~Eratkan Ukhuwah Gerakkan Islah~

 

~ Saturday, April 24, 2004



Bismillaahirrahmaanirraheem...

40 HADIS TENTANG PERISTIWA AKHIR ZAMAN

HADIS 37

BILAKAH AKAN TERJADI KEHANCURAN
Ertinya:

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: "Pada suatu masa ketika Nabi saw. sedang berada dalam suatu majlis dan sedang bercakap-cakap dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A'rabi (Arab Badwi) dan terus bertanya kepada Rasulullah saw., "Bilakah akan terjadi hari qiamat?". Maka Nabi saw. pun meneruskan percakapannya. Maka sebahagian yang hadir berkata, “Beliau (Nabi) mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak disukainya". Sementara yang lain pula berkata, "Bahkan beliau tidak mendengar pertanyaan itu". Sehingga apabila Nabi saw. selesai dari percakapannya beliau bersabda, "Di mana orang yang bertanya tentang hari qiamat tadi ?" Lalu Arab Badwi itu menyahut, "Ya! Saya hai Rasulullah". Maka Nabi saw. bersabda, "Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari qiamat". Arab Badwi ini bertanya pula, "Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu"? Nabi saw. menjawab, "Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah kedatangan hari qiamat".
H.R Bukhari

Keterangan
Pada hari ini banyak urusan telah diserahkan kepada yang bukan ahlinya, sedangkan orang yang layak untuk menjalankan urusan tersebut tidak diberi peluang yang sewajarnya. Ini bermakna saat kehancuran tidak lama lagi akan terjadi.

HADIS 38

BERMEGAH-MEGAH DENGAN MASJID

Ertinya:
Dari Anas bin Malik r.a. bahawasanya Rasulullah saw. bersabda: "Tidak berlaku (terjadi) hari qiamat sehingga umat ku bermegah-megah (dengan binaan) masjid".
H.R Abu Daud

Keterangan
Di antara tanda hampirnya hari qiamat, ialah umat Islam berbangga dan bermegah-megah dengan masjid yang mereka bina. Masing-masing negara berbangga dan merasa megah dengan bangunan masjid. Perhatian mereka hanya kepada keindahan masjid sahaja, tidak kepada pengisian masjid dengan ibadat dan solat berjamaah. Banyak masjid-masjid yang indah, besar dan cantik, tetapi yang datang bersembahyang di dalamnya hanya segelintir manusia sahaja

bersambung...

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 9:44 PM

 

~ Friday, April 23, 2004



Bismillaahirrahmaanirraheem...

40 HADIS TENTANG PERISTIWA AKHIR ZAMAN

HADIS 35

LIMA BELAS MAKSIAT YANG AKAN MENURUNKAN BALA

Ertinya:
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. Rasulullah saw. Bersabda: "Apabila umat ku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:
1. Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.
2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.
3. Zakat dijadikan hutang.
4. Suami memperturutkan kehendak isteri.
5. Anak derhaka terhadap ibunya,
6. Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya.
7. Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya.
8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.
9. Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.
10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
11. Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.
12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki).
13. Para artis-artis disanjung-sanjung.
14. Muzik banyak dimainkan.
15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).
Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan dirobah menjadi makhluk lain".
H.R Termizi

Keterangan
Dunia pada hari ini telah membuat segala apa yang telah disabdakan Rasulullah saw. ini, cuma mungkin belum sampai ke peringkat akhir.

HADIS 36

LIMA MAKSIAT YANG DISEGERAKAN BALASANNYA

Ertinya:
Daripada Ibnu Omar r.a. berkata: Berhadap Rasulullah saw. kepada kami (pada suatu hari) kemudian beliau bersabda; "Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya (kalau kamu telah mengerjakannya), maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah swt., semoga kamu tidak menemui masa itu. Perkara-perkara itu ialah:
1. Tiada terzahir (nampak) perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus terang melakukannya, kecuali mereka akan ditimpa penyakit Tha'un yang cepat merebak di kalangan mereka, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang telah lalu.
2. Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan, kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pepimpin mereka.
3. Dan tiada menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tiada ada binatang (yang juga hidup diatas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah swt.
4. Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah dan Rasulnya kecuali Allah akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka.
5. Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat ini) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri ".
H.R Ibnu Majah

Keterangan
Hadis di atas rnenerangkan bahawa:
1. Penyakit Thaun dan Aids adalah berpunca dari banyak berlaku perzinaan.
2. Kesukaran mencari rezeki dan kezaliman pimpinan adalah berpunca daripada rakyat yang mengurangkan sukatan dan timbangan.
3. Kemarau panjang adalah berpunca dari tidak megeluarkan zakat.
4. Kemampuan musuh mengambil sebahagian dari apa yang dimiliki oleh kaum Muslimin (sepeti hilangnya Tanah Pelastin dari tangan kaum Muslimin) adalah berpunca daripada mereka mengkhianati janji-ianji mereka kepada Allah swt.
Perang saudara yang berlaku di kalangan kaum Muslimin adalab berpunca daripada mengenepikan hukumhukum Allah swt. dan tidak mahu menjadikan Al-Quran sebagai undang-undang di dalam kehidupan.

bersambung...

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 9:38 PM


Bismillaahirrahmaanirraheem...

40 HADIS TENTANG PERISTIWA AKHIR ZAMAN

HADIS 33

ISLAM NAMA SAHAJA

Ertinya:
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah saw.; "Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah ini akan kembali".
H.R al-Baihaqi

Keterangan
Kalau kita perhatikan dunia Islam pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh dari gambaran yang telah dinyatakan oleh Rasulullah saw. ini. Kalau belum sampai pun, ianya sudah mendekati ke sana. Ulama yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah ulama su' yang menjual agama mereka dengan mata benda dunia, bukan ulama akhirat yang mewarisi tugas para Nabi dan yang meneruskan penyebaran dakwah dari masa ke semasa.

HADIS 34

AL QURAN AKAN HILANG DAN ILMU AKAN DIANGKAT

Ertinya:
Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; "Islam akan luntur (lusuh) seperti lusuhnya corak (warna-warni) pakaian (bila ia telah lama dipakai), sehingga (sampai suatu masa nanti) orang sudah tidak mengerti apa yang dimaksudkan dengan puasa, dan apa yang dimaksudkan dengan sembahyang dan apa yang dimaksudkan dengan nusuk (ibadat) dan apa yang dimaksudkan dengan sedekah. Dan al-Quran akan dihilangkan kesemuanya pada suatu malam sahaja, maka (pada esok harinya) tidak tinggal dipermukaan bumi daripadanya walau pun hanya satu ayat. Maka yang tinggal hanya beberapa kelompok daripada manusia, diantaranya orang-orang tua, laki-laki dan perempuan. Mereka hanya mampu berkata, "Kami sempat menemui nenek moyang kami memperkatakan kalimat "La ilaha illallah", lalu kami pun mengatakannya juga". Maka berkata Shilah (perawi hadis daripada Huzaifah), "Apa yang dapat dibuat oleh La ilaha illallah (apa gunanya La ilaha illallah) terhadap mereka, sedangkan mereka sudah tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan sembahyang, puasa, nusuk, dan sedekah"? Maka Huzaifah memalingkan muka daripadanya (Shilah yang bertanya). Kemudian Shilah mengulangi pertanyaan itu tiga kali. Maka Huzaifah memalingkan mukanya pada setiap kali pertanyaan Shilah itu. Kemudian Shilah bertanya lagi sehingga akhirnya Huzaifah menjawab, "Kalimat itu dapat menyelamatkan mereka daripada api neraka" (Huzaifah memperkatakan jawapan itu tiga kali).
H.R Ibnu Majah

Keterangan
Hadis di atas tadi menerangkan kepada kita bahawa pada suatu masa nanti:
1. Ilmu tentang Islam akan diangkat.
2. Al-Quran juga akan diangkat daripada permukaan bumi ini.
3. Orang ramai hanyalah mengenali beberapa istilah Islam, tetapi mereka tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan istilah-istilah itu.
4. Begitu pula mereka hanya sekadar mampu mengucapkan kalimat "Lailaha illallah", tetapi mereka tidak memahami apa tuntutan kalimat suci itu terhadap mereka.
Walau bagaimana pun Allah swt. dengan belas kasihannya masih menghargai keimanan mereka yang sedikit itu dan akan memasukkan mereka ke dalam syurga

bersambung...

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 12:30 AM

 

~ Wednesday, April 21, 2004


New Zealand

Bismillaahirrahmaanirraheem...

40 HADIS TENTANG PERISTIWA AKHIR ZAMAN

HADIS 31

KETIADAAN IMAM UNTUK SEMBAHYANG BERJEMAAH

Ertinya:
Daripada Salamah binti al-Hurr r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda; "Lagi akan datang suatu zaman, orang ramai berdiri tegak beberapa masa. Mereka tidak dapat memulakan sembahyang berjamaah kerana tidak mendapatkan orang yang boleh menjadi imam".
H.R.Ibnu Majah

Keterangan
Walau pun secara pastinya pada hari ini kita belum lagi sampai ke peringkat apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw. tadi, namun masyarakat kita sekarang ini sudah menghala ke sana. Banyak kampung-karnpung yang tidak mempunyai Tok Imam yang benar-benar mampu melaksanakan peranan Imam yang sebenar. Kelihatannya, masyarakat kita kekurangan kepada ilmu-ilmu syari'at. Mereka yang berilmu pula ramai yang tidak menghadiri sembahyang berjemaah, maka tinggallah orang-orang yang jahil. Maka apabila hal ini berpanjangan, pasti pada suatu hari nanti akan sampai juga ke peringkat keadaan yang telah dinyatakan oleh Rasulullah saw. tadi.

HADIS 32

ULAMA TIDAK DIPEDULIKAN

Ertinya:
Dari Sahl bin Saad as-Saaidi r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; 'Ya Allah! Jangan kau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan suatu masa di mana para ulama sudah tidak diikut lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak disegani lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti lidah orang Arab (pada fasihnya)." .
H.R Ahmad

Keterangan
Mungkin zaman sekarang ini sudah mendekati keadaan yang telah digambarkan oleh Rasulullah saw. ini. Masyarakat sudah agak jauh dari para ulama. Mereka takut mendekati para ulama, kerana khuatir perbuatan mereka akan ditegur. Orang tidak segan lagi membuat maksiat walau pun di hadapan orang yang tinggi akhlaknya. Terkadang, sengaja perkara maksiat itu dibuat di hadapan para Ulama untuk menyatakan rasa ego dan sekaligus untuk menyinggung perasaan mereka. Golongan ini juga pandai bercakap dan sering memutarbelitkan kenyataan. Percakapan mereka begitu halus dan memikat orang lain pada hal hati mereka adalah hati harimau yang bersedia untuk menerkam dan memangsa musuhnya

bersambung...

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 9:41 PM


Bismillaahirrahmaanirraheem...

Alhamdulillah,Majlis Syura Muslimun dan Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA)menjemput semua pelajar muslim Malaysia ke satu program yg akan dianjurkan oleh mereka pada cuti summer nanti.Program akan berlangsung pada 5-8 Ogos di Malaysia.

Antara objektif program ini adalah utk menghubungkan seluruh pelajar muslim Malaysia yg sedang melanjutkan pengajian di seluruh dunia.Selain itu,sahabat2 juga akan menjadi 'guider' utk adik2 yg turut menyertai program ini ttg kehidupan di negara tempat pengajian masing2 (adik2 ini akan melanjutkan pengajian di luar negara juga).

Sesiapa yg akan pulang bercuti dan berminat boleh lah menghubungi email di bawah:

abdillah86@yahoo.com

Website program tersebut adalah: http://ppm04.com

Further details akan diberitahu dlm website tersebut.Lokasi masih dlm pencarian.Wallahu a'lam

posted by scouser at 9:42 AM

 

~ Tuesday, April 20, 2004


Bismillaahirrahmaanirraheem...

Desak tetamu makan tergolong perbuatan tercela

Apabila seseorang berziarah, mereka wajib melakukan empat perkara iaitu duduk di tempat yang ditentukan, rela dengan makanan yang disajikan, tidak berdiri kecuali selepas diizinkan dan mendoakan tuan rumah di waktu keluar.

Nabi Muhammad pernah bersabda mengenai kebaikan tuan rumah yang melayan tetamu dengan baik dalam hadis yang bermaksud: "Orang yang berpuasa berbuka di tempat kamu, orang soleh memakan makanan kamu dan malaikat mendoakan kalian serta turun rahmat kepada kalian."

Namun, tetamu juga ada adab yang perlu diikuti ketika berziarah. Antaranya, tidak boleh meminta sesuatu yang disukainya kepada tuan rumah kecuali garam dan air.

Mereka tidak boleh mencela makanan tuan rumah tetapi makan makanan yang diberikan itu dan mengucapkan Alhamdulillah. Itulah sopan santunnya.

Pepatah mengatakan bahawa tetamu tidak boleh makan semua yang disukainya dan meminta yang dihidangkan kepadanya.

Jika di dalam satu jamuan ada orang yang lebih tua umurnya maka jangan mendahuluinya. Dikatakan bahawa baris depan adalah untuk pemuda dan ia dimulai dengan orang yang tertua.

Diceritakan bahawa seorang bijak pernah diundang makan. Beliau berkata: "Saya setuju memenuhi undangan kamu dengan tiga syarat, pertama jangan memaksa diri, kedua jangan khianat dan ketiga jangan berbuat zalim."

Orang yang mengundang bertanya: "Apa maksudnya memaksa diri?"

Jawab orang bijak itu: "Jika kamu memaksakan apa yang tidak ada pada kamu."

Tanya beliau lagi: "Apa yang dimaksudkan dengan khianat?"

Jelasnya: 'Jika kamu kikir dengan apa yang ada pada kamu hingga tidak kamu hidangkan kepada tamu kamu itu."

Tanya lagi orang yang mengundang: "Apa yang dimaksudkan dengan kezaliman?"

Jawabnya: "Jika kamu tidak memberi anak-anakmu, tetapi kamu berikan kepada tetamu kamu.'

Orang bijak itu berkata: "Jika kamu mengundang orang untuk makan sedangkan jumlah mereka sedikit, maka jika kamu duduk bersama mereka, tidak mengapa sekiranya engkau melayan mereka. Ini kerana layananmu dalam jamuan itu terhadap mereka termasuk harga diri.

"Namun, jika mereka ramai jumlahnya, maka jangan duduk bersama dan layani mereka sendirian. Ini sebab menghormati tetamu itu adalah apabila kamu melayaninya sendirian."

Turut disebutkan dalam firman Allah di dalam al-Quran mengenai tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan.

Menghormati mereka adalah dengan melayani mereka sendiri. Tuan rumah dianjurkan untuk mengatakan sekali-kali kepada tetamunya, "makanlah" tanpa mendesak.

Jika kamu katakan demikian kepada tetamu, makannya akan lebih nyaman dan jangan mendesaknya kerana perbuatan itu tercela.

Jangan banyak berdiam diri di hadapan tetamu supaya mereka tidak gelisah dan jangan meninggalkan mereka kerana perbuatan itu tidak sopan.

Jangan memarahi pelayan di hadapan tetamu kerana sebaik-baik penghormatan untuknya adalah wajah yang berseri-seri dan perkataan yang bagus.

Jangan memberatkan tetamu ketika duduk bersama mereka kerana hal itu mengurangi nikmat makanan. Apabila mereka selesai dan minta izin, jangan dicegah kerana hal itu termasuk yang memberatkan mereka.

Muhammad bin Sirin berkata: "Janganlah memuliakan saudaramu dengan apa yang tidak disukainya."

Diceritakan bahawa seorang bijak menjadi tetamu kepada seorang lelaki. Orang bijak itu berkata: "Aku penuhi undangan kamu dengan tiga syarat iaitu jangan memberi aku makanan beracun, jangan dudukkan bersama aku orang yang paling kamu cintai dan orang yang paling aku benci dan jangan mengurung aku di dalam penjara.

Orang yang mengundang itu menjawab: "Ya."

Ketika orang bijak itu masuk, tuan rumah itu mendudukkan seorang anak kecil bersamanya. Tatkala dihidangkan makanan kepadanya dan selesai makan, tetamu itu terus didesak supaya makan dan tidak mahu keluar.

Dia berkata: "Tinggallah sesaat!" Orang bijak itu berkata: "Engkau melanggar semua syarat itu."

Apabila sebahagian daripada orang hadir dan yang lain terlambat, maka yang hadir lebih berhak untuk didahulukan. Tuan rumah hendaknya tidak menghidangkan makanan sampai ia menghidangkan air supaya mereka mencuci tangan mereka kerana hal itu termasuk harga diri.

Jika ia ingin menghidangkan air untuk cuci tangan sebelum makan, kiasnya ialah mulai dengan orang yang ada di akhir majlis dan menunda yang di depan, sedangkan kebajikan itu wujud pada akhir majlis.

Namun, orang lebih suka mendahulukan pemuka majlis sebelum makanan dan menganggapnya termasuk kebajikan. Jika ia melakukan itu, maka tidak ada masalah dengannya.

Apabila mereka cuci tangan sebelum mereka makan, kiasnya adalah si pencuci tidak mengusap kedua tangannya dengan sapu tangan kerana ia membasuh kedua tangannya untuk menghindari sentuhan, sedangkan ia tidak menyentuh sesudah mencucinya.

Namun, orang lebih suka mengusap tangan dengan sapu tangan. Jika ia lakukan itu, maka tidak ada masalah dengannya.

Apabila mereka ingin membasuh tangan mereka sesudah makan, sebahagian ulama tidak suka mengosongkan bejana setiap kali. Mereka berpegangan pada khabar yang diriwayatkan daripada Nabi Muhammad dalam satu hadis yang bermaksud: "Penuhilah bejana dan jangan meniru kaum Majusi."

Dalam riwayat lain disebutkan: "Kumpulkan air wuduk kamu, semoga Allah menyatukan kalian."

Ada yang mengatakan bahawa menuangkan isi bejana setiap kali mencuci tangan termasuk perbuatan kaum Ajam (Parsi dan Romawi). Sebahagian ulama mengatakan tidak ada masalah dengannya.

Perbuatan itu termasuk harga diri kerana lemak yang mengalir di dalam bejana akan mengotori baju tetamu.

Pada zaman dulu, kebanyakan makanan adalah roti dan kurma atau makanan yang mengandungi sedikit lemak.

Sekarang mereka memakan pelbagai jenis makanan dan mengenai tangan mereka. Maka tidak mengapa apabila menuangkan bejana setiap kali mencuci tangan.

Makruh memandang makanan orang lain kerana hal itu menunjukkan perilaku yang buruk. Tamu tidak patut banyak menoleh ke tempat dari mana makanan itu didatangkan kerana hal itu makruh menurut ulama.

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 8:40 PM


Bismillaahirrahmaanirraheem...

Mimpi ada tiga macam

Hisyam bin Urwah meriwayatkan daripada ayahnya dan Aisyah bahawa ia (Aisyah) berkata: "Wahyu yang turun kepada Rasulullah dimulai dengan mimpi yang baik. Maka tidaklah Baginda melihat mimpi, melainkan ia muncul seperti sinar pagi."

Diriwayatkan Abi Said Al-Kudri daripada Rasulullah yang bermaksud: "Apabila seorang dari kamu melihat mimpi yang disukai, maka sesungguhnya ia berasal dari Allah dan hendaklah ia bersyukur dan boleh menceritakannya kepada siapa yang disukainya.

"Apabila melihat selain itu yakni yang tidak disukai, maka ia berasal dari syaitan dan hendaklah ia berlindung kepada Allah daripada keburukannya dan tidak menceritakannya kepada seorang pun kerana mimpi itu tidak membahayakan."

Abu Qatadah meriwayatkan dari Rasulullah dalam hadisnya yang bermaksud: "Mimpi yang baik berasal dari Allah dan angan-angan dari syaitan. Maka siapa yang melihat sesuatu yang tidak disukai, hendaklah ia menghembus ke sebelah kirinya tiga kali dan memohon perlindungan kepada Allah daripada gangguan syaitan terkutuk kerana mimpi buruk itu tidak membahayakan."

Diriwayatkan daripada Aisyah bahawa ia bermimpi melihat tiga bulan jatuh di kamarnya.

Kemudian ia menceritakannya kepada Abu Bakar. Ketika Rasulullah wafat dan dimakamkan di rumahnya, Abu Bakar berkata kepadanya: "Ini adalah salah satu bulan yang dilihat kamu dan ia adalah yang terbaik."

Ketika Abu Bakar meninggal dunia dan dimakamkan, maka dikatakan kepadanya: "Ia adalah bulan yang kedua." Ketika Umar meninggal dunia dan dimakamkan di situ, dikatakan kepadanya: "Ia adalah bulan yang ketiga."

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad bersabda: "Mimpi itu ada tiga macam iaitu suara hati, ancaman syaitan dan khabar gembira daripada Ar-Rahman. Maka siapa yang melihat sesuatu yang tidak disukai, janganlah ia menceritakannya kepada seseorang dan hendaklah ia bangun serta mengerjakan solat."

Dikatakan oleh ulama bahawa tidak boleh menceritakan mimpi kecuali kepada seorang yang bijak atau seorang yang dicintai.

Diriwayatkan daripada Rasulullah bahawa Baginda bersabda: "Mimpi yang paling benar adalah yang dilihat di waktu dinihari."

Diriwayatkan pula daripada Baginda bahawa: "Mimpi yang baik adalah satu bahagian dari 44 bahagian kenabian."

Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi bahawa: "Siapa yang melihat aku di dalam tidur, maka ia benar-benar melihatku kerana syaitan tidak boleh menyerupai aku."

Nabi bersabda: "Siapa saja yang melihat aku di dalam tidur, maka ia akan melihat aku dalam keadaan jaga".

Ibnu Abbas meriwayatkan daripada Nabi bahawa: "Siapa yang mengaku melihat suatu mimpi yang tidak dilihatnya, ia pun dipaksa mengikat antara dua utas rambut dan tidak akan dapat dilakukannya. Dan ia tidak dapat mengikatnya".

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 8:33 PM


Bismillaahirrahmaanirraheem...

Rabiulawal Ula: Rabiulawal catat banyak peristiwa penting

Sekarang umat Islam berada dalam bulan Rabiulawal, antara detik penting yang melakarkan beberapa peristiwa dan kisah membabitkan junjungan besar Nabi Muhammad saw serta sahabat.

Peristiwa itu jika direnungi pasti memberi maklumat dan mesej berguna kepada umat hari ini mengenai kegigihan, semangat dan ketakwaan mereka melaksanakan perintah Allah serta Rasul-Nya.

Dari segi kelebihan, kedudukan bulan ini samalah dengan bulan lain kecuali bulan tertentu, umpamanya Ramadan yang dinyatakan secara jelas melalui hadis sahih.

Rabiulawal dari sudut bahasa bermaksud musim bunga yang pertama. Ia dinamakan sedemikian memandangkan pada zaman jahiliah, Semenanjung Tanah Arab mengalami musim bunga.

Ketika itu, pokok buah-buahan dan tanaman lazimnya mulai berbunga dan proses itu akan berlaku hingga Rabiulakhir.

Panggilan Rabiulawal ini juga sebenarnya diwarisi daripada masyarakat Arab Jahiliah. Namun selepas kedatangan Islam, nama bulan ini tetap digunakan dan diterima pakai sebagai kalendar tahunan.

Kewujudan kalendar ini memudahkan masyarakat Arab kerana ia memudahkan catatan tarikh dilakukan terhadap sebarang peristiwa sepanjang tahun.

Ini termasuk tarikh kelahiran dan kematian seseorang, malapetaka, peperangan atau tarikh peristiwa lain yang dikira penting oleh masyarakat berkenaan.

Tarikh itu diabadikan hingga ke hari ini dan dijadikan catatan silam bagi mengingati detik-detik bersejarah masyarakat terdahulu, khususnya membabitkan kisah perjuangan Rasulullah dan sahabat Baginda.

Pada Rabiulawal, banyak peristiwa yang berlaku dan kedatangan bulan ini ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam.

Peristiwa paling bersejarah adalah pada tanggal 12 Rabiulawal. Ini kerana, tarikh itu adalah ulang tahun kelahiran Muhammad, Nabi dan rasul akhir zaman.

Berdasarkan catatan sejarah, Baginda lahir pada 12 Rabiulawal atau 20 April 571 Masihi.

Setibanya tarikh ini, seluruh umat Islam mengadakan pelbagai majlis memperingati kelahiran Rasulullah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah yang mengutuskan nabi dan rasul, yang mengajak manusia ke arah kebaikan serta meninggalkan kemungkaran.

Kelahiran Baginda cukup bermakna kepada umat manusia kerana berjaya mengubah sistem sosial yang teruk kepada kehidupan lebih bertamadun.

Bagaimanapun, ada ahli sejarah berpendapat, Baginda bukan lahir pada bulan ini, sebaliknya pada Muharam, Safar atau Ramadan.

Namun, jumhur pengkaji sejarah, termasuk Ibn Ishak dan beberapa sarjana Islam lain mengatakan, Rasulullah lahir pada Rabiulawal tahun Gajah.

Selain itu, pada bulan Rabiulawal juga Baginda wafat, iaitu pada Isnin 12 Rabiulawal tahun ke-11 Hijrah bersamaan 7 Jun 632 Masihi selepas sakit selama 13 hari.

Baginda wafat di rumah isteri Baginda, Aisyah yang juga puteri Khalifah Islam pertama, Saidina Abu Bakar as-Siddik.

Selain itu, ada beberapa peristiwa yang memperlihatkan sejarah keagungan Islam berlaku dalam Rabiulawal.

Di antaranya, peristiwa pelantikan Abu Bakar As-Siddiq menjadi khalifah. Peristiwa ini penting kerana ia bukan saja detik permulaan pembentukan sistem khalifah Islam, malah ia menjadi bukti dan hujah bagi menolak segelintir puak yang menidakkan pelantikan Abu Bakar.

Rabiulawal juga dikaitkan dengan pembukaan kota al-Hirah pada tahun ke-12 Hijrah.

Pembukaan kota ini adalah antara saat amat menggembirakan bagi umat Islam selepas beberapa tahun dijajah Parsi.

Kejayaan menakluki kota ini memberi mesej bahawa Islam boleh mencapai kecemerlangan jika penganutnya bersungguh-sungguh melaksanakan ajaran Islam dan giat menjalankan dakwah kepada penganut agama lain.

Antara peristiwa lain yang berlaku pada bulan ini adalah Perang Safwan (2 hijrah), Perang Bawat (2 hijrah), Perang Zi Amar (3 hijrah) Perang Bani An Nadhir (4 hijrah) dan Perang Dumatu Al Jandal.

Selain itu, Perang Bani Lahyan (6 hijrah), Perang al Hittin (583 hijrah) dan kekalahan tentera Islam di tangan tentera Sepanyol (897 hijrah).

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 8:17 PM


Ku Merayu - Alarm Me

Dalam sayu ini ku masih merayu
Kiranya Kau hulur sisa simpati
Pintu hatiku yang masih mengharap
Tuhan ku pinta segala terlerai

Walaupun aku tidak pasti
Apakah masih membara dosaku
Di lautan derhaka
Ku terus berombak
Menghempas taubat ku yang kian retak
Oh Tuhan ampunilah daku

Sudi kiranya Kau menjalin kembali
Jiwaku yang masih kelayuan ini
Tuhan sambunglah cintaku yang terputus
Dengan cintaMu yang Maha Kudus

Dalam sayu ku masih merayu
Agar kasihmu hadir di hatiku
Dalam pilu ku masih merayu
Biarlah dosa-dosa yang lalu
Terkubur di lipatan kenangan

Ku merayu hanya padaMu
Ku merayu dan terus merayu
Ku merayu hanya padaMu

Dalam sayu ini ku masih merayu
Kiranya Kau hulur sisa simpati
Pintu hatiku yang masih mengharap
Tuhan ku pinta segala terlerai

Walaupun aku tidak pasti
Apakah masih membara dosaku
Di lautan derhaka
Ku terus berombak
Menghempas taubat ku yang kian retak
Oh Tuhan
Ampunilah daku

Ku merayu hanya padaMu
Ku merayu dan terus merayu
Ku merayu hanya padaMu

Ku memohon petunjuk dariMu
Buatku menuju jalanMu yang satu
Hidup matiku hanya untukMu

Ku memohon petunjuk dariMu
Buatku menuju jalanMu yang satu
Hidup matiku hanya untukMu...

----------------------------------------------------------------------------

Amacam?Sedap tak nasyid ni?Ni one of my favorite nasyids.Seni kata dia pun menyentuh hati gak.Moga kita sama2 reflect apakah kita selalu menagih simpati dan merayu pada Allah.Lazimnya kita selalu lalai dan leka.Bila ditimpa musibah barulah kita nak dekatkan diri dgnNya.Time senang hanya terlafaz perkataan 'alhamdulillah' je.Anyway,member kat Troy,RPI kata sedap nasyid ni...so saya letak la nasyid ni as background music.Semoga terhibur dan sentiasa memuhasabah diri :)

posted by scouser at 1:16 PM

 

~ Monday, April 19, 2004



Gangsterisme di sekolah -- Jamaah Islah saran beri peluang kedua

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) menyarankan pendekatan positif yang menekankan belaian dan bimbingan serta pemberian peluang kedua bagi menangani masalah gangsterisme atau keganasan pelajar di sekolah-sekolah.

Presiden JIM, Zaid Kamaruddin berkata, pendekatan sebegini bukan saja bertujuan melindungi mangsa gejala gangsterisme bahkan membantu memulihkan atau menginsafkan mereka yang didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut.

Beliau berkata, pendekatan yang berbeza daripada cemuhan dan hukuman ini juga sejajar dengan prinsip Islam sebagaimana maksud hadis Nabi Muhammad s.a.w yang berbunyi, "tolonglah saudaramu yang menzalimi dan yang dizalimi.''

"Menuding jari kepada guru dan pihak pentadbiran sekolah tidak akan menghasilkan kesan baik jangka panjang dalam menangani isu ini malah terus melabelkan pelajar terlibat dengan pelbagai gelaran negatif, tidak akan banyak membantu.

"Pendekatan ini perlu diubah kerana remaja hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran yang cukup berat sehingga mempengaruhi tindak-tanduk buruk mereka itu,'' katanya pada sidang akhbar khas di ibu pejabat JIM di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau mengulas isu gangsterisme yang meragut nyawa seorang pelajar tingkatan empat, Muhammad Farid Ibrahim akibat didera dan dipukul sekumpulan pelajar senior di sebuah sekolah agama di Seremban, Negeri Sembilan.

"Kes ini perlu memberi pengajaran kepada semua pihak. Satu bentuk tindakan memang patut dikenakan namun disebabkan yang didapati melakukannya itu masih dalam umur persekolahan, peluang kedua tidak seharusnya dinafikan terhadap mereka,'' katanya.

Bertanggungjawab

Pendirian Zaid itu sekali gus menolak bentuk tindakan tegas serta-merta dikenakan oleh pihak-pihak tertentu termasuk dengan membuang sekolah sebaliknya menyarankan mereka ini hanya dipindahkan ke sekolah lain.

"Masyarakat juga bertanggungjawab ke atas masa depan mangsa dan anak yang tersilap ini. Saya juga tidak fikir mereka yang telah dibuang sekolah itu akan merebakkan gangsterisme ke sekolah baru,'' kata beliau.

Menurut Zaid, penerusan kelakuan buruk itu hanya boleh berlaku dengan andaian bahawa mereka 'tidak makan saman' sedangkan pada kebiasaannya, sesiapa yang pernah ditahan reman polis pasti telah merasai perit jerih hidup di lokap.

Kata Zaid, pendekatan belaian dan bimbingan juga sepatutnya bermula dari rumah dengan ibu bapa khususnya mengambil tanggungjawab utama dalam membina keperibadian anak-anak mereka.

JIM turut mengesyorkan agar sistem pendidikan formal di sekolah ketika ini perlu mengambil kira soal penekanan pembinaan keperibadian pelajar.

Beliau turut bersetuju supaya peranan guru kaunseling dapat diperluaskan di sekolah kerana mereka didapati lebih disenangi oleh para pelajar bermasalah dan tercari-cari role model atau orang yang dapat membimbing dan memberikan perhatian.

Sementara itu Ketua Wanita Pusat JIM, Dr. Harlina Halizah Siraj berkata, pembuangan sekolah terhadap para pelajar terlibat hanya akan memindahkan gejala gangsterisme semula ke tengah-tengah masyarakat dan keluarga.

Malahan katanya, menempatkan mereka ke institusi pemulihan akhlak tidak begitu sesuai dilakukan sebaliknya satu kempen kebapaan khusus bagi para pelajar lelaki yang terlibat, dianggap lebih tepat dan berkesan.

"Anak lelaki tak boleh disimpan dalam pusat pemulihan khas seperti anak perempuan. Itu bukan pendekatannya. Mereka banyak melihat contoh yang paling dekat dengan diri atau jika tidak, mencari role model dalam masyarakat.

Bagaimanapun kata Harlina, kempen kebapaan memerlukan golongan berkenaan membentuk keperibadian mereka dengan ciri-ciri positif terlebih dulu dan mengikis walaupun sedikit pun tabiat buruk seperti merokok.

"Kalau dalam kajian mendapati golongan dewasa yang merokok hampir 60 peratus, bagaimana kita nak galakkan kempen kebapaan kepada anak-anak yang bermasalah seperti gangsterisme?

"Yang sekecil-kecil ini pun bapa kena buang. Barulah mereka ini menjadi pendorong atau role model anak-anak supaya sentiasa mencegah diri daripada masalah disiplin.

posted by scouser at 11:11 PM

 

~ Sunday, April 18, 2004



Isam sangat khuatir ibadat tidak khusyuk


DIKISAHKAN bahawa ada seorang ahli ibadat bernama Isam bin Yusuf yang sangat warak dan khusyuk sembahyangnya.

Namun, beliau selalu khuatir jika ibadatnya kurang khusyuk dan sering bertanya kepada orang yang dianggap lebih baik ibadatnya, demi untuk memperbaiki diri yang selalu dirasakan kurang khusyuk.

Pada suatu hari Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Asam dan bertanya: "Wahai Aba Abdurrahman (nama gelaran Hatim), bagaimanakah caranya tuan sembahyang?"

Berkata Hatim: "Apabila masuk waktu sembahyang, aku berwuduk zahir dan batin".

Bertanya Isam: "Bagaimana wuduk batin itu?"

Berkata Hatim: "Wuduk zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wuduk dengan air, sementara wuduk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara:


1.bertaubat


2.menyesali akan dosa yang dilakukan.


3.tidak tergila-gila dengan dunia


4.tidak mencari atau mengharapkan pujian daripada manusia


5.meninggalkan sifat bermegah-megahan.


6.meninggalkan sifat khianat dan menipu


7.meninggalkan sifat dengki".

Seterusnya Hatim berkata: "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggota dan menghadap kiblat.

"Aku berdiri dengan penuh waspada dan aku bayangkan Allah berada di hadapan, syurga di sebelah kanan, neraka di sebelah kiri, malaikat maut berada di belakang aku.

"Dan aku membayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian Siratul Mustaqim dan aku menganggap bahawa sembahyang aku kali ini adalah sembahyang yang terakhir bagiku (kerana aku rasa akan mati selepas sembahyang ini), kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.

"Setiap bacaan dan doa dalam sembahyang aku fahami maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawaduk (berasa hina), aku bertasyahud (tahiyat) dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersembahyang selama 30 tahun".

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadatnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 10:06 PM



Bismillaahirrahmaanirraheem...

Jamaluddin tiup semangat kegemilangan Islam

Jamaluddin bin Safdar ialah seorang pejuang Islam yang lebih dikenali sebagai Jamaluddin Al-Afghani.

Keluarga beliau mempunyai kaitan dengan Ali At-Tarmizi, seorang ahli hadis terkenal yang mempunyai ikatan kekeluargaan dengan Saidina Hasan bin Ali bin Abi Talib.

Sebelum bapanya menceburkan diri dalam bidang ketenteraan, beliau adalah seorang petani biasa.

Apabila bertugas dengan tentera dan diberi amanah untuk meronda di kawasan sempadan Afghanistan, bapanya tertarik hati dengan negeri itu lalu menetap di sana.

Jamaluddin lahir pada 1839 di perkampungan Isabad dalam jajahan Iran. Pada umur lima tahun, beliau mula diberi pelajaran. Selepas umurnya meningkat 10 tahun, dia mula mengembara dan mendekati golongan ilmuwan di kawasan yang dilawatinya.

Ketika umurnya belum mencapai 16 tahun, beliau sudah sampai di India. Pada usia 18 tahun, beliau mahir berbahasa Arab dan terus belajar pelbagai disiplin ilmu Islam yang lainnya termasuk kedoktoran dan sains.

Jamaluddin banyak menghabiskan masanya dengan merantau dari satu negeri ke negeri lainnya.

Dalam setiap negeri yang dia singgah, beliau sering membangkitkan semangat rakyat supaya berjuang mengembalikan kegemilangan Islam.

Jamaluddin pernah tinggal dalam masyarakat komunis di Russia selama lebih empat tahun dan mengkaji mengenai budaya masyarakat itu.

Oleh kerana kecenderungan untuk meniupkan semangat pemberontakan di kalangan umat Islam, beliau sentiasa mendapat pengawasan yang ketat daripada penguasa di negeri yang disinggahinya.

Negeri yang dilawatinya tidak pernah memberi kemudahan baginya untuk tinggal lebih lama.

Sewaktu lawatannya buat kali kedua ke India, walaupun pihak pemerintah India memberi sambutan dan penghormatan kepadanya namun beliau tidak dibenarkan untuk menemui pemimpin India yang lain dan rakyat jelata.

Beliau hanya ditempatkan di pejabat pemerintah dengan layanan yang penuh dengan istiadat rasmi.

Ketika beliau sampai di Istanbul, kerajaan tidak mengizinkan beliau tinggal lama kerana penguasa melihat sambutan yang diberikan rakyat kepadanya boleh menggugat keselamatan dalam negeri.

Melihat situasi seumpama itu, pemerintah Turki memerintahkan Jamaluddin supaya meninggalkan kota itu dengan seberapa segera.

Dalam perjalanan pulang beliau singgah di Mesir. Ketika di situ, beliau memberi kuliah dan menulis dengan begitu lantang memperkatakan mengenai bahayanya penjajahan Inggeris terhadap negara mereka.

Beliau mendedahkan bagaimana kesan itu yang boleh merosakkan pemikiran dan jiwa umat Islam di samping menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan sosial.

Bagi menghindari pengaruh budaya Barat, Jamaluddin menyeru masyarakat supaya berpegang teguh dengan ajaran Islam dan berjihad menentang penjajah.

Pengajaran Jamaluddin yang amat ketara kepada dunia Islam ialah pertama memperbaharui sistem pendidikan Islam supaya mampu berdepan dengan tamadun moden.

Kedua untuk membebaskan negara umat Islam daripada diperkudakan oleh barat.

Beliau berpendapat bahawa kepincangan akhlak dan lemahnya semangat juang disebabkan keadaan mereka yang dikuasai oleh nafsu.

Selain itu, beliau berpendapat bahawa kekuasaan negara Barat ke atas umat Islam amat berbahaya dan sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan tanpa dilakukan sesuatu perubahan, nasib umat Islam akan menjadi semakin buruk.

Umat Islam mesti bangkit melawan segala pengaruh barat melalui perang jihad yang berterusan.

Justeru, seruannya menyatukan umat Islam (Pan Islamisme) dan menegakkan kembali empayar Islam meliputi seluruh dunia, maka kehadirannya di setiap negara selalu mendapat sambutan rakyat dan sekali gus menjadi kebencian penguasa yang menjadi tali barut Barat hingga kerap beliau diusir dan terpaksa berpindah dari satu negeri ke negeri lain.

Beliau meninggal dunia di Istanbul kerana diracun oleh musuh Islam yang begitu cemburu dengan pengaruhnya yang semakin meluas.

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 9:57 PM



Bismillaahirrahmaanirraheem...

Doa Abdullah syahid ketika perang dimakbul


Salah seorang keluarga terdekat Rasulullah yang beruntung adalah Abdullah bin Jahsy.

Beliau yang juga sepupu baginda memeluk Islam sebaik saja agama Allah ini dikumandangkan. Oleh itu, beliau termasuk As-Sabiqunal Awwalun (golongan yang mula-mula masuk Islam).

Sebagai As-Sabiqunal Awwalun, Abdullah banyak mengalami penderitaan yang dilakukan oleh kaum Quraisy hingga terpaksa berhijrah dua kali.

Pertama kali ke Habsyah dan kedua ke Madinah. Sewaktu hijrah ke Madinah, rumahnya yang banyak dengan barang berharga dicuri oleh Abu Jahal dan kuncu-kuncunya.

Mereka dengan seronok dan rakus menceroboh rumah Abdullah dan mengaut barangnya.

Selepas tiba di Madinah, Abdullah sentiasa bersiap sedia untuk menentang orang kafir Quraisy. Pertama sekali beliau ditugaskan oleh Rasulullah ialah memimpin pasukan kecil yang bertugas merisik gerak geri orang Quraisy Makkah.

Dalam gerakan ini, Abdullah dan sahabat berhasil membunuh dan menawan pihak musuh walaupun tidak dipersetujui oleh Rasulullah. Selepas itu, Abdullah ikut terbabit dalam perang Badar dan Perang Uhud.

Dalam perang Uhud, berlaku satu peristiwa penting yang mengharukan dialami Abdullah.

Peristiwa itu dituturkan oleh teman seperjuangan Abdullah yang sentiasa berdampingan dengannya iaitu Saad bin Abi Waqas yang sempat hidup lama selepas Rasulullah wafat.

Saad tidak pernah melupakan pengalamannya ketika bersama Abdullah.

Ketika perang Uhud, Abdullah menemui Saad dan bertanya, “Apakah engkau tidak berdoa?”

Saad menjawab: “Tentulah berdoa”.

Kemudian kedua-dua sahabat itu pergi mencari tempat yang agak jauh daripada pandangan mata untuk bermunajat kepada Allah.

Pertama sekali Saad berdoa: “Ya Tuhanku! Jika kami akan dipertemukan dengan musuh, pertemukan saya musuh yang sangat jahat dan buas. Saya akan bertempur melawannya. Berilah saya kemenangan hingga musuh itu tewas.”

Ketika Saad berdoa, Abdullah ikut mengaminkan ia dengan khusyuk.

Kini giliran Abdullah sendiri berdoa untuk dirinya sendiri: “Wahai Allah! Berilah saya rezeki seorang musuh yang sangat jahat dan buas. Saya akan melawannya demi Engkau, tetapi kemudian dia kembali menewaskan saya pula.

“Kemudian dia memotong hidung dan telinga saya. Apabila saya berjumpa Engkau esok, Engkau akan bertanya kepada saya: Mengapa hidung dan telinga engkau tiada wahai Abdullah?” Saya akan menjawab: “Kerana membela agama Allah dan Rasul Engkau!” Lalu engkau berkata: “Benar engkau”.

Selepas berdoa, Abdullah terus maju ke medan tempur. Mula-mula kaum Muslimin dapat mengundurkan tentera kaum Quraisy, namun kemudian orang Islam terdesak dan kaum musyrikin mengganas.

Beberapa orang Islam yang syahid mereka cincang sebagai meluahkan rasa dendam ketika kalah di perang Badar.

Apabila perang selesai, didapati Abdullah menemui syahid.

Rohnya dibawa naik oleh malaikat sementara badannya betul-betul seperti apa yang diminta kepada Allah iaitu hidung dan telinga dipotong oleh orang kafir Quraisy.

Bukan hanya itu saja, hidung dan telinga yang dipisahkan daripada badan itu didapati ditusuk dengan seutas tali dan digantungkan pada sebatang pokok. Allah mengabulkan doa pahlawan-Nya.

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 9:52 PM