~Eratkan Ukhuwah Gerakkan Islah~

 

~ Saturday, September 04, 2004



Bismillaahirrahmaanirraheem...

Seni Islam Seni Yang Menyuburkannya

Seni adalah cara manusia mengekspresikan diri. Ia mungkin bersifat subjektif atau objektif. Subjektif dalam pengertian karya itu lahir dari individu itu sendiri atau ekspresi yang meng-ungkapkan pengalaman peribadinya. Tetapi seni boleh juga menjadi objektif apabila ia menggambarkan sesuatu secara berterusan seperti apa yang yang dilukiskannya. Perbezaannya ialah objek itu dipindahkan dalam bentuk lukisan, muzik, nasyid, puisi, cerita, filem atau teater.

Persoalan subjektif dan objektif sering menjadi perdebatan dan kebiasaannya akan berakhir dengan pandangan yang berbeza. Setiap pandangan atau fikiran yang dilontarkan bersifat relatif. Akhirnya lahirlah seni yang mempunyai pelbagai tujuan sehingga melampaui batas moral dan tatasusila kemanusiaan yang sebenar. Segala-galanya dibolehkan jika alasannya seni. Seni yang hanya berpandu arahkan nilai yang amat rapuh dan longgar. Bagaimana pula Islam melihat seni? Adakah seni dibenarkan dalam Islam?

Seni Islam mempunyai noktah dan tujuan yang jelas iaitu sebagai manifestasi beribadah kepada Allah.

Menurut Islam, seni tidak boleh diklasifikasikan kepada subjek atau objek semata-mata. Ia harus dilihat sebagaimana Islam sendiri memandang sesuatu. Ia tidak dilihat pada satu sudut tertentu tetapi pada sesuatu yang menyeluruh. Selari dengan kehidupan yang telah ditentukan oleh Allah yang dimuatkan dalam firman-firman-Nya (al-Quran). Cara praktikal atau amalinya pula melalui teladan kehidupan Rasulullah s.a.w. Oleh itu, seni Islam mempunyai noktah dan tujuan yang jelas iaitu sebagai manifestasi beribadah kepada Allah. Manakala kandungannya pula seiring dengan nilai-nilai Islam.

Berdasarkan tujuan dan kandunganm seni Islam, maka setiap seniman Muslim mestilah memahami nilai Islam terlebih dahulu sebelum menguasai sesuatu tentang seni. Dalam ertikata lain, nilai Islamlah yang akan menjadi rujukan keseniannya. Seorang seniman yang melahirkan karya seni, tidak terlepas dari pengalaman dan kehidupan yang dijalaninya. Oleh itu, jika ia menjalani nilai Islam secara baik dan menyeluruh, maka karya seni yang dihasilkan pasti memancarkan roh keIslamannya.

Apabila kehidupan seorang seniman diwarnai dengan nilai kemaksiatan, lahirlah pula karya-karya seni jahil yang menuju ke arah kemungkaran. Keadaan ini kerap berlaku di dalam dunia seni, terutamanya di Barat. Tetapi sayangnya, seniman Muslim di dalam proses berkarya seringkali kehilangan arah apabila mereka turut mengiktu jejak langkah, acuan dan teladan Barat. Ini berlaku kesan daripada mengagungkan Barat. Sehingga mereka tidak merasa sensitif dalam melihat perkembangan seni di Barat. Mereka tidak pernah menghiraukan adakah nilai seni itu selari dengan kehendak Islam atau tidak. Keadaan ini bertambah buruk apabila bilangan seniman Muslim yang berkeinginan memahami Islam secara baik dan menyeluruh boleh dihitung dengan jari.

Seni Islam

Seni Islam, umumnya dikenali dalam bentuk sastera, kaligrafi dan seni bina. Namun dalam beberapa tahun kebelakangan sesuai dengan perkembangan dan marakya Islam di merata penjuru dunia, umat Islam mampu mengorak langkah ke hadapan iaitu melalui filem dan teater Islam.

Ini menunjukkan bahawa seni tidak lepas dari kehidupan manusia. Seni bagi manusia sebagai satu sentuhan dalam hidupnya sehingga mengalir dan kembang pada sumbernya iaitu Islam. Islam telah banyak menjelaskan tentang nikmat dan keindahan ciptaan Allah untuk selalu disyukuri.

Kebebasan Seni

Perkembangan seni sering menyimpang pada perkembangan yang negatif. Ia mungkin bertentangan dengan moral dan kaedah agama atau nilai Islam. Seni dikenali sebagai kebebasan sedangkan kebebasan itu sendiri tidak mempunyai pengertian yang jelas. Pada hakikatnya manusia selalu bergantung kepada sesuatu meskipun ia menafikannya. Ini bermakna apabila seorang semakin menafikan agama, pada hakikatnya ia bergantung kepada yang lain, iaitu hawa nafsu. Allah S.W.T berfirman, "Sedangkan orang yang mengikut hawa nafsunya bermaksud supaya kamu berpaling sejauh-jauhnya (dari kebenaran)". (Surah al-Nisa' : 27).

Fitrah manusia sangat menyintai kebenaran dan bersih daripada kekotoran hawa nafsu.

Apabila diri dikuasai oleh hawa nafsu, manusia tidak akan lepas dari kehidupan yang serba tidak menentu. Makin dituruti hawa nafsu, seseorang semakin mengalami keadaan yang tidak menentu dalam hidupnya. Jika hawa nafsu dijadikan ikutan, ia akan menenggelamkan kita pada penderitaan yang paling dahsyat, terpesong dari sebuah kehidupan yang kita jalani ini. Kadangkala ia boleh berakhir dengan tragik, seperti yang dialami seniman di Barat dan Amerika.

Selanjutnya, karya yang lahir juga tidak ada bezanya dengan sebuah seni yang bersifat katarsis (kelegaan emosi daripada ketegangan dan pergolakan batin), di mana secara psikologi ia menjadi satu bentuk terapi bagi dirinya. Namun hal itupun, tidak akan membantunya. Bahkan ia akan menggerakkan lagi kekuatan hawa nafsunya. Lahirlah seni yang bersifat buatan yang hanya merupakan sesuatu sensasi atau keanehan dan menjadi "akhlak" rekaan. Dalam Islam, seni adalah sebuah keindahan. Ia lahir daripada sebuah kesedaran tentang kesempurnaan dan kekuasaan Allah semata-mata. Ini jelas, seperti yang terakam dalam Surah al-An'am: 99;

"Dan dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan segala macam tumbuh-tumbuhan, maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang hijau, Kami keluarkan dari tamanan yang hijau itu butir yang banyak dan air mayang korma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai dan kebun-kebun, anggur dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya diwaktu pohonnya berbuah. Dan (perhatikanlah pula) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman".

Begitu juga dengan nilai kebenaran yang mutlak hanya datang dari Allah semata-mata. Ini menjadi suatu tanda bagi manusia untuk melaksanakan amal makruh nahu munkar dalam apa jua bidang yang diceburi. Pergantungan manusia terhadap Allah akan memberi ketenangan dan kebahagian yang bersemadi dalam sanubarinya. Pergantungannya pada Allah dalam realiti kehidupan ini akan lebih menyakinkan. Ia akan menemukan mata air kebahagian yang mengalir dalam kehidupannya.

Pergantungan dalam pengertian ini, adalah taat dan patuh atas perintah dan larangan-Nya. Allah S.W.T berfirman, "Katakanlah, jika kamu (benar-benar) menyintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu". (Surah Ali Imran : 31).

Teater Islam

Teater adalah sebuah persembahan yang menyuarakan idealisme dan diwarnai dengan nilai estetika sehingga mampu dinikmati dan dirasai oleh penontonnya. Bahkan, hingga mampu menyentuh kalbunya. Kemudian ia akan berkembang dan berasimilasi dengan peribadi seseorang dalam kehidupannya sehingga dapat mempengaruhi keperibadiannya dengan meresap dan mengubah menjadi sebuah sikap sebagai dasar kehidupannya.

Untuk ini, teater tidak selalu bergerak pada tokoh dan karakter pelakon tetapi pada kekuatan kata-kata dan sikap pelakon terhadap apa yang disampaikan. Oleh itu, kekuatan sebuah pertunjukan bukan hidup dalam pertunjukan sahaja. Yang penting ia hidup dalam realiti yang sebenar, seperti apa yang disampaikan atau dipertunjukkan. Jika pertunjukan itu merupakan sebuah pertunjukan yang berdasarkan pada nilai Islam, maka yang menjadi pegangan para pelakon dan penontonnya merupakan sebuah kesepakatan yang dipatuhi oleh kedua belah pihak.

Bagi mencapai tujuan dan matlamat ini, para pelakon dan pengarah perlu mempunyai kesatuan kefahaman. Terutama tentang dialog yang mesti digunakan adalah dialog yang bertitik tolak pada nilai Islam. Ertinya, apa yang ingin disampaikan atau dipentaskan setidak-tidaknya sesuatu yang telah dilakukan atau menjadi komitmen para pelakon dan pengarahnya. Ini juga tidak terlepas daripada kehidupan yang dijalaninya sebagai seorang Muslim. Sekaligus pertunjukan itu menjadi tempat yang dapat menggerak dan membangkitkan kesedarannya terhadap nilai Islam. Oleh itu, teater Islam adalah proses menghidupkan Islam di dalam peribadi para pelakon dan pengarah dan diri para penontonnya sehingga pertunjukan itu menjadi sebuah kerja dakwah yang amat berkesan.

Sebuah Prinsip

Bagaimana pula dengan nyanyian, puisi, cerpen, seni rupa (lukis, rekabentuk, tenunan, karya dan seni binaI serta filem? Pada dasarnya, setiap karya seni sebaik-baiknya mempunyai keselarasan antara matlamat yang disampaikan dengan kehidupan seharian sehingga Islam dapat tumbuh dan berkembang di dalam diri setiap Muslim. Karya dan sikap sebagai seorang Muslim akan selari dengan apa yang diyakininya, tidak ada percanggahan antara karya dan sikap senimannya.

Maka, sekali lagi Islam selalu menekankan pada "kesempurnaan" sebagai umat islam atau sebagai seorang Muslim yang baik.

Dari sini jelaslah bahawa seni Islam mempunyai dasar yang jelas dalam melahirkan proses kreatif di dalam berkarya. Karya seni Islam sentiasa memberikan arah tujuan kehidupan manusia yang lurus sesuai dengan fitrah manusia yang berlandaskan pengabdian, kerana Islam mengenal adanya akhirat setelah dunia. Seperti sebuah hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Ibn Majah dan Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w bersabda kepada Umar bin al-Khattab yang ketika melihatnya mengenakan pakaian yang baru, "Kenakanlah pakaian baru; hiduplah secara terpuji dan matilah sebagai seorang syahid dan Allah memberimu kesenangan hidupn di dunia dan akhirat."

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 9:53 PM

 

~ Friday, September 03, 2004

Bismillaahirrahmaanirraheem...

Alhamdulillah,segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam kerana limpah kurnia dan inayahNya masih lagi dikurniakan dua nikmat yg terbesar iaitu iman dan Islam.Kali ni Insya Allah aku akan citerkan bagaimana aku spend cuti summer.Dimulai dgn tour UK,tp tak pegi sume tempat la.Cadangnya nak pi tahun lepas,tp mak ayah tak kasi sbb takut tak dpt balik semula ke US.Maka terpaksala ditunda ke summer ari tu.Alhamdulillah aku pi ngan pitman,housemate aku.Kitorang bertolak dari Indianapolis pada hari Sabtu bersamaan 12 Jun.Pastu transit kat Atlanta and straight ke Manchester Airport.

It was a memorable moment for me.11 tahun aku meninggalkan bumi UK ni.Aku balik semula ke mesia on 28 September 1993.Mmg sedih gile nak tinggalkan UK time tu sbb dah ada ramai kawan.Masa memula sampai dulu meligan nak balik mesia tak tahan sejuk.Dah lelama tu rasa seronok plak sbb dah ramai kawan.So lps turun je dari flight kitorang kena pi check kat imegresen dulu.Pitman lepas,aku plak tersangkut.Berlagak tul omputih tu.Dia piki dia org sana dia leh tahan aku sesuka ati la.Aku pun lahir sana gak la,cuma tak apply citizenship je.Silap kecik je pun.Aku tak tau alamat kat mana aku nak stay kat UK tu.Mmg aku tak tau alamat umah mak cik aku sbb dia kata dia akan jemput.Aku ckp le,aku dah 2 kali balik mesia dan each time masuk balik ke US tak penah pun derang tanya alamat mana aku akan stay nanti.Masa memula dtg US dulu,mana tau nak duduk kat mana ye dak?Masa aku pi umrah 2 tahun lepas pun cam tu gak,takde pun derang tanya alamat mana aku nak stay.Pitman cuma ckp dia akan stay kat UMIST je.Aku pun ckp la aku akan stay kat Coventry.Dia nak alamat lengkap gak.Aku swing mamat ni kang.Ckp kasar plak tu.Weh,aku ni tourist la...mana leh kasar2.Kang aku saman kang.Pitman kat luar tu dah mencarut2 (aku rasala) kat mamat yg check aku tu.Pastu mamat tu tanya ada tak contact number relatives aku kat UK.Mujur mak cik aku kasi no phone suami sedara aku.Sementara mamat tu pi call suami sedara aku ni,terpaksa la aku duduk bersama-sama pendatang haram yg lain.Ada sorang mamat ni dari Pakistan boleh lepas masuk plane tanpa passport.Huhuhu...respect la.Macam2 manusia aku jumpa.Adeh sedihnya rasa,terpaksa la jd pendatang haram buat sementara waktu.Mujur derang tak suruh aku menyangkung sambil letak tangan atas kepala cam Indon kat mesia sana.Si suami sedara aku ni pun plak dia boleh tak sedar yg handset dia berbunyi.Waaaa...malangnya nasib aku.Pitman dah lama gile tunggu kat luar.Geram tul aku kat omputih ni,dah la dulu selamba haram je jajah Malaysia.Ni dia berlagak lagi.Last2 mamat tu buat announcement kat airport.Seb baik la kali ni suami sedara aku tu perasan nama dia disebut.Dia pi la kat counter tu tanya apa yg berlaku.Akhirnya lepas gak aku dari tahanan imegresen.Aku kuar je dari airport tu aku disambut dgn penuh meriah oleh suami sedara aku dan sedara aku.Perghhh...rasa cam baru lepas kuar dari tahanan ISA je.Huhuhu...mmg tak leh lupa sampai bile2.Sebenarnya aku cuak gak time tu.Kang buatnya dia hantar aku kat penjara di Cuba yg derang tahan org2 Al Qaeda tu kang,mau tak naya aku.

So pastu kitorang terus gerak ke coventry dan pitman plak stay ngan kengkawan dia kat UMIST,Manchester.Aku cadangnya nak stay sana,tp duit plak tak cukup.Nyaris2 aku nak jual laptop sbb takde duit.Huhuhu...pound sterling 2 kali ganda daripada USD,sakit gak la mata aku memula tgk kat papan tanda currency exchange tu.Alhamdulillah last2 sampai gak Coventry.Jumpa gak mak cik aku akhirnya.Penantian sejak 1999 dulu.Kalau aku dpt pi UK tahun lps sempat la jumpa arwah suami dia.Sedih gak bila terkenang tak sempat nak jumpa arwah suami mak cik aku.Kitorang mmg tak penah jumpa dia langsung sbb mak cik aku kawin kat sana.Borak2 jap,pastu aku tido sbb letih sangat.Bangun2 je dah masuk waktu asar,anak sedara aku bawa aku pi surau tak jauh dari umah sedara aku tu.Lupa plak nak kasi tau,mak cik aku tinggal sekali ngan sedara aku tu.Seharian aku tak dpt solat jamaah sbb duduk dlm flight.Alhamdulillah,tenang sungguh hati bila dpt solat jamaah ni.Sempat la bual2 ngan pak cik2 kat situ.Ada antara derang yg kenal ayah aku sbb ayah aku ada datang Coventry raya lps.Dia pi ngan mak n nenek aku sbb nak jenguk mak cik aku yg baru kematian suami.So ayah aku sempat la solat kat surau tu.Terkejut gak derang sbb muka aku ni lain sket daripada ayah aku.Malam tu aku kuar berdua ngan mak cik aku pi makan kat kedai pakistan.Cuak gak nak kuar sbb masa tu England baru je kalah ngan France masa Euro 2004.Esok tu aku tak ke mana sbb nak lepak2 ngan sedara n mak cik aku.

Hari Selasa baru la bermula journey aku di UK.Aku naik Virgin Train bertolak dari Coventry ke Southampton(Soton).Aku dgr program usrah derang kat sana agak aktif,so aku sesaje la nak pi tgk aktiviti derang tu.Bosan gak duk dlm train tu sbb journey aku memakan masa 2 jam lebih.Pastu ada delay lagi,mujur mak cik aku kasi aku pinjam handset dia.Sempat la aku call Muadz bagi tau dia aku lewat sampai.Masa dlm train tu ada sorang pak cik ni tgh buat keja depan aku.Aku ni jenis segan sket nak tegur org.Pueh la aku piki cam mane cara nak ajak pak cik ni berborak.Piki punya piki last2 dpt gak idea.Aku kuarkan sandwich yg mak cik aku bekalkan,pastu aku tanya dia nak sket tak.Bila aku kenang2 balik,aku gelak sensorang.Apa punya taktik nak ajak berborak daaa.Cam budak2.Tegur je la terus pak cik tu.Itula dia masalah dgn org yg malu tak bertempat ni.Borak punya borak,pak cik ni rupanya civil engineer jugak.So dia citer la zaman dia belaja dulu.Aku pun angguk2 la buat2 paham sbb accent derang ni pelikla yg teramat sangat.Aku start paham pun bila dia dah turun train.Aku try recall amende yg dia ckp td.Lelama tu baru la paham.Lambat gile pick up.Huhuhu...Akhirnya sampai la aku di bumi Soton.Aku nampak Muadz dah tercongok lama tunggu aku.Sian mamat ni.Pastu kitorang naik bas ke dorm dia.Pagi tu aku rehat dulu,zohor tu baru aku ikut Muadz pi surau.Masya Allah ramai tul melayu kat surau tu.Mmg betul la soton ni port group2 usrah.Seronok plak aku rasa.Derang terus jumpa and salam aku walaupun tak kenal aku.Yg aku pelik tu derang leh tau yg aku ni student US dtg ziarah ke UK.Mungkin Muadz dah bagi tau derang awal2 kot.Lepas asar plak,sorang abg ni bernama Riza ajak aku pi umah dia.Alhamdulillah,byk perkara ttg hal2 dakwah yg kitorang bincang.Seronok tul kalau aku dpt duk kat soton ni.Mlm tu plak kat surau,ada sorang brother ni tegur aku.

Brother: Assalamualaikum...ingat ana lagi tak?
Aku: Waalaikumussalam...sori la tak cam
Brother: Ni Muhannad anak brother Jamil kan?
Aku: Ya,betul la tu.Kita penah jumpa ke?
Muadz: Ni la ust fadhil,muhannad
Aku: Ehe,tak kenal la plak
Brother: Ana penah dtg umah enta kat seremban dulu.Ana ngajar adik enta kat as saidiyyah
Aku: (Adeh...malu seh.cam ne leh lupa plak ni.serius tak ingat)
Aku: Sori la ustaz ana tak cam ustaz la

Abis ustaz tu citer pasal dia ngan famili aku.Adeh,perit sungguh aku menanggung malu.Cam mane la aku leh tak kenal ustaz ni.Punya la panjang lebar tu citer kisah2 lama dia ngan famili aku.Aiyo,bertambah tebal la muka aku.Abis borak ngan ustaz,abg rafitz bawa aku balik ke dorm muadz.Malam tu mmg tido nyenyak senyenyaknya sbb letih berjalan keliling kampus.

Esok tu plak tetiba abg rafitz call muadz.Dia tanya ada plan nak ke mana2 ke ari tu.Muadz kata takde.Abg rafitz kata jgn pi mana2,kang dia dtg.Uish...nak bawa ke mana plak ni?Yg bestnya kitorang dah start jalan dlm keta pun abg rafitz still tanak kasi tau dia nak bawa kitorang pi mana.Ish,jgn dia jual aku kat pasar carboot sale sudah.Last2 Muadz dpt figured out yg abg rafitz nak bawa kitorang ke Lullworth.Tempat ni lawa gak la sbb kat tepi laut.Yg bestnya tempat ni tak jauh dari tempat askar training meriam.Boleh dgr la tembakan meriam sume.Ikut sejarahnya,Lullworth ni dulunya bersambung ngan tanah besar Eropah.Bila ice age,gelinciran berlaku dan berpisahlah Britain dari tanah besar Europe.So kesan2 gelinciran tu masih lagi boleh dilihat dgn jelas.Sbb tu la area ni takde pantai sbb dia cuma bertebing je.Tebing dia mmg tinggi masya Allah.Seram je bila jenguk ke bawah tu.Antara kesan sejarah yg dijumpai kat Lullworth ni adalah petempatan paleolitik,fossil,dan tulang2 dinosaur.Bukit kat sekitar Lullworth tu tinggi gak.Mentang2 la abg rafitz ni fit,abis mengah aku dibuatnya time mendaki tu.Pastu selisih ngan anjing plak.Dahla path dia kecik,kena la panjat tepi bukit tu.Org sume tgk pelik je,apasal mamat ni tetiba panjat tebing bukit.Huhuhu...nak ngelak dari anjing punya pasal.Bila dah sampai puncak bukit tu,abg rafitz ajak pi kat bukit lain plak.Weh,amende ni...jauh gile tu abg rafitz.Abg rafitz gelak je.Path ni mmg takde ending sbb kita leh jalan keliling England,Wales,dan Scotland.Sayup2 je nampak path tu.Sblm turun balik tu kitorang lunch kejap dgn bekalan yg Muadz bawa.Kitorang balik ke Soton je terus singgah umah ust fadhil sbb dia dah ajak semalam.Isteri dia takde kat umah sbb tgh buat thesis kat kampus.So kitorang la melayan anak dia yg kecik bernama khadijah tu.Cute gile anak dia.Sekali lagi kitorang lunch.Terpaksa la makan gak sbb ustaz dah sediakan.Ptg tu plak derang ada buat BBQ utk student mesian yg dah grad.Hai perut...nasib ko teramatla baik ari ni.Makan free memanjang je.Malam tu adalah malam terakhir aku kat soton.So aku berkumpul la ngan beberapa kenalan yg aku sempat kenal dan berborak panjang.Lps ni wallahu a'lam takut2 tak jumpa lagi,mana la tau kan.So esoknya aku balik ke Coventry jam 6 pagi ust fadhil yg hantarkan.

Dlm kepala aku terpiki cam mane nak pi Liverpool sbb takde sape yg nak bawa.Org kat sana pun takde yg aku kenal.Last2 aku plan,aku nak beli tiket train ke Liverpool bila dah sampai Coventry nanti.Rupanya Allah menghalang hasrat aku.Dlm 20 min nak sampai Coventry tu train aku terpaksa stop kat Lullington sbb ada kebakaran kat jalan ketapi.Huk aloh,cam mane ni.Aku mana reti nak cari bas ke Coventry.Alhamdulillah nasib aku baik sket sbb pihak railway station sedikan bas utk ke station ketapi yg berikutnya.Yang tak bestnya kena berebut plak nak naik bas.Adeh hai,nak dekat 6 jam aku stuck kat station tu.Last2 terpaksa la batalkan niat ke Liverpool utk ari tu.Akhirnya berjaya gak aku sampai ke Coventry.Aku turun dari train je aku terus cari bas no 48.Mak cik aku kata kalau nak pi umah dia tu kena naik bas no 48.Pastu tukar bas no 20 plak.So aku pun naik la bas no 48.Bila dah sampai next station aku pun turun la sbb nak tukar bas no 20 plak.Just nice je bas no 48 jalan,baru aku perasan bas no 20 takde dlm list bus stop ni.Alamak...aku salah turun tempat.Adeh,cam ne leh silap turun ni.Dah la aku tak tau pape kat Coventry.Aiyo cam mane aku nak balik ke umah mak cik aku ni.Nak naik teksi mahal gile.Last2 aku duk rehat jap.Tarik napas panjang2.Ok rehatkan minda dan piki slowly cam mane nak balik ni.Tgh aku dongak dagu aku terpandang handset yg mak cik aku kasi pinjam.Alhamdulillahhhhhh...ada pun solution.Aku call la mak cik aku.

Acik Arah: Haaa...ada apa call acik ni
Aku: Takde pape,saje je call tanya kaba
Acik Arah: Acik dlm kedai ni,kang jela call ek
Aku: Ehe,tak leh borak2 ke cik.Dah dua ari tak jumpa acik ni
Acik Arah: Aler,kang balik umah borak la
Aku: Ehe cik,sebenarnya along sesat ni...tak tau cam mane nak balik umah
Acik Arah: Hahahaa..apa la anak bujang Jamil ni,boleh tersesat plak dia.Cakap je la sesat awal2.Ni nak cover2 plak.Kamu kat mana tu? Meh acik pi amik
Aku: Kat depan kedai ICELAND ni ha...tah mane ntah
Acik Arah: Takpe,tunggu situ.Kang acik pi amik kamu

Last2 sampai pun umah bila mak cik aku dpt trace aku sesat kat mane.Pueh aku kena gelak dek anak2 sedara aku.Tak makan saman punya budak.Ceh.Esoknya pitman akan sampai dari Manchester.Aku rasa terpaksa la aku sambung cite ni minggu depan sbb dah ngantuk dah ni.Kalau nak tgk gambar2 sekitar Soton dan Lullworth leh la click kat sini.Gambar tempat lain aku akan post kemudian.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 11:04 PM

 

~ Thursday, September 02, 2004



Bismillaahirrahmaanirraheem...

FIQH AL HARAKAH

Biasanya apabila disebut perkataan fiqh, yang tergambar dalam pemikiran orang Melayu ialah hukum-hakam berkaitan dengan solah, zakat, puasa dan seumpamanya. Itulah yang selama ini difahami masyarakat.

Dalam ruangan ini kami tidak akan bercakap soal hukum sembahyang atau puasa, tetapi ingin mengemukakan persoalan gerakan atau usaha untuk menegakkan Islam sebagai satu sistem sama ada dalam konteks individu, keluarga dan masyarakat.

Untuk melaksanakannya kita perlu memahami Islam secara jelas serta cara, kaedah dan jalan untuk melaksanakannya. Itulah antara maksud Fiqh al- Harakah. Ada orang yang ikhlas bekerja dan terus bekerja untuk menegakkan din Allah ini, tetapi kadang-kadang tidak berasaskan kefahaman yang sepatutnya. Islam berasaskan ilmu. Sumbernya ialah al-Quran dan al-Sunnah.

Al-Quran dan al-Sunnah sempurna dan lengkap dengan panduan atau petunjuk bagi semua aspek, lebih-lebih lagi berkaitan dengan cara dan manhaj untuk menegakkan din Allah SWT. Rasulullah SAW telah melaksanakan usaha ini dari awal hingga selesai apabila tertegaknya Islam dalam bentuk yang syamil dan kamil

"Hari ini telah Kusempurnakan bagi kamu din kamu ..." (Al-Maidah : 3)

Rasulullah SAW adalah orang yang dipilih khusus oleh Allah untuk menunjukkan model pelaksanaan Islam yang sebenar di semua peringkat.

Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan yang paling baik

Sejauh manakah kita merasai atau menyedari bahawa Rasulullah SAW adalah contoh atau model untuk membangunkan Islam? Bukankah Rasulullah SAW datang semasa dunia diliputi jahiliah dan memulakan usaha dakwah dan tarbiah serta segala amal yang berkaitan bagi menegakkan din Allah SWT. Apakah kita tidak terasa itu sebagai model yang perlu kita pelajari dan contohi? Atau apakah kita masih terikat dengan tradisi yang melihat Rasulullah sebagai model dalam aspek-aspek tertentu sahaja?

Sebenarnya Rasulullah SAW adalah model dalam semua hal dan meliputi setiap detik dan langkah-langkah baginda. Kami yakin kalaulah al-Quran dan al-Sunnah diambil secara sempurna seperti kefahaman, keyakinan dan pelaksanaan sahabat-sahabat baginda, sudah tentu dengan izin Allah, Islam akan bangkit dan tegak semula di atas muka bumi ini.

Malangnya dikalangan orang-orang Islam sendiri masih ramai yang tidak memahami hakikat ini, apatah lagi untuk yakin dan menghayatinya. Namun Allah Maha Berkuasa dan tahu bagaimana hendak menjaga agamanya. Oleh itu pada setiap zaman akan sentiasa ada satu taifah (kumpulan) yang terus berusaha menegakkan dinn Allah SWT sehingga Allah sendiri menetukan kesudahannya.

Berdasarkan hakikat ini, kami memohon agar Allah memberi kekuatan kepada kami dan meyeru pembaca sekalian berusaha memasukkan diri ke dalam golongan yang sentiasa berjuang, berusaha menegakkan Islam dalam peribadi, masyarakat dan negara sehingga Allah sendiri menentukan hasilnya.

Sesungguhnya apa yang kita lakukan adalah untuk diri kita sendiri, masyarakat dan seterusnya generasi akan datang. Allah SWT tidak memerlukan sesuatu daripada makhluk-Nya, tetapi makhluk yang memerlukan sesuatu daripada Allah SWT.

Antara tuntutan awal yang perlu kita lakukan ialah berusaha memahami Islam yang betul seperti yang diturunkan oleh Allah SWT, bukan Islam yang difikirkan atau dirasai masyarakat tertentu.

Marhalah al-Takrif atau peringkat kefahaman Islam yang betul dan menyebarkannya secara tepat adalah pintu besar yang sangat penting ke arah melahirkan amalan dan tindakan seterusnya.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 9:04 PM

 

~ Wednesday, September 01, 2004



Bismillaahirrahmaanirraheem...

Harry Potter dan Muhammad Al Fatih

Barisan panjang muda-mudi pada kaunter-kaunter penjualan tiket hari pertama penayangan filem "The Lord of the Rings" atau pada pelancaran buku "Harry Potter" adalah pemandangan biasa di negeri-negeri Barat. Fenomena yang sama terjadi juga di negeri kita, seperti yang baru-baru ini dimuakan di dalam media massa.

Harry Potter ... hampir semua remaja, bahkan dewasa, begitu mengenalinya. Bukunya laris bak pisang goreng. Filem-filem-nya sangat ditunggu-tunggu. Aksesorinya menjadi bahan koleksi para penggemarnya. Mereka hafal secara satu per satu, adventure tokoh yang bernama Harry Potter ini. Bahkan pernah dilaporkan di majalah Time, kacamata model Harry Poter, sangat disukai oleh anak-anak dan remaja di UK, dan saya yakin juga di negara-negara lain, termasuk negara kita. Believe it or not, bahkan ada sebuah keluarga yang memberi nama anaknya yang baru lahir Harry Potter .... kerana begitu kagumnya terhadap tokoh yang satu ini. Sedikit, bahkan boleh dikatakan hampir tidak ada, remaja kita yang tidak kenal dengan nama Harry Potter. Dan yang sedikit ini umumnya dikategorikan sebagai kuno, tidak sosial, dan ketinggalan zaman.

"...saya berkewajiban menemani dia membeli buku",jawab seorang Profesor. Walaupun hanya cerita rekaan, penulis buku Harry Potter sering menyelitkan falsafah hidup yang dapat membuat anak-anak lebih bijak, demikian alasan seorang Profesor seperti yang ditulis di detikhot.com.

Kalau alasannya untuk mencari falsafah hidup, tidak cukupkah Islam sebagai minhaaj al-hayaah (pedoman hidup) yang memberikan itu semua? Bila kemudian alasannya agar mampu menjadi manusia yang lebih bijak dan berakhlak, lantas apa maksud hadis Rasulullah SAW "Sesungguhnya aku diutus hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang manusia". Tidak cukupkah itu semua, sehingga kita mesti mengambilnya dari sumber-sumber lain, yang belum tentu seiring dengan tuntutan Islam.

Muhammad Al-Fatih .... siapakah dia? Jika pertanyaan ini diajukan ke 1000 remaja muslim, mungkin hanya 1 diantaranya yang tahu jawapannya. Dialah pemuda muslim yang dalam usia 23 tahun berhasil memimpin penaklukan konstantinopel (sekarang bernama Istanbul), yang merupakan pusat peradaban barat di abad pertengahan. Sang pemuda ini berhasil mengambil alih Konstantinopel dari tangan kerajaan Bizantium yang merupakan sambungan dari Roman Empire dan telah menguasai Konstantinopel lebih dari 10 abad [2].

Remaja Muslim sekarang lebih kenal dengan tokoh Harry Potter, daripada tokoh Muhammad Al-Fatih. Mahasiswa-mahasiswa muslim di negeri ini lebih mengenal dan mengagumi keterampilan Einstein, Louis Pasteur dan Aristoteles daripada keterampilan Khwarizmi yang mengasaskan sistem aljabar dalam dunia matematika [2,3], Ibn Sina (Avicenna) yang telah menulis buku "The Canon" yang telah menjadi buku rujukan utama di dunia kedokteran Eropa selama lebih dari 5 abad dan Ibu Rushd (Averroes) yang fikiran-fikirannya telah mempengaruhi ahli-ahli falsaah terkenal Eropa seperti Roger Bacon [2], padahal ilmuwan-ilmuwan muslim ini sangat dikenal di dunia barat.

Begitulah nasib muslim di negeri ini yang terkadang lebih 'kebaratan' daripada orang-orang barat sendiri. Lihatlah buku-buku yang teratur di rak dinding ruang tamu kita, berapa banyak dari buku-buku tersebut yang merupakan kitab tafsir, fiqh sunah dan buku-buku kisah para sahabat, lalu bandingkan dengan koleksi buku-buku semacam Harry Potter ...

Tangan kita dengan mudahnya mengeluarkan lembaran-lembaran duit dari dalam dompet untuk membeli buku seperti Harry Potter, majalah-majalah hiburan, buku-buku management dan psikologi modern, tetapi mungkin hanya saki baki wang yang dikeluarkan untuk membeli buku-buku Islam, menyumbang kegiatan keislaman, dan mengisi kotak amal di masjid-masjid.

Waktu yang kita gunakan untuk kegiatan-kegiatan keislaman pun biasanya waktu-waktu saki baki masa yang ada, saat kita sudah letih dan tak mampu lagi berfikir secara fresh. Terlalu naive rasanya bila kemudian kita masih bertanya mengapa umat (Islam) ini menjadi umat yang terbelakang, umat yang paling lemah, umat yang menjadi mangsa penindasan umat-umat yang lain.

[1] As-Sunnah sebagai Sumber Iptek dan Peradaban, Dr. YusufAl-Qardhawy.
[2] Almanac of World History, published by National Geographic.
[3] Time Magazine, 24 Desember 2001. Lainnya

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 7:10 PM

 

~ Tuesday, August 31, 2004



Bismillaahirrahmaanirraheem...

Wadah Wanita Islam: Wanita kita tadbir negara selaras zaman Rasulullah
Oleh Ruswati Hashim


Wanita, tempatnya di ceruk dapur. Wanita tidak boleh menjadi ketua. Mereka mesti menjadi pengikut lelaki. Demikian antara nilai yang menjadi pegangan sebahagian besar masyarakat Islam hingga perkara itu menjadi fitnah besar kepada din Islam.

Musuh Islam mengambil kesempatan itu untuk melemparkan tohmahan bahawa Islam adalah agama yang menindas kaum Hawa, merendah-rendahkan martabat mereka dan menganggap wanita adalah manusia kelas dua!

Persoalannya, benarkah begitu? Tulisan ini tidak akan menyentuh isu lain berkaitan wanita seperti hak dalam perkahwinan, harta pusaka dan kesaksian. Penulis hanya akan membincangkan skop sejauh mana Islam membenarkan wanita terbabit dalam sosiopolitik masyarakat dan negara.

Sebenarnya, menjadi hukum yang jelas bahawa ulama mengharuskan pembabitan wanita dalam soal pentadbiran, pengurusan dan sebahagian kepemimpinan negara.

Contoh nyata daripada sirah Rasulullah saw dan sahabat menjadi dalil kepada keharusan pembabitan wanita dalam pentadbiran masyarakat dan negara.

Kaum wanita pada zaman Rasulullah turut menyumbangkan saranan mengenai isu politik dan negara. Ummu Salamah, misalnya, pernah mencadangkan jalan keluar kepada Baginda dalam Peristiwa Hudaibiah ketika sahabat tidak bersetuju untuk kembali ke Madinah dan mengerjakan haji pada tahun berikutnya. (Bukhari, Kitab: Syarat, bab: Syarat-syarat dalam berjihad dan berdamai dengan musuh perang, jilid 6, muka 257, 269 dan 276 ). Begitu juga cadangan Ummu Sulaim kepada Rasulullah ketika Perang Hunain mengenai orang yang cuba lari daripada medan perang. (Muslim, Kitab: Jihad, Bab: Kaum wanita berperang bersama kaum lelaki, jilid 5, muka 196).

Dalam suasana kegawatan politik umat Islam selepas pembunuhan Saidina Uthman, kita dapati Saidatina Aishah turut membabitkan diri dengan pendapat dan tuntutan bersama sahabat lain, supaya pembunuh Uthman dihukum qisas. Malah, beliau turut dalam Perang Jamal melawan Saidina Ali (semoga Allah mengampunkan mereka!)

Demikian juga ketegasan, keberanian dan ketajaman lidah Asma' binti Abu Bakr ketika berhadapan dengan penguasa zalim Al-Hajjaj bin Yusuf As-Saqafi selepas mereka membunuh dan mensalibkan anaknya Abdullah bin Zubair. (Muslim, Kitab: Keutamaan-keutamaan, Bab : Kebohongan suku Thaqif dan kecurangannya, jilid 7, muka 190)

Kaedah usul mengatakan bahawa asal segala sesuatu adalah harus, selagi tidak ada dalil lain yang mengharamkannya.

Dalam konteks negara kita, tugas wanita mentadbir negara perlu dilihat dari dua sudut.

Pertama, penggubal undang-undang dan peraturan dan kedua, pelaksana atau pemantau undang-undang dan peraturan.

Mengenai penggubalan undang-undang, Islam tidak pernah melarang wanita menjadi penggubal undang-undang. Perkara sedemikian kerana penggubalan undang-undang memerlukan ilmu pengetahuan luas dan pemahaman mendalam terhadap tuntutan serta keperluan masyarakat.

Dalam hal ini, Islam memberi hak yang sama kepada lelaki dan wanita untuk mendapatkan ilmu. Dalam sejarah banyak ditemui wanita yang alim dalam bidang hadis, fiqh, sastera dan sebagainya.

Berkenaan soal pelaksanaan dan pengawasan, hal ini tidak lepas daripada tugas amar makruf dan nahi mungkar.

Pada pandangan Islam, lelaki dan wanita sama-sama berkewajipan menjalankan tugas ini. (Surah at-Taubah, ayat 71)

Menurut Dr Yusuf Qradhawi ketika menghuraikan ayat 34, surah an-Nis'a, menjelaskan bahawa pemilihan beberapa wakil rakyat wanita ke dalam Parlimen hanya bersifat minoriti dan majoriti mutlak masih di tangan lelaki.

Oleh itu, tidak boleh dikatakan bahawa pemilihan wanita ke Parlimen akan menjadikan mereka pemimpin lelaki.

Beliau juga menambah, ayat itu mengenai kepemimpinan lelaki ke atas wanita lebih cenderung kepada permasalahan kehidupan dalam keluarga. Ertinya kaum lelaki adalah ketua keluarga yang bertanggungjawab penuh terhadap keluarganya.

Ungkapan "dan kerana mereka telah menafkahkan sebahagian harta mereka" menunjukkan bahawa kepemimpinan yang dimaksudkan adalah terhadap keluarga.

Adapun kepemimpinan sebahagian wanita ke atas sebahagian lelaki di luar lingkungan keluarga, tidak ada nas yang melarangnya. Apa yang dilarang adalah kepemimpinan umum seorang wanita ke atas lelaki (pemimpin umat).

Sementara maksud sebuah hadis marfu' yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Abu Bakr bahawa tidak akan pernah berjaya satu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada seorang wanita adalah kepemimpinan umum ke atas umat secara keseluruhan.

Kalimat "urusan mereka" bererti urusan kepemimpinan dan ketua negara, tetapi jika kepemimpinannya untuk sebahagian urusan saja seperti dalam urusan fatwa, ijtihad, pendidikan, periwayatan hadis, pentadbiran dan seumpamanya, tidak ada larangan bagi wanita.

Malah, dalam menentukan keputusan pengadilan (hakim), Imam Abu Hanifah mengharuskannya, selagi tidak berkaitan dengan hudud dan qisas.

Sementara itu, ada sebahagian ulama fiqh salaf yang memperbolehkan kesaksian wanita dalam masalah hudud dan qisas seperti yang disebutkan oleh Ibnu al-Qaiyim dalam kitab ath-Thuruq al-Hukmiyah. At-Thabari dan Ibnu Hazm pula mengharuskan kesaksian wanita secara umum.

Ulama juga sepakat bahawa ada beberapa hal dalam masalah membuat hukum berkaitan wanita dan keluarga serta pelbagai hubungannya perlu ditangani oleh wanita. Tidak dapat tidak dan barang kali dalam beberapa hal, pandangan kaum wanita lebih tajam daripada lelaki.

Dr Yusuf Qardhawi memberi contoh ketika pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab, beliau mengambil pendapat wanita dalam beberapa perkara seperti tidak perlunya menetapkan bayaran maksimum mas kahwin dan tempoh seorang wanita boleh bersabar sewaktu ketiadaan suami kerana keluar berperang.

Apa pun, perlu diingatkan di sini bukanlah apabila wanita dibenarkan mentadbir masyarakat dan negara, mereka boleh bercampur dengan lelaki ajnabi tanpa syarat dan batas atau kegiatannya sampai merugikan suami, rumah tangga dan anak-anak. Begitu juga pembabitannya menyebabkan norma Islam berkaitan pakaian, gerak-geri dan pembicaraan diketepikan.

Sebaliknya semuanya hendaklah dijaga dan diperhatikan sepenuhnya tanpa kecuali

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 8:37 PM

 

~ Monday, August 30, 2004



Bismillaahirrahmaanirraheem...

Konsep kemenangan dalam Islam

Surah An-Nasr

1. Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan,
2. dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong,
3. maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.


Melihatkan kepada ayat yang serba ringkas ini, sebenarnya amat dalam pengajaran yang Allah perturunkan kepada para daie sebagai panduan perjuangan. Ayat ini mengajarkan satu konsep yang tidak terdapat pada agama lain. Konsep yang sepatutnya di amalkan dan dijadikan batu asas tarbiyah ruhi pada setiap pejuang.

Konsep ini adalah konsep meletakkan segala-galanya kepada Allah s.w.t. Konsep penyerahan diri dan roh kepada tidak lain melainkan kepada Allah. Hatta bila turun kemenangan sekalipun ianya tidak lain melainkan untuk Allah s.w.t.

Kerana itu sekiranya kita kaji secara mendalam ayat di atas:

"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan"

Pertolongan dan kemenangan bukannya datang dari usaha kita yang kuat. Bukan pula dari hakikat kita telah mebanting seluruh keupayaan dan mengerah segenap tenaga kita kepada mencapai kemenangan. Ini semua tidak akan berlaku melainkan kemenangan itu datangnya dari Allah.

Dengan menyedari hakikat yang serba ringkas tetapi bermakna ini akan membezakan diantara kemenangan dan kekalahan. Di antara kejayaan dan ketewasan. Di antara dijulang atau kecundang. Apabila para pejuang meletakkan hakikat dan menyedari maksud bahawa tidak ada yang dilangit dan dibumi ini melainkan kerana Allah, sesungguhnya dia telah membuang dunia di hatinya lantas menggantikan apa yang terkandung di dalam hatinya itu dengan pengertian bahawa hanya Allahlah tempat kembali pergantungan dan pengharapan. Kemenangan hanya akan datang bila Allah telah redha dengan tahap keimanan dan usaha kita. Gagal menyedari hakikat ini bermakna kita telah menggagalkan diri untuk mendapat pertolongan Allah.

Berkait rapat dengan perkara ini Allah selanjut berfirman:

"dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong"

Apa lagi kejayaan selain dari melihat manusia masuk ke dalam agama Allah dengan berbondong-bondong. Tambahan, apakah tidak ada rasa barang sedikit pun rasa bangga bahawa kemasukan mereka ke dalam Islam adalah kerana usaha kita. Tidak ada rasakah?

Sekiranya ada rasa demikian, maka ingatlah akan firman Allah seterusnya:

"maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat."

Mengapa Allah menyuruh kita bertasbih dan bertaubat? Pelik! Bukannya kita berbuat dosa. Malah kita sebenarnya berbuat perkara yang baik - menyeru manusia masuk Islam. Mengapa dianjurkan selepas solat untuk kita beristifar kepada ALlah swt. Kenapa? Apakah tidak cukup bahawa apa yang kita lakukan tadi adalah hakikat ibadat yang maha tinggi?

Maka sahabat, sekiranya ada pemikiran dan ego demikian di dalam hati kita tatkala Allah berikan kemenangan, maka itulah dosa yang Allah minta kita bertaubat keatasnya.

konsep kemenangan pada Islam bukannya hip hip horrey!, bukannya berpesta, bukannya dengan mengangkat menjulang tetapi konsep kemenangan Islam ialah dengan sujud syukur, dengan beristifar, dengan bertasbih, bertahmid, bertakbir bertahlil memuji Allah swt. Inilah konsep kemenangan yang sebenar.

Dan saudara, selagi kita tidak menyediakan para daie untuk memahami konsep ini, maka lagi jauhlah kemenangan tersebut. Dan sudara, bagaimana kita hendak mengharapkan para daie memahami konsep sebegini dalam dan sukar melainkan dengan usaha tarbiyah yang berkesan dan berterusan.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 7:38 PM

 

~ Sunday, August 29, 2004



Bismillaahirrahmaanirraheem...

Merawat Futur

Membaca dan merenung kandungan al-Qur'an

"Dan Kami turunkan al - Qur'an sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat kepada orang-orang yang beriman" (QS al-Isra:82).

Ada dua perkara yang dianjurkan oleh Ibnul Qayyim bagi mengatasi kemalasan yang muncul dari kekerasan hati. Pertama, alihkan hatirnu dari dunia, lalu tempatkan ia di akhirat. Kedua, hadapkan seluruh hatimu pada pengertian-pengertian al-Qur'an, memikirkan dan memahami apa yang dimaksudkan dan mengapa ia diturunkan serta amati semua ayat-ayat Nya. Jika suatu ayat diturunkan untuk mengubat hati, maka dengan izin Allah hati itu pun akan sembuh.

Merasakan keagungan Allah

Mengamati dan memikirkan nas-nas al-Qur'an dan juga ayat-ayat (tanda-tanda kekuasaan) lainnya merupakan sarana yang paling bermanfaat untuk mengubati jiwa yang dilanda lemah iman. Antara ungkapan indah dari lbnul Qayyim Rahimahumullah

ketika mensifatkan keagungan Allah: "Dia yang mengatur urusan semua hamba, memerintah, melarang, mencipta, melimpahkan rezeki, mematikan, menghidupkan, memuliakan, menghinakan, menjadikan malam dan siang, menggantikan hari demi hari di antara manusia, membalikkan kekuasaan dan menggantikannya dengan kekuasaan yang lain, urusan dan kekuasaan-Nya berlaku di bumi serta diantara keduanya, di lautan dan di daratan. Ilmu Nya meliputi segala sesuatu dan mampu menghitung segala sesuatu. Pendengaran Nya mencakupi berbagai suara dan tak ada yang menyerupai Nya. Bahkan Dia dapat mendengar suara hiruk pikuk yang saling bertindih dengan berbagai perbezaan bahasa, pendengaranNya tak akan diganggu oleh pendengaran yang lain, tidak menjadi kacau bilau kerana banyak masalah. Tidak pernah jemu meskipun terus-menerus diajukan secara bertubi-tubi dengan permintaan orang-orang yang mempunyai keperluan. Penglihatan-Nya meliputi segala sesuatu yang tampak, sehingga Dia mampu melihat langkah-langkah kaki semut hitam di tengah-tengah padang pasir yang luas terbentang di tengah malam gelap gulita. Yang ghaib dapat disaksikan dan yang tersembunyi nampak jelas bagi-Nya. Firman Allah:
"Semua yang ada di langit dan di bumi selalu meminta kepada Nya. Setiap waktu Dia dalam kesibukan. " (QS ar-Rahman: 29).
Mendalami ilmu syar'i Maksudnya ialah ilmu yang mampu menimbulkan rasa takut kepada Allah dan menambah beratnya timbangan iman. Dengan mengetahui ilmu-ilmu syari'at, seseorang akan mengetahui apa yang terjadi sesudah mati, kehidupan di alam kubur, ketakutan dahsyat di padang mahsyar, nikmat yang dikecapi di syurga, azab pedih di neraka, hikmah syari'at, masalah halal dan haram, perjalanan hidup para anbiya' dan pelbagai perkara yang tak terhitung manfaatnya.

Allah SWT berfirman:"Katakanlah, adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" (QS az-Zumar:9).

Mencari persekitaran dan lingkungan yang soleh

Keadaan seseorang banyak ditentukan oleh persekitarannya. Lingkungan yang baik akan meningkatkan keimanan. Di sanalah seseorang akan mendapat teguran dan bimbingan tatkala melakukan kesalahan. Di sana pula dirasakan suasana berlumba dalam melakukan ketaatan, zikrullah, turunnya rahmat dan datangnya ketenteraman hati. Demikianlah mekanisme yang hidup pada zaman para salafushalih. Mereka gemar dan sentiasa bersemangat ketika bertemu dengan saudaranya mengadakan pertemuan-pertemuan untuk majlis zikrullah , sehingga iman mereka terus bertambah. Muadz bin Jabbal RA pernah berkata kepada seorang laki-laki: "Duduklah bersama kami untuk beriman sejenak (untuk memperbaharui iman)"

Memperbanyakkan amal soleh

Amal soleh mampu memberikan pengaruh yang amat ketara terhadap hati dan jiwa manusia. Apabila kita melakukan kebaikan dan apa sahaja amal soleh pasti jiwa merasa kedamaiannya. Namun terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan untuk melakukan amal soleh. Antaranya adalah:

Pertama, berusahalah sesegera mungkin melaksanakannya. Allah SWT berfirman: "Bersegeralah kamu kepada ampunan Rabbmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. ": (QS Ali Imran: 33).

Kedua, berusaha melakukan amal soleh secara berterusan. Dalam sebuah hadis Qudsi, Rasulullah SAW berkata tentang Rabbnya: "Hamba-Ku sentiasa bertagarrub kepada Ku dengan mengerjakan amalan nafilah (sunat sehingga Aku mencintainya. " Kalimat "ma yazalu" yang dinyatakan dalam hadis di atas menunjukkan pengertian secara berterusan.

Ketiga, menjaga berterusannya amalan tersebut hingga tidak menimbulkan rasa bosan. Di antaranya caranya adalah bersikap variatif dalam melaksanakan ibadah, menjaga keseimbangan dan tidak terlalu berlebihan. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya dien itu adalah mudah, dan tidaklah dien itu dikeraskan oleh seseorang melainkan justeru ia akan dikalahkan, maka berbuatlah yang lurus dan sederhana. "

Keempat, mengulang amalan yang tertinggal dan yang terlupa. Sikap ini penting bagi memastikan kita sentiasa mengikat diri dengan amal soleh. Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang tertidur hingga ketinggalan bacaan wiridnya dan sebahagian malam atau sebahagian bacaan wirid, lalu ia membacanya lagi antara solat subuh dan solat Zohor, maka ditetapkan baginya seakan-akan dia membacanya pada malam itu. "(HR, an-Nasa i).

Kelima, menumbuhkan perasaan pengharapan agar segala amal yang dilakukan diterima, dan khuatir amalannya ditolak oleh Allah SWT. Pengharapan ini tentulah disertai dengan usaha dalam amal-amal soleh.

Tumbuhkan rasa takut su'ul khatimah (kesudahan yang buruk)

Takut kepada su'ul khatimah akan mendorong seorang muslim untuk taat dan memperbaharui iman di dalam dada. Pernah terjadi pada zaman Rasulullah SAW seorang laki-laki dari pasukan kaum muslimin yang melakukan serangan demikian hebat. Namun, tatkala masalah tersebut diberitahu kepada Rasulullah, beliau bersabda: "Dia benar-benar menjadi penghuni neraka..... Mengapa pula ya, Rasulullah?". jawapannya ditemui kemudian. Ternyata ketika berada di medan peperangan tersebut, ia menderita luka parah dan menanti ajal yang tak kunjung tiba. Akhirnya, kesabarannya hilang dan orang tersebut mengambil pedang untuk membunuh dirinya sendiri.

Banyak mengingati Mati

Mengingati mati juga akan membenteng seseorang dari derhaka kepada Allah manakala hati yang keras boleh berubah menjadi lunak. Tidaklah seseorang itu mengingati mati tatkala dia dilanda kehidupann yang sempit melainkan akan membuatnya menjadi lapang. Di antara cara yang paling penting untuk mengingatkan mati adalah dengan sering menziarahi kubur. Rasulullah SAW pernah bersabda :
"Dulu aku melarangmu menziarahi kubur, ketahuilah, sekarang ziarahilah kubur kerana itu boleh melunakkan hati, membuat mata menangis, mengingatkan hari akhirat dan janganlah kamu mengucapkan kata-kata yang kotor." (HR. Hakim)

Kepatuhan dan Berlepas Diri

Ertinya saling tolong-menolong dan patuh terhadap sesama mukmin serta memusuhi dan berlepas diri dari orang-orang kafir. Hati yang bergantung dan terpaut pada musush-musuh Allah, akan menjadi lemah. Keimanannya akan menurun dan mencair. Sebaliknya, bila kepatuhan dimurnikan dan hanya kepada Allah SWT maka ia akan menghidupkan keimanan dan semangat dalam hati.

Memuhasabah jiwa tatkala datang kelemahan

Menurut Ibnu al- Qayyim, hati itu memiliki dua sikap: menerima dan menolak. Manfaatkanlah dua situasi itu, sama ada ketika ia cenderung menerima dan menolak. Ketika hati cenderung menerima, perbanyakkanlah amal soleh dan ibadah sunnah. Laksanakanlah ibadah sebanyak mungkin pada waktu siang dan malam. Dan pada ketika hati sedang menolak (futur), ikatlah hati dengan melakukan amal-amal wajib. Berinteraksilah dengan hati dalam keadaan lemah-lembut sehingga sampai saatnya ia cenderung untuk menerima kembali.
Rasulullah SAW pernah ditanya oleh seorang sahabat: "Wahai Rasulullah, apa pendapat anda bila aku merasakan lemah dalam melakukan suatu amal?" Rasul menjawab: "Peliharalah keburukanmu dari manusia kerana itu adalah sedekah bagi dirimu."

Menelaah kisah teladan salafussoleh.

Sikap dan keteladanan salafussoleh termasuk para ulama dan mujahidin hingga zaman kini akan menumbuhkan rasa hina dalam diri hingga menyuntikkan semangat baru dalam jiwa seseorang untuk menjadikan para salafussoleh sebagai qudwah.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 8:36 PM