~Eratkan Ukhuwah Gerakkan Islah~

 

~ Thursday, March 11, 2004


Bismillaahirrahmaanirraheem...

Siri 4 : Mencatat Al-Quran Al-Karim

Soalan Ketiga :

Keterangan mengenai cerita Zaid bin Thabit amat jelas akan tetapi terdapat sedikit ketidakfahaman tentang apakah yang dimaksudkan dengan kata beliau yang dia tidak menjumpai akhir Surah al-Taubah itu kecuali daripada Abi Khuzaimah al-Ansari. Bagaimanakah untuk menjelaskannya ?

Jawapan :

Telah kita ketahui sebenarnya terdapat di kalangan para sahabat yang mencatat bahagian-bahagian yang mereka hafaz dari ayat al-Quran semasa hayat Rasulullah s.a.w dan tidak ketinggalan juga di antara mereka itu ialah Abi Khuzaimah al-Ansari yang mana di sisinya terdapat hafazan ayat pada akhir Surah al-Taubah dan itulah yang dimaksudkan oleh Zaid bin Thabit r.a sebenarnya.

Soalan Keempat :

Apakah yang dilakukan oleh Zaid bin Thabit r.a selepas menerima arahan daripada Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a dan juga Saidina Umar al-Khattab r.a ?

Jawapan :

Dia telah menjalankan tugasnya berasaskan dua sumber :

Pertama : Apa yang telah diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w supaya dicatat.
Kedua : Apa yang telah dihafaz oleh para sahabat r.a dan Saidina Umar al-Khattab r.a telah menjalankan tugas untuk memberitahu orang Islam pada masa itu dengan menerima arahan daripada Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a sendiri. Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a telah mengarahkan kedua-duanya supaya duduk di pintu masjid dan mengambil ayat-ayat al-Quran yang dibawa oleh sesiapa sahaja dengan mengemukakan dua orang saksi untuk membuktikan akan kebenarannya kemudian barulah ianya dicatat. Di masa yang sama Saidina Umar al-Khattab r.a berdiri di pintu masjid sambil berkata : "Sesiapa yang telah menerima ayat-ayat al-Quran daripada Rasulullah s.a.w, bawalah ianya kepada kami."

Soalan Kelima :

Apakah yang dilakukan oleh Zaid bin Thabit selepas daripada itu ?

Jawapan :

Dia telah meneruskan usaha mencatat al-Quran daripada kedua-dua sumber tersebut. Beliau sangat berpegang teguh dengan apa yang telah diwasiatkan oleh Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a iaitu menerima ayat-ayat al-Quran dengan mengemukakan dua orang saksi yang boleh dipercayai bahawa ayat-ayat al-Quran itu ditulis di hadapan Rasulullah s.a.w, kemudian beliau telah menulis semula ayat-ayat al-Quran tersebut di dalam satu mushaf dan disimpan di rumah Saidina Abu Bakar Bakar al-Siddiq r.a.

Secara ringkasnya, tidak ada apa yang boleh kita lakukan selain menadah tangan seraya berdoa semoga Allah Ta'ala membalas usaha yang dilakukan ini dengan sebaik-baik balasan kepada ketiga-tiga sahabat ini : Saidina Umar al-Khattab r.a kerana idea yang bernas dan suci untuk mengumpul al-Quran, Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a kerana mengarahkan untuk melaksanakan cadangan itu dan kepada Zaid bin Thabit r.a kerana beliau sanggup menerima dan menjalankan tanggungjawab untuk mencatat al-Quran ini dengan jayanya. Dan orang yang paling menerima ganjaran paling besar mengenai mushaf-mushaf ini ialah Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. Semoga Allah Ta'ala mencucuri rahmat ke atas beliau kerana beliaulah orang yang pertama mengumpul dan mencatat al-Quran Kitabullah.

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 9:33 PM

 

~ Wednesday, March 10, 2004


Bismillaahirrahmaanirraheem...

Alhamdulillah,segala puji bagi Allah yg telah mengurniakan umo yg panjang buat diriku dan sahabat2 sekalian.Tidak lupa juga kesyukuran dipanjangkan kerana masih lagi dikurniakan nikmat iman dan Islam.Alhamdulillah selesai juga segala mid term aku utk setengah semester yg pertama.Kali ni gaya tulisan aku sengaja tidak kujadikan skema sbb malas.Dah free dari peksa sume.Tak larat nak perah otak utk piki ayat2 skema ni.Insya Allah spring break akan bermula minggu depan.Walaupun cuti,aku still masih banyak keja yg perlu diselesaikan.Buka school je nanti ada mid term thermodynamics.Pastu kena uruskan dakwah table la dan mcm2 lagi.Pastu kena pegi ke Bloomington utk Islamic Spring Retreat.Pening gak kepala aku.Semoga Allah permudahkan segala2nya.

Aku rasa baru je 2 minggu lepas aku merintih menahan kesakitan.Still masih segar dlm ingatan aku terbaring di tengah malam tak leh tido.Rusuk kanan aku terasa sungguh sakit sehingga aku terpaksa tido mengereng sambil memicit perut.Maha suci Allah yg boleh menukarkan sesuatu dlm masa sekelip mata shj.Dgn serta merta sakit ku hilang dan doktor sendiri berasa pelik kerana galstone yg menyekat hempedu ku ilang serta merta.Aku takkan lupa pengalaman penyakitku ini.Setinggi-tinggi kesyukuran ku panjatkan pada Allah Rabbul I'zzati kerana menyembuh penyakitku ini.Well,satu mimpi ngeri yg pasti terpahat di kepalaku nanti.

Bahang pilihan raya makin hebat terasa.Walaupun kemenangan sudah hampir pasti berpihak kpd kerajaan yg sedia ada,namun semangat pejuang Islam utk menegakkan daulah Islamiah di tanah air masih lagi tidak luntur.Inilah keazaman yg mesti ada.Kata saidina Ali,'Al Haqqu bila nizhom sayaghlibul bathilu bin nizhom' (kebenaran tanpa strategi akan ditewaskan oleh kebatilan yg berstrategi).Insya Allah,ikhwah2 kita di mesia masih lagi merangka formula strategi utk memenangi pilihan raya.Cuma masanya belum ditentukan oleh Allah lagi.Apa yg lebih menggembirakan kerjasama antara jamaah2 Islam (JIM,ABIM,HALUAN,dan PAS) sempena pilihanraya kali ini makin memberansangkan.Malah ada antara ikhwah2 abim dan jim yg bertanding atas tiket pas.Masya Allah,inilah semangat perpaduan yg kita inginkan.Insya Allah aku akan kupas pilihan raya nanti bila cuti spring break nanti.

Baru petang tadi sorang member aku memberitahu yg Majlis Syura Muslimun (MSM) akan mengadakan program ala musim panas di mesia nanti.Insya Allah sume ikhwah akhawat MISG dijemput hadir sama.Further information akan diberitahu bila segala2nya selesai sbb derang baru je abis muzakarah mlm td.Frankly speaking,aku rasa sangat seronok kerana inilah masanya aku berpeluang jumpa semula rakan2 seusrah ketika di mesia dulu.Ramai antara mereka melanjutkan pengajian ke UK melainkan aku sorang je yg sesat.Insya Allah program ni juga akan kuberitahu kemudian nanti.

Rasanya cukup buat setakat ni dulu sbb aku nak berehat.Baru balik main badminton.Puas hatiiiii dpt kalahkan pitman ngan zaki.Huhuhuhu...cun2.

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 9:39 PM

 

~ Tuesday, March 09, 2004


Bismillaahirrahmaanirraheem...

Siri 4 : Mencatat Al-Quran Al-Karim

Firman Allah Ta'ala di dalam Surah al-Qiyamah, ayat yang ke-16-19 yang bermaksud :

"Janganlah engkau (wahai Muhammad) kerana hendak cepat menghafaz al-Quran yang diturunkan kepadamu, menggerakkan lidahmu dengan membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu). Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan al-Quran itu (di dalam dadamu), dan menetapkan bacaaanya (pada lidahmu); oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaaanya (kepadamu dengan perantaraan Jibril a.s), maka bacalah menurut bacaan itu; kemudian sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan untuk menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan)."

Perbincangan ini masih lagi berlegar sekitar usaha mencatat al-Quran, di mana kita telah pun membincangkan mengenai usaha mencatat al-Quran di zaman Rasulullah s.a.w dan yang tinggal adalah perbincangan mengenai usaha mencatat al-Quran di zaman sahabat r.a.

Soalan Pertama :

Soalan yang hendak dikemukan ini adalah berkisar dalam lingkungan usaha mencatat al-Quran pada zaman Abu Bakar r.a. Jadi persoalannya bagaimanakah timbulnya idea atau cadangan itu ?

Jawapan :

Idea atau cadangan untuk mencatat al-Quran di dalam bentuk mushaf adalah terbit daripada Saidina Umar al-Khattab r.a, akan tetapi yang melaksanakannya ialah Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. Dan lebih tepat dikatakan bahawa Saidina Abu Bakar adalah orang yang bertanggungjawab melaksanakan usaha mencatat al-Quran itu dengan menugaskan Zaid bin Thabit r.a sebagai jurutulisnya.

Soalan Kedua :

Kenapakah timbulnya idea atau cadangan seperti itu ?

Jawapan :

Pada tahun kedua belas Hijrah iaitu pada permulaan zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a berlaku fitnah yang telah digerakkan oleh pengikut-pengikut Musailamah al-Kazzab. Maka dengan itu Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a telah menyediakan satu angkatan yang terdiri daripada para sahabat yang terkemuka bagi tujuan menghapuskan gerakan ini awal-awal lagi.

Dengan itu, berlakulah peperangan di antara kedua-dua kumpulan tersebut yang dinamakan dengan peperangan al-Yamamah. Di dalam peperangan itu, hampir 70 orang sahabat dari golongan para hafiz telah menemui syahid dan antara mereka yang terkorban adalah Salim "Maula" Abi Huzaifah. Hal keadaan yang berlaku ini sebenarnya sedikit sebanyak telah memberi kejutan kepada orang Islam. Tidak ketinggalan pada ketika yang terkejut ialah Saidina Umar al-Khattab r.a.

Pada saat umat Islam dirundung keresahan mengenainya, maka Allah Ta'ala telah pun mengilhamkan kepada Saidina Umar al-Khattab r.a idea atau cadangan untuk mengumpulkan al-Quran. Lantas dengan itu, Saidina Umar r.a terus berjumpa dengan Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a yang menjadi khalifah pada masa itu dan membentangkan kepada beliau tentang idea mengumpul al-Quran itu. Akan tetapi Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a lama berfikir dengan perasaan bimbang dengan idea yang dikemukan oleh sahabatnya itu. Akhirnya Allah Ta’ala telah memberikannya hidayah petunjuk dan di ketika itu juga beliau terus berunding dengan sahabat yang mulia iaitu Zaid bin Thabit r.a untuk tujuan yang suci murni ini.

Sekarang elok kiranya kita perhatikan riwayat ini dengan terperinci yang mana ianya datang dari kenyataan Zaid bin Thabit r.a sendiri,. Ia berkata :

"Selepas ramai para sahabat terkorban di dalam peperangan al-Yamamah, Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a telah memanggil saya; pada masa itu Saidina Umar al-Khattab r.a ada bersamanya. Beliau (Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a) berkata kepada saya bahawa Saidina Umar al-Khattab r.a memberitahunya: Pembunuhan telah merebak di kalangan para penghafaz al-Quran dan dia (Saidina Umar al-Khattab r.a) bimbang keadaan ini akan menjadi bertambah buruk serta ianya akan mengakibatkan kehilangan banyak ayat-ayat al-Quran. Ia (Saidina Umar al-Khattab) berpendapat bahawa adalah patut bagiku untuk mengarahkan agar ianya dikumpulkan. Manakala aku (Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a) telah bertanya kepada Saidina Umar al-Khattab r.a : Bagaimanakah kamu hendak melakukan perkara yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ? Saidina Umar al-Khattab r.a. menjawab : Demi Allah , ini merupakan perkara yang baik."

Semasa Saidina Umar al-Khattab r.a belum selesai membincangkan hal ini dengan saya, saya sebenarnya telah terbuka hati untuk melakukannya. Kemudian Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a berkata kepada saya ; Sesungguhnya kamu ini adalah orang muda, berakal dan dipercayai. Di samping itu juga, kamu pernah menulis wahyu untuk Rasulullah s.a.w, apa yang aku mahu ialah agar kamu mengikuti kehendak al-Quran yang sebenarnya dan seraya dengan itu kamu mengumpulkannya.

Zaid bin Thabit r.a meluahkan perasaannya selepas menerima arahan Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a itu dengan berkata : Demi Allah jika mereka mengarahkan saya untuk memindahkan bukit-bukit nescaya ianya lebih ringan daripada tugas mengumpulkan al-Quran ini. Kemudian Zaid bin Thabit r.a berkata kepada Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a ; Bagaimanakah untuk kamu lakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ? Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a menjawab : Demi Allah perkara yang aku lakukan ini adalah perkara yang baik.

Ia terus membincangkan hal ini sehingga Allah membukakan hati saya untuk melakukannya. Saya telah melakukan apa yang telah diarahkan oleh Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a, mengikuti kehendak al-Quran yang sebenarnya, mengumpulkannya daripada al-Asab, al-Likhaf dan daripada penghafazan para hafiz al-Quran sehingga saya dapati akhir surah al-Taubah daripada Abi Khuzaimah al-Ansari sahaja.

Firman Allah Ta'ala di dalam Surah al-Taubah, ayat yang ke-128 yang bermaksud :

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul daripada golongan kamu sendiri iaitu (Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu dan ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman."

Begitulah maksud akhir Surah al-Taubah. Kemudian daripada itu, segala apa yang telah ditulis ini disimpan di rumah Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a sehingga beliau wafat dan kemudiannya disimpan di rumah Saidina Umar al-Khattab r.a sepanjang hayatnya. Selepas beliau wafat, maka ianya telah diserahkan kepada Saidatina Hafsah r.a untruk disimpan.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Zaid bin Thabit r.a dan semoga Allah membalasnya dengan sebaik-baik balasan di atas jasa baktinya yang suci murni.

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 7:50 PM

 

~ Monday, March 08, 2004


Bismillaahirrahmaanirraheem...

Zaid bin Haritsah - Pemuda As-Sabiqun Al-Awwalun(Part I)


Su'da binti Tsalabah pergi mengunjungi keluarganya, Bani Ma'an. Dia membawa anaknya yang masih kecil, ZAID BIN HARITSAH AL KA'BY. Belum berapa lama dia tinggal di sana, segerombolan orang berkuda Bani Qain, datang menyerang desa itu, lalu merompak harta benda penduduk, unta dan menculik anak-anak. Di antara anak-anak yang diculik mereka termasuklah Zaid bin Haritsah, anak Su'da.

Umur Zaid ketika itu baru lapan tahun. Para penculik membawanya ke pasar 'Ukazh dan menawarkannya kepada pembeli. Zaid dibeli oleh seorang bangsawan Quraisy yang kaya raya, Hakam bin Hazam bin Khuwailid, dengan harga empat ratus dirham. Bersamaan dengan Zaid, Hakam membeli pula beberapa orang anak yang lain, kemudian dibawanya pulang ke Makkah.

Ketika Khadijah binti Khuwailid, emak saudara kepada Hakam, mengetahui bahwa Hakam telah kembali dari pasar 'Ukazh, dia datang mengunjungi Hakam untuk mengucapkan selamat datang.

Kata Hakam, "Wahai ibu saudaraku! Pilihlah di antara budak-budak itu yang mana suka sebagai hadiah." Khadijah memeriksa budak-budak itu satu persatu; maka pilihannya jatuh kepada Zaid bin Haritsah, kerana dilihatnya anak itu pintar dan cerdik. Kemudian Zaid dibawa pulang.

Tidak lama kemudian, Khadijah menikah dengan Muhammad bin 'Abdullah (ketika itu beliau belum menjadi Nabi). Khadijah ingin menyenangkan hati suami tercinta, dengan memberikan sesuatu sebagai kenang-kenangan. Setelah ditimbang-timbang, dia tidak melihat hadiah yang lebih baik bagi suaminya, melainkan budak yang berbudi halus, Zaid bin Haritsah. Lalu Zaid dihadiahkannya kepada suaminya.

Budak yang bernasib baik itu kini berada di bawah pengawasan dan pemeliharaan Muhammad bin Abdullah. Anak itu sangat beruntung, kerana dia dipergauli tuannya dengan cara yang mulia dan dia berasa bahagia berada di samping tuannya.

Tetapi nun jauh di sana, ibu Zaid menderita kehilangan anak satu-satunya. Air matanya telah kering, tak mau lagi mengalir kerana berterus-terusan menangis dirundung duka nestapa. Makan tak enak, tidur pun tak nyenyak. Lebih-lebih lagi kerana anak yang dicintainya tidak diketahui, apakah masih hidup dengan harapan akan dapat berjumpa kembali, ataukah dia sudah tiada, menyebabkan si ibu kian berputus asa. Ayahnya telah berusaha mencari ke seluruh pelosok, dan bertanya-tanya kepada setiap kafilah yang ditemuinya. Sehingga dalam pencarian yang meletihkan itu, dari lubuk hatinya yang duka tercetus seuntai syair yang meremukkan setiap hati pendengarnya, ditujukan kepada puteranya yang hilang;

bersambung....

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 11:22 PM

 

~ Sunday, March 07, 2004


Bismillaahirrahmaanirraheem...

MENGUNDI SERUPA DENGAN MEMBERI KESAKSIAN

Pandangan Sheikh Yusof al-Qardawi Mengenai Undi

Menurut ulamak terkenal masa kini, Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi,
Islam
menganggap penyertaan seseorang dalam pilihan raya dan pungutan suara
serupa dengan memberi kesaksian bahawa calon yang dipilih adalah baik.
Pada pandangan beliau lagi, sesiapa yang memberikan undian/suaranya
kepada seorang calon kerana alasan kerabat dekat atau sekampung, atau
kerana berharap dapat mengambil manfaat bila calon itu terpilih nanti,
maka dia telah menentang firman Allah di dalam surah at-Talaq, ayat
ke-2 yang bermaksud,

"Dan hendaklah kalian dirikan kesaksian itu kerana Allah."

Manakala sesiapa yang tidak menunaikan kewajipannya dalam pilihan raya
(tidak keluar mengundi) sehingga golongan yang jujur kalah dan
golongan
yang tidak layak memimpin menang dengan suara majoriti, maka dia juga
telah menentang perintah Allah dalam memberi kesaksian. Firman Allah
di
dalam surah al-Baqarah, ayat 282 yang bermaksud,

"Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka
dipanggil."

"Dan janganlah kalian (para saksi) menyembunyikan kesaksiannya dan
sesiapa menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang-orang
yang berdosa hatinya." (al-Baqarah: 283)

[Dipetik daripada tulisan Dr. Yusuf al-Qaradhawi berjudul "Fiqh
Daulah"]
Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 10:59 PM