~Eratkan Ukhuwah Gerakkan Islah~

 

~ Saturday, March 06, 2004


Bismillaahirrahmaanirraheem...

Menurut Syeikh Yusuf al-Qardawi, Islam itu tergambar pada satu umat. Satu umat yang mencerminkan Islam sebagai ajaran tauhid yang murni, iman yang teguh, ilmu yang bermanfaat, amal yang salih, akhlak yang tinggi, berdakwah kepada kebaikan, saling menasihati dalam hal kebenaran dan kesabaran, saling tolong menolong dalam kebaikan dan ketakwaan serta bekerja keras untuk mencapai ini semua hingga berhak menyandang gelaran sebagai umat yang terbaik yang dipilih untuk umat manusia, yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran serta beriman kepada Allah.
Sesungguhnya kewujudan umat yang terbaik di masa hadapan itu tergambar daripada akhlak dan nilai keperibadian pemuda pemudinya. Mereka generasi yang akan membawa ketinggian atau kehancuran Islam dan umatnya. Syeikh Fathi Yakan telah menekankan bahawa, pemuda pemudi Islam ialah suatu tenaga yang digunakan oleh Islam untuk membangunkan dan memakmurkan alam tetapi musuh-musuh telah mempergunakan mereka untuk meruntuhkan umat manusia.

Di antara beberapa strategi musuh-musuh Islam bagi menghancurkan keunggulan Islam dan generasinya sebagaimana diperincikan dalam buku "Strategi Musuh Menentang Islam" oleh Dr.Sa'adduddin al-Sayyid Salih adalah bagi mencapai matlamat berikut:-


§ Menghapuskan Islam dalam jiwa umat Islam
§ Menghapuskan perpaduan dunia Islam dan menyekat penyebaran Islam
§ Memburuk-burukkan Islam pada pandangan orang-orang bukan Islam
§ Menyemaikan perasaan mudah mengalah dalam jiwa orang-orang Islam
§ Bantuan kepada penjajahan Barat dan pengintipan ke atas dunia Islam
§ Keuntungan materialistik dan kepentingan perdagangan
§ Membangkitkan fitrah kepuakan di dunia Islam
§ Campurtangan dalam sistem pemerintahan dan pendidikan di dunia Islam
§ Menyekat bantuan kemanusiaan ke dunia Islam
§ Pembentukan puak-puak perosak yang bertopengkan Islam

Penyelesaian masalah umat ini menurut Syeikh Mustafa Mashur, adalah penting lagi mendesak sekarang ini untuk berusaha mengembalikan pemuda pemudi Islam kepada aqidah yang sahih. Kejayaan bagi usaha-usaha ini hanya akan dapat dicapai dengan penyelidikan mendalam, kebijaksanaan dan ketabahan. Adalah tidak wajar usaha-usaha itu dilakukan dengan tergesa-gesa, penuh dendam dan kemarahan. Islam hari ini memerlukan pejuang-pejuang dan pekerja-pekerja. Pejuang-pejuang yang benar-benar beriman, yang sentiasa bersedia untuk berkorban dengan sepenuh tenaga, harta dan jiwa. Pejuang-pejuang Islam bersedia menggunakan segala kemampuan yang dimiliki untuk mencapai matlamat yang besar.

Oleh itu satu penyusunan yang sempurna, kuat dan kukuh diperlukan. Penyusunan yang berdaya dan berkemampuan untuk mengabdikan pemuda pemudi yang berpendidikan kepada Islam dalam erti kata yang luas. Penyusunan yang membebaskan mereka daripada belenggu rantai yang sekian lama telah mencengkam

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 9:20 PM

 

~ Friday, March 05, 2004


Bismillaahirrahmaanirraheem...

Matlamat utama persiapan pemuda pemudi Islam hari ini ialah untuk melaksanakan matlamat tercapainya qawamah (penguasaan) Islam terhadap masyarakat dan dunia. Ini memerlukan para pemuda pemudi Islam bagi memindahkan pimpinan umat dari tangan jahilliyah kepada pemikiran, perundangan dan akhlak Islam. Menurut as-Syeikh Fathi Yakan, pada hakikatnya usia muda seorang pemuda pemudi ialah:-

§ usia yang penuh dengan cita-cita yang tinggi
§ usia yang mengalir darah yang gemuruh
§ usia yang tinggi idealisme yang luas
§ usia yang memberi pengorbanan dan menebus semula
§ usia yang menabur jasa, memberi kesan dan emosional.

§ usia yang penuh dengan cita-cita yang tinggi
§ usia yang mengalir darah yang gemuruh
§ usia yang tinggi idealisme yang luas
§ usia yang memberi pengorbanan dan menebus semula
§ usia yang menabur jasa, memberi kesan dan emosional.

Menurut Syeikh Yusuf Al-Qardawi pula, tanda-tanda pemuda pemudi Islam yang unggul itu adalah suatu generasi yang mempunyai sifat-sifat yang dinyatakan dengan jelas bagi sesiapa yang membaca al-Quran atau mempelajari sunnah Nabawiyyah. Di antara sifat-sifat unik generasi ini adalah:-

§ generasi yang percaya kepada realiti dan ilmu
§ generasi amal dan membina jama'iy
§ generasi rabbani dan ikhlas
§ generasi yang bernasabkan Islam
§ generasi da'awah dan jihad
§ generasi dagang dan hidup bersama orang ramai
§ generasi gagah dan agung
§ generasi seimbang dan sederhana

Manakala menurut Syeikh Mohammad Ahmad ar-Rasyid, terdapat beberapa kesilapan dan fitnah kehidupan yang perlu diberi perhatian wajar oleh para pemuda pemudi Islam. Ini adalah kerana kita sentiasa terdedah kepada pelbagai tekanan luaran dan peristiwa yang mempengaruhi secara beransur-ansur keatas iman terhadap amal dan da'awah. Pengaruh luar ini ada dalam pelbagai bentuk yakni ada yang mengugat aqidahnya, akhlaknya, keluarganya dan sebagainya. Di antara pengaruh-pengaruh ini adalah:
§ Gerakan dan propaganda yang menyebarkan keraguan dan salah faham terhadap Islam dan keunggulannya

§ Fitnah rakan sebaya yang jahat dan persekitaran yang tidak sihat
§ Fitnah harta dan keluasan rezeki yang melimpah ruah
§ Fitnah ijazah dan pangkat
§ Fitnah wanita, isteri dan anak-anak

Beberapa langkah bagi meningkatkan kecemerlangan pemuda pemudi Islam bagi mencapai qawamah (penguasaan) Islam terhadap diri, keluarga, masyarakat dan dunia ialah:-

§ Kenalpasti tahap kemampuan ada yang sebenar
§ Beri tumpuan kepada kekuatan-kekuatan ada
§ Tanamkan rasa percaya kepada diri sendiri
§ Sediakan diri anda untuk menjadi orang yang terbaik
§ Ambil pelajaran daripada kesilapan yang telah anda lakukan
§ Belajar menerima teguran yang membina dan hiraukan kritikan yang remeh
§ Perakui kejayaan anda
§ Tetap merendah diri
§ Terus memperluaskan pengetahuan dan pemikiran ada
§ Bersyukur kepada Allah di atas apa yang diberikanNya

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 9:17 PM

 

~ Thursday, March 04, 2004


Bismillaahirrahmaanirraheem...

Gerakan Tajdid : Dulu Dan Sekarang

"Allah akan melahirkan di kalangan umat ini pada setiap 100 tahun seorang yang akan memperbaiki urusan umat dalam dien ini." (HR Abu Dawud)

Gelombang sejarah yang turun naik dan bertubi-tubi, pada kurun tertentu telah meletakkan titik-titik jurang paling jauh antara realiti kaum muslimin dan idealisime Islam. Umat Islam menemui diri mereka dalam keadaan jumud dan mengalami 'kegagalan' ketika mengembangkan misi sejarahnya.

Dalam keadaan inilah, Allah menjaga agama-Nya melalui pengantara seorang mujaddid (yang melakukan pembaharuan). Mujaddid yang melakukan tajdid (pembaharuan) untuk menyegarkan kembali pemahaman dien dan menempatkan dien al-Islam pada kedudukan yang sewajarnya. Malah ia berperanan mengembalikan kemurniaan Islam serta memulihkan realiti umat dalam menggerakkan sejarah.

Istilah Tajdid

Tajdid membawa maksud suatu pembaharuan untuk membangkitkan komitmen umat terhadap Islam dalam bentuknya yang kudus dan bersih. Ia adalah suatu proses pembaikan ataupun suatu perubahan yang bertujuan membawa umat kembali kepada keaslian Islam yang utuh. Proses ini bermula dari aqidah. Ini kerana aqidah adalah dasar seluruh kegiatan dan tingkah laku umat. Istilah tajdid ini digunakan di dalam Al-Qur'an dengan menggunakan istilah ishlah (perbaikan) seperti yang terdapat dalam firman Allah yang bermaksud;
"Kecuali orang-orang yang taubat dan mengadakan perbaikan dan berpegang teguh pada (agama) Allah dan tulus ikhlas……" (QS an-Nisaa':146)

Al-Qur’an juga menggunakan istilah taghyir (perubahan) yang dirakamkan dalam firman-Nya.

"Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri…" (QS ar-Ra'd:11)

Tajdid, ishlah, mahupun taghyir, membawa pengertian yang sama iaitu proses perubahan berlandaskan aqidah atau iman. Hanya iman yang mampu mengangkat manusia dari lembah nifaq sebagaimana yang terdapat dalam ayat 145-146 surah an-Nisa'. Malah iman sahaja yang boleh mendorong seseorang individu atau segolongan umat untuk mengubah keadaan mereka sendiri, seperti yang terkandung dalam ayat 11 surah ar-Ra'du di atas.

Namun demikian, bentuk dan sifat perubahan dalam konteks masyarakat yang begitu luas bergantung pada faktor-faktor yang memerlukan perubahan tersebut. Itulah sebabnya Rasulullah s.a.w menyebutkan "…seseorang yang memperbaharui urusan umat dalam dien ini." Keadaan penghayatan Islam sebuah umat pada sesuatu zaman berubah dengan kadar dan bentuk yang berbeza-beza daripada penghayatan Islam pada zaman Rasulullah SAW.

Meniti Sejarah…

Setelah berlalu 100 tahun tertegaknya tempoh nubuwwah, lahir pula Umar ibn Abd Aziz. Ia cukup terkenal sebagai mujaddid pertama, yang kembali menyegarkan kemurniaan pemahaman dien. Sehingga ada yang menggelarnya sebagai khalifah Islam yang kelima.

Pada akhir kepimpinan Saidina Ali RA sekaligus berakhirnya zaman kekhilafahan. Pemerintahan berikutnya berubah menjadi sistem beraja. Pergantian kepimpinan tidak lagi berdasarkan sistem syura tetapi berubah atas hak keturunan, yang bererti merampas hak politik rakyat. Ketika Umar ibn Abd Aziz ditunjuk sebagai khalifah atas hak keluarga, ia mengembalikan kepada syura sambil berpidato di hadapan rakyatnya. Ia menyerahkan urusan kepimpinan itu kepada mereka yang memang berhak atas urusan itu. Namun kemudian, ternyata rakyat masih memilih dan membai'at Umar sebagai khalifah. Itulah tajdid yang pertama dan mula-mula terjadi dalam sejarah Islam.

Lebih kurang satu abad sepeninggalan Umar ibn Abd Aziz, kekacauan politik kembali berkecamuk. Saat itu, jurang antara ulama' dan penguasa begitu meruncing dan ketara. Siapa yang menjadi mangsa kepada perbezaan jurang ini? Umat Islamlah yang menjadi korban permainan politik penguasa. Ketika dan saat inilah bangkit imam-imam mazhab yang mengadakan pembaharuan agama. Antara ulama' yang terkenal pada masa itu ialah, Imam Abu Hanifah, Imam Abu Yusuf, Imam Muhammad Hassan asy-Syaibani, Imam Malik, Imam Ahmad dan Imam Syafi'I yang berperanan menyelesaikan masalah yang dihadapi umat. Para imam inilah yang meletakkan kaedah-kaedah yang menyeluruh tentang hukum (fiqh).

Pada abad ke-5 M, pemikiran Greek dan falsafah Yunani serta falsafah asing lainnya merembes dan menukar pada pemikiran kaum Muslimin secara meluas. Sehingga ashalah (kemurniaan) Islam bercampur baur dengan pola pemikiran asing tersebut. Saat itu, bangkit pula Abu Hamid al-Ghazali yang terkenal sebagai Imam al-Ghazali yang menyekat serta membendung pola pemikiran Greek tersebut. Falsafah Greek itu ditentang oleh Imam Al-Ghazali dengan hujah logik berfikir falsafah juga. Semuanya dijelaskan dalam kitabnya Tahafut al- Falasifah yang menerangkan tentang kesalahan-kesalahan mereka dalam 20 persoalan dan mereka dihukum kafir dalam 3 perkara. Hasil daripada itu, para ulama' kemudian menggelarkannya sebagai hujjatul Islam. Tulisan Imam al-Ghazali yang terkenal adalah Ihya 'Ulum ad-dien.

Pada abad ke-6,dunia Islam telah berpecah menjadi kerajaan-kerajaan besar dan kecil yang saling bermusuhan antara satu sama lain. Dengan memanfaatkan kelemahan kaum Muslimin yang sedang berada dalam alam perpecahan, saat itu, tentera bersalib datang menyerbu. Kelemahan umat Islam amat ketara sehingga terjadi peristiwa yang tragik apabila mereka tidak berjaya mempertahankan Bait al-Maqdis. Akhirnya tentera bersalib berhasil menguasai Bait al-Maqdis. Pada saat yang demikian, Allah mengirimkan pertolongan Nya melalui Sallahuddin al-Ayubi. Ia mengobarkan semangat jihad yang mulai meredup clan menggerakkan kaum Muslimin untuk merebut kembali kemuliaan yang telah diinjak-injak oleh golongan salib. Hingga akhirnya Bait al-Maqdis dapat direbut kembali. Sallahuddin sangat berjasa dalam tajdid-nya, iaitu mengembalikan ruh jihad yang hampir lenyap dari dada kaum Muslimin.

Lebih kurang 150 tahun sepeninggalan Imam al-Ghazali, umat Islam kembali tenggelam dalam kejumudan. Pada pertengahan abad ke-7 golongan 'ulama telah menutup rapat pintu ijtihad. Mereka terkongkong dalam sikap taqlid. Demikian juga dengan ruh jihad. Peredaran masa yang panjang telah menyebabkan semangat jihad 'menguap' dan begitu lena di dada kaum Muslimin. Sehingga, kaum Muslimin tercerai-berai menghadapi serbuan tentera Tar-Tar. Ketika Islam mengalami zaman keruntuhan ini bangkit pula Ibn Taimiyah. la menyeru agar umat kembali kepada al-Qur'an dan as-Sunnah sesuai dengan pemahaman salaf. Pengaruh tajdid Ibn Taimiyah itu tetap terasa getarannya sampai beratus-ratus tahun berikutnya.

Tahun-tahun yang berikutnya, datang dan pergi silih berganti. Muhammad ibn Abd al-Wahab (1702-1787 M) berjuang menyeru umat Islam di Semenanjung Tanah Arab untuk kembali berpegang sepenuhnya kepada al-Qur'an dan as-Sunnah. Beliau membuat penekanan terhadap pemurniaan aqidah umat serta membersihkan dari segala bid'ah dan khurafat. Di India, bangkit Syah WaliulLah (1703-1762 M) meneruskan usaha-usaha tajdid yang telah dilakukan mujadid Alf-i Ihani Syeikh Ahmad Sirhindi iaitu mengembalikan kemurniaan aqidah dan kemerosotan umat. Menghapuskan penyelewengan dan kezaliman para penguasa serta mengembalikan kepekaan ulama terhadap penyakit umat. Di Libya, bangkit Muhammad ibn Ali as-Sanusi (1787-1859), melanjutkan tajdid Muhammad ibn Abd al-Wahab, hingga kelak diteruskan oleh Imam Mukhtar.

Menjelang abad ke-20, terdapat tiga tokoh menonjol yang merupakan pencetus gerakan tajdid generasi berikutnya. Mereka itu adalah Jamal ad-Dien al-Afghani, Rasyid Ridha dan Muhammad Abduh. Pelopor tajdid berikutnya adalah Hassan al-Banna di Mesir dengan Ikhwan al-Muslimin-nya. Pada masa yang sama, di Pakistan Maulana Sayyid Abu A'la Maududi mendirikan Jami'at-i Islami. Dua gerakan ini, Ikhwan dan Jami'at-i Islami yang memberi akar dan pengaruh luar biasa pada gerakan kebangkitan Islam hingga menjelang berakhirnya millenium II ini, dan bahkan tidak mustahil gerakan dakwah tersebut merupakan penggerak utama kelak pada abad 21.

Kini kita telah berada dalam millenium baru. Di manakah kedudukan kita sekarang ini?. Di mana-mana umat Islam yang mendiami hampir setiap sudut bumi, minoriti atau majoriti, masih dalam keterbelakangan dan berada dalam keadaan yang menyedihkan. Persoalannya, bilakah masa pembaharuan itu dan siapakah gerangan mujadid yang dinanti?

Seperti yang kita ketahui, kemunduran itu bukan semata-mata "suratan" sejarah, melainkan ia juga merupakan perancangan musuh yang mengepung umat Islam demikian ketat. Kebangkitan semula umat Islam merupakan perubahan besar, yang bererti tajdid merupakan suatu tugas yang berat.

Memandangkan realiti demikian, Dr. Yusuf Qardhawi memberi gagasan idea pembaharuan yang kolektif. Menurutnya, sebagaimana Ibnu Katsir dan mufasir lainnya berpendapat ketika membahaskan hadis di atas, bahawa kalimat "man" (ertinya: seseorang dalam hadis tentang tajdid di atas), adakalanya juga ditujukan untuk jamak (ramai), bukan untuk mufrad (satu atau seorang) saja. Hala yang serupa diterangkan oleh Imam Nawawi dalam penjelasan hadis laa tazallu tho'ifah min ummati (selalu ada golongan dari umatku).

Kesimpulannya boleh kita katakan bahawa mujadid tidak semestinya bersifat perseorangan sebagaimana yang berlaku pada tempoh terdahulu, tetapi ia juga boleh berlaku dalam bentuk jama'ah (kolektif). Mungkin juga mereka ini merupakan jama'ah yang berorganisasi, aliran pemikiran atau sebuah gerakan. Ini berdasarkan alasan bahawa kerosakan yang melanda umat telah hampir menembusi dan menyelinap kepada seluruh aspek penting: aqidah, pemikiran, perilaku, kehidupan sosial, ekonomi, dan politik. Kemungkinan besar jika mujadid ini hanya dalam bentuk perseorangan ia tidak akan dapat melawan dan menghadapi kerosakan teruk yang melanda ini. Ada pepatah yang mengatakan : "seseorang akan merasa sedikit dengan dirinya sendiri dan merasa banyak dengan diri orang lain, lemah dengan kesendiriannya; merasa kuat dengan jama'ah." Oleh itu, walaupun Musa AS telah digelar al-qawi al-amin (yang kuat lagi terpecaya), masih memohon kepada Allah SWT agar diperkuat dengan saudaranya, Harun . sebagaimana yang dirakamkan dalam surah Thahaa ayat 29 hingga 34: "Adakanlah bagiku seorang pembantu dari keluargaku. Iaitu Harun, saudaraku. Kuatkanlah dengan dia tenagaku. Dan jadikanlah dia bersama-samaku dalam urusanku. Supaya kami menyucikan Engkau sebanyak-banyaknya. Dan mengingat Engkau sebanyak-banyaknya."

Dari sini kita katakan, kekuatan muncul dengan jama'ah bukan sendirian. Jika kita mentafsirkan "pembaharuan" mengikut pandangan seperti ini, pertanyaan seorang Muslim akan menjadi: "Apa peranan saya dalam gerakan pembaharuan?" sebagai ganti kepada pertanyaan: "Siapakah pembaharu itu dan bilakah ia akan muncul?"

Dengan demikian, apa yang popular dalam masyarakat kita sebagai istilah al-mahdi yang ditunggu, akan kita singkapi secara positif yang pro-aktif. Selama ini kita menunggu seorang Mahdi yang turun untuk memperbaiki kerosakanan, kejahatan dan menegakkan keadilan di muka bumi. Jika kita terus berkeadaan seperti menanti buah yang tak gugur-gugur apa yang perlu kita lakukan? Adakah memadai dan mencukupi kebangkitan dan pembaharuan disambut sekadar slogan tanpa kerja atau usaha, seperti menanti sang rembulan di siang hari ? Tiada siapa yang boleh menjawab soalan ini kecuali diri kita sendiri.. ..Fikirkanlah.

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 9:20 PM

 

~ Wednesday, March 03, 2004


Bismillaahirrahmaanirraheem...

Siri 3: Usaha mengumpul Al-Quran

Soalan Kedua :

Bagaimanakah al-Quran dicatat pada zaman itu ( zaman Rasulullah s.a.w )?

Jawapan :
Pada zaman Rasulullah s.a.w belum ada perusahaan kertas, hal sedemikian telah memaksa mereka untuk mencipta bahan-bahan lain yang sesuai digunakan sebagai pengganti kertas. Keadaan sekeliling telah membantu mereka dengan menggunakan daun-daun kurma yang lebar dan ianya dinamakan al-Asab. Selain daripada itu, mereka juga menggunakan batu-batu kecil dan kepingan nipis seperti kepingan zink dan ianya dinamakan al-Likhaf. Mereka juga menggunakan kulit yang telah diproses dan ianya dinamakan al-Adim, di samping menggunakan tulang-tulang bahu. Selepas ianya ditulis di atas bahan-bahan tersebut, maka seluruh kepingan yang ditulis itu tadi telah dikumpul dan disimpan di rumah Rasulullah s.a.w.

Soalan Ketiga :


Adakah boleh kita katakan bahawa al-Quran yang telah dikumpul pada zaman Rasulullah s.a.w itu terkumpul di dalam bentuk mushaf ?

Jawapan :
Tidak, al-Quran tidak dikumpul di dalam bentuk mushaf kecuali pada masa pemerintahan Abu Bakar dan sahabat-sahabat selepasnya. Apa yang berlaku semasa zaman Rasulullah s.a.w hanyalah usaha untuk mencatat ayat-ayat serta surah-surah mengikut susunan ia diturunkan. Usaha ini berasaskan kepada ingatan serta daya penghafazan Rasulullah s.a.w serta para sahabat. Faktor-faktor ini telah menghalang mereka daripada mengumpul al-Quran di dalam bentuk mushaf yang disiapkan kemudiannya.

Soalan Keempat :

Mengenai hadith-hadith Rasulullah s.a.w, adakah baginda s.a.w telah meminta para sahabat supaya mencatatnya atau tidak ?

Jawapan :
Jawabnya tidak sama sekali. Dan penafian ini mempunyai sebab sebenarnya di mana Rasulullah s.a.w merasa bimbang jika kata-kata baginda dicatat juga, maka ianya mungkin akan bercampur aduk dengan al-Quran. Ini akan membawa kepada kesulitan serta yang lebih besar daripada itu ianya akan menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan orang Islam mengenai ayat-ayat al-Quran dan hukum-hukumnya. Oleh yang demikian, Rasulullah s.a.w melarang para sahabat dari mencatat al-Hadith dengan sabda baginda s.a.w yang bermaksud :

"Jangan ada yang mencatat apa-apa daripadaku dan barangsiapa yang telah mencatat atau menulis daripadaku selain dari al-Quran, maka hendaklah ia menghapuskannya. Kalian semua boleh meriwayatkan daripadaku tanpa sebarang sekatan dan sesiapa yang berlaku dusta ke atasku dengan sengaja, maka ia pasti akan dibalas dengan neraka sebagai tempat duduknya."

Soalan Kelima :

Adakah al-Quran yang berada di tangan kita pada hari ini beserta dengan lafaz-lafaz, surah-surah dan ayat-ayatnya adalah sama dengan al-Quran yang diturunkan ke atas hati Rasulullah s.a.w ?

Jawapan :

Kita boleh mendapatkan jawapan kepada persoalan ini dengan melihat kepada Kitabullah itu sendiri. Firma Allah Ta'ala di dalam Surah al-Hijr, ayat yang ke-9 yang bermaksud : "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya."

Firman Allah Ta'ala di dalam Surah Fussilat, ayat yang ke-42 yang bermaksud :

"(Al-Quran itu) ialah yang tidak dapat didatangi dengan sebarang kepalsuan daripada mana-mana arah dan seginya; ianya diturunkan daripada Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji."

Firman Allah Ta'ala di dalam Surah al-Isra', ayat yang ke-88 yang bermaksud :

"katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan satu bandingan dengan al-Quran ini nescaya mereka tidak dapat membuat dan mendatangkannya walaupun mereka bantu-membantu sesama mereka sendiri."

Akhir sekali, eloklah rasanya kita sama-sama mengenang kembali sejarah hidup para sahabat yang telah berdamping dengan Rasulullah s.a.w sepanjang hayat baginda, mereka menerima wahyu al-Quran daripada baginda s.a.w perkataan demi perkataan; terus diingat serta difahami, juga membacanya setiap masa di dalam sembahyang, pada waktu siang atau malam. Mereka kembali kepada al-Quran serta berpegang teguh dengannya di dalam segala bentuk urusan hidup mereka. Tidak mungkin mereka terleka atau lupa walau satu ayat pun dari Kitabullah dan jauh sama sekali untuk merahsiakannya. Mereka tidak tidur kerana takut akan kemurkaaan dan azab yang menunggu sesiapa sahaja yang cuba untuk merahsiakan ayat-ayat Allah. Adakah golongan seperti ini boleh menyelewengkan al-Quran? tentunya tidak. Firman Allah Ta’ala di dalam Surah al-Baqarah, ayat yang ke-156-160 yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan daripada keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam kitab suci, mereka itu adalah dilaknat oleh Allah dan sekalian makhluk. Kecuali orang-orang yang bertaubat dan memperbaiki amal buruk mereka serta menerangkan apa yang merka sembunyikan; maka orang-orang itu Aku terima taubat mereka dan Akulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihani."

Ingatlah kembali sejarah hidup Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali dan para sahabat yang lain yang terkemuka dan ingatlah juga kedudukan al-Quran di dalam diri mereka serta kedudukan Rasulullah s.a.w di kalangan mereka kemudian tidurlah kita dengan nyenyak dan tenang tanpa ada kesangsian dan keraguan lagi……Wallahu A’lam

Ibnu Sulaiman al-Fakwie al-Marani al-Hafiz, UM

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 9:28 PM

 

~ Tuesday, March 02, 2004


Bismillaahirrahmaanirraheem...

"...Fatabaarakallahu ahsanul khaaliqeen"

"...Maka nyatalah Allah itu sebaik-baik Pencipta"

Sakit di perutku makin menjadi2.Malah rusuk kanan ku pula mula terasa sakit.Kadangkala aku tak lelap tidur dibuatnya.Bila ke sport center bermain badminton juga aku dapat merasakan sakit tersebut.Aku akui pelajaranku juga sedikit sebanyak agak terganggu.

Tepat jam 10 pagi bersamaan 24 Februari,aku dan housemateku menaiki kereta menuju ke Home Hospital di Lafayatte.Ini merupakan hospital yg ketiga tempat aku dirawat.Hospital yg pertama adalah di kampusku.Doktor tidak berani membuat sebarang komen dan kesku ditolak ke specialist di Hospital Arnett Clinic.Di Arnett Clinic pula,specialist juga tidak berani membuat sebarang komen dan memintaku ke Home Hospital utk membuat ultrasound test.Aku rasa keberatan hendak ke hospital kerana banyak masa yg telah kubazirkan berulang alik ke hospital.Kadang kala aku terpaksa menangguhkan peperiksaanku sendiri.Sesuatu yg ajaib kurasakan mula berlaku.Rasa sakit itu telah hilang!!!Aku rasa sungguh selesa.Malah rasa lebih bersemangat.Aku dpt merasakan sesuatu yg lain pada diriku.

Selesai urusan pendaftaran,aku terus dibawa ke makmal radiologi utk membuat ultrasound test.Semasa ujian tersebut dijalankan,aku boleh melihat sendiri 'persekitaran' di dalam badanku.Pankreas,hati,dan hempedu semuanya jelas kelihatan.Masya Allah,hebat sungguh kejadian Allah ini.Pegawai perubatan telah mengambil gambar hati,hempedu,dan pankreas melalui ultrasound machine tersebut.Aku bertanya kepada pegawai tersebut sama ada benarkah terdapat galstone yg menyumbat hempeduku.Pegawai tersebut mengatakan dia tidak boleh memberi sebarang jawapan kerana hanya doktor sahaja yg berhak memberi kata putus.Aku diminta tunggu selama dua hari utk mendapatkan jawapan.Pada waktu petangnya aku terpaksa menduduki dua peperiksaan.Aku terpaksa menangguhkan satu daripadanya kepada keesokan hari kerana fikiranku masih berkecamuk.

Walaupun dihujani perasaan risau yg semakin membuak,aku masih lagi mampu menjawab peperiksaan dgn tenang.Alhamdulillah,segala puji bagi Allah kupanjatkan kesyukuran.Ibuku acap kali menelefonku bertanya khabar dan keputusan scan tersebut.Aku rasa semakin serba salah kerana membuatkan ibu risau.Hari yg ditunggu-tunggu pun tiba.Tepat jam 8.30 pagi,aku terus menelefon hospital utk mengetahui keputusan ujian tersebut.Malangnya tiada siapa yg mengangkat telefon.Aku cuba sebanyak 3 kali,masih tiada jawapan.Aku berasa hampa dan terus menuju ke perpustakaan di civil building.

Aku masih tidak dpt menumpukan perhatian menelaah pelajaran.Fikiranku masih dihantui ttg keputusan ujian ultrasound.Akhirnya aku nekad menelefon pihak hospital dari kampus sahaja.Panggilan pertama...masih tiada jawapan.Aku tetap tidak berputus asa.Panggilan kedua...akhirnya berjawab.Aku terus bertanyakan ttg keputusan ultrasound tersebut.Aku diminta tunggu sebentar kerana doktor tiada di dalam pejabat.Setiausahanya cuba mencari failku di atas meja doktor tersebut.Malangya dia gagal menemui fail tersebut.Ish...geramnya hatiku.Tak sabar nak tahu keputusan doktor.Aku diminta tunggu lagi buat beberapa minit.Akhirnya failku berjaya dijumpai oleh setiausaha tersebut.Failku tersalah letak di atas meja doktor yg lain.Puas setiausaha tersebut membelek failku dan akhirnya jumpa juga keputusannya.Alhamdulillah...segala2nya normal.Kebetulan pula doktor tiba di panggilan telefon.Doktor meminta aku dtg semula ke hospital utk rawatan lanjutan.Mungkin dia masih ragu2 dgn keputusan ujian tersebut.Sememangnya perkara ini amat pelik kerana simptom2 penyakit yg ku alami tu telah pun aku lalui.Bagaimana pula segalanya kembali kepada normal?

Patutlah pagi hari sebelum ujian tersebut dijalankan aku berasa sungguh cergas.Subhanallah...bagaimana pula galstone itu boleh hilang?Aku tidak mengendahkan permintaan doktor.Aku yakin aku sudah pulih sepenuhnya.Doktor hanya mampu menasihatiku supaya datang semula berjumpanya jika ada rasa sakit.Aku terlalu gembira.Ya Allah,Kau telah memperkenankan permintaan hambaMu yg hina ini.Sblm tu biar aku terangkan apa itu galstone.Galstone adalah pepejal yg terhasil daripada toksik.Selalunya ia terletak di salur masuk hempedu.Jika ia terlalu besar,ia boleh menutup laluan enzim dan cernaan makanan keluar dari hempedu.Ada beberapa sbb yg menyebabkan toksik ini menjadi pepejal.Antaranya kandungan alkohol yg tinggi,merokok,hepatitis,dan kandungan toksik yg tinggi dlm perut.Doktor menjangkakan ianya berpunca daripada kandungan toksik ataupun hepatitis memandangkan aku tidak pernah merokok dan meminum arak.

Aku kelu tak terkata.Gembira tak terhingga.Mungkin ini berkat doa kedua ibu bapaku dan juga sahabat2 yg lain.Di sebalik kegembiraan itu,aku menginsafi beberapa perkara yg benar2 menjadi teladan dlm hidupku.Mungkin ini amaran Allah padaku supaya aku sentiasa mengingati akan mati.Aku akui aku agak lalai dgn kehidupan seharian.Ku rasakan seolah-olah lambat lagi akan mati.Jarang sekali aku menghisab atau memuhasabah diriku sebelum tidur.Ya...aku benar2 lalai walaupun aku tau hakikat maut tidak mengenal umur.Walau apapun,aku kembali bersemangat.Bukan bersemangat utk meneruskan hidup ini,tapi bersemangat utk membalas nikmat yg Allah kurniakan padaku.Aku akan pastikan janjiku dan cita2ku pada Allah terlaksana.Aku berjanji takkan futur (gugur) di medan dakwah.Aku akan berjuang menegakkan kalimatul haq sehingga nafasku yg terakhir.

Aku rasa sungguh bersyukur kerana Allah masih mendengar permintaanku utk tidak mati di atas katil.Mmg sudah menjadi cita2ku utk mati syahid di jalan Allah.Aku tidak mahu menjadi idolaku,Khalid Al Walid yg merintih sewaktu kematiannya kerana hajatnya utk mati syahid tidak tercapai.

"Wahai Khalid,walaupun kegagahanmu tidak dapat ku tanding.Aku masih berpeluang menewaskanmu dgn mati syahid di jalan Allah.Cemburulah akan diriku ini wahai Khalid Al Walid!!!"

Kalau diizinkan Allah,ingin sungguh ku cantas leher2 puak zionis di Palestin sana.Ya Allah,kupohon padaMu berilah kekuatan supaya aku dpt meneruskan cita2 ini...

"Al jihadu sabeeluna...al mautu fi sabeelillahi as maa amaaneena..."
"Jihad jalan kami...mati di jalan Allah cita2 kami..."

Allahu Akbar walillahil hamd!!!

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 9:30 PM

 

~ Monday, March 01, 2004


Bismillaahirrahmaanirraheem...

Siri 3: Usaha mengumpul Al-Quran

Firman Allah Ta'ala di dalam Surah al-Qiyamah, ayat yang ke-16-19 yang bermaksud :

"Janganlah engkau (wahai Muhammad) kerana hendak cepat menghafaz al-Quran yang diturunkan kepadamu, menggerakkan lidahmu dengan membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu). Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan al-Quran itu (di dalam dadamu), dan menetapkan bacaaanya (pada lidahmu); oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaaanya (kepadamu dengan perantaraan Jibril a.s), maka bacalah menurut bacaan itu; kemudian sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan untuk menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan)."



Soalan Pertama :

Apakah yang dimaksudkan dengan usaha mengumpul al-Quran itu ?

Jawapan :
Besar kemungkinan ianya bermaksud usaha menghafaz al-Quran dan besar kemungkinan juga usaha penulisan al-Quran. Jawapan ini menggalakkan kita untuk mengupas beberapa persoalan sekitar perbincangan mengenainya dan yang pertamanya adalah berkenaan dengan pengertian Rasulullah s.a.w menerima al-Quran ?

Sepertimana yang diketahui oleh kita hari ini secara dasarnya kita mengetahui bahawa pada masa itu Rasulullah s.a.w telah menerima al-Quran daripada Allah Ta'ala dan baginda terus menghafaznya seraya membacakannya kepada sahabat-sahabat baginda untuk dihafaz oleh mereka pula; dan semuanya ini berlaku secara mudah dan senang. Firman Allah Ta'ala di dalam Surah al-Qamar, ayat yang ke-22 yang bermaksud :

"Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatn dan pengajaran (daripadanya)?"

Dan supaya Rasulullah s.a.w tidak melupai al-Quran itu, maka Jibril a.s mengulangkajinya bersama Rasulullah s.a.w setiap tahun. Sabda Rasulullah s.a.w di dalam sebuah hadithnya yang bermaksud :

"Bahawa sesungguhnya Jibril a.s mengulangkaji (bertadarus) al-Quran bersamaku setiap tahun sekali, dan sesungguhnya pada tahun ini (Jibril) telah mengulangkaji bersamaku sebanyak dua kali, dengan ini aku merasa bahawa ajalku telah tiba."

Mari kita melihat pula kepada sebuah hadith Qudsi yang akan menjelaskan kepada kita sebahagian daripadanya dan kita akan mendapati bahawa Allah Ta’ala telah membantu Rasulullah menghafaz al-Quran. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan daripada tuhan-Nya, yang bermaksud :

"Sesungguhnya Aku akan menurunkan sebuah kitab yang tidak boleh dihilangkan oleh air. Kamu akan membacanya semasa tidur dan semasa bangun."

Persoalan kita yang keduanya ialah bagaimanakah al-Quran telah sampai kepada kita hari ini melalui para penghafaz al-Quran? Ini bermakna para penghafaz al-Quran telah memainkan peranan penting dan utama di dalam hal ini iaitu mempelajari al-Quran dari Rasulullah s.a.w, menghafaznya kemudian dari itu menyampaikannya (kepada orang Islam). Dan di samping itu juga terdapat gambaran lain yang amat penting dan utama iaitu usaha mencatat al-Quran secara penulisan.

Di dalam hal ini biarlah kita terlebih dahulu memberi penumpuan untuk membincangkan tentang gambaran pertama terlebih dahulu iaitu usaha para sahabat Rasulullah s.a.w menghafaz al-Quran. Sebenarnya orang Arab mempunyai sifat istimewa dalam usaha menghafaz serta memahaminya secara menyeluruh dalam masa yang amat singkat. Pada masa itu, akal ikiran mereka boleh dimuatkan dengan qasidah-qasidah syair yang panjang, sejarah-sejarah serta ilmu al-Ansab (keturunan). Maka apabila Rasulullah s.a.w menyampaikan al-Quran kepada mereka ianya terus didengar dan difahami. Kemudiannya baginda berpindah pula ke peringkat usaha menekankan al-Quran kepada mereka. Baginda s.a.w menjadi imam di dalam sembahyang dengan membaca surah-surah al-Quran baik yang panjang maupun yang pendek. Baginda s.a.w juga memerintahkan agar para penghafaz al-Quran itu untuk memindahkan bacaan al-Quran itu kepada orang lain untuk dihafaz oleh mereka.

Ubadah bin al-Samit berkata : "Pada masa dahulu jika seseorang berhijrah, Rasulullah s.a.w menghantarnya kepada kami bagi mengajarkan al-Quran kepadanya dan pada masa itu kedengaran berbagai-bagai bunyi bising suara-suara orang mengaji al-Quran di Masjid Nabawi sehingga baginda s.a.w memerintahkan mereka untuk merendahkan suara supaya mereka tidak tersalah."

Adapun bilangan para penghafaz al-Quran semasa hayat Rasulullah s.a.w adalah tidak mudah untuk kita mengetahui bilangan mereka secara tepat. Akan tetapi memadailah di sini dengan menyebut apa yang diriwayatkan oleh al-Qurtubi mengenai mereka yang telah terbunuh pada zaman Rasulullah s.a.w dan selepasnya bagi menganggarkan bilangan tersebut. Al-Qurtubi telah berkata : "Tujuh puluh orang qari telah terbunuh pada hari di mana berlakunya peperangan al-Yamamah dan bilangan yang sama juga telah terbunuh pada zaman Rasulullah s.a.w di dalam peristiwa Bi'ru al-Ma'unah."

Sebenarnya ramai para penghafaz al-Quran di zaman Rasulullah dan selepasnya telah dikurniakan oleh Allah daya ingatan yang luarbiasa untuk menghafaz al-Quran. Mereka itu ramai dan yang paling ulung sekali ialah para Khulafa' al-Rasyidin, Talhah, Sa'ad bin Abi Waqqas, Ibnu Mas'ud, Huzaifah Ibnu al-Yaman, Abu Hurairah, dan Ibnu Abbas serta banyak lagi. Dan antara wanita yang telah menghafaz al-Quran ialah Aishah r.a, Hafsah dan Ummu Salamah. Para sahabat tersebut telah menghafaz al-Quran pada zaman Rasulullah s.a.w. Tetapi pada zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab, ribuan manusia telah menghafaz al-Quran sehingga sekarang.

Penumpuan kita yang seterusnya ialah kepada bahagian kedua dari persoalan itu iaitu mengenai cara mencatat al-Quran secara penulisan pada zaman Rasulullah s.a.w. Di sini kita melihat bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah memilih satu kumpulan daripada kalangan sahabat baginda, lalu menggalakkan mereka untuk menulis al-Quran. Antara mereka ialah seperti Saidina Abu Bakar al-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Uthman al-Affan, Saidina Ali Karamallahu Wajhahu, Mu'awiyah bin Abi Sufyan, Khalid bin al-Walid dan Zaid bin Thabit. Baginda s.a.w mengarahkan mereka meletakkan setiap ayat pada tempat-tempat yang ditentukan. Ibnu Thabit menekankan hal ini dengan berkata :

"Pada masa itu, setiap kali Rasulullah s.a.w menerima surah al-Quran (wahyu), baginda meminta sesiapa sahaja menulisnya lalu baginda bersabda : Letakkanlah surah ini pada tempat yang disebut di dalamnya itu atau ini."

Ada juga pernah dikatakan bahawa Jibril a.s memberitahu Rasulullah s.a.w supaya 'meletekkan itu di tempat ini'. Ini bererti bahawa susunan itu daripada Allah, ianya tidak boleh diubah sama sekali dan ianya dikenali sebagai amrun tauqifi iaitu satu ketetapan yang sama sekali tidak boleh dipinda melainkan dengan perintah Allah Ta'ala. Firman Allah Ta'ala di dalam Surah al-Najm, ayat yang ke-3 dan ke-4, yang bermaksud :

"Dan ia (Muhammad) tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakan itu (samada al-Quran ataupun al-Hadith) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya."

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 8:19 PM