~Eratkan Ukhuwah Gerakkan Islah~

 

~ Saturday, November 20, 2004



"Raya kali ni ko takde buat open house ke Zul?"

"Ko ni tak abis2 tanya aku pasal open house...try la tanya diri sendiri bila nak buat open house...sendiri tak buat ada hati nak minta org lain buat"

"Alahai Zul,jgn la marah...nanti kena jual"


Bismillahirrahmaanirraheem...

Inilah Aku

"Inilah aku" merupakan solgan yang telah diperkenalkan oleh Muhammad Iqbal r.a kerana umat Islam memerlukannya. Menurut Iqbal, kalimah tersebut melambangkan erti mengenali diri. Itulah kalimah yang mesti diketahui oleh umat Islam yang masih berada di dalam kebingungan, untuk membawa mereka mengenali jalan yang benar untuk kembali kepada Islam. Ia dimulakan dengan pentarbiyahan individu muslim dan membentuknya di atas pengertian akidah Islam yang benar dan sejati. Kemudian dari satu individu, ia berkembang menjadi satu jamaah Islam yang dipimpin oleh pemimpin yang berwibawa, bijak mengatur rencana dan langkah-langkah dakwah.

Muhammad Iqbal telah menggambarkan bahawa umat Islam yang kembali mengenali dirinya sebagai individu muslim yang hakiki setelah mereka dilanda kebingungan di dalam lautan jahiliyah umpama kanak-kanak yang baru mengenali dirinya setelah melalui peringkat kelemahannya semasa dia baru dilahirkan dari rahim ibunya. Perumpamaan seperti ini sangat sesuai kerana umat ini dilahirkan dari proses dakwah seorang ahli yang faqih, berhemah dan berwibawa. Sebagaimana tertulis di dalam puisi beliau: "Umat ini lahir dari hati yang mulia". Telah jelas gambaran bagi langkah pertama dalam rangka menarik umat yang kebingungan dan mengembalikan mereka kepada Islam.

Langkah pertama dimulakan dengan seorang pemimpin yang alim, faqih dan berhati mulia lagi berjiwa besar, lalu beliau menepuk dadanya dihadapan orang Islam dan berkata: "Inilah aku, di atas kesucian akidahku, jalanku yang tersendiri sebagaimana yang kamu lihat, maka berhimpunlah kamu disekeliligku."

Iqbal telah mengungkapkan dengan kalimah yang unik dalam menggambarkan pemimpin yang ditunggu-tunggu untuk membawa khabar gembira dan ancaman buruk setelah sedar diri dari kebingungan:

Wahai Muslimin yang mempunyai mata
Tidakkah kamu lihat kanak-kanak kecil itu
Tidak tahu apa-apa tentang dirinya sendiri
Telinganya tidak mengerti maksud lagu yang diperdengarkan kepadanya
Dia hanya bisa merengek dan meronta-ronta
Alam ini menolong manusia untuk melihat segala sesuatu
Tetapi mereka tidak dapat melihat diri mereka sendiri
Setelah bersusah payah menarik tali
Barulah nyata kepadanya
Setelah kedua belah tangannya membuka ikatan
Lalu matanya melihat dirinya berpekik
Sambil menepuk dada dia berkata: “Inilah aku!”
'Aku' itulah bermulanya hidup
Inilah bahasa kebangkitan untuk kembalinya hidup ini.



(Petikan dari Diwan al asrar wa al Rumuz)

Syed Abu A'la al Maududi (mujadid kurun ke 20) berkata di dalam bukunya Mujaz tarikh Tajdid al din:

Inilah yang dinamakan mujadid menurut Istilah Islam, atau reformist menurut istilah moden. Ini kerana Islam tidak mengenal erti kekuasaan berada di tangan jahiliyah dan Islam bersikap pak turut. Untuk membangkitkan semula kerajaan Islam, tidak cukup dengan sekadar wujudnya di sana sini orang yang berpegang teguh kepada Islam tetapi hidup secara terasing dan terbatas sedangkan kehidupan masyarakat yang luas bercampur baur di antara jahiliyah dan Islam.

Justeru, agama Islam ini sentiasa memerlukan pemimpin yang kuat, arif bijaksana, gagah perkasa, mampu menentukan perjalanan zaman dan memimpin manusia kepada Islam. Amal dan usaha mereka boleh jadi meliputi segenap jurusan kehidupan manusia atau terbatas kepada sebahagian daripadanya. Golongan inilah yang digelar sebagai mujadid atau reformist.

Maududi juga berkata di dalam bukunya Nahnu wa al Hadarah al Arabiyah

Oleh kerana jalan yang mereka lalui itu menuntut pengorbanan, maka salah satu syarat yang mesti ada pada mereka ialah mereka mestilah seorang pahlawan yang gagah perkara kerana: "orang yang tidak mampu berkorban demi mengejar cita-cita yang tinggi dan tidak akan berani berhadapan dengan bahaya dan kesusahan. Orang yang hanya mencari kesenanangan, keselesaan dan kemewahan hidup di dunia mudah terpengaruh dengan suasana, tunduk kepada tekanan dan hanyut oleh arus. Mereka tidak dapat menyumbangkan sebarang jasa di dalam sejarah kemanusiaan. Tidak ada sesiapapun yang mampu mencipta sejarah kecuali pahlawan-pahlawan yang gagah perkasa dan arif bijaksana. Mereka itulah yang telah merubah perjalanan hidup dengan jihad dan pengorbanan mereka dan merekalah yang merubah corak pemikiran dunia."

(Dipetik dari Buku Al Muntalaq (Langkah bermula) Muhammad ahmad ar rasyid)

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 5:46 PM

 

~ Friday, November 19, 2004



"Aku yg betul la...ko salah"

"Apa plak,cikgu kata jawapan aku yg betul...ko punya jawapan yg salah"

"Arghhh...aku tak kira...walaupun aku salah,aku rasa aku tetap betul"


Bismillahirrahmaanirraheem...

Usul 8

"PERSELISIHAN FIQH DALAM PERKARA CABANG TIDAK SEPATUTNYA MENJADI SEBAB KEPADA PERPECAHAN DALAM AGAMA DAN TIDAK SEHARUSNYA MEMBAWA KEPADA PERBALAHAN ATAU PERMUSUHAN. SETIAP ORANG YANG BERIJTIHAD ADA PAHALANYA. WALAUBAGAIMANAPUN TIDAK ADA PENGHALANG BAGI MELAKUKAN TAHQIQ ILMU (PENJELASAN ILMU) DALAM MASALAH-MASALAH YANG DIPERSELISIHKAN DALAM SUASANA KASIH SAYANG KERANA ALLAH S.W.T. SERTA KERJASAMA DALAM MENYAMPAIKAN KEBENARAN TANPA MEMBAWA KEPADA PERTENGKARAN YANG DICELA SERTA TAASUB"

Pendahuluan

Usul ini dapat dilihat dari beberapa sudut tetapi membawa satu pengertian dan prisnip Islam yang amat besar dan mendalam.

Prinsip tersebut ialah kesatuan di dalam perselisihan. Tidak dapat dinafikan bahawa adalah satu realiti dan perkara yang tidak dapat dielakkan perselisihan dalam sesuatu perkara itu akan berlaku. Tetapi apa yang dilarang oleh agama ialah perselishan yang sebenarnya kecil tetapi dibesar-besarkan sehingga menjadi mudarat kepada perkara usul agama yakni kesatuan dan ukhuwah.

Dua pegangan ekstrem

Dua pegangan ekstrem umat Islam yang mengakibatkan kerugian ummah dan kehancuran tamadun Islam adalah:

1. Ada di kalangan para ulama dan orang awam yang berbalah dan taasub dalam perkara furuq (cabang) feqah sehingga hancur perkara usul di dalam Islam.

2. Takut dalam mentahqiq Ilmu sehingga islam menjadi jumud dan kaku serta tidak praktikal.

Pegangan yang sejahtera

Apabila melihat keadaan umat yang menyedihkan ini datang As syahid membawa apa yang dibawa oleh umat terdahulu mengenai pandangan yang sejahtera ini. Beliau memahami maksud syarak dan meneliti nas yang membawa kepada sikap tawazun (pertengahan) dan sederhana di dalam melihat dua perkara ini.

Pegangan tersebut ialah:

1. PERSELISIHAN FIQH DALAM PERKARA CABANG TIDAK SEPATUTNYA MENJADI SEBAB KEPADA PERPECAHAN DALAM AGAMA DAN TIDAK SEHARUSNYA MEMBAWA KEPADA PERBALAHAN ATAU PERMUSUHAN. SETIAP ORANG YANG BERIJTIHAD ADA PAHALANYA.

2. WALAUBAGAIMANAPUN TIDAK ADA PENGHALANG BAGI MELAKUKAN TAHQIQ ILMU (PENJELASAN ILMU) DALAM MASALAH-MASALAH YANG DIPERSELISIHKAN

dan perkara kedua ini dilakukan dengan syarat:

1. (dilakukan) DALAM SUASANA KASIH SAYANG KERANA ALLAH S.W.T. SERTA KERJASAMA DALAM MENYAMPAIKAN KEBENARAN

2. TANPA MEMBAWA KEPADA PERTENGKARAN YANG DICELA SERTA TAASUB"

Pandangan Islam mengenai perselisihan (Ikhtilaf) di dalam perkara feqah/harakiah (jamaah)

Di antara nas-nas Islam ada yang bersifat dzhonni al tsubut dan al dhilalah ataupun dzonni al dhilalah dan qatie al tsubut. Kedua-dua perkara ini menjadi ruang ijtihad sehingga hukum dapat dikeluarkan daripadanya berdasarkan qawaid (kaedah) syariah, nas-nasnya yang qatie (muktamad) dan maqasid (objektifnya) yang mu'tabarah.

Khilaf tidak dapat dielakkan. Firman Allah:

"dan kalaulah Tuhanmu kehendaki nescaya Dia menjadikan umat manusia umat yang satu, sedangkan mereka terus menerus berselisih" (Hud: 118)

Adab Ikhtilaf

1. Berkerjasama dalam perkara yang disepakati

2. Bermaafan dalam perkara yang diperselisihkan. Siapa yang betul ijtihadnya akan mendapat 2 pahala. Siapa yang salah ijtihadnya akan mendapat 1 pahala. Yang penting ada ijtihad dan ada sikap bertolak ansur dalam perkara yang diperselisihkan.

3. Memandang bahawa menjaga ikatan silaturahim adalah usul dalam agama sedangkan perselisihan feqah adalah perkara furuq. Bagaimana yang furuq boleh mengatasi yang usul? Ia seolah-olah mengatakan solat sunat kabliah lebih utama dari solat fardhu yakni sesuatu yang mustahil!

Penutup

Seseorang yang mengaku dirinya beriman kepada Allah dan Rasulnya akan mengembalikan segala ikhtilaf kepada al quran dan as sunnah. Apabila mereka meneliti dua perkara ini mereka akan faham bahawa perselisihan hanyalah satu perkara yang kecil yang sebenarnya tidak merugikan umat tetapi menguntungkan Islam sekirnaya ia dilakukan dengan kaedah dan dengan kefahaman yang betul. Inilah pegangan salafus soleh yang diajarkan oleh nabi s.a.w kepada para pengikut baginda.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 9:54 PM

 

~ Thursday, November 18, 2004



"Mat,ko kalau nak teliti apa2 sumber pun,jgn la sampai pakai kanta.Tak yah guna tu sume deh"

"Kau tak tau pape diam la...aku tak bawa spek la,sbb tu aku pakai kanta ni...sempret"


Bismillahirrahmaanirraheem...

Usul 7:

"SETIAP MUSLIM YANG TIDAK SAMPAI KE PERINGKAT MENILITI DALIL-DALIL CABANG (FURUQ) BOLEH MENGIKUT MANA-MANA IMAM. ELOK SEKIRANYA SESEORANG ITU CUBA UNTUK BERIJTIHAD SEKADAR YANG BELIAU MAMPU BAGI MENGETAHUI DALIL-DALILNYA. BELIAU JUGA HENDAKLAH MENERIMA SETIAP PETUNJUK YANG DISERTAI DENGAN DALIL APABILA BELIAU YAKIN DENGAN KEBAIKAN DAN ORANG YANG MEMBERI PETUJUK KEPADANYA. JIKA SEKIRANYA BELIAU TERDIRI DARI KALANGAN ORANG YANG BERILMU, BELIAU HENDAKLAH MENCUKUPKAN KEKURANGANNYA DARI SEGI ILMU SEHINGGA SAMPAI KE PERINGKAT MENILITI DALIL-DALIL HUKUM"

Pendahuluan

Usul ini membincangkan masalah ijtihad dan taqlid yang banyak menimbulkan perselisihan di kalangan umat. Ada di antara mereka yang terlalu mencuaikan dan ada yang teralu memberatkan sehingga umat keliru dan timbul perbalahan yang amat panjang.

Usul ini juga adalah kesinambungan dari usul yang lepas mengenai kaedah melihat dan meneliti pendapat ulama dan salafus soleh.

Umat Islam, dalam perkara ini, mengambi dua pendapat yang ekstreme berikut:

[1]. Beranggapan bahawa mazhab adalah bid'ah yang tertolak kerana pegangan yang sejahtera adalah dengan mengambil al-quran dan as sunnah dan beramal dengannya tanpa melihat kepada pendapat-pendapat ulama terdahulu.

[2]. Beranggapan pintu ijtihad telah tertutup dan wajib bertaqlid kepada satu imam tanpa soal.

Mengapa pendapat ini tertolak?

Menjawab dua persoalan di atas Syeikul Ibn taimiyah memberikan kata-kata yang pertengahan dan sejahtera:

Dalam pendapat [1] beliau berkata:

"Antara sifat melampau ahli kalam dalam ilmu fiqh ialah ada di antara mereka yang mewajibkan penilitian yang mendalam dan ijtihad dalam masalah-masalah furuq ke atas setiap orang sehinggalah orang-orang awam. Pendapat ini lemah kerana menuntut ilmu itu fardhu ain, iaitu mesti dilakukan oleh setiap orang dengan kemampuan yang ada, sedangkan kemampuan untuk meniliti dalil amat sukar bagi orang awam." ( Al Fattawa)

Dalam pendapat [2] ditambah:

" Dan ada di antara pengikut-pengikut mazhab yang mewajibkan taqlid kepada semua orang sama ada mereka ulama atau orang awam." (Al Fattawa)

Pendapat yang sejahtera dari Syeikul Ibn Taimiyah adalah:

"Pendapat majoriti umat ini adalah ijtihad dan taqlid itu adalah harus. Mereka juga tidak mewajibkan taqlid dan tidak mengharamkan taqlid kepada setiap orang. Ijtihad adalah harus bagi orang yang mampu berijtihad dan taqlid adalah harus bagi orang yang tidak mampu berijtihad"
( Al Fattawa: 20/202-203)

Nasihat as syahid kepada orang awam

SETIAP MUSLIM YANG TIDAK SAMPAI KE PERINGKAT MENILITI DALIL-DALIL CABANG (FURUQ) BOLEH MENGIKUT MANA-MANA IMAM. ELOK SEKIRANYA SESEORANG ITU CUBA UNTUK BERIJTIHAD SEKADAR YANG BELIAU MAMPU BAGI MENGETAHUI DALIL-DALILNYA. BELIAU JUGA HENDAKLAH MENERIMA SETIAP PETUNJUK YANG DISERTAI DENGAN DALIL APABILA BELIAU YAKIN DENGAN KEBAIKAN DAN ORANG YANG MEMBERI PETUJUK KEPADANYA.

Ini merupakan saranan kepada orang awam yang tidak sampai ke peringkat ilmu dalam meneliti dalil. Terdapat 3 peringkat dalam persoalan ini:

1. Mengikut (taqlid) kepada imam-imam mazhab. Kemduian;

2. Sekiranya mampu, meneliti dalil-dalil bagi menenangkan hati dalam permasalahan yang dirasakan samar-samar.

3. Sekiranya hendak mencari pendapat yang terbaik dalam mazhab-mazhab, boleh bertanyakan orang yang berilmu di dalam perkara perbezaan dalil dan boleh mengambil pendapat beliau dengan syarat diketahui ketinggian ilmunya, kita percaya dengannya dan dalilnya adalah dalil yang kuat terutama sekiranya pendapat beliau berbeza dengan pendapat imam mazhab yang kita pegang.

Nasihat Bagi orang yang berilmu (ulama)

JIKA SEKIRANYA BELIAU TERDIRI DARI KALANGAN ORANG YANG BERILMU, BELIAU HENDAKLAH MENCUKUPKAN KEKURANGANNYA DARI SEGI ILMU SEHINGGA SAMPAI KE PERINGKAT MENILITI DALIL-DALIL HUKUM"

Dalam perkara ini, as syahid memberikan nasihat kepada orang-orang yang berilmu agar mendalamkanilmu mereka sebelum membuat pengkajian dan penelitian dalam memberikan pendapat mana yang terkuat dalam pegangan mazhab atau imam-imam. Dengan ini dapatlah diambil kebaikan orang yang berilmu agar tidak dipersia-siakan.

Kesimpulan

Inilah kecenderungan as syahid dalam melihat kesahteraan umat tanpa codong ke mana-mana arah yang melampau. Tugas kita adalah menyatu umat bukan membuatkan jurang yang lebih besar lagi. Telah berlalu kerosakan umat pada zaman dahulu. Jangan diulangi perkara yang sama.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 7:42 PM

 

~ Wednesday, November 17, 2004



"Ikutilah saya jika saya benar...jika saya salah,jgnlah perangi saya,sebaliknya perbetulkan saya"

Bismillahirrahmaanirraheem...

Usul 6

"SETIAP KATA-KATA ORANG BOLEH DITERIMA ATAU DITOLAK KATA-KATANYA MELAINKAN KATA-KATA RASULLULAH S.A.W YANG MAKSUM. SETIAP YANG DATANG DARI SALAFUS SOLEH YANG BERTEPATAN DENGAN KITAB ALLAH DAN SUNNAH RASULNYA KITA MENERIMA DENGAN SEBULAT HATI. TETAPI JIKA BERLAWANAN DENGAN NYA MAKA KITAB ALLAH DAN SUNNAH RASULNYA LEBIH UTAMA DIIKUTI. WALAUBAGAIMANA PUN KITA TIDAK SEKALI-KALI MENGECAM ATAU MENDEDAHKAN PERIBADI-PERIBADI TERTENTU DALAM MASALAH YANG DIPERSELISIHKAN. KITA HANYA BERSERAH DENGAN NIAT MEREKA. SESUNGGUHNYA MEREKA TELAH BERLALU DENGAN APA YANG MEREKA LAKUKAN."

Pendahuluan

Usul ini menguatkan lagi usul-usul yang sebelumnya mengenai sikap sebenar yang harus ada pada seorang muslim. Pandangan as syahid adalah dengan memberikan satu panduan yang kukuh agar kita bersikap sederhana dan pertengahan dan tidak terlalu condong kepada kekerasan/taasub atau terlalu cuai terhadap mana-mana individu.

Beliau menunjukkan panduan yang benar yang dipegang oleh para sahabat dan golongan salaf dalam perkara ikhtilaf (perselisihan) ulama terutama bila melibatkan perkara-perkara cabang/furuq dalam Islam. Antaranya masalah feqah, harakah, perselisihan pendapat dan sebagainya.

SETIAP KATA-KATA ORANG BOLEH DITERIMA ATAU DITOLAK KATA-KATANYA MELAINKAN KATA-KATA RASULLULAH S.A.W YANG MAKSUM.

Beliau memulakan usul ini dengan satu kata-kata terkenal imam malik yang diguna pakai oleh ahli sunnah wal jamaah. Kata-kata ini mengandungi kebenaran bahawa setiap daripada kata-kata manusia itu boleh ditolak atau diterima melainkan kata-kata rasullulah s.a.w. Ini bagi mengelakkan sikap manusia agar terburu-buru menerima pendapat seorang yang dikatakan berilmu walhal dia mungkin salah atau terlalu taasub dengan kata seseorang tanpa menghiraukan sama ada pendapatnya tersalah atau benar.

Bagaimana kita mengambil pendapat golongan salaf?

Bagi meneruskan usul ini, as syahid kemudiannya memberikan panduan:

SETIAP YANG DATANG DARI SALAFUS SOLEH YANG BERTEPATAN DENGAN KITAB ALLAH DAN SUNNAH RASULNYA KITA MENERIMA DENGAN SEBULAT HATI. TETAPI JIKA BERLAWANAN DENGAN NYA MAKA KITAB ALLAH DAN SUNNAH RASULNYA LEBIH UTAMA DIIKUTI.

Pendapat manusia itu boleh jadi betul dan boleh jadi salah. Tidak semestinya mereka datang dari golongan awal Islam mereka semuanya betul dan juga kita tidak terlalu mencuai menyatakan mereka semuanya salah. Kata-kata dan pendapat mereka dilandasi dengan kitab Allah dan sunnah rasulNya. Mana-mana yang bertepatan dengan kedua ini kita terima dengan sebulat hati.

Kecantikan usul ini ialah penggunaan bahasa oleh as syahid. Beliau tidak mengatakan: "kalau bertentangan kita tolak" walaupun maksud ayat ini tidak salah, tetapi beliau menggunakan ungkapan: "...MAKA KITAB ALLAH DAN SUNNAH RASULNYA LEBIH UTAMA DIIKUTI." bagi melunakkan dan mengurangkan ketegangan yang telah lama berlaku terhadap umat Islam kerana pertentangan dan ketaksuban apabila kita menyatakan kesalahan pendapat golongan salaf.


Tidak mengecam peribadi

Salah satu pegangan ahli sunnah ialah selagi mana seseorang itu mengucap dua kalimah syahadah maka selama itu hartanya, darahnya dan kehormatannya selamat dari tangan muslim yang lain. Malah haram bagi kita menghina atau menjatuhkan peribadi muslim yang lain.

As Syahid menyatakan bahawa banyak berlaku dimana perselisihan pendapat dan perdebatan dalam masalah cabang ini akhirnya membawa kepada tuduhan-tuduhan dan penghinaan peribadi. Maka ada yang menyatakan Imam A ini kaki perempuan, peminum arak, atau si Syeikh B ini pembunuh sahabat dan sebagainya. Lantas As syahid memberikan kita sebagai umat terkemudian yang tidak menyaksikan atau mengetahui secara detail sejarah mereka dengan pegangan sejahtera:

WALAUBAGAIMANA PUN KITA TIDAK SEKALI-KALI MENGECAM ATAU MENDEDAHKAN PERIBADI-PERIBADI TERTENTU DALAM MASALAH YANG DIPERSELISIHKAN. KITA HANYA BERSERAH DENGAN NIAT MEREKA. SESUNGGUHNYA MEREKA TELAH BERLALU DENGAN APA YANG MEREKA LAKUKAN.

Dunia kontemporeri

Dalam dunia kontemporeri ini kita akan dapati juga pelbagai pendapat Islam dalam pelbagai hal. Umpamanya berbeza mazhab, atau jamaah Islam atau pegangan imam yang diikuti. Semuanya ini jatuh dalam lingkungan usul ini.

Perbezaan ini tidak seharusnya menjauhkan umat Islam. Tetapi seharusnya menguatkan lagi kerana mereka bantu membantu dalam perkara yang mereka sepakati dan memaafkan dalam apa yang mereka perselisihkan. Inilah sikap yang patut ada pada setiap muslim.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 7:50 PM

 

~ Tuesday, November 16, 2004



"Imam yg adil bkn mudah utk dicari.Mereka sanggup menggadaikan nyawa demi prinsip yg benar.Tidak hairanlah jika pandangan mereka wajar kita ikuti"

Bismillahirrahmaanirraheem...

Usul 5:

"PENDAPAT IMAM ATAU NAIBNYA DALAM PERKARA-PERKARA YANG TIDAK ADA NAS, YANG BOLEH MENERIMA ANDAIAN BERBAGAI SEGI DAN YANG BERHUBUNG DENGAN MASOLEH MURSALAH BOLEH DITERIMA SEKIRANYA TIDAK BERTENTANGAN DENGAN KAEDAH SYARAK. KADANG-KADANG IA BERUBAH MENURUT KEADAAN, URUF DAN ADAT. ASAL PADA IBADAT IALAH TAABUD TANPA MELIHAT KEPADA MAKNA-MAKNA. DAN ASAL PADA ADAT IALAH MELIHAT RAHSIA, HIKMAT DAN TUJUAN.

Umum

Di dalam usul ini As Syahid menjelaskan secara umum mengenai siasah syariah (Politik Islam) dalam pandangan yang sejahtera. Dalam pandangan yang pertengahan dan berobjektif. Ini bagi tujuan menjaga syariat Islam (Seperti usul 1) daripada dicemari oleh pemimpin-pemimpin yang menyalahi syarak.

"PENDAPAT IMAM ATAU NAIBNYA DALAM PERKARA-PERKARA YANG TIDAK ADA NAS, YANG BOLEH MENERIMA ANDAIAN BERBAGAI SEGI DAN YANG BERHUBUNG DENGAN MASOLEH MURSALAH BOLEH DITERIMA SEKIRANYA TIDAK BERTENTANGAN DENGAN KAEDAH SYARAK. KADANG-KADANG IA BERUBAH MENURUT KEADAAN, URUF DAN ADAT.

Imam di sini bermaksud khalifah yang menjadi hakim umum kepada muslimin. Naibnya pula adalah naib yang dilantik menjadi pemangku dan juga wakil-wail kawasan, wakil-wakil jabatan yang lain.

Pertama sekali kita dapat melihat hak-hak yang sepatutnya diberikan kepada imam dan naibnya yakni ketataan yang bersyarat kepada imam dan naibnya. Perkara-perkara yang melibatkan masoleh mursalah yang tidak menyalahi syarak adalah wajib untuk ditaati.

Pandangan ini antara menjadi kesalahan umat Islam sekarang ini yang memandang segala yang diambil oleh pemimpin sama ada bertentangan dengan syarak atau tidak dianggap boleh diambil sepenuhnya. Kerana mereka berhujah ketaatan kepada pemimpin adalah satu kewajipan. Sedangkan rasullulah s.a.w sendiri memerintahkan untuk tidak taat dalam perkara maksiat.

ASAL PADA IBADAT IALAH TAABUD TANPA MELIHAT KEPADA MAKNA-MAKNA. DAN ASAL PADA ADAT IALAH MELIHAT RAHSIA, HIKMAT DAN TUJUAN.

Kemudian disambung oleh as syahid kepada perkara kedua ini yakni dalam perkara ibadat khusus, kita menerimanya sebulat hati tanpa melihat kepada apakah tujuan perkara tersebut difardukan. Contohnya solat dan sebagainya. Maka tidak perlulah mencari-cari apakah kebaikan kita solat, apakah kelebihan kita puasa dll kerana pada orang yang beriman bila Allah katakan hendaklah solat, maka solatlah kita tanpa banyak soal.

Tetapi dalam perkara yang selain dari ibadah khusus, seperti adat adalah dengan melihat makna-maknanya, rahsianya hikmatnya sama ada ia memberikan kebaikan kepada umum masyarakat Islam dan tidak bertentangan dengan syariat Islam. Selagi ia memberikan kebaikan umum dan tidak bertentangan dengan syariat Islam, maka ianya diterima dan boleh diambil sebagai sebahagian daripada Islam.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 3:46 PM

 

~ Monday, November 15, 2004



"Adeh...tak guna ko harry porter,ingatkan magic broom ko ni power...pokok pun tak leh elak...hampeh"

Bismillahirrahmaanirraheem...

Usul 4

" TANGKAL, AZIMAT, AL WAD', AL MAKRIFAH, KIHANAH DAN DAKWAAN MENGETAHUI PERKARA HGAIB DAN PERKARA-PERKARA YANG TERGOLONG DALAM PERKARA INI MERUPAKAN PERKARA MUNGKAR YANG WAJIB DIPERANGI MELAINKAN JAMPI-JAMPI DARI AYAT QURAN ATAU JAMPI YANG MA'THURAH (DATANG DARI RASULLULAH S.A.W)"

Umum

Seperti yang diterangkan sebelum ini kedatangan mujadid as Syahid Hasan Al Banna adalah bertujuan untuk menjernihkan akidah dan kefahaman umat Islam mengenai Islam. Salah satu perkara yang mengotori 'rumah Islam' adalah kefahaman yang terpesong mengenai perkara ghaib, azimat tangkal dan sebagainya. Mereka beranggapan perkara ini boleh mengubat, membantu, menyelamat atau membinasakan mereka dan orang lain. Mereka ini adalah orang yang telah mensyirikkan Allah.

Termasuk dalam perkara ini adalah menilik nasib termasuklah mempercayai horoskop atau yang sewaktu dengannya.

Ada 3 golongan manusia dalam perkara ini:

1. Yang mengambil semua perkara ghaib, tangkal azimat dll tanpa ada batasan.

2. Yang menolak semuanya tanpa ada had dan batasan dan menganggap semuanya syirik.

3. Yang menolak mana-mana yang bertentangan dengan syarak dan mengambil mana yang bersumberkan daripada doa atau amalan nabi atau ayat quran yang sarih (jelas) dan sahih (sahih).

Yang ketiga adalah langkah lebih selamat dan sejahtera serta sederhana.

Dalil pengharaman

Sabda rasullulah s.a.w
"Sesiapa yang menggantungkan tamimah (dengan tujuan utk mendapatkan kesempurnaan) maka Allah tidak akan menyempurnakannya. dan sesiapa yang menggantungkan wad'ah (dengan tujuan mendapat keamanan) nescaya Allah tidak akan memberikan keamanan padanya." (HR Ahmad)

Sebab pengharaman perkara ini

i) Allah yang memberikan mudarat dan memberikan manfaat semata-mata dan bukannya perkara-perkara ini.

ii) Tiada siapa yang mengetahui perkara ghaib kecuali Allah.

tangkal yang berasal dari al quran/doa nabi s.a.w

Dalam hal ini ulama telah sepakat harus menggunakannya dengan memenuhi 3 syarat berikut:

1. Ianya al quran, nama Allah dan sifatNya *
2. Dengan bahasa Arab yang difahami maknanya
3. Beri'tiqad bahawa tangkal tidak boleh memberi kesan dengan sendirinya tetapi segala-galanya datang dari Allah.

* Ada tok bomoh yang menggunakan bahasa arab atau tulisan arab dan mengatakan ianya ayat quran. Berhati-hati dengan orang sebegini kerana mungkin ayat yang mereka gunakan bukan ayat quran atau ayat quran yang dipecah2kan ayat2nya dan disambung sesuka hati atau dicampurkan dengan ayat2 yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Maka ini adalah tertolak.

Penggunaan perkara ini hendaklah dilakukan dengan berhati-hati kerana rumah Islam itu hendaklah dibersihkan daripada kekotoran akidah sebegini.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 4:04 PM

 

~ Sunday, November 14, 2004



"Ya mari tuan-tuan dan puan-puan sekalian...mari tilik nasib tuan-tuan dan puan-puan sekalian...jgn tinggalkan peluang keemasan ini"

"Tuk Bomoh...tolong tilik sama ada saya masuk syurga atau neraka boleh tak?"

"Erk...aaa...tilik tu tak boleh sbb Tuk takde 'access' ke Sidratul Muntaha utk communicate dgn Allah"

"Power plak Tuk Bomoh ni bab2 agama...tp sayang keja buat benda2 syirik dan menipu org"


Bismillahirrahmaanirraheem...

Usul 20

Usul 3

"IMAN YANG BENAR, IBADAH YANG SAH DAN MUJAHADAH MERUPAKAN CAHAYA DAN KEMANISAN YANG DICAMPAKKAN OLEH ALLAH KE DALAM HATI SESIAPA YANG DIKHENDAKI DIKALANGAN HAMBA-HAMBANYA. TETAPI ILHAM, LINTASAN-LINTASAN HATI, KASYAF DAN MIMPI BUKANLAH DALIL HUKUM SYARAK. IA TIDAK DIAMBIL KIRA KECUALI DENGAN SYARAT TIDAK BERLAWANAN DENGAN HUKUM DAN NAS AGAMA"


Perkaitan usul ini dengan usul 2

Setelah as syahid menerangkan tentang sumber hukum Islam yang tidak boleh dipertaikan (AL Quran dan as Sunnah), As syahid menyentuh mengenai satu lagi perselisihan umat yang terlalu lama dan membawa banyak kerosakan.

Di dalam hal ini ada umat yang terlalu mencuaikan dan ada yang terlalu menyempitkan. Hasan Al Banna membawa kaedah yang tawazun (seimbang) dalam melihat perkara ini.

Golongan yang mencuaikan adalah golongan yang mengambil mimpi-mimpi tok syeikh, kasaf, lintasan hati dan sebagainya seolah-olah ia adalah sebahagian dari syariat.

Golongan yang terlalu menyempit adalah yang menolak terus kewujudan perkara-perkara ini.

Iman yang benar

As Syahid menyebut:

"IMAN YANG BENAR, IBADAH YANG SAH DAN MUJAHADAH MERUPAKAN CAHAYA DAN KEMANISAN YANG DICAMPAKKAN OLEH ALLAH KE DALAM HATI SESIAPA YANG DIKHENDAKI DIKALANGAN HAMBA-HAMBANYA."

Penerangan ini membawa kita kepada satu pegangan ahli sunnah bahawa dari iman yang suci, ibadah yang sahih dan muhajadah yang berterusan tanpa ada unsur-unsur melampai akan memberikan kesan-kesan yang baik kepada individu tersebut. Maka ada di antara mereka yang berkebolehan menyingkap perkara yang tidak dapat disingkap oleh orang lain dan membezakan perkara-perkara syubahat dengan unsur-unsur luar yang tidak ada berkaitan dengan agama.

Allah juga memberikan kepada mereka rasa kemanisan iman yang tinggi. Firman Allah:

"Wahai orang-orang yang beriman. Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu furqan (petunjuk yang dapat membezakan haq dan batil)" (AL Anfal : 29)

Saidina Umar pernah berkata: "hampirilah orang-orang yang taat dan dengari kata-kata mereka. Sesungguhnya akan lahir dari merela perkara-perkara yg benar iaitu perkara-perkara yang didedahkan oleh Allah s.w.t kepada mereka. telah thabit bahawa wali-wali Allah itu diberikan ilham dan kasyaf" (Al Fatawa : 11/204, 205)

Antaranya satu kisah dimana umar Al Khattab berkhutbah di atas mimbar tiba-tiba menghentikan khutbahnya lalu berkata: Wahai Sariyah (pasukan tentera), ke bukit!, kebukit!" (Sirah dan Manaqib Umar : 172, 173)

Hukum Ihlam, mimpi dan kasyaf

As Syahid menyebut:

"TETAPI ILHAM, LINTASAN-LINTASAN HATI, KASYAF DAN MIMPI BUKANLAH DALIL HUKUM SYARAK. IA TIDAK DIAMBIL KIRA KECUALI DENGAN SYARAT TIDAK BERLAWANAN DENGAN HUKUM DAN NAS AGAMA"

Ramai kesilapan golongan yang menerima kata-kata seornag wali atau tok syeikh mereka seolah-olah ia adalah satu hukum yang tidak boleh dipertikaikan. Ada yang mengambilnya seperti syariat sehingga ada yang mengatakan: Guruku berkata aku telah mencapai tahap tertinggi iman maka tidak perlu lagi solat atau yang sewaktu dengannya.

Ilham, kasyaf dan mimpi tidak mendatangkan syariat atau boleh meubah syariat yang telah sedia ada. Ia bukannya hukum yang diwajibkan untuk diambil.

Persoalannya: apakah faedah kewujudan semua ini?

Jawapannya sekiranya ia tidak menyalahi syarak dengan erti kata mimpi, kasyaf atau lintasan hati tadi hanya membenarkan syarak dan bukan menyalahinya.

Ibn Taimiyah pernah berkata: "Mimpi semata-mata tanpa dalil terhadap kesahihannya tidak mensabitkan satu perkara dengan sepakat ulama" (al fatawa: 27 / 458)

Kesimpulan:

1. Menjaga sumber syarak daripada dicemari dan kekal dalam keadaan bersih.

2. Kesederhanaan dengan menerima kewujudan ilham, khasayf, mimpi tetapi menolak ia sebagai sumber hukum dan syariat.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 6:17 PM