidak mengenalinya.

Inilah juga yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:

Berapa banyak orang yang berdiri (melakukan solat, sedang) bahagiannya dari solat itu hanyalah penat dan lelah.

Juga dibayangkan dalam sabdanya:

Berapa banyak orang yang melakukan puasa (sedang) bahagiannya dari puasanya itu hanyalah lapar dan dahaga.


3. Sewaktu melakukan ibadat saya haruslah menghadirkan diri dan hati (di hadapan Allah), membebaskan diri dari urusan dan kepentingan dunia. Inilah yang telah dibayangkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:

Allah tidak melihat solat lelaki yang tidak menghadirkan hatinya bersama badannya.

Sehubungan dengan ini telah disebutkan juga bahawa Solat itu sebahagian daripada urusan akhirat, apabila kamu masuk ke dalamnya bererti kamu telah keluar dan dunia.

Diriwayatkan juga dari Hasan Al-Basri yang beliau telah berkata: setiap solat yang dilakukan tanpa kehadiran hati maka solat itu Iebih cepat membawa kepada siksaan.

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam


posted by scouser at 9:08 PM