~Eratkan Ukhuwah Gerakkan Islah~

 

~ Saturday, October 30, 2004



"Al Hujuraat ni surah ke bape dlm Quran ek...aisehman,selama ni baca je,tp tak penah nak teliti Al Quran secara mendalam...jahil tul diri ni"

Bismillahirrahmaanirraheem...

AL-HUJURAAT AYAT 6: SIKAP DALAM MENERIMA BERITA Oleh: ABU MUAZ

Islam adalah agama yang lengkap. Ia bukan hanya agama yang mengatur hubungan antara manusia dengan Tuhannya, tetapi juga hubungan antara manusia sesama manusia. Antara surah yang banyak membincangkan perkara ini ialah surah al-Hujuraat yang diturunkan sewaktu akhir hayat Rasulullah (SAW) di Madinah. Antara petunjuk Allah di dalam urusan kemasyarakatan ialah:

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." (Al Hujurat : 6)

Latar belakang surah

Ayat ini berlatar-belakang kepada satu peristiwa yang berlaku pada zaman tersebut. Ramai mufassirin menyebut bahawa ayat ini diturunkan mengenai Walid bin Uqbah yang dihantar Rasulullah untuk mengutip zakat daripada Bani al-Mustaliq. Walid adalah seorang yang memeluk Islam selepas pembukaan Mekah. Di atas sesuatu sebab beliau takut untuk berhadapan dengan mereka. Ia kembali ke Madinah dengan memberitahu bahawa kabilah tersebut tidak mahu membayar zakat malah mereka murtad dan mengumpulkan kekuatan untuk memerangi Rasulullah.

Baginda menghantar Khalid al-Walid untuk menyiasat laporan Walid itu. Apabila Khalid sampai, beliau menghantar anak-buahnya untuk merisik. Mereka kembali kepadanya dengan membawa berita bahawa Bani al-Mustaliq masih teguh berpegang dengan ajaran Islam.

Mereka mendengar sendiri bagaimana mereka mengumandangkan azan dan sembahyang. Pagi keesokannya Khalid al-Walid pergi menemui kabilah tersebut dan berpuashati dengan apa yang dilihatnya. Kemudian beliau kembali kepada Rasulullah dan melaporkan hal ini. Selepas itulah ayat tersebut diturunkan.

Di dalam riwayat yang lain, baginda hampir-hampir menghantar tentera untuk memerangi mereka. Harith bin Dirar, ketua kabilah tersebut datang menemui Rasulullah dan memberitahu bahawa Walid tidak pergi menemui kabilahnya. Selepas kejadian inilah ayat ini diturunkan.

Ia mengesahkan kebenaran Harith seraya menegur baginda dan para sahabat untuk berhati-hati apabila mendengar sesuatu berita, lebih-lebih lagi dari orang yang fasik. Sekiranya mereka tidak menyemak berita tersebut tentunya mereka akan menzalimi Bani Al-Mustaliq, kemudiannya menyesal apabila mengetahui kedudukan yang sebenar.

Faasiqun

Ayat ini secara khusus menyebutkan faasiqun, seorang yang fasik, kerana orang sebegini tidak boleh dipercayai. Mereka, samada melalui percakapan maupun penulisan, sanggup membawa berita-berita bohong dan mengadakan persaksian palsu untuk kepentingan mereka sendiri, menzalimi individu tertentu ataupun untuk tujuan memporak-purandakan masyarakat Islam.

Orang-orang beriman tentunya akur dengan perintah Allah yang terdapat dalam ayat ini seraya memeriksa dan meneliti setiap berita penting yang dibawa oleh orang-orang yang fasik.

Dari sini jugalah timbulnya salah satu prinsip di dalam Law of Evidence dan Ilmu Hadith. Hanya orang yang adil, tidak fasik, sahaja yang boleh diterima persaksian mereka di dalam mahkamah Islam. Persaksian orang yang fasik tidak dapat dipegang.

Ulamak-ulamak hadith juga berhati-hati dalam menerima hadith dari seseorang. Mereka menolak sesuatu hadith sekiranya di dalam sanad (rantaian) hadith tersebut ada periwayat yang diragui kejujuran mereka.

Dalam sejarah umat Islam memang terdapat individu atau golongan tertentu yang memalsukan hadith untuk tujuan tertentu. Imam al-Bukhari, Imam Muslim dan lain-lain telah bertungkus lumus untuk memastikan hanya hadith sahih dikumpulkan dalam kitab hadith mereka, bebas daripada hadith-hadith yang diriwayatkan oleh orang yang dicurigai.

Siapakah orang yang fasik?

Persoalannya siapakah orang yang fasik? Orang yang fasik ini adalah orang yang masih lagi Islam tetapi melakukan dosa besar atau dosa kecil yang berterusan. Sekiranya Allah menggunakan perkataan "...jika datang kepadamu orang KAFIR membawa suatu berita..." amat mudah kita membuat penilaian dan pemeriksaan. Bagaimanapun, Allah menggunakan perkataan standard "orang yang fasik".

Maka, bila datang seorang Muslim kepada kita dengan membawa berita, bagaimana kita hendak membuat penilaian samada dia fasik atau tidak? Kita bukannya mahkamah yang ada kredibiliti untuk menilai peribadi seseorang. Tentu sukar.

Justeru, keindahan dan mukjizat al-Quran memberikan kita suatu petunjuk bahawa sesiapa sahaja yang membawa berita kepada kita sama ada kafir atau Muslim, jangan mudah kita terima walaupun kita kenal dia sebagai seorang rakan rapat kita atau Muslim yang baik pada luarannya. Kita periksa sumber dan kesahihannya. Lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan keburukan atau aib orang lain terutama yang Muslim.

Di sinilah letaknya keindahan dan keutuhan binaan masyarakat Islam yang hendak dibentuk. Perpaduan dan kerjasama menjadi keutamaan, bukannya sikap iri hati, hasad dengki dan buruk sangka.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 8:56 PM

 

~ Friday, October 29, 2004



Bismillahirrahmaanirraheem...

Perubahan dalam sebuah negara

Perubahan dalam sebuah organisasi termasuk dalam sebuah negara adalah satu proses yang lama dan kompleks. Ia berbeza menurut tempat, masa dan zaman tetapi secara prinsipnya, ia mempunyai prinsip-prinsip perubahan yang sama.

Sekiranya dikaji seerah rasullulah s.a.w, kita akan mendapati guidelines atau prinsip-prinsip ini. Subhanallah, manusia sekarang baru hendak menulis mengenai perubahan dalam sebuah organisasi dan prinsip-prinsip kepada perubahan sedangkan kita sudah lama dibentangkan kepada prinsip ini oleh nabi kita s.a.w

Matlamat.

Di dalam membuat perubahan kita perlu tahu apa yang hendak kita capai dan apa yang hendak kita ubah. Dalam hendak merubah sebuah negara katakan dari negara sekular kepada negara Islam, kita perlu tahu apakah yang hendak kita capai dan hendak sampaikan.

Kita perlu sedar bahawa mana-mana negara, baik dia so**ima, komunisme, sekularisme mahupun negara Islam, hanya dapat diujudkan bilamana rakyatnya mendokong pemikiran atau idelogi-ideologi yang disebutkan. Tidak cukup hanya sekadar dengan deklerasi atau ucapan-ucapan sahaja menjadikan sebuah negara tersebut apa yang ia sebutkan, sesebuah negara itu perlu menerapkan ideologi ini kepada setiap penduduk negara tersebut. Ini kerana negara didokong oleh masyarakat yang dibentuk oleh gabungan keluarga-keluarga yang mana keluarga ini dibentuk dari beberapa individu. Maka dari asas piramid negara ini, kita akan kembali kepada dasar individu, anda dan saya!

Maka kita perlu mengetahui bagaimana hendak merubah negara ini dengan perubahan sebenar dan bukannya dengan perubahan kulit dan luaran sahaja. Apa yang kita maksudkan dengan perubahan sebenar ialah setiap individu di dalam negara tersebut mendokong pemikiran yang kita hendak mereka dokongi.

Sekiranya pemikiran mereka ialah pemikiran sekular, dan kita hendak merubah kepada pemikiran Islam, maka itulah yang harus kita cita-citakan.

Perlu diketahui juga bahawa perubahan ini bukannya satu perubahan yang mudah dan tidak dapat dinilai hanya dengan luaran atau perbuatan fizikal tetapi dengan keimanan yang tinggi yang telah ditanam ke dalam dirinya.

Maka sekiranya kita mengadakan ceramah dan beratus ribu orang datang mendegar ceramah Islam kita, itu bukan petanda bahawa mereka telah mendokong pemikiran kita. Sekiranya kita memasuki pilihanraya dan mendapati beribu manusia membuang undi menyokong kita, itu belum lagi memberikan makna bahawa mereka telah mendokong pemikiran kita. Kita boleh katakan itu adalah satu permulaan sahaja (walaupun saya katakan itu satu permulaan yang terlalu artifisal) dan permulaan ini adalah terlalu jauh dengan maksud matlamat dan penghujung yang hendak kita capai.

Apakah matlamatnya?: Matlamatnya setiap individu muslim mendokong fikrah Islam yang sebenar sepertimana yang dikehendaki oleh Islam tanpa ada pencampuran dan bid'ah yang merosakkan maksud Islam.

Bagaimana cara mencapai matlamat ini?

Matlamat ini hanya boleh dicapai dengan dua cara melalui 2 media:

Cara 1: Penerangan
Cara 2: Meyakinkan.

Dua media tersebut ialah:

1. Media massa (dakwah ammah)
2. perhubungan individu (dakwah fardiyah)

Diakui bahawa dakwah fardiyah adalah lebih lama tetapi lebih effektif dalam mencapai matlamat ini berbanding dakwah ammah.

Di dalam teori organisasi/business, perubahan ini biasanya mengambil masa 25 tahun. Di dalam sebuah negara ia akan mengambil masa yang lebih lama dan menurut kajian saya dalam purata 50-100 tahun atau mungkin lebih sikit lagi.

Maka dalam pengundian dan pilihanraya, perubahan daripada satu kepimpinan kepada satu kepimpinan hanya dapat merubah wajah pemimpin dan parti, tetapi bukan merubah pemikiran rakyat dalam konteks yang kita kehendaki. Perubahan pengundian dalam pilihanraya adalah perubahan dalam luaran atau artifisal dan perubahan cabang dari satu parti kepada satu parti dan bukan perubahan asas atau dasar pemikiran.

Contohnya di united kingdom, perubahan dari Tory kepada Labour adalah perubahan kepada cabang dan luaran; yakni polisi, undang-undang, cara tadbir tetapi pada dasar hati dan pemikiran rakyat, mereka tetap melihat bahawa sekularisme itu adalah satu asas yang kukuh. Mereka tetap melakukan perbuatan2 maksiat dan meninggalkan moral dan agama.

Kita mungkin berhujah; tetapi itu united kingdom, negara kafir. Bagi mematahkan hujah ini kita katakan, walaupun umat Islam pada luarannya memegang nama dan pasport Islam, tetapi pada pemikiran dan kefahaman mereka terhadap Islam tidak jauh bezanya dengan kaum kafir ini akibat banyak faktor yang tidak perlu disebutkan di sini.

Maka apakah tidak wajib untuk mengundi?

Jawapannya tidak. Kita tetap wajib memilih dan mengundi parti yang lebih kurang kemudaratan dan banyak kemanfaatan yang akan dilakukannya berbanding dengan yang satu lagi. Tetapi dalam konteks perubahan, kaedah perubahan yang disebutkan di atas adalah kaedah perubahan terbaik menurut sunnah dan menurut peraturan natural dunia.

Kesilapan para duat pada masa kini adalah sifat tidak sabar dalam menghadapi jalan perubahan yang panjang ini. Ada di antara mereka mengharapkan kemenangan yang dekat dalam jangka hayat mereka. Bila hasilnya tidak tercapai, mereka mula berputus harapan.

Mereka ini tidak menyedari hakikat Allah menciptakan alam ini dengan berperingkat-peringkat dan dalam masa yang lama. Mereka juga tidak menyedari bahawa hakikat penurunan AlQuran itu menurut masa dan juga berperingkat-peringkat. Mereka gagal dalam melihat seerah rasullulah yang mulia juga mengambil masa yang lama (23 tahun), penuh dengan ujian dan cubaan.

Sekiranya rasullulah s.a.w, seorang yang mulia dengan bantuan yang paling dekat dengan Allah, bersama-sama sahabat yang diberikan title "Radiallah huan waradun anhu", dengan usaha dakwah 24 jam sehari, 7 hari seminggu mengambil masa 20 tahun untuk mencapai kemenangan, maka apakah yang melayakkan kita untuk mencapai kemenangan yang lebih cepat? Sedangkan dakwah kita, kita lakukan mungkin hanya pada masa lapang, sehari seminggu, sejam sehari. Solat dan amal ibadat kita tidak seberapa. Makisat kita menggunung. Maka apakah yang melayakkan kita mendapat kemenangan yang lebih cepat?

Menyedari kemenangan hanya dari Allah maka wajib para duat mentarbiyah diri dan mengislah masyarakat bagi menjamin kemenangan itu semakin dekat dari Allah dan bukannya semakin jauh.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam




posted by scouser at 10:26 PM

 

~ Thursday, October 28, 2004



"Cam mana nak membina hadharah?...Hmmm saya rasa kita mulakan dgn Konsert Sure HEBOH...pastu kita buat kuiz SMS...pastu kita banned mana2 mufti yg kata kuiz SMS haram...bla..bla...bla"

Bismillahirrahmaanirraheem...

Faktor tertegaknya sebuah Hadharah (Tamadun)

3.Ilmu

Tidak mungkin orang Islam dapat mengembalikan keunggulan tamadun mereka kecuali dengan ilmu. Dan antara ilmu penting yang perlu dilengkapi sebagai senjata kepada umat Islam untuk membina peranan ketamadunan yang unggul ialah seperti berikut:

Pertama: Pengetahuan mengenai reliti kehidupan, kerana realiti kita didominasi oleh tamadun yang memiliki aset kebendaan yang sangat kaya tetapi menghadapi kekosongan ruhi yang besar. Ini menuntut umat Islam supaya dapat mengemukakan "pakej ketamadunan" yang sesuai, dapat memenuhi keperluan yang hilang dan dapat mengembalikan kemanusiaan manusia. Dan beralih daripada menitik beratkan benda-benda manusia;ia memang penting kepada menitikberatkan pengembangan ciri-ciri kemanusiaan dan kebahagiaan mereka, kerana ia adalah ukuran kepada sebuah tamadun yang hakiki.

Antara perkara penting yang harus kita ketahui ialah "pewarisan tamadun" sudah tidak lagi bererti pertukaran jenerasi atau berpindah tangan, penafian dan pemencilan sepertimana ia memberi erti keupayaan untuk bergerak dari dalam tamadun itu sendiri untuk mengubah haluannya, kerana tamadun bukan sesuatu dibolot oleh sesiapa, sebaliknya adalah perkongsian kemanusiaan, warisan umum dan timbunan ilmu pengetahuan. Yang paling saleh ialah yang paling manpu menentukan arahnya.

Kedua: Pengkhususan dalam pelbagai cabang ilmu. Sesungguhnya mengembalikan keunggulan tamadun tidak mungkin dapat digambarkan tanpa pengembangan pengkhususan yang mantap dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan, kerana pengkhususan telah bertukar sifat menjadi fardhu ain kepada orang yang bersedia dan amal akan terarah kepada penjurusan, kemantapan, keunikan dan membuah hasil yang diharapkan.

ketiga: Ilmu pengetahuan mengenai sunnah(undang-undang) Allah. Pengetahuan mengenai sunnah Allah pada diri manusia dan masyarakat adalah faktor utama kearah mencapai kedudukan tamadun yang unggul. Demikian adalah kerana Allah telah menetapkan kepada manusia sunnah atau undang-undang alam, barang siapa yang memeliharanya ia akan terpelihara dan barangsiapa yang mensisa-siakanya ia akan disia-siakan.

Namun kebanyakan orang Islam mengalih perhatian mereka daripada mengikut dan menyusurinya kepada mencarikkannya, daripada berintraksi dengan sunnah yang berjalan kepada membuang waktu dan usaha untuk mengatasinya, seperti sunnah perubahan, perpindahan tamadun, langkah beransur ansur, " at tadafu' atau tolak menolak dan sunnah jatuh dan bangun umat.

keempat:. Ijtihad pemikiran. Antara syarat wajib yang perlu dilengkapi untuk mencapai keunggulan tamadun ialah membebaskan pandangan ijtihad dari sebarang ikatan jumud dan taklid, memperluaskan ruang pergerakan pemikiran hingga seluas-luas sempadan dan menghormati pengkhususan serta mengutamakan mereka yang ada pengalaman dan penguasaan.

Itu adalah kerana ijtihad, menggerakkan aqal, memperluaskan ruang pendapat, bermesyuarat, berfikir, bercakap kepada diri sendiri dan berdailog dengan orang lain akan menggerakkan takungan dalam diri umat, meledakkan tenaga yang terbengkalai, menambah keberkesanan, menyenjah himmah, menghilangkan buih, memantapkan kedudukan kesowaban(ketepatan) dan memindahkan mereka dari kerusi penonton, dan penerima kepada kerusi penyumbang dan pengeluar produk hadhari.

Kelima: Masa. Tamadun dibina dengan cara mengeksploitasi masa dan menguruskannya dengan cara terbaik, kerana pengurusan masa adalah sebahagian dari hikmat yang didifinasikan oleh Ibnu Qayyim dengan katanya: "iaitu melakukan apa yang sepatutnya, dengan cara yang sepatutnya pada waktu yang sepatutnya".

Ekploitasi waktu berlaku dengan perancangan, penyusunan, pengarahan, pengawasan dan pembuatan keputusan.

posted by scouser at 4:28 PM

 

~ Wednesday, October 27, 2004



"Islam Hadhari tu ape?Hmmmm...aaa...apa aaa??Waaa...mana saya tahu...saya mudah lupa"

Bismillahirrahmaanirraheem...

Faktor tertegaknya sebuah Hadharah (Tamadun)

Dari sumber: http://www.massej.info

Al Quran dalam banyak ayatnya memperingatkan bahawa bangun jatuh satu-satu umat berlaku selaras dengan sunnah(undang-undang) yang tetap tidak berubah atau bertukar ganti, berdasarkan faktor-faktor yang tidak mungkin silap atau gagal. Antara faktor yang terpenting ialah seperti berikut:

1.Fikrah atau idea

Sesungguhnya faktor kebangkitan yang paling penting ialah fikrah yang membentuk gambaran/tanggapan satu-satu umat terhadap kewujudan, alam semesta, manusia dan kehidupan.

Fikrah ini dari segi tabiat kefalsafahannya adalah satu yang umum dan dari segi tabiat keagamaannya ia bersifat khusus. Ia merupakan faktor utama dalam menentukan masa depan umat dan bangsa dari segi maju atau mundur, kekampungan atau kebandaran, mengikut setakat mana kejelasan tanggapannya terhadap kewujudan, alam semesta, manusia dan kehidupan.

Aplikasinya dapat dilihat dengan jelas pada hakikat bahawa setiap perubahan yang berlaku kepada tamadun besar sepanjang sejarah manusia adalah kesan daripada perubahan besar yang berlaku pada tasawur mereka terhadap hakikat kewujudan dan kehidupan, tidak kira samada tamadun itu bersifat keagamaan atau sebaliknya.

Kemudian tasawur tentang kewujudan dan kehidupan semata-mata tidak memadai untuk mencetus perubahan kepada tamadun, tetapi sebaliknya ia mesti ditambah dengan tatacara keimanan yang akan mengubah tasawur daripada semata-mata teori yang bersaing dengan berbagai teori yang lain kepada fikrah yang menjejak tangga keimanan..memenuhi hati dan sanubari, memberi kuasa kepada anggota dan pancaindera dan memunggah segala kekuatan pemikiran untuk membentuk kekuatan kehendak untuk beramal, mengambangkan kuasa perlaksanaan serta usaha yang sambung meyambung dan bergabung untuk menghasilkan produk taqafi dan perubahan tamadun.

2.Manusia

Manusia adalah objektif tamadun dan "vehiclenya". Ia merupakan bejana thaqafah dan pembawanya. Kerana itu tidak mungkin diimajinasi wujud tamadun yang tidak memberi tumpuan kepada manusia dari segi kepekaan terhadap realitinya, memperelokkan keadaan kesihatan, pelajaran, dan pendapatan, menyelesaikan masalah dan menghormati hak haknya yang asasi sehingga ia aktif bergerak meluru kearah kemercuan dan berkerja untuk perubahan.

Ukuran yang boleh kita gunakan untuk menyukat tamadun ialah kedudukan manusia dalam tamadun tersebut, tanggapanya terhadap manusia, sistem nilai yang menjadi pegangannya dan sejauh mana ia menghormati nilai kemanusiaan dan juga perkara yang menjadi penegak kepada nilai tersebut.

Sebenarnya mereka yang berusaha untuk mengimport tasawur mengenai manusia dan hak-haknya dari tamadun barat terjatuh dalam kesilapan yang yang besar, kerana tamadun barat tidak kira apa yang ia sumbangkan kepada mansia dari segi kemajuan kebendaan dan kemewahan hidup, ia telah tersilap dalam memahami manusia, sifat dan ciri-cirinya kerana menggugurkan aspek keruhanian dan menjauhkan agama daripadanya, akibat daripada pertembungan dengan gereja.

Begitu juga tamadun barat telah melencong jauh dari kebenaran kerana tidak mengkaji sebab sebenar kepada kecelaruan jiwa manusianya dan berhempas-pulas mencari jalan penyelesaian meterial untuk mengisi kekosongan ruhi yang berlaku dalam masyarakat mereka.

Sedangkan aqidah islamiah telah menjadikan manusia sebagai paksi kepada putaran pergerakan perubahan, menyerahkan kepadanya tanggungjawab perubahan dan pembinaan serta membabankan keatas bahunya tugas menegakkan khilafah diatas muka bumi.

Ia menarik perhatian manusia kepada bagaiman cara berintraksi dengan alam semesta, kehidupan dan mengeksploitasi apa sahaja yang ada diatas muka bumi serta mengeluar kan apa sahaja dari dalam perutnya dengan memanfaatkan unsur masa untuk memproduk tamadun dan memakmurkan bumi, menanggung amanah khilafah dan melaksanakan hakikat ubudiah yang menjadi tujuan disebalik penciptaanya.

Sesungguhnya tasawur tamadun Islam mengenai manusia menonjolkan dua aspek yang penting iaitu kemanusian dari segi kecenderongan dan objektif, dan universal dari segi ufuk dan risalah, kerana ia melihat manusia dengan satu ukuran yang tidak terjejas oleh perkauman, jenis atau warna kulit.

bersambung...

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam


posted by scouser at 4:57 PM

 

~ Tuesday, October 26, 2004



"Wei...wei...kurang ajar punya anak...apa gigit2 mak ni?"

"Eh,sori2...tak pasan plak.Lapar la mak.Tak larat la pose ari ni"

"Ko kalau lapar sangat pun takkan la sampai nak makan mak sendiri...mak sebat kang"


Bismillahirrahmaanirraheem...

Wadah Wanita Islam: Sedekah makanan lebih afdal daripada banyak makan Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

"AINA, berbelanja sakan, banyaknya." Jamilah menegur kawan sepejabat yang berbelanja untuk juadah berbuka puasa.

"Nak layan kerenah semua orang dalam rumah. Bapanya hendak makan mi rebus, Along nak makan nasi kerabu, Angah nak kueh seri muka dan koleh kacang.

"Uda pula teringin nak makan mini martabak, si bongsu pula merengek hendak beli kebab kosyer Turki...," balas Aina.

Tidak cukup tangan nampaknya Aina menggenggam hasil beliannya. Kiri dan kanan sarat dengan beg plastik yang penuh dengan juadah pelbagai rasa.

Jamilah tersenyum dan benaknya memikirkan sesuatu. Kalau dicongak-congak, Aina menghabiskan tidak kurang RM50 untuk belanja berbuka puasa saja petang itu. Bayangkan sebulan Ramadan, berapakah Aina sediakan untuk juadah berbuka puasa keluarganya?

Beginilah saban tahun, kita dan beberapa kelompok di kalangan kita menjalankan ibadat puasa. Ramadan adalah bulan untuk mempelbagaikan juadah, bulan berpesta mengenyangkan perut setelah berpuasa sehari suntuk. Hingga ada antara kita menanti-nanti kedatangan Ramadan bukan kerana rahmat, maghfirah dan syurganya, tetapi disebabkan 'menu Ramadan' yang pelbagai dan juadah yang berlambak-lambak di pasar Ramadan.

Tidak sedikit orang yang mempunyai sikap seperti Aina yang kurang memahami falsafah puasa, kurangkan juadah, banyakkan sedekah _ yang menganjurkan mengurangkan makan ketika berbuka dan membanyakkan sedekah menggandakan pahala. Ramai yang suka makan berlebih-lebihan dan berbelanja hingga ke tahap membazir.

Nabi Muhammad saw pernah bersabda: "Shumu tashihhu"(berpuasa agar kamu sihat)."

Sihat di sini bermaksud sihat secara fizikal. Jadi, dengan berpuasa, kita mengurangkan makan, sekali gus mengatur makanan seimbang yang bertujuan agar kita sentiasa sihat secara fizikal.

Kedua, sihat secara sosial. Maksudnya, kita mampu menjalin hubungan baik sesama manusia, saling menasihati, memberi pesan ke arah ketakwaan dan keimanan serta bersedekah dan menolong orang yang memerlukan.

Alangkah baiknya jika Aina menjadi seorang ibu yang bijak mengurus selera ahli keluarganya. Menyediakan menu sederhana, tetapi berkhasiat. Wang dibelanjakan untuk juadah yang berlebihan itu dikurang atau disisihkan untuk disedekah dan dikongsikan dengan orang yang kurang bernasib baik seperti anak anak yatim. Begitu juga memberikan sumbangan untuk majlis iftar Ramadan (berbuka puasa) untuk umat Islam yang memerlukan.

Apakah kesilapan kita? Pernahkah kita fikirkan orang yang lebih susah daripada kita? Apakah bantuan yang kita hulurkan untuk memberi sesuap makanan pada yang tidak mempunyai apa-apa? Pernahkah kita melihat orang yang mengemis sesuap nasi di kedai makan dihalau dan dihina? Adakah tergerak hati kita untuk menolongnya?

Alangkah baiknya jika kita berusaha untuk selalu memberikan iftar (berbuka) bagi mereka yang berpuasa walaupun hanya seteguk air atau sebutir kurma. Perkara ini seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: "Barang siapa yang memberi iftar (untuk berbuka) orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tanpa dikurangi sedikit pun." (Hadis Bukhari Muslim).

Anjuran untuk berlumba-lumba dalam bersedekah dan membiasakan diri untuk menderma semaksimum mungkin sesuai dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan Ibnu Abbas, ertinya: "Rasulullah orang yang paling dermawan, terutama ketika berjumpa dengan malaikat Jibril dan Jibril selalu menemuinya setiap malam pada Ramadan hingga akhir bulan itu."(Hadis riwayat Bukhari).

Pada hadis lain disebutkan bahawa Rasulullah orang yang paling sempurna akhlaknya dan dermawan. Sifat mulia Baginda itu mencakup semua segi antaranya memberikan ilmu, harta dan jiwanya kepada Allah demi menegakkan agama.

Rasulullah lebih mementingkan orang lain daripada diri sendiri, keluarga dan anak-anaknya. Baginda memberikan apa yang raja tidak mampu memberikannya. Rasulullah lebih suka hidup sederhana hingga tidak jarang dalam satu atau dua bulan dapurnya tidak mengepulkan asap.

Kedermawaan Baginda semakin bertambah ketika Ramadan. Pada bulan inilah waktu keutamaan menjadi dermawan kerana menjadikan pahala berlipat ganda.

Membantu orang berpuasa dan orang yang menjalankan ketaatan, berhak mendapatkan pahala seperti pahala orang yg melakukannya, tanpa mengurangi sedikit pun pahalanya. Allah Maha Dermawan terhadap hamba-Nya dengan rahmat dan maghfirah-Nya dalam bulan Ramadan ini. Maka, sepatutnya seorang hamba membalas kebaikan-Nya dengan mendermakan harta dan jiwa hingga berhak memperoleh rahmat Allah.

Antara keutamaan sedekah adalah menghindar murka Allah dan terhindar daripada suu’ul khatimah, iaitu meninggal dalam keadaan sesat. Sedekah juga mempunyai pengaruh luar biasa untuk menolak bermacam cubaan dan malapetaka dan melebur kesalahan.

Sedekah membuat hati menjadi senang dan dada terasa lapang. Maka kerana itu kita dilarang bakhil. Abdurrahman bin Auf setiap kali bertawaf di Makkah selalu berkata: "Ya Allah lindungilah aku daripada jiwa yang bakhil."

Ramadan juga memberi ruang kepada peniaga untuk mencari rezeki. Biasanya, peniaga akan menjual pelbagai jenis juadah berbuka puasa untuk pilihan pembeli. Namun begitu, adalah tidak mustahil bagi peniaga akan mengalami lebihan juadah yang tidak habis terjual kerana untung dan rugi adalah adat berniaga.

Juadah seperti kuih-muih basah, biasanya tidak akan tahan lama dan pastinya akan basi. Peniaga perlu bersikap positif dalam berniaga, dengan menyedekahkan sebahagian kuih-muih yang tidak habis dijual kepada yang memerlukan.

Tindakan itu tidak akan membawa kerugian. Ia adalah sedekah dan Allah pasti akan memperluaskan pintu rezeki-Nya kepada mereka yang melakukannya, insya-Allah. Perkara ini kerana setiap sedekah itu ada keberkatannya.

Diakui atau tidak, dalam kehidupan kita sehari-hari masih selalu berat untuk menginfakkan (menyedekahkan) sebahagian harta kepada yang berhak.

Kita sering tidak tersentuh melihat anak kecil berkaki ayam kelaparan memohon belas kasihan. Kita sering berfikir dua kali untuk memberi derma jika ada orang yang meminta. Begitu juga berat untuk membantu jiran yang kelaparan, pengemis terdesak lapar atau fakir miskin yang tidak sanggup lagi membiayai anaknya sekolah. Malah, untuk mengeluarkan zakat (yang sememangnya menjadi kewajiban). Kita selalu berusaha untuk menghindari dan mencari-cari alasan berbuat demikian.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 7:32 PM

 

~ Monday, October 25, 2004



"Mat...bangun Mat...jgn tido dlm kelas la...kang cikgu marah kang"

"Aku tak tido la...aku lelap mata je ni...kang aku buka la balik mata aku"


Bismillahirrahmaanirraheem...

SAYA MESTILAH MUSLIM DI SUDUT IBADAH

1.2 SAYA MESTILAH MUSLIM DI SUDUT IBADAH

Ibadah dalam Islam adalah merupakan kemuncak dan perasaan tunduk dan patuh kepada Allah dan kelaimik dari perasaan yang merasakan kebesaran Allah sebagai tempat pengabdian diri. Ibadah juga merupakan tangga penyambung antara makhluk dan penciptanya. Selain dari itu ibadat mempunyai kesan-kesan yang mendalam di sudut hubungan makhluk dengan penciptanya. Tidak ada perbezaan antara rukun-rukin Islam dalam bidang ini. Solat, puasa, zakat, haji dan semua amal-amal yang dilakukan manusia untuk mendapat keredaan Allah dan memelihana syariatnya adalah sama. Logik Islam menuntut supaya seluruh kehidupan ini adalah ibadat dan taat kepada Allah. Inilah yang dimaksudkan dengan firman Allah:

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu. Aku sekali-kali tidak menghendaki rezeki sedikitpun dar mereka dan tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan. (S. 51:56 —57)

Untuk menjadikan saya seorang muslim dalam seluruh peribadatan saya, saya haruslah melakukan perkara-perkara berikut:

1. Menjadikan seluruh ibadat saya hidup dan benhiibung terus dengan Allah sebagai tempat saya mengabdikan diri. Inilah yang dikatakan mantabat ehsan dalam ibadat. Rasulullah s.a.w. telah ditanya tentang ehsan beliau menjawab dengan sabdanya:

Kamu hendaklah beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatNya. Jika kamu tidak melihatNya sesungguhnya Dia melihatmu.

2. Ibadat yang saya lakukan haruslah merupakan ibadat yang khusyuk. Dalam ibadat saya itu saya haruslah merasa-rasakan kepanasan perhubungan saya dengan Allah dan merasa-rasakan kelazatan dati ibadat yang khusyuk. Dalam hubungan ini Aishah radiallahuanha telah menyatakan:

Selalunya Rasulullah s.a.w. bercakap dengan kami dan kami bercakap dengannya. Apabila sampai waktu solat beliau seolah-olah tidak mengenali kami dan kami tidak mengenalinya.

Inilah juga yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:

Berapa banyak orang yang berdiri (melakukan solat, sedang) bahagiannya dari solat itu hanyalah penat dan lelah.

Juga dibayangkan dalam sabdanya:

Berapa banyak orang yang melakukan puasa (sedang) bahagiannya dari puasanya itu hanyalah lapar dan dahaga.

3. Sewaktu melakukan ibadat saya haruslah menghadirkan diri dan hati (di hadapan Allah), membebaskan diri dari urusan dan kepentingan dunia. Inilah yang telah dibayangkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:

Allah tidak melihat solat lelaki yang tidak menghadirkan hatinya bersama badannya.

Sehubungan dengan ini telah disebutkan juga bahawa Solat itu sebahagian daripada urusan akhirat, apabila kamu masuk ke dalamnya bererti kamu telah keluar dan dunia.

Diriwayatkan juga dari Hasan Al-Basri yang beliau telah berkata: setiap solat yang dilakukan tanpa kehadiran hati maka solat itu Iebih cepat membawa kepada siksaan.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 5:32 PM

 

~ Sunday, October 24, 2004



"Nak merajuk la cam ni...org suruh mak beli buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam tp mak beli buku kaler2 plak...menci tul aaa..."

Bismillahirrahmaanirraheem...

Buku: Apa Ertinya Saya Menganut Islam

14. Saya mestilah sentiasa mengingati Allah dan sentiasa berzikir menyebut nama Allah. Saya diam mesti lah kerana berfikir dan saya bertutur mestilah kerana berzikir, kerana berzikir mengingati Allah itu adalah merupakan ubat yang paling mujarrab untuk jiwa saya. Zikir juga merupakan senjata yang paling tajam dalam menghadapi serangan-serangan zaman, pancaroba hidup dan liku-likunya. Inilah yang paling diperlukan oleh manusia masakini. Dalam hubungan ini Allah berfirman:

"Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah, ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram." (S. 13:28)

Firman Allah lagi:

"Dan barang siapa yang berpaling dan mengingati Allah yang maha pemurah Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkannya) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya." (S. 43:36)

Dr. Brail telah menerima hakikat ini yang mana beliau telah mengatakan: "Seorang yang berpegang teguh dengan agama tidak akan mengidap penyakit jiwa."

Caningi, seorang ahli ilmu jiwa juga telah mengatakan: "Doktor-doktor ilmu jiwa mengetahui bahawa iman yang kuat dan pegangan yang teguh kepada agama sudah cukup untuk menghilangkan perasaan keluh kesah, ketegangan saraf dan dapat menyembuhkan penyakit."

15. Saya mestilah mencintai Allah dengan kecintaan yang menyebabkan hati saya sentiasa merindui Allah dan sentiasa bergantung kepadaNya. Kecintaan itu akan mendorong saya untuk sentiasa melakukan kebajikan, berkorban dan berjihad pada jalan Allah. Kenikmatan dunia yang fana dan kecintaan kepada kaum keluarga dan kerabat tidak akan menghalang saya melakukan perkara kebajikan. Saya akan berkorban pada jalan Allah kerana patuh kepada firman Allah:

"Katakanlah, jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan rasulNya dan (dari) berjihad di jalanNya maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Allah tidak memberi pimpinan kepada orang-orang fasik."(S. 9:24)

Saya akan berkorban pada jalan Allah kerana ingin mendapat kemanisan iman sebagaimana yang telah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya:

"Tiga perkara, sesiapa yang terdapat ketiga-tiga perkara itu dalam dirinya beliau akan mendapat kemanisan iman, iaitu: Bahawa Allah dan rasulNya lebih Ia kasihi dari yang lain, bahawa beliau tidak mengasihi seseorang kecuali kerana Allah, bahawa beliau benci kembali kepada kekufuran sebagaimana beliau benci diluntarkan ke dalam neraka."

16. Saya mestilah bertawakkal kepada Allah dalam semua urusan. Saya mestilah bergantung kepada Allah dalam semua perkara. Kesemua ini akan membangkitkan dalam diri saya satu kekuatan dan kesedaran roh sehingga saya akan merasakan perkara-perkara yang berat itu menjadi ringan. Firman Allah:

"Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya." (s. 65:3)

Dalam hubungan ini Rasulullah s.a.w. telah berwasiat dengan sabdanya:

"Peliharalah Allah, Ia akan memeliharamu. Peliharalah Allah, engkau akan mendapatiNya bersamamu. Kalau engkau meminta sesuatu mintalah kepada Allah. Jika engkau meminta pertolongan mintalah pertolongan Allah. Ketahuilah, sekiranya seluruh umat berhimpun untuk memberi sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan dapat memberi manfaat kepadamu kecuali apa yang telah di tuliskan Allah kepadamu dan sekiranya seluruh umat berhimpun untuk melakukan bencana ke atasmu kecuali apa yang telah dituliskan Allah ke atasmu. Kalam telah diangkat dan kertas telahpun kering." Hadis riwayat Tarmizi.

17. Saya mestilah bersyukur kepada Allah atas nikmat dan kurniaanNya yang tiada terhingga. Bersyukur dan berterima kasih adalah sebahagian dan sifat-sifat beradab dan santun kepada orang yang memberi nikmat, berlaku baik dan memberikan pengorbanan. Firman Allah:
"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun dan Ia memberi kepadamu, pendengaran, penglihatan dan hati agar kamu bersyukur." (S. 16:78)

Firman Allah lagi:
"Dan satu tanda (kekuasaan Allah yang besar) bagi mereka adalah bumi yang mati, Kami hidupkan bumi itu dan Kami keluarkan daripadanya biji-bijian maka daripadanya mereka makan dan Kami jadikan padanya kebun-kebun kurma dan anggur dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air supaya mereka dapat makan dari buah-buahan dan dari apa yang diusahakan oleh tangan mereka, maka mengapakah mereka tidak bersyukur." (S. 36:33-34)

Allah telah menjanjikan akan menambahkan kurnia nikmatNya kepada mereka yang bersyukur dan mengugut akan menambah rugikan orang-orang yang engkar dan tidak berterima kasih. Firman Allah:

"Dan (ingatlah) tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu. Mengingkari (nikmatKu) maka sesungguhnya azabKu amat pedih."(s. 14:7)

18. Saya mestilah meminta ampun dari Allah dan sentiasa bertaubat (beristighfar) kerana istighfar itu merupakan kifarat bagi segala kesalahan di samping
memperbaharui taubat dan iman. Istighfar juga dapat meniupkan rasa kerehatan dan ketenangan dalam jiwa. Firman Allah:

"Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan, menganiaya diri sendiri kemudian ia mohon ampun kepada Allah mesti ia mendapati Allah maha pengampun lagi penyayang." (5. 4:110

Firman Allah lagi:

"Dan (juga) orang-orang yang apabila mereka mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri mereka itu akan ingat kepada Allah lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa selain datipada Allah dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedang mereka mengetahui balasan bagi mereka itu ialah keampunan dari Tuhan mereka." (S. 3:135)

19. Saya mestilah sentiasa dalam keadaan bermurakabah terhadap Allah baik dalam keadaan terang atau tersembunyi. Saya haruslah sering merasa-rasakan firman Allah:

"Tiada perbicaraan rahsia antara tiga orang melainkan Dialah yang keempatnya dan tiada (perbicaraan antara) lima orang melainkan Dialah yang keenam dan tiada (pula) perbicaraan antara (jumlah) yang kurang dari itu atau lebih melainkan Dia ada bersama-sama mereka di manapun mereka berada kemudian Dia memberikan kepada mereka pada hari kiamat (nanti) apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah maha mengetahui segala sesuatu." (S. 58.7)

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 5:07 PM