~Eratkan Ukhuwah Gerakkan Islah~

 

~ Saturday, November 06, 2004



Whyyyy???Kenapa sudah lama aku berdakwah,tidak ramai yg menerima aaa????Adakah caraku salah???

Bismillahirrahmaanirraheem...

Method dakwah Islam

1. Tabiat Marhalah Ini:

Sesungguhnya kita sedang berada di dalam peringkat meneguhkan dasar (tapak) mukmin yg kukuh yg di atasnya nanti akan kita bangunkan daulah Islamiah. Dasar itu kemudiannya akan menjelma di dalam diri individu-individu muslim; para pendukung aqidah, keluarga Islam yg menjelmakan dan menterjemahkan Islam di dalam rumahtangganya dan beriltizam dengan segala ajarannya dan pendapat umum Islam yg sedar, atau masyarakat Islam.

Inilah tiga lapangan: iaitu individu, rumahtangga dan masyarakat,
itulah bidang amal yg sangat penting diusahakan sekarang. Inilah asas yg kuat utk pembangunan Islam yg agung. Syiar kita, cogan kata pada peringkat ini ialah 'Perbaiki Dirimu Dahulu dan Kemudian Serulah Orang Lain.'

Ini adalah dua tuntutan yg pokok dan penting di dalam lapan perkataan sahaja tetapi kesimpulan amal dan asasnya, pencapaian pugak (vertical):

perbaiki dirimu dan pencapaian ufuk (horizontal): seru org lain.
Kerana sesungguhnya itu telah menjadi sunnah Allah, tidak akan berubah di dalam makhlukNya:

"Sesungguhnya Allah tidak akan merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yg ada pada diri mereka sendiri." (Ar-Rad:11)

Itulah realiti yg telah rosak, kecelakaan dan kesempitan, kemusnahan
dan kebinasaan yg dihayati manusia zaman ini, tidak akan berubah kecuali apabila kita merubah apa yg ada pada diri kita dan iltizam dengan jalan Allah.

2. Banyak Dan Sedikit:

Sesungguhnya bilangan Muslim hari ini sungguh ramai sekali, akan
tetapi kekurangan mutu, kita kekurangan pendukung-pendukung aqidah yg mempunyai peribadi Mukmin yang kuat yang berpengaruh yg mampu merubah realiti yg rosak dan merosakkan, yg mampu merubah kenyataan yg buruk, yg mampu membangunkan umat Islamiah yg baik.

Kita teringat kata-kata hikmah dari al Imam Hassan al-Hudaibi:
Tegakkanlah daulah Islam dalam hati kamu supaya daulah Islam tegak di bumi kamu. Inilah bentuk dan mutu laki-laki aqidah, mutu yg terbentuk di dalam madrasah Rasulullah s.a.w, terbentuk di bawah naungan Al Qur'an dan terus bertambah baik melalui dakwah menyeru manusia kepada agama Allah, mempersaudarakan mereka pada Allah yang terikat dengan ikatan aqidah Islam dan inilah ufuk ikatan.

Akhirnya madrasah Rasulullah s.a.w itu berjaya membentuk peribadi
Muslim di kalangan sahabatnya dengan pertolongan Allah dan penentuanNya dan mereka terus membangunkan daulah Islam, negara Islam yang agung.

Di atas jalan itulah kita mesti berjalan, terdidik dan terbentuk
bawah naungan al Qur'an dan sunnah Rasulullah s.a.w dan di atas jalan inilah kita seru manusia kepada jalan Allah, di atasnyalah kita bersaudara dan bersatu.

[Utz Mustafa Masyhur]

posted by scouser at 7:27 PM

 

~ Friday, November 05, 2004



Anak melalak tgh2 malam pun musibah gak ni...adeh fenin la kepala ana

Bismillahirrahmaanirraheem...

Tak Tahan Musibah???

HAKIKAT MUSIBAH MENURUT AL-QURAN DAN HADITH
Firman Allah SWT:
Ertinya:
Iaitu orang-orang yang apabila di timpa musibah mereka mengucapkan:"Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNya-lah kami kembali.Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka ialah orang-orang yang mendapat petunjuk"(Al-Baqarah:156-157)

Firman Allah SWT:
Ertinya:
Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan:"Kami telah beriman"sedangkan mereka tidak diuji terlebih dahulu? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta"
(Al-Ankabut:2-3)

Firman Allah SWT:
Ertinya:
Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan, dan kepada Kami-lah kamu semua kembali
(Al-Anbiya':35)

Rasulullah SAW bersabda:
Ujian yang tidak henti-hentinya menimpa kaum Mukmin lelaki dan perempuan, yang menimpa dirinya,hartanya,anaknya,akan tetapi ia tetap bersabar, ia akan menemui Allah dalam keadaan tidak berdosa
(HR Tarmizi)

Rasulullah SAW bersabda:
Tidak ada sesuatu musibahpun yang menimpa diri seseorang kecuali dengan izin Allah, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya
(HR Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda:
Apa pun yang menimpa diri seorang mukmin dari kepayahan,kesakitan,kesusahan dan apa pun keresahan yang dirasakannya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian dari keburukan-keburukannya
(HR Muslim)

Rasulullah SAW bersabda:
Tiada musibah apa pun yang menimpa diri seorang muslim melainkan Allah menghapuskan keburukannya (dosanya) walaupun duri yang mengenai dirinya
(HR Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW bersabda:
Allah berfirman kepada para Malaikat-Nya:"Pergilah kamu kepada hamba-Ku timpakanlah berbagai macam ujian kepadanya kerana Aku ingin mendengar suaranya"
(HR Tabrani)

BERITA GEMBIRA BAGI MEREKA YANG DITIMPA MUSIBAH
Firman Allah
Ertinya:
Dan berilah berita gembira bagi orang-orang yang sabar
(Al-Baqarah:155)

Rasulullah SAW bersabda:
Maka berfirman Allah SWT kepada para malaikat-Nya:Apakah yang diucapkan oleh hamba-Mu itu? Malaikat menjawab:"Dia memuji-Mu dan membaca Istirja',maka Allah SWT berfirman:"Bangunkanlah untuk hamba-Ku itu sebuah rumah di syurga dan rumah itu diberi nama dengan rumah pujian"
(Hadith dari Abu Musa)

UBAT BAGI ORANG YANG TERKENA MUSIBAH
Firman Allah
Ertinya:
Berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,iaitu orang-orang yang ketika musibah, mereka berkata:"Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita kembali
(Al-Baqarah:155)

Firman Allah SWT:
Ertinya:
Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula)pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya.Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kami jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu.Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.
(Al-Hadid:22-23)

Rasulullah SAW bersabda:
Tidak ada seseorang Islam dari golongan lelaki dan perempuan yang ditimpa suatu musibah, lalu ia ingat kembali akan musibah itu walaupun sudah berlalu lama, berkata Abad, sudah berlalu saatnya, kemudian ia memperbaharui ucapan istirja, melainkan Allah akan memberinya pahala sebagaimana pahala ketika ia ditimpa musibah
(HR Ahmad)

Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa yang pernah ditimpa musibah lalu ia ingat akan musibah itu, serta memperbaharui ucapan istirja' walaupun sudah berlalu masanya, maka Allah akan memberi pahala kepadanya sebesar pahala di saat ia ditimpa musibah saat itu
(R.Ibn Majah)

Abu Al-Faraj Ibn Al-Jauzi berkata:
Ada enam perkara ubat bagi orang yang terkena musibah, iaitu:
1.Hendaklah seseorang itu menyedari, bahawa dunia ini adalah tempat ujian dan kesusahan, bukan tempat untuk bersenang-senang
2.Hendaklah seseorang itu meyakini bahawa setiap musibah yang datang itu adalah ketentuan dari Allah
3.Hendaklah orang yang terkena musibah itu melihat kepada musibah yang lebih besar yang pernah menimpa kepada orang lain selain dirinya.
4.Hendaklah ia membandingkan antara musibah yang menimpa dirinya dengan musibah yang dialami oleh orang lain, dengan demikian hatinya akan sedikit terhibur.
5.Hendaklah ia mengharapkan ganti dari Allah sekiranya yang pergi itu masih boleh mendapat gantinya.
6.Hendaklah orang yang terkena musibah itu mengharapkan pahala dengan sentiasa bersikap sabar kerana yang demikian itulah yang terbaik bagi dirinya.


Perkara-perkara lain yang dapat mengubati hati bagi orang yang terkena musibah di antaranya:
1.Hendaklah orang yang terkena musibah itu memahami akan kehendak Allah, barangkali yang demikian itu adalah yang paling baik untuk dirinya.
2.Hendaklah orang yang terkena musibah itu mengetahui bahawa beratnya musibah yang menimpa diri seseorang itu kerana orang tersebut adalah hamba pilihan dari Allah
3.Hendaklah orang yang terkena musibah itu menyedari bahawa dirinya adalah seorang hamba yang tidak ada daya upaya ketika berhadapan dengan kekuasaan-Nya
4.Hendaklah orang ditimpa musibah itu menyedari, bahawa musibah yang ditimpakan kepada dirinya itu adalah atas kerelaan Allah, justeru itu ia harus rela menerimanya.
5.Hendaklah orang yang ditimpa musibah itu mencela dirinya jika ada perasaan menyesal di hatinya, sebab musibah itu adalah merupakan keputusan dari Allah, justeru itu perasaan menyesal haruslah dihilangkan.
6.Hendaklah orang yang ditimpa musibah itu memahami bahawa musibah yang menimpa dirinya itu sifatnya sementara bukanlah untuk selamanya

Maksud Istirja ialah :"Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita kembali"

Diambil dari buku bertajuk:RAHMAT DISEBALIK DUGAAN.
Penulis:Kasmuri Selamat M A

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 8:14 PM

 

~ Thursday, November 04, 2004



Amaran:Ini hanyalah gambar hiasan,bkn gambar sebenar pokok khuld

Bismillahirrahmaanirraheem...

Apa hikmah larangan pokok Khuld?

Mengenai pokok khuld atau pokok larangan (Al quran tidak pernah menyebut buah) maka apakah hikmahnya? Adakah pokok itu sungguh istimewa sehingga ia tidak boleh dihampiri? Kalau ya apa keistimewaanya.

Tidak di jelaskan oleh Allah swt apa keistimewaan pokok khuld ini sehingga ia dilarang untuk dihampiri. Sebaliknya 'keistimewaan' pokok ini dinyatakan oleh iblis apabila dia berkata:

Maka syaitan membisikkan pikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka yaitu auratnya dan syaitan berkata: "Tuhan kamu tidak melarangmu dan mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (dalam surga)". (Al A'raf :20)

Kenyataan iblis ini mungkin benar atau mungkin tidak. Tetapi pada saya keistimewaan pokok khuld ini bukan pada apa yang dinyatakan oleh Iblis atau apakah hikmat pokok tersebut. Keistimewaan pokok ini adalah di atas pengajaran yang kita perolehi daripadanya.

Keistimewaan ini mungkin tidak dirasai oleh nabi adam. Tetapi dirasai oleh kita sebagai anak cucunya apabila membacakan kisah ini. Apakah keistimewaan pokok ini?

1. Ia memberikan kita pengajaran bahawa manusia hanyalah hamba yang mengikut perintah dengan taqlid atau tanpa soal. Di dalam Al quran tidak pernah disebut mengenai keistimewaan pokok ini dan nabi Adam tidak pernah bertanyakan apakah keistimewaannya. DAn kita tidak mengetahui. Inilah konsep tertinggi bagi hamba Allah yang ditunjukkan oleh Nabi adam sebagai contoh: Apa shj perintah Allah, kita hendaklah mengikut tanpa soal. Ini bersamaan dengan firman Allah: "Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk taabud (patuh/tunduk/menghambakan diri) kepada Ku"

2. Ia memberikan pengajaran bahawa setiap seseorang anak adam itu akan diuji keimanannya. Ini selari dengan firman Allah:

"Apakah manusia itu mengira mereka akan dibiarkan sahaja mengatakan: "Kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji lagi?" Dan sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar (dari ujianNya) dari orang-orang yang berdusta. (AL Ankabut -2-3)

Maka jelas di sini tujuan pokok khuld adalah sebagai satu ujian kepada nabi Adam sama ada dia benar atau berdusta untuk taat kepada perintah Allah. Di samping itu ia juga sebagai pengajaran kepada manusia mengenai ujian yang Allah akan timpakan kepada kita.

3. Kisah nabi adam sebagai tanda bahawa Iblis adalah musuh manusia yang nyata dan janjinya utk menyesatkan umat manusia akan berlaku dari awal penciptaan sehingga akhir zaman kelak.

4. Pokok ini juga adalah sebagai pengajaran taubat kepada umat manusia bahawa pada setiap kesalahan akan ada pengampunannya. Pada setiap dosa ada jalan untuk taubat.

Kesimpulan:

Hikmat pokok khuld seperti yang saya sebutkan tadi hanyalah secebis pengajaran. Banyak lagi hikmah yang kita boleh perolehi dari kisah pokok ini yang kita boleh extract daripada Al Quran.

Bagi saya inilah hikmah terbesar pokok khuld. Sebagai pengajaran dan ujian kepada Nabi adam, hawa, anak cucunya serta awak dan saya pada masa kita membincangkan mengenai kisah ini sekrang ini. Inilah hikmah larangannya.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 7:04 PM

 

~ Wednesday, November 03, 2004



"Ko nak join dakwah table tak...best tau...leh jumpa ramai org...boleh sebarkan Islam"

"Hmmm...menarik gak...tp aku rasa nak banyakkan ibadah la time ramadhan ni"

"Eh ko tak tau ke dakwah tu ibadah gak?"

"Eh ye ke???"


Bismillahirrahmaanirraheem...

Berdakwah itu ibadah

Berdakwah adalah ibadah. Dengan berdakwah kita bertaqarrub kepada Allah S.W.T.

Berdakwah adalah ibadah. Dengan berdakwah kita bertaqarrub kepada Allah S.W.T. Tidak ada niat lain kecuali untuk mencari keredhaan Allah S.W.T. Aktiviti dakwah kita juga tidak terkeluar dari ruang lingkup syara'. Jika ada niat lain, maka ibadah kita tidak akan dinilai oleh Allah S.W.T. Begitu juga jika terkeluar dari linkungan syara', maka rosaklah ibadah.

"Barangsiapa mengadakan yang baru dari urusan kami yang bukan dari agama, maka ia tertolak".
"Sesungguhnya amal itu dengan niat". (kedua-duanya maksud dari hadith sahih)

Dalam ibadah solat, tujuan kita hanya satu; keredhaan Allah S.W.T. "Celakalah orang-orang yang solat, yang daripada solatnya dia lalai, dan dia ria'.....( al Maun, ayat 4).

Solat yang ada niat lain bukan saja sia-sia, malah dilaknat oleh Allah S.W.T.

Begitu juga dalam berdakwah. Tujuannya semata-mata kerana Allah S.W.T. Tujuan duniawi hendaklah dibuang jauh-jauh.

"Katakanlah (Ya Muhamaad), Inilah jalanku, aku mengajak kepada Allah dengan hujah yang jelas, aku dan engikutku, dan Maha Suci Allah, dan tidaklah aku termasuk orang-orang musyrikin"( Yusuf, 118).
Syarat berdakwah kepada Allah amat jelas dari ayat tersebut; mensucikan Allah dan tidak menyekutukannya. Syarat tersebut bermaksud dakwah kepada Allah hendaklah bersih dari tujuan duniawi seperti untuk mencari populariti, mendapat kuasa, mengumpul harta dan sebagainya.

Dakwah ilaLlah juga bermaksud seruan yang hanya menyeru kepada Allah; menyerah diri kepadaNya semata-mata dengan mentaatiNya. Dakwah ilaLlah tidak menyeru manusia kepada aliran tertentu atau kumpulan tertentu. Pendakwah yang sentiasa taqarrub kepada Allah hanya mengajak dirinya dan orang lain mentauhidkan Allah serta melaksanakan perintahNya.

Dakwah makin hamun bukan dakwah ilaLlah. Bagaimana mungkin seseorang yang beribadah melakukan perkara-perkara yang terkeluar dari landasan syara'ei.

Begitu juga dakwah bermusim. Kenapakah dakwah itu tiba-tiba menjadi rancak pada musim pilihanraya? Apakah ada nawaitu lain selain beribadah kepada Allah semata-mata? Dakwah juga hendaklah dilaksanakan dengan penuh kasih sayang. Pendakwah adalah penganjur perpaduan, bukan penganjur perpecahan. Hati yang ikhlas akan terpanggil dengan seruan yang berasaskan kasih sayang. Sebaliknya dakwah yang berasaskan benci membenci akan menjauhkan manusia daripada pendakwah.

Sempena maal hijrah 1424, saya menyeru umat Islam agar muhasabah amalan-amalan yang kita sangka sebagai amal soleh. Asas semua amal adalah ikhlas hanyasanya kerana Allah S.W.T dan bertepatan dengan petunjuk Rasulullah s.a.w. Tanpa kedua asas penting itu, ibadah kita adalah sia-sia walau banyak mana pun yang kita lakukan.

Tanyalah diri kita sendiri terlebih dahulu samada sesuatu amal yang hendak kita lakukan itu ikhlas atau tidak . Kemudian tanya pula samada Allah ridha atau tidak amal kita itu. Kita rujuk hadith-hadith sahih terhadap perkataan dan perbuatan yang kita akan lakukan. Jika kita berpuas hati tanpa ragu-ragu lagi, maka teruskan beramal kerana amal itu akan menjadi ibadah.

Semoga Ma al Hijrah tahun ini tahun 'turning point' bagi seluruh umat, khususnya para pendakwah ilaLlah.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 7:28 PM

 

~ Tuesday, November 02, 2004



"Along...meh amik bekalan di jalan dakwah ni,berguna nanti"

"Apekah??????...ni lunchbox,bkn bekalan di jalan dakwah...betul ke tak mak aku ni???"


Bismillahirrahmaanirraheem...

Dakwah: "Kesungguhan" Bekalan Di Jalan Dakwah

Apa yang dikehendaki oleh Islam daripada penganutnya ialah membentuk umat yang saleh untuk menjadi Khilafah dan memakmurkan muka bumi, supaya dengan itu ia menjadi umat yang terpelihara identitinya dan memuliakan diri ke merju jaya. Itu tidak akan dapat dicapai kecuali dengan bersikap dengan sikap positif dan bersungguh-sungguh.

Ia hendaklah bermula dengan dirinya, kemudian berpindah posisi daripada kedudukan pengkritik kepada kedudukan penyumbang yang menggerakkan peristiwa dan mengepalai urusan dengan penuh keyakinan diri dan kepergantungan kepada tuhan tanpa mengindahkan segala halangan atau terpengaruh dengan desakan orang awam.

Makna kesungguhan

Kesungguhan lawan kepada perkataan olok-olok, bermudah-mudah, lemah dan lembap. Ia bermaksud: "melaksanakan tanggungjawab syarak dan dakwah serta-merta, cekal, berterusan dengan menggunakan semaksimum mungkin kebolehan yang ada, tanpa mempedulikan halangan atau mencari alasan untuk tidak melakukannya".

Lima syarat yang melengkapi kesungguhan

1. Melaksanakan tanggungjawab dengan serta merta

Ini dapat dilihat dengan sempurna dalam perisitiwa pengharaman arak(al Maidah:90/91), perubahan kiblat( al Baqarah:143)dan arahan supaya wanita bertudung(an Nur:31).

2. Kekuatan dan keazaman

Ini dapat dilihat dengan jelas daripada pendirian Omar ketika berhijrah. Beliau dengan berani mencabar Quraisy:" saya akan berhijrah, sesiapa yang mahu melihatnya emaknya kehilangan anak, isterinya menjadi janda atau anaknya menjadi yatim sila ikut aku..tak seorang pun berani mengekorinya. Kisah kepahlawan sahabat dalam perang Hamra' al Asad, keberanian Salamah bin al Akwa' dalam peperangan Zi Qird dan Jakfar yang mempertahankan panji-panji Islam dalam perang Tabuk.

3. Cekal dan berterusan

Ini dapat dilihat dengan jelas melalui peristiwa-peristiwa sepanjang sirah s.a.w bermula dengan zaman rahsia, dakwah diumumkan, melalui senang dan susah tanpa jemu dan putus asa. Baginda pernah bersabda: "kalau mereka meletakkan matahari dikananku dan bulan dikiriku supaya aku meninggalkan urusan ini, nescaya aku tidak akan meniggalkannya sehingga Allah berikan aku kemenangan atau aku binasa kerananya". Dan banyak lagi.

4. Menggunakan kebolehan secara maksimum

5. Abu Bakar as Siddik membelanjakan hartanya semua sekali.Uthman r.a menanggung semua keperluan ketenteraan untuk tentera Islam dalam perang Tabuk dan Mus'ab bin Umair meninggalkan kehidupan yang mewah dan berpada dengan bekalan yang sangat sedikit untuk menjadi duta dakwah. Dan beliau mati dalam keadaan tidak cukup pakaian untuk menkapannya.

6. Mengatasi halangan atau keuzuran

Kita melihat mereka berpegang kepada azimah(lawan rukhsah), sedaya upaya melaksanakan tanggungjawab dan menyertainya bersama tidak kira apa pun suasana. Amru bi al Jamuh r.a. ingin keluar berjihad, lalu dihalang oleh anak-anaknya kerana ia cacat. Rasulullah s.a.w memberitahunya dia boleh ambil rukhsah, tetapi ia menjawab mudah-mudahan aku dapat melangkah kesyurga dengan kakiku yang cacat ini.

Dari laman massej.info

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 6:38 PM

 

~ Monday, November 01, 2004



"Mana plak ayat ckp pasal cara2 tunaikan solat...takde plak dlm Quran ni...kena tgk kat hadis plak la nampaknya"

Bismillahirrahmaanirraheem...

Golongan Anti Hadis

Pandangan kita Ahlus Sunnah Wal Jamaah

i. Di atas Kasim Ahmad telah menafikan kewujudan Hadis pada zaman Rasulullah s.a.w. dan zaman sebelum pembukuan Hadis. Ini adalah dakwaan yang tidak benar, kerana Hadis Rasulullah s.a.w. telah wujud bersama turunnya wahyu (al-Quran). Perkara ini telah termaktub di dalam kitab-kitab tarikh (sejarah) karangan ulamak Islam silam seperti kitab Tabaqaat Ibnu Sa'd, Sirah Ibnu Hisyam dan lain-lain. Di dalamnya tidak terlepas dari menyebutkan bagaimana keadaan mula turun wahyu.

Begitu juga yang tertulis di dalam kitab-kitab tafsir seperti Tafsir al-Qurthubi, Tafsir al-Thabari, Tafsir Ibnu Kathir dll. Di dalamnya terdapat penjelasan mengenai ayat pertama mula diturunkan dan sebab turunnya. Di dalamnya juga disertakan penjelasan bagaimana Rasulullah s.a.w. mendidik para sahabatnya menghayati Islam dan menyebarkan Islam.

Di atas semua itu adalah bukti wujudnya Hadis pada zaman Rasulullah s.a.w. Adalah suatu perkara yang mustahil para penulis kitab tarikh, tafsir dan ahli hadis telah beramai-ramai bersepakat untuk melakukan pendustaan.

ii. Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. pada zaman baginda memang diakui tidak dibukukan. Walaupun begitu Sunnah atau Hadis Nabi s.a.w. tetap:
a. Diamalkan oleh umat Islam pada zaman tersebut,
b. Dibolehkan menulis hadis-hadis nabi.
c. Terpelihara dan tersimpan dengan baik di kalangan para sahabat dan umat Islam.
d. Terdapat sahifah (lembaran-lembaran) yang ditulis oleh para sahabat yang mengandungi hadis Rasulullah s.a.w. Mengenai tulis-menulis hadis memang telah wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. Terdapat tiga peringkat, iaitu:
Peringkat pertama: Rasulullah s.a.w. menegah penulisan Hadis kerana dikhuatiri akan bercampur-baur dengan al-Quran.
Peringkat kedua: Rasulullah s.a.w. memberi keizinan khas kepada Abdullah bin Amr yang telah menulis hadis semasa hayat Baginda.
Peringkat ketiga: Pada tahun kemenangan kaum muslimin ke atas kota Mekah (Fath Makkah), Baginda telah memberi kebenaran am kepada para sahabat untuk menulis Hadis.

iii. Kasim Ahmad mendakwa bahawa Hadis-hadis telah mewujudkan faham kepuakan. Ini adalah dakwaan yang dusta. Kerana Hadis-hadis yang mendokong faham kepuakan adalah terdiri dari hadis-hadis palsu (maudhu') yang ditolak oleh umat Islam.

iv. Hadis bukanlah penyebab kemunduran dan kebekuan umat Islam sebagaimana yang didakwa. Kemunduran umat Islam yang berlaku sekarang adalah disebabkan oleh faktor-faktor lain antaranya ialah:
a . Kejahilan
b . Kehilangan budi pekerti
c . Kerosakan moral para pemimpinnya.
d . Tidak menghayati ajaran Islam sebenarnya yang menyebabkan mereka menjadi jumud (beku).
e . Bersikap penakut, pengecut dan kedekut untuk berkorban kerana Islam

Buku- Hadis: Satu Penilaian Semula dan Sembahyang Lima Waktu
Di dalam buku ini Kasim Ahmad yang mewakili Golongan Anti Hadis mengatakan bahawa sembahyang lima waktu dengan segala perinciannya telah diwarisi dari Nabi Ibrahim a.s.

Malah Rashad Khalifa yang menjadi ikutan Golongan Anti Hadis telah mengatakan bahawa Abu Jahal dan lain-lain Arab Jahiliyah telah mengerjakan sembahyang lima waktu.

Dengan ini, mereka menafikan sembahyang lima waktu itu telah difardukan semasa Israk dan Mi'raj.

Pandangan kita Ahlus Sunnah Wal Jamaah

Pendapat mengenai sembahyang lima waktu itu diwarisi dari Nabi Ibrahim a.s. adalah sesat dan ditolak oleh Islam. Kerana kewajipan sembahyang lima waktu telah difardhukan pada malam Isra' dan Mi'raj. Inilah yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri, para sahabat, tabi'in dan para ahli sejarah.

Manakala perincian tentang sembahyang pula, seperti niat, takiratul ihram, rukuk, sujud dll, tidak diterangkan oleh al-Quran. Perincian mengenainya tidak boleh didapati di mana-mana buku atau kitab melainkan di dalam Hadis-hadis Rasulullah sahaja.

(Sumber: Abdul Halim El-Muhammady, Islam dan al-Hadith: Satu analisis ke atas usaha-usaha merosakkan peribadi dan autoriti Rasulullah s.a.w.)


Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini:
Ajaran Golongan Anti Hadith

ISI AJARAN
1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.
2. Menolak dua kalimah Syahadah.
3. Menolak Qada' dan Qadar
4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12 Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada wahyu.
5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam
6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.

TARIKH MUNCUL
1985

TEMPAT BERKEMBANG
Seluruh Malaysia

TINDAKAN/HUKUMAN
Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:
1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996
2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46
3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78
4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3
(Sumber: )

Penutup
Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal 'iya zubillahi min zalik.

posted by scouser at 7:16 PM

 

~ Sunday, October 31, 2004



"Adeh...pening kepala baca hadis ni...kena baca commentary dia baru paham kot...camne la org dulu2 hafal hadis...sure lagi letih"

Bismillahirrahmaanirraheem...

Golongan Anti Hadis

Golongan Anti Hadis adalah mereka yang menolak atau meragui Hadis atau Sunnah Nabi Muhamad s.a.w. sebagai sumber kedua syariat Islam selepas al-Quran.

Pandangan kita Ahlus Sunnah Wal Jamaah
Hadis atau Sunnah Nabi Muhamad s.a.w. merupakan sumber kedua syariat Islam selepas al-Quran.

Sumber pengambilan hukum yang terlah disepakati oleh para ulamak ada empat, iaitu:
1 . Al-Quran
2 . Al-Sunnah atau Hadis
3 . Ijmak
4 . Qiyas.

Sejarah Golongan Anti Hadis

Golongan Anti Hadis Pada masa sahabat
Al-Hasan berkata, semasa Imran bin Husain sedang mengajar Hadis, terdapat seorang yang meminta agar tidak perlu mengajar Hadis, memadai dengan al-Quran sahaja. Imran menjawab: "Engkau dan sahabat-sahabat engkau boleh membaca al-Quran. Mahukah engkau mengajarkanku sembahyang dan syarat-syaratnya kepadaku? Atau zakat dan syarat-syaratnya? Engkau selalu tidak hadir. Sedangkan Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat begini.. begini.." Orang itu menjawab: "Terimakasih, aku baru sedar." Dan dikemudian hari orang itu menjadi seorang ahli fikah.

Perkara yang terjadi kepada Umayah bin Khalid pula. Dia sedaya upaya cuba mencari penyelesaian seluruh masalah dengan hanya merujuk kepada al-Quran sahaja. Akhirnya dia berkata kepada Abdullah bin Umar bahawa di dalam al-Quran dia hanya berjumpa dengan masalah sembahyang di rumah dan ketika perang sahaja. Sedangkan masalah sembahyang musafir tidak dapat ditemui. Abdullah bin Umar menjawab: "Wahai keponakanku, Allah telah mengutuskan Muhamad s.a.w. dan kita tidak tahu apa-apa. Kita kerjakan sahaja apa yang Nabi s.a.w. lakukan."

Ayub al-Sakhtiyani berkata: "Apabila engkau mengajar Hadis kepada seseorang, kemudian dia berkata: "Tak perlu pakai Hadis, ajarkan kami al-Quran sahaja", maka ketahuilah bahawa orang itu sesat dan menyesatkan."

Di atas, jelas bahawa bibit-bibit anti hadis sudah mulai wujud sejak zaman sahabat lagi. Cuma ia tidak serius dan masih berbentuk pandangan individu, tidak secara kelompok, jamaah atau gerakan. Dan ia berlaku disebabkan salah faham terhadap kedudukan hadis sebagai sumber syariah. Namun dengan cepat ia diperbetulkan.

Sejak masa berkenaan, pandangan mahukan al-Quran sahaja tanpa hadis lenyap pada akhir kurun kedua hijrah. Ia tidak kedengaran lagi. Kerana umat pada masa lalu sepakat menerima Hadis sebagai sumber kedua hukum di dalam Islam. Baik Dari kelompok majoriti – Ahlus Sunnah maupun kelompok-kelompok kiri yang majoriti seperti Syiah, Muktazilah dan Khawarij – masing-masing menerima Hadis sebagai sumber hukum. Walaupun ada beberapa pendapat yang mengatakan bahawa kaum Muktazilah adalah termasuk di dalam golongan anti hadis, tetapi pendapat ini tertolak samasekali. Pendapat berkenaan bergantung kepada beberapa riwayat (cerita), sedangkan kenyataannya Muktazilah menerima Hadis. Ini berlaku kerana seorang yang bermazhab Muktazilah bernama al-Nazam telah menolak Hadis. Ini pendapat ini tidak lebih dari pendapat peribadi beliau, bukan pendapat Muktazilah. Buktinya, majoriti orang-orang Muktazilah mengkafirkan beliau.

Golongan Anti Hadis Pada Zaman Imam al-Syafi'i

Ada satu kisah tentang dialog antara Imam Syafie dengan Golongan Anti Hadis:
Golongan Anti Hadis bertanya kepada imam Syafie, "Ada atau tidak, dalil yang bersifat zhanni menghalalkan suatu masalah yang telah diharamkan dengan dalil bersifat pasti?"
Imam Syafie: "Ada."
Golongan Anti Hadis: "Apa dia?"
Imam Syafie: "Apa pendapatmu mengenai orang yang membawa harta di sebelah saya ini? Bukankah dia ini haram dibunuh dan hartanya haram dirampas?"
Golongan Anti Hadis: "Ya. haram dibunuh dan hartanya haram dirampas"
Imam Syafie: "Tetapi, apabila ternyata ada dua orang saksi yang mengatakan bahawa orang ini baru sahaja membunuh orang lain dan merompak hartanya.. Apakah pendapat kamu mengenai orang ini?"
Golongan Anti Hadis: "Dia mesti diqisas dan hartanya mesti dirampas untuk dikembalikan kepada warisnya."
Imam Syafie: "Apakah ada kemungkinan dua orang saksi tadi berbohong atau terkeliru?"
Golongan Anti Hadis: Ya, ada kemungkinan."
Imam Syafie: "Jika begitu, kamu telah membolehkan membunuh (qisas) dan merampas harta dengan dalil zhanni, sedangkan membunuh dan merampas harta itu telah diharamkan menggunakan dalil yang pasti."
Golongan Anti Hadis: Ya, kerana kita diperintahkan untuk menerima persaksian."

Golongan Anti Hadis Abad Modern

Setelah beberapa abad (lebih kurang sebelas abad), muncul semula pemikiran anti hadis. Muncul di Iraq dan di Mesir pada zaman Syeikh Muhamad Abduh. Ia muncul, dipercayai hasil dari suntikan penjajah Barat yang ketika itu sedang rancak menjajah negara umat Islam. Mereka berjaya menimbulkan keraguan di hati sebahagian kecil umat Islam. Tujuannya adalah untuk melumpuhkan terus kekuatan umat Islam yang ketika itu sememangnya sedia dalam keadaan lemah.

Dr Taufiq Sidqi telah menulis dua artikel di dalam majalah al-Manar pimpinan Saiyid Rasyid Redha. Pada mulanya, idea-idea Dr. Taufiq mendapat perhatian dari Saiyid Rasyid Redha, tetapi menurut Dr. Mustafa al-Siba’I, beliau menarik balik pandangan berkenaan.

Di dalam artikel berkenaan, Dr.Taufiq menyeru al-Quran sahaja, tidak perlu sunnah.

Golongan Anti Hadis Di Malaysia

Golongan Anti Hadis di Malaysia telah dipelopori oleh Kasim Ahmad melalui bukunya Hadis: Satu Penilaian Semula (1986). Golongan ini meragui kedudukan Hadis sebagai sumber kedua syariat Islam. Mereka menyeru agar umat Islam kembali kepada al-Quran sahaja.

Kemudian beliau cuba menubuhkan Jamaah al-Quran Malaysia (JAM) tetapi gagal kerana tidak mendapat kebenaran dari kerajaan Malaysia. Walaupun begitu, tidak bermakna beliau tidak dapat bergerak langsung, malahan beliau masih aktif menulis di akhbar-akhbar utama mencurahkan idea-idea anti Hadisnya.

Antaranya ialah sebuah rencana yang ditulis di dalam sebuah akhbar tempatan mengenai masalah perpecahan umat Islam. Beliau menyeru agar umat Islam kembali kepada al-Quran sahaja.

Buku Hadis: Satu Penilaian Semula
Di dalam buku Hadis: Satu Penilaian Semula, Kasim Ahmad telah menolak Hadis sebagai sumber aqidah dan perundangan Islam berdasarkan faktor-faktor berikut:
1 . Pembukuan kitab-kitab al-Hadis, terutama enam buah buku al-Hadis (Sunan al-Sittah), dibuat pada akhir abad kedua dan permulaan abad ketiga Islam, iaitu di antara 200 dengan 300 tahun setelah Rasulullah s.a.w. wafat.

2 . Pembukuan ini pula tidak dibuat lebih awal, khasnya dalam pemerintahan al-Khulafa' al-Rasyidin.

3 . Kewujudan al-Hadis menimbulkan pertelagahan politik, faham kepuakan, anti-intelektualisme, kebekuan dan opurtunis politik.

bersambung...

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam


posted by scouser at 4:00 PM