~Eratkan Ukhuwah Gerakkan Islah~

 

~ Saturday, May 15, 2004


Sheikh Albani

Bismillaahirrahmaanirraheem...

Mutiara Iman Dari Imam Mursyid

Mustafa Masyhur

Tidak ada sesiapa yang berselisih pandangan tentang dua perkara:

Pertama: Meluasnya pelbagai kerosakan dalam pelbagai peringkat dan bidang pada hari ini. Kerosakan yang terlalu dalam akar umbinya hingga ke tahap tiada batasannya. Suatu keadaan yang menjadikan mereka yang berjiwa mulia, prihatin dan ikhlas merasa amat sedih dan kesal terhadap keadaan semasa Negara dan umat. Mereka berterusan memohon dan berdoa semoga Allah Azzawajalla mengangkat keadaan yang mendung ini dan menghilangkan segala masalahnya. Mereka juga berdoa agar umat ini diberikan petunjuk menuju jalan yang benar, mengamalkan akhlak dan budipekerti yang mulia.


Kedua: Meluasnya kezaliman dan penindasan yang juga berlaku pada pelbagai peringkat dan arah. Hinggakan rasa takut dan bimbang menguasai manusia dan menjadikan kegusaran ini menghilangkan ketenangan dan kebahagiaan. Akhirnya rasa aman dan bebas yang merupakan suatu fitrah anugerah Allah kepada manusia menjadi suatu mimpi yang menjadi dambaan hidup manusia setelah kezaliman dan penindasan menghapuskan rasa aman tadi. Masalah kezaliman ini telah sampai ke tahap merampas hak manusia untuk hidup. Ia merampas hak keamanan dan kerehatan fikiran yang dinikmati di dalam rumah, di tempat kerja dan di tempat perjalanan.

Abu al-Hasan 'Ali al-Nadawiyy

Memilih dan mengumpulkan para pemuda yang mempunyai sifat pintar dan berani kemudian mentarbiahkan mereka dengan pentarbiahan yang tuntas dan serius, merupakan dua rukun asasi dalam perancangan da'awah.

Kita mesti mengeluarkan pemuda yang boleh menegakkan dakwah, menguruskan pentadbirannya, mentarbiah pemuda dan memenuhi segala lompang.

Mana-mana gerakan, dakwah atau institusi meskipun mempunyai kekuatan dan bilangan pendokong yang ramai, namun ia tetap terdedah kepada mara bahaya. Bahkan dalam masa yang singkat, ia akan kehilangan pendokong-pendokongnya seorang demi seorang hingga tiba suatu hari nanti ia akan kehilangan kesemua pendokongnya.

Umar al-Khattab (r.a.)

Beliau telah menulis surat peperangan kepada Saad bin Abi Waqqas (r.a.) dengan katanya:
1. "Sebaik-baik persiapan menghadapi musuh dan sehebat-hebat helah dalam peperangan ialah takwa kepada Allah. Oleh itu aku memerintahkan kamu dan tentera yang bersama dengan kamu supaya bertakwa. Aku juga memerintahkan kamu dan mereka yang bersama kamu agar lebih berwaspada dengan maksiat yang kamu semua lakukan daripada musuh-musuh kamu.
2. Sesungguhnya dosa merupakan tentera yang aku takuti lebih daripada musuh. Sesungguhnya kemenangan muslimin adalah di sebabkan maksiat yang dilakukan musuh kepada Allah. Kalau tidak, kita sebenarnya tiada kekuatan. Kerana bilangan kita lebih kecil berbanding bilangan mereka, persenjataan mereka jauh lebih hebat daripada persenjataan kita.
3. Maka jika kita juga berada dalam maksiat kepada Allah, mereka lebih mempunyai kekuatan berbanding kita. Jika kita tidak menundukkan mereka dengan kelebihan kita (akidah) maka kita tidak akan menundukkan mereka dengan kekuatan kita (persenjataan). Ketahuilah sesungguhnya kamu semua berada di jalan yang sentiasa diawasi oleh malaikat Allah yang mengetahui apa yang kamu lakukan, oleh itu malulah dengan mereka.
4. Janganlah sekali-kali kamu melakukan maksiat kepada Allah sedangkan kamu berada di atas jalan-Nya. Dan jangan sekali-kali kamu berkata, jika musuh kita lebih jahat daripada kita mereka tidak akan sekali-kali dapat menewaskan kita. Mintalah bantuan daripada Allah untuk diri-diri kamu sebagaimana kamu meminta kemenangan daripada Allah ke atas musuh-musuh kamu."

Moga-moga tiga mutiara iman daripada tiga imam mursyid ini menjadi pedoman buat para pewaris Islam dalam menempuh jalan iman dan da'awah ini.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam



posted by scouser at 10:40 PM

 

~ Friday, May 14, 2004


Bismillaahirrahmaanirraheem...

Bolehkah Kita Lebih Bersopan Dalam Perbezaan? [Part Akhir]

Kematangan akhlak bererti bahawa ummat ini mampu melampaui perbezaan-perzedaan di antara mereka, memandangkan perbezaan-perbezaan itu sebagai sebuah kewajaran yang harus dikompromi dan diberi ruang dalam kehidupan kolektif kita, serta tidak boleh menjadi penghalang untuk bekerja sama,

khususnya di saat kita menghadapi tentangan-tentangan dan tragedi-tragedi besar, yang mengharuskan kita bersatu padu menghadapinya.

Berbeza dan bekerja sama adalah dua hal yang sebenarnya boleh disatukan sekiranya kita memiliki kematangan peribadi. Apabila kita mencuba membuat daftar berbagai kelompok Islam, lalu kita catatkan persamaan dan perbezaan di antara mereka dalam berbagai dimensi, maka kita akan menemui bahawa ruang kesamaan itu jauh lebih luas dibandingkan ruang perbezaan. Tetapi kenapa kita selalu "melatah?" dengan perbezaan itu?

Kematangan akhlak seperti itu akan menghilangkan pelbagai macam sifat negatif di dalam diri kita seperti dendam, iri hati, angkuh, sifat temperamental, suka dipuji untuk hal-hal kecil yang dilakukannya, dan sebagainya. Pada waktu yang sama kita menumbuhkan berbagai sifat positif dalam diri kita seperti mendahulukan kerja di atas bicara, mengalah untuk hal-hal yang tidak prinsip, lebih banyak bekerja sama daripada berdebat, menahan diri untuk tidak selalu memenangi perdebatan, dan sebagainya. Akhir dari kematangan akhlak itu adalah orientasi yang kuat pada amal-amal yang nyata.

Tika itu kita akan menyaksikan bahawa hanya kekosongan jiwalah yang biasanya mendorong orang untuk berdebat dan berbeza, dan bahawa orang-orang yang jiwanya dipenuhi dengan semangat kerja akan merasa kekurangan waktu untuk berdebat dan berbeza, kerana seluruh energinya telah disalurkan dalam kerja-kerja yang produktif.

Dalam konteks untuk menjadi lebih produktif secara kolektif, Imam Syahid Hasan Al-Banna memperkenalkan prinsip ini: "Kita bekerja sama untuk hal-hal yang telah kita sepakati, dan kita saling toleransi untuk hal-hal yang kita perbezakan."·

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam




posted by scouser at 9:26 PM

 

~ Tuesday, May 11, 2004


Bismillaahirrahmaanirraheem...

Bolehkah Kita Lebih Bersopan Dalam Perbezaan? [Part 2]

Zaman Kematangan Apabila perbezaan merupakan suatu kenyataan, maka adalah sia-sia untuk bekerja menghilangkan perbezaan-perbezaan tersebut. Perkara utama yang harus dilakukan ialah dengan meletakkan agenda-agenda besarnya di tengah kepelbagaian perbezaannya, manakala manusia pula berada pada tingkat kematangannya yang baik. Kematangan itu dapat kita lihat pada tiga aspek; politik, ilmiah dan akhlak.

Kematangan politik bermaksud bahawa ummat kita mengetahui dan menyedari agenda-agenda besarnya, keutamaannya, waspada terhadap ancaman pihak musuh, bersedia mengorbankan kepentingan-kepentingan peribadi yang bersifat sementara demi kepentingan-kepentingan besar ummat yang bersifat strategik dan jangka panjang. Kita boleh mempelajarinya dari kisah Khalid bin Walid, misalnya. Beliau tentu sahaja sakit hati ketika Umar bin al-Khattab memecatnya setelah ia memimpin pasukan tentera Islam memenangi pertempuran dengan pasukan kuffar di dalam peperangan Yarmuk.

Tetapi ketika seorang provokator menggodanya untuk melakukan pemberontakan terhadap Madinah, dengan menggunakan pasukan yang setian padanya di sebahagian besar wilayah Syam, beliau terus menolak keras. Bahkan sebelum meninggal dunia, beliau sempat berkata kepada Abu Darda, bahawa ia berasa curiga kalau Umar memecatnya kerana dendam masa lalu. Tetapi setelah ia merenungi peristiwa itu lebih dalam, khususnya selama ia ditimpa musibah sakit, ia menyedari bahawa pemecatan itu semata-mata didasari oleh keikhlasan, cinta dan kasih sayang Umar kepada dirinya.

Tetapi apa komentar Umar setelah Khalid meninggal dunia? Beliau mengatakan: "Semoga Allah merahmati Khalid, sesungguhnya dia tidak seperti yang kita duga sebelumnya." Begitulah kesatuan masyarakat di zaman para sahabat terpelihara di tangan orang-orang yang kuat dan matang seperti mereka.

Kematangan ilmiah bererti bahawa ummat ini mempunyai tradisi pencarian kebenaran yang telus, dapat dilihat melalui konsep ijtihad, dan kerananya mereka tidak akan pernah mengatakan sesuatu tanpa landasan ilmu pengetahuan, senantiasa mencari kebenaran dan bukan kemenangan dalam perdebatan, bersiap sedia mengalah untuk kebenaran dan tidak membiarkan hawa nafsunya memenangkan keangkuhan, mahu menghargai fiikiran orang lain dan bersedia mendengar, mengetahui kelemahan dirinya dan mengakui kehebabatan orang lain.

Lihatlah bagaimana tradisi ilmiah itu di kalangan para pendiri mazhab. Imam Syafi'i misalnya, suatu hari ketika menunaikan solat subuh di masjid Abu Hanifah di Kufah. Ketika itu, beliau tidak membaca qunut kerana di dalam mazhab Hanafi tidak disunatkan untuk membaca doa qunut. Padahal di dalam mazhab Imam Syafi’I, membaca doa qunut adalah sunat. Ketika hal itu dipersoalkan kepada beliau, beliau hanya mengatakan: "Kerana aku ingin menghargai laki-laki yang membangunkan masjid ini."

Di tangan ulama-ulama besar yang ikhlas dan memiliki kedalaman ilmu seperti itulah kita menyaksikan bagaimana perbezaan pendapat dalam fiqh telah menjadi sumber kekayaan di dalam perbendaharaan ilmiah kita, dan keragaman-keragaman itu berubah menjadi faktor produktivi yang memacu laju bagi pertumbuhan peradaban Islam. Tetapi fanatisme mazhab mulai tumbuh setelah ulama-ulama besar itu meninggal dunia, dan muncullah ulama-ulama kecil, yang hanya boleh bertaqlid dan tidak mampu melakukan ijtihad sendiri, yang hanya memiliki ilmu yang berbentuk “ala kadar” tetapi bersikap seperti seorang ulama besar. Suatu ketika di dalam sejarah Islam, fanatisme mazhab itu telah menyebabkan sampai pada tingkat dimana mengharamkan pernikahan antara mazhab.

Dan inilah musibah kita saat ini, dimana mimbar-mimbar fatwa dikuasai oleh ulama-ulama kecil, yang mana Syeikh Muhammad Al-Ghazali melukiskan seperti ini: "Ia berangkat meninggalkan rumahnya pada hari Jumaat, dan mulai belajar pada hari Sabtu, lalu kembali lagi ke rumahnya pada Ahad, tapi mulai berfatwa pada pagi Isnin." Di tangan mereka masalah kecil menjadi sebab persengketaan selama puluhan tahun, orang-orang Islam yang sama-sama bersyahadat dan sama-sama solat lima waktu serta sama-sama berpuasa di bulan Ramadhan atau bahkan bertemu di depan Kaabah, saling mengkafirkan antara satu sama lain.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam

posted by scouser at 9:39 PM

 

~ Sunday, May 09, 2004



Bismillaahirrahmaanirraheem...

Bolehkah Kita Lebih Bersopan Dalam Perbezaan? [Part 1]

Sebuah Tawaran Kepada Semua Manusia Dalam Pelbagai Bangsa

Perbezaan di antara ummat kita, dalam berbagai bentuk dan skalanya, memang mempunyai akar sejarah yang panjang, selain kerana ia memang dimungkinkan oleh pelbagai muatan ajaran Islam yang lebih terbuka. Perbezaan-perbezaan itu tampaknya harus diakui sebagai sebuah keniscayaan, atau sebuah kenyataan yang tidak dapat kita hindari.


Sejarah menunjukkan, perbezaan-perbezaan dalam pandangan-pandangan aqidah telah melahirkan pelbagai mazhab. Antaranya Ahlussunnah Wal Jamaah yang terbesar, ada Syi'ah dengan berbagai aliran lagi di dalamnya, ada aliran Mu'tazilah, ada Khawarij dan sebagainya.

Sementara itu, perbezaan dalam pandangan-pandangan hukum atau fiqh, seperti yang telah kita ketahui, juga melahirkan berbagai-bagai mazhab. Ada mazhab Hanafi yang tertua yang sebahagian besar pendukungnya tersebar di kawasan Asia Tengah, Turki dan Syam, ada mazhab Maliki yang sebagian besar pendukungnya tersebar di kawasan Afrika, ada mazhab Syafi'i yang sebahagian besar pendukungnya tersebar di kawasan Asia Tenggara,

Mesir dan lainnya, ada mazhab Hanbali yang sebagian besar pendukungnya tersebar di kawasan Teluk dan Syam. Sebenarnya masih banyak lagi mazhab fiqh lainnya tetapi tidak semahsyur keempat-empat mazhab tersebut.

Dalam arena politik, perbezaan dalam tubuh ummat mulai tampak sejak wafatnya Rasulullah s.a.w. dalam peristiwa pemilihan khalifah sebagai pengganti baginda. Kemudian disusuli oleh peristiwa pembunuhan Uthman bin Affan, konflik antara ‘Ali dan Mu'awiyah, hingga munculnya khilafah Umayyah yang berasas pada keluarga, dan diikuti kemudiannya oleh khilafah-khilafah sesudahnya.

Bahkan perbezaan dan konflik yang terjadi di antara sesama sahabat Rasulullah s.a.w. itulah yang kemudiannya menyedarkan ramai para ulama akan maksud firman Allah S.W.T dalam surah Al-Hujurat:

"Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mu'min berperang maka damaikanlah antara keduanya, jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain, maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali, kepada perintah Allah; jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil." (Al-Hujurat: 9)

Perbezaan bukan hanya milik ummat Islam. Perbezaan adalah takdir yang ditetapkan untuk seluruh ummat manusia. Perbezaan adalah sesuatu fitrah dalam kehidupan manusia. Bahkan sejak pertelagahan antara Qabil dan Habil berakhir dengan konflik, dan konflik itu diaudahi dengan pembunuhan Habil oleh Qabil, dan pembunuhan menjadi dosa besar pertama anak cucu Adam. Dalam sejarah ummat kita, perbezaan-perbezaan itu umumnya terjadi dalam ketiga aspek ini; aqidah, fiqh dan politik. Sebahagian dari perbezaan itu berakhir dengan konflik, dan sebahagian dari konflik itu disudahi dengan peperangan.

Perbezaan ini bersifat biasa dalam tubuh ummat kita, tetapi cara menyelesaikan perbezaan-perbezaan itu, antara yang berakhir dengan konflik dengan yang tidak disudahi dengan konflik, antara konflik yang berakhir dengan kekerasan fizikal dengan konflik yang tidak berakhir dengan kekerasan fizikal.

Dalam konteks ini kemudian muncul sebuah pertanyaan sejarah: bilakah saatnya perbezaan itu tidak berakhir dengan konflik? Dan bilakah saatnya konflik itu tidak mencapai intensif yang tinggi dan kerananya tidak berakhir dengan kekerasan fizikal? Apakah yang menyebabkan perbezaan itu tidak berakhir dengan konflik, dan konflik itu tidak berkesudahan dengan kekerasan? Apabila kita berhasil menjawab pertanyaan sejarah itu, kita mungkin boleh menjawab sebuah pertanyaan yang agak normatif:

bolehkah kita membuat perbezaan itu berkesudahan pada kesepakatan dan tidak mengubahnya menjadi sebuah konflik? Atau mampukah kita tetap bekerja sama sementara perbezaan itu tetap ada? Atau bolehkah kita melampaui perbezaan-perbezaan itu untuk menangani secara bersama agenda-agenda besar kita? Atau bolehkah kita bekerja sama dalam hal-hal yang kita sepakati dan saling bertoleransi dalam hal-hal dimana kita berbeza?

Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam.Wassalam


posted by scouser at 10:18 PM