~Eratkan Ukhuwah Gerakkan Islah~

 

~ Thursday, June 23, 2005



Pernikahan, kemuliaan akhlak mampu kawal nafsu syahwat Oleh Dr Danial Zainal Abidin

SEKS adalah satu unsur yang boleh membantu kecemerlangan anda. Justeru, kemampuan untuk meletakkannya pada perspektif yang betul penting supaya ia menjadi seperti garam secukup rasa dalam hidup.
Jika mengambilnya secara berlebihan atau melampaui batas, anda akan terbabas di dunia dan akhirat.


Apa yang saya tulis ini bukan sangat tips mengenai seks, tetapi lebih kepada peringatan mengenainya.

Seks membicarakan mengenai jantina serta sifat yang membezakan antara lelaki dan perempuan. Antara hikmah penciptaan Allah, kita perlu menggunakannya secara betul. Kita menghormati mereka yang berlainan jenis dan tidak menzalimi mereka.

Seks juga membicarakan kehendak nafsu syahwat agar akhirnya kita mampu meletakkan nafsu ini di tempat yang terbaik baginya.

1. Nafsu seperti layang-layang

Pernahkah anda melihat layang-layang yang cantik melayang-melayang dan menari-nari di udara? Ia suatu pemandangan mengasyikkan! Tahukah anda mengapa layang-layang itu terus menjadi cantik dan mampu terus melayang-layang di udara dan mengasyikkan? Ia disebabkan benangnya mantap dan tidak putus. Apabila benang itu putus, hilanglah kecantikan layang-layang itu. Akhirnya, tersadai di tempat yang tidak menentu, menanti kehancuran! Demikianlah dengan nafsu termasuk nafsu seks. Apabila benang agama terputus daripadanya manusia akan tersadai di tempat yang hina menanti kehancuran.

2. Seks adalah keperluan fitrah

Insan perlukan seks kerana ia adalah keperluan atau fitrah manusia. Justeru, dalam Islam konsep hidup ala rahib tidak pernah ada kerana agama Islam melayani fitrah manusia. Namun, keperluan seks perlu diimbangi dengan nilai akhlak.

Akhlak tidak menghalang kehendak fitrah, tetapi mencantikkannya. Contohnya, Islam tidak pernah menyuruh kita menutup nafsu seks, sebaliknya menyalurkannya kepada suatu yang murni, selamat dan mendamaikan.

Perkahwinan adalah salurannya. Alangkah indahnya firman Allah bermaksud: "Isterimu adalah ladang bagimu maka datangilah isterimu dengan cara mana yang kamu mahu." (Surah al-Baqarah, ayat 223). Dalam bahasa mudah, selepas berkahwin, puaskanlah nafsumu dengan isterimu sesuka hatimu, melainkan dengan cara yang jelas diharamkan kerana kemudaratannya.

3. Seks adalah amanah

Tubuh adalah amanah anugerah Allah. Justeru, anggota seks juga adalah amanah. Apa pendapat anda jika seseorang diberikan wang, kemudian dia meletak dan menggunakannya sesuka hatinya? Pasti anda akan mengatakan beliau seorang yang tidak jujur! Demikian juga dengan alat kelamin. Ia diberikan Allah kepada anda. Jika anda lakukan sesuka hati tanpa mengikut panduan agama, anda juga boleh dihukum sebagai seorang yang tidak jujur.

Justeru, sahabat nabi, Abdullah ibn Amr ibn Al-As, berkata: "Amanah adalah alat kelamin manusia. Jika manusia mampu menjaga amanah ini, Allah akan memelihara diri dan keturunannya!"

4. Seks bukan sekadar memuaskan nafsu.

Seks yang sebenarnya adalah hubungan kerohanian dan fizikal yang terjalin antara sepasang suami isteri yang berkahwin secara halal. Ia dinaungi landasan syariat yang suci, demi untuk mencari keredaan Ilahi.

Seks adalah satu hubungan suci antara dua insan, lelaki dan perempuan. Seks yang suci ini amat mendamaikan. Allah berfirman bermaksud: ÔÇťAntara tanda kebesaran Allah adalah Dia menjadikan bagimu jodoh daripada jenis manusia sepertimu agar kamu berasa tenteram bersamanya dan dijadikan-Nya antaramu perasaan kasih sayang dan belas kasihan." (Surah ar-Rum ayat 21).

BBC Health bertarikh 3 Februari, 2001 melaporkan, komunikasi dua hala yang baik penting untuk menghasilkan seks bermanfaat. Untuk mencapainya, empat ramuan komunikasi perlu dihayati dalam hidup, iaitu, kemesraan, saling faham memahami, keterbukaan dan bertolak ansur.

5. Seks yang halal adalah ibadah.

Ibadah mendatangkan pahala, rahmat dan keberkatan. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah dalam hadis :"Sahabat-sahabat Nabi bertanya, Ya Rasulullah, adakah jika salah seorang daripada kami memuaskan nafsu syahwatnya secara halal, dia diganjari pahala? Bersabda Nabi Muhammad: Tidakkah jika kamu memuaskan nafsu secara haram kamu berdosa? Justeru, jika kamu melakukannya secara halal kamu memperoleh pahala!" (Hadis riwayat Muslim)

6. Tidak cukup sekadar memakai kondom

Barat menghalalkan hubungan seks luar nikah. Penting bagi mereka memakai kondom agar kaum Hawa terpelihara daripada HIV/Aids. Dalam Islam zina adalah haram. Zina bermaksud, hubungan seks luar nikah yang dilakukan secara reda antara seorang lelaki dan perempuan. Ia walaupun dilakukan dengan reda adalah haram dan berdosa.

7. Zina ada padahnya

Antara padahnya kesan negatif di sudut emosi. Dr David Weeks, seorang pakar neuropsikologi dari Hospital Royal Edinburgh, Scotland membuat kajian selama 10 tahun untuk mengenal pasti kesan seks ke atas kesihatan manusia. Beliau memberi amaran bahawa perubahan positif dari hubungan seks tidak akan berlaku ke atas mereka yang suka bertukar-tukar pasangan. Malah, kadang kala mereka seperti ini mengalami perubahan negatif disebabkan kerisauan dan tekanan yang sering melanda mereka hasil daripada perbuatan itu. (Rujuk BBC News, Sex Keeps You Young, 10 March 1999)

Di sudut agama, padahnya lebih jelas lagi. Nabi Muhammad bersabda: "Wahai Muslimin, jauhilah zina kerana perlakuannya mendatangkan enam keburukan, tiga di dunia dan tiga di akhirat. Adapun tiga yang diperoleh di dunia adalah hilangnya seri pada wajah, memendekkan umur dan mendatangkan kefakiran. Tiga yang diperoleh di akhirat adalah kemurkaan Allah, hisab yang buruk dan azab neraka!" (Hadis riwayat Ahmad, Ibn Hibban dan al-Hakim)

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 11:42 PM

 

~ Wednesday, June 22, 2005



Perkahwinan Berasaskan Ibadah Jamin Kebahagiaan

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

Hujung minggu lalu, ketika meraikan perkahwinan anak saudara di Johor Bahru, Johor kedengaran pelbagai ucapan selamat daripada para jemputan. Wajah mempelai berseri-seri kerana bahagia membina mahligai impian. Rata-rata ucapan yang diberikan seperti di bawah:

"Selamat pengantin baru semoga berbahagia sehingga ke anak cucu."

"Selamat berbahagia semoga kekal di dunia dan akhirat."

"Selamat pengantin baru, semoga berbahagia."

Ada yang hadir menyampuk dan bergurau apabila mendengar ucapan tadi dengan kata-kata:

"Pengantin hanya berbahagia sehingga mendapat cucu, selepas mendapat cucu hilanglah kebahagiaan atau bercerai apabila telah bosan atau tua."

"Apalah guna kekal bersama sehingga ke akhirat jika seorang di syurga dan seorang di neraka?"

"Bahagia adalah bersifat sementara dan relatif dengan faktor suasana dan masa."

Jadi, saya katakan kepadanya, berilah ucapan terbaik (sebenarnya doa) daripada sunnah Rasulullah SAW, maksudnya: "Semoga Allah memberi barakah bagi kamu dan memberkati keluarga kamu, dan mengumpulkan kamu dalam kebaikan dan kepada kebaikan." (Dalam bahasa Arabnya: Barakallah laka, wa barakallahu alaika wa jamaa bainakuma fi kulli khair)

Inlah doa untuk pengantin yang diajarkan oleh Rasulullah agar pengantin mendapat kebaikan dan kebahagiaan di dunia (generasi demi generasi dan di akhirat lagi diberkati Allah). Kita doakanlah pengantin yang diraikan dengan doa ini.

Justeru, asas perkahwinan yang bagaimanakah yang paling membahagiakan?

Semua perkahwinan mengharapkan kebahagiaan, tetapi berapa orangkah yang dapat menikmati bahagia? Apakah asas perkahwinan yang membuahkan kebahagiaan berpanjangan?

1.Jika asas perkahwinan adalah kerana seks, maka pasangan akan selalu bertengkar jika suasana di bilik tidur tidak memuaskan.

2.Jika asas perkahwinan adalah kerana harta, maka pasangan bakal bercerai jika ekonomi dalam rumah tangga merudum dan muflis.

3.Jika asas perkahwinan kerana kecantikan wajah dan tubuh badan, pasangan akan lari apabila rambut beruban, muka kerepot atau badan jadi gendut.

4.Jika asas perkahwinan kerana anak, maka pasangan akan mencari alasan untuk pergi jika hati (anak) tidak hadir.

5.Jika asas perkahwinan kerana keperibadian, pasangan akan lari jika orang berubah tingkah lakunya.

6.Jika asas perkahwinan kerana cinta, hati manusia itu tidak tetap dan mudah terpikat pada hal yang lebih baik, tambahan pula manusia yang dicintai pasti mati atau pergi.

7.Jika asas perkahwinan kerana ibadah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu kekal dan Maha Pemberi Hidup kepada makhluk-Nya. Allah mencintai hamba-Nya melebihi seorang ibu mencintai bayinya.

Maka, tidak ada alasan apa pun di dunia yang dapat meretakkan rumah tangga kecuali jika pasangan menderhakai Allah.

Kebahagiaan dalam perkahwinan mesti dimulakan dengan langkah yang pertama iaitu pemilihan yang tepat!

Pemilihan tepat perlukan kriteria pemilihan. Kita perlu bertindak dengan berhati-hati dan cermat dalam membuat pilihan agar tidak tersalah pilih.

Ingatlah bahawa Allah memakbulkan permintaan kita menurut kehendak 'niat'. Jika kita menginginkan jodoh baik, mula dari diri sendiri menjadi baik dan carilah di tempat baik pula.

Diriwayatkan daripada Umar bin Khattab bahawa Rasulullah bersabda bersabda bermaksud: "Pahala perbuatan itu tergantung niatnya, setiap orang akan mendapat pahala sesuai dengan niatnya. Sehingga, sesiapa saja yang berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya bernilai di sisi Allah dan rasul-Nya, dan sesiapa saja berhijrah kerana keuntungan dunia atau kerana untuk menikahi wanita, maka yang diperolehnya hanya terbatas apa yang diniatkannya." (Hadis riwayat Bukhari).

Rasulullah bersabda bermaksud: "Orang mengahwini wanita kerana empat perkara iaitu hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Oleh itu, carilah wanita yang mempunyai agama (kerana kalau tidak) binasalah dua tanganmu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis itu tidak hanya merujuk kepada pihak lelaki, malah wanita dalam memilih calon suami.

Oleh kerana Rasulullah tidak merumuskan bentuk tertentu daripada perkataan binasa, berkemungkinan besar yang dimaksudkan 'binasa' adalah penderitaan batin kerana ketegangan yang berlaku akibat salah memilih teman.

Janganlah terpedaya dengan keindahan fizikal dan duniawi semata-mata dan mengaburkan tujuan perkahwinan yang sebenarnya iaitu penyempurnaan ketakwaan kepada Allah.

Jodoh memang sudah ditetapkan Allah, tetapi sesuai dengan hukum-Nya, Allah tidak akan menjodohkan seseorang yang soleh dengan seorang penzina. Jika ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka mulalah dengan memperbaiki diri sendiri kerana Allah menetapkan takdir, bahawa:

" (Lazimnya) perempuan yang jahat untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih daripada (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (daripada Allah) dan pengurniaan yang mulia." (Surah an-Nur, ayat 26)

Bagaimanakah kita akan mendapat pasangan sebaik Saidatina Siti Khadijah atau Siti Fatimah jika tidak sebaik Rasulullah atau Saidina Ali.

Semoga pemilihan yang berdasarkan kepada kriteria itu atas akan mendapat kebahagiaan hakiki di dunia dan akhirat.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 11:09 PM

 

~ Tuesday, June 21, 2005



Rahsia Jadi Ayah Yang Berkesan Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

Beberapa kajian menunjukkan bahawa kehadiran ayah menyumbang terhadap kejayaan anak dalam setiap fasa kehidupan mereka. Kajian itu disimpulkan dalam Father Facts, Edisi Ketiga (1998), antaranya:

Bayi yang mempunyai ayah yang selalu bersama-sama anaknya di lapan minggu pertama, lebih berkemampuan menangani tekanan di alam persekolahan.

Anak yang rapat dengan ayahnya pada zaman kanak-kanak menjadi ejen 'penyelesai masalah' yang baik apabila dewasa berbanding kanak-kanak yang tidak dipedulikan oleh ayahnya.

Apabila anak lelaki dan perempuan dididik dan dibelai oleh ayahnya serta sentiasa di sampingnya, sikap mereka apabila dewasa menjadi lebih berinisiatif dan mampu mengawal diri.

Kanak-kanak yang mempunyai hubungan rapat dengan ayahnya ketika zaman tumbesarannya akan menjadi seorang remaja dan orang dewasa yang seimbang.

Anak yang tidak berbapa.

Kajian menunjukkan kekosongan daripada belaian kasih ayah mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai permasalahan gejala sosial dan prestasi pembelajaran anak-anak. Anak yang tidak tinggal dengan ayahnya menunjukkan gejala seperti di bawah:

1. Lima kali lebih teruk prestasi pembelajaran.

2. Tiga kali lebih ramai yang mengandung tanpa nikah.

3. Lebih 50 peratus kemungkinan keciciran dalam pembelajaran, terbabit dengan gangsterism, penyalahgunaan dadah dan jenayah juvana.

(Sumber: Pusat Kebapaan Kebangsaan)

Tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan.

Ramai lelaki terbilang berjaya dan berbangga kerana menjadi seorang ayah cemerlang dan berkesan. Menurut kajian Dr Ken Canfield, pengasas dan juga Presiden Pusat Kebapaan Kebangsaan dalam penyelidikannya mengenai 'kebapaan' ada tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan:-

1.Bapa yang komited dan bertanggungjawab.

Jalankan tugas bapa dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Kenal pasti apakah tugas anda sebagai bapa dalam rumah tangga. Tunjukkan dan beritahu anak bahawa anda juga ada tugas dalam rumah tangga, disamping ibu mereka.

Anda bukan hanya bertugas di luar. Sekali-sekala berikan mereka peluang untuk mengutarakan pandangan atau menegur anda jika terlupa atau terlalai melakukan tugas anda di rumah.

Selalu memeriksa dan memantau apakah anda telah melaksanakan tugas di rumah. Bayangkan 'hadiah' atau 'anugerah' yang bakal didapati (sama ada di dunia atau akhirat) jika anda menjadi ayah cemerlang!

2. Kenali anak anda.

Ambil masa untuk mengenali secara khusus keunikan dan kualiti anak anda. Libatkan diri dalam dunia mereka, hadiah yang mereka sukai, ketakutan, kekecewaan malah impian dan cita-cita mereka. Cuba ingatkan semua nama kawan mereka serta pembawaan masing masing.

Kenal pasti apa yang selalu mengecewakan, ditakuti, dibenci, paling memalukan serta yang boleh memberi motivasi dan perangsang kepada mereka

3. Istiqamah (tetap pendirian)

Apabila anak tahu apa yang bapa mahukan, mereka akan lebih berasa yakin serta boleh menyesuaikannya dengan kehendak anda. Jadi, istiqamah, tetap pendirian serta konsisten.

Ada enam tempat anda perlu konsisten iaitu hadkan perubahan mood (jangan terlalu mengikuti perasaan); sentiasa ada di rumah (selalu menghadirkan diri dalam acara kekeluargaan); kotakan apa yang dikata, bukan cakap tidak serupa bikin; sentiasa menjaga moral dan adab sopan; mempunyai atur cara kehidupan teratur serta ada hobi dan kegemaran baik yang boleh dilihat dan diikuti.

4. Melindungi, menyara dan mendoakan.

Sediakan suasana dan rasa selamat dalam rumah dengan memberikan respon yang positif setiap kali berlaku krisis dan permasalahan dalam rumah. Paling penting anda memberikan saraan yang cukup kepada mereka. Bapa tidak boleh menghalang berlakunya krisis, tetapi tindakan anda ketika berlaku krisis dan mengembalikan suasana normal, sebenarnya 'mengajar' anak menangani krisis. Jangan lupa doakan untuk anak selepas solat.

5. Mencintai ibu mereka.

Zahirkan cinta anda kepada isteri anda di depan anak untuk menunjukkan satu hubungan suami isteri yang intim dan bermakna. Jadikan diri anda sebagai anggota dalam pasukan 'keibubapaan', bukan hanya ibu. Inilah langkah dan hadiah terbaik untuk anak.

Dalam jangka panjang, anak mendapat manfaat yang sangat bernilai daripada hubungan ibu bapa yang hormat menghormati, bekerjasama dan berkasih sayang.

6. Menjadi pendengar yang baik

Sedarlah bahawa anak mudah tersesat atau terpesong dalam arus dunia. Dengar apa yang mereka katakan dan apa yang tidak terluahkan. Tunjukkan kepada mereka bahwa mereka 'berhak' untuk didengari dan diberi perhatian.

7.Jadikan diri anda 'pemimpin' kerohanian.

Beri peluang anak anda mengenali Allah dengan menunjukkan 'keimanan' dan amal harian anda yang selari dengan tuntutan agama. Bersolat bersama-sama dan jadi imam dalam solat lima waktu di rumah. Bawalah mereka bersama-sama menunaikan solat berjemaah di masjid. Selalu bercerita mengenai makhluk yang dicintai Allah di bumi dan langit.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 7:48 PM

 

~ Monday, June 20, 2005



Bismillaahirrahmaanirraheem.Segala puji bagi Allah,Tuhan sekalian alam kerana limpah kurnia dan inayahNya masih lagi dikurniakan nikmat iman dan Islam.Insya Allah doakan aku supaya saki baki umur ini dimanfaatkan ke arah jalan dakwah yg ku cintai.So spt yg aku janjikan semalam,aku akan sambung citer pengalaman time OBS selama 2 minggu kat Lumut.

Hari kelapan kitorang balik semula ke kem OBS.Dlm jam 8 pagi kitorang dah mendayung whaler balik.Alhamdulillah cuaca baik je.Syukur Allah permudahkan segala urusan time perjalanan.Cuma bila nak sampai tu je kena dayung kuat sket sbb arus kuat.Dlm pada tu,sorang dak pompuan muntah.Pecah gak rekod supaya takde org yg muntah.Utk ptg takde apa sangat,cuma malam tu kitorang diberitahu akan masuk hutan utk solo camp.Ehe,tak dinafikan aku agak cuak gak time tu,tp kena control macho la.So malam tu kitorang agihkan makanan siap2 utk setiap org sbb kena masak sendiri and pasang khemah sendiri.

Hari kesembilan plak bermula la solo camp.Mmg bosan gile duk dlm hutan sensorang selama 24 jam.Jarak antara setiap org ada la dlm 5-10 meter je.Since aku selalu bangun awal dan ada alarm watch,aku diletakkan kat paling hujung sekali.Kira org yg paling jauh dlm hutan la.Hampeh tul dak2 ni menggunakan jam aku utk kasi aku duk last sekali.Dah selesai masak tghari tu sume,mula la kesangapan melanda.Aku jenjalan la dlm hutan tu.Tgk ada group lain tak jauh dari khemah aku,kurang la sket rasa cuak dan takut tu.Derang minta aku azan each time masuk waktu zohor,maghrib,dan subuh.Pesanan aku kat kengkawan,jgn bawa jam tangan masuk hutan sbb nanti anda akan dieksploitasikan...hehehe.Kitorang pilih waktu zohor n maghrib sbb buat jama' n qasar terus.Alhamdulillah masakan aku menjadi plak.Ada la dak pompuan yg tak dpt masak sbb tak reti idupkan api.Kesian gak la aku tgk derang.Mlm tu aku susah sket nak tido sbb ada org karaoke kat teluk batik.Boleh dgr sampai dlm hutan tu,gile huduh suara.Tgh malam tu plak hujan turun lebat.Since khemah aku kat lereng bukit,maka mengalir la air ke dlm khemah aku.Dugaan...menangis tak bersuara aku malam tu.Abis baju aku basah.Terpaksa tido pakai seluar je.Tu pun mujur aku pakai track bottom yg kalis air.Dah la angin kuat gile,menggigil gak la malam tu.Tapi kira ok la takde kena ganggu pape.Ada group lain tu kena ganggu dgn makhluk halus n binatang liar.Tp sebenarnya dlm sangap2 tu,kalau kita rajin berfikir mmg masa tu tak membazir gitu je.Bila duk sunyi tu aku teringat cam mana perasaan Nabi Adam sensorang duk syurga.Mmg betul la manusia ni memerlukan teman.Pastu bila aku tgk kat tanah,nampak semut-semut berjalan dlm baris yg sama.Kalau ketua dia belok kanan,yg lain pun belok kanan.Teringat plak kat kisah raja semut yg mengarahkan anak2 buahnya masuk ke dlm tanah sbb Nabi Sulaiman dan tenteranya nak lalu.Jelas menunjukkan semut ni makhluk Allah yg patuh.Mmg waktu sunyi adalah waktu yg sesuai utk kita berfikir dan memuhasabah diri.Agaknya tu la sbbnya Rasulullah suka beruzlah kat Gua Hira'.Byk perkara yg boleh difikirkan disebabkan ketenangan yg adaa.

Hari kesepuluh lak kitorang packing2 balik semula ke kem OBS.Since aku kat paling hujung hutan,aku ditugaskan kutip sume member bawa balik ke kem.Sekali lagi aku dibuli dan dieksploitasikan.Ptg tu plak kitorang berlatih berkayak sbb esoknya nak berkayak ke Teluk Sekadeh,Pulau Pangkor.Nak dijadikan citer,aku terpaksa dipasangkan dgn sorang dak pompuan yg paling cepat panik dlm group aku.Adeh,pening aku seh.Kitorang start dgn sesi berenang pakai life jacket.Kitorang mesti berenang berpasangan.Minah ni plak cuak gile sbb kitorang kena berenang sampai ke tgh laut.Aku kena follow dia je la.Dia punya cuak tu sampai air laut pun aku tertelan.Kalau la sesi tu sehari suntuk,mau satu laut tu aku terminum agaknya.Bila naik ke darat tu dia still dgn cuak dia.Aku dah tak larat nak kejar,kembung perut dek air laut.Serius tension.Aku rasa nak muntah pun ada,masin gileeeee air laut...huhuhu...Pastu kitorang berlatih apa yg perlu buat bila kayak capsize@terbalik.Sekali lagi dgn malangnya aku dan minah cuak tu terpilih utk menjadi pengayak yg kayaknya sengaja diterbalikkan.Yg lain plak akan tolong kitorang naik atas kayak balik.Adeh,instructor tu mmg sengaja pilih kitorang sbb dia nak minah tu yakin sket.Bila dah terbalik tu,aku lupa plak nak tahan napas.Waduh2,bkn kembung lagi dah,tp buncit perut aku minum air laut.Aku naikkan kepala atas air je minah tu terus jerit2 tarik badan aku.Tenggelam timbul aku dibuatnya,sabo je la.Aku pun dah tak berdaya dah,lantak ko la nak buat ape.Perut aku dah tak tahan gile menahan sakit minum air laut.Habis je sesi tu,aku bersyukur gile.Jgn le esok capsize ke ape,aku tak sanggup dude.

Hari kesebelas kitorang berkayak ke pulau pangkor.Dlm sejam lebih sampai la ke destinasi yg dituju.Aku sengaja kayak laju2 supaya minah tu tak cuak.Kang pelan2 sangat dia cuak sbb tertinggal jauh.Pandai gak OBS pilih teluk sekadeh tu.Mana taknya,beruk2 situ bijak gile.Pandai curi makanan kitorang.Bkn tu je,siap curi sudip n kencing kat kitorang lagi.Tu tak kira dia mengawan terang2an.Takde tapis punyaaaa.Yg lagi bijak dia boleh pi buka cerek air teh kitorang pastu kacau air teh tu pakai tangan.Nak muntah aku menengoknye.Pastu baru la aku teringat kisah kaum Yahudi yg disumpah Allah menjadi monyet.Ada mufassir lain kata disumpah perangai mereka spt monyet.Apa2 pun Allah murka dgn derang dan monyet adalah contoh haiwan yg hodoh tabiatnya.Kalau nak dibandingkan perangai org yahudi dgn monyet2 tu mmg ada.Subhannallah mmg Al Quran adalah mukjizat yg terbesar kerana ianya hanya boleh dilihat dgn akal manakala mukjizat lain hanya boleh dilihat dgn mata.Ptg tu kitorang buat repelling.Repelling ni turun dari tempat tinggi menggunakan tali.Sebiji rupa cam askar turun dari helikopter tu la.Best gile,aku rasa cam nak buat lagi sekali je.Mlm tu aku terjaga sbb ada binatang lalu kat tepi khemah.Malangnya aku tak sempat nak capai spek,so aku tak nampak sangat.Tapi agak pelik sbb binatang tu tak bersuara langsung bila aku suluh lampu kat mata derang.Binatang tu jalan selamba je.Kengkawan aku kata anjing,wallahu a'lam.Aku tak penah lagi jumpa anjing dlm hutan.

Hari kedua belas kitorang berkayak pulang semula ke kem OBS.Sekali lagi aku kena jd captain.Tension tul aku.Kalau partner aku gempaq ok la gak,sekali partner aku ni minah yg kuat cuak.Mmg aku kena pandai main phsycology la.Sekali minah ni bersemangat gile berkayak.Laju gile,pancit aku kat belakang.Tp kena pandai2 cover la.Bila aku dah penat tu,aku suruh la dia turn kayak tu ke kanan or kiri.Sbb bila turn kayak,aku tak yah dayung.Org depan je kena dayung.Gile pandai tak aku...hihihi.Kebetulan ari tu ari jumaat.Kali ni aku decide aku nak pi solat jumaat.Pergh khutbah tak ingat punya isi dia.Cam ada baur2 PAS je.Member yg sorang ni hardcore PAS,terus jd fan khatib tu.Amende la member aku ni,taksub gile.Ptg tu plak ada triathlon.Acara dibahagikan kepada 7 kategori utk setiap pasukan.Kira cam relay la,berganti2 kata org jawa.So aku amik acara berlari sambil mengarang.Mencabar tak bunyi acara tu? Serius mencabar sbb kena pegi ke dorm aku amik clue.Clue dia buat pantun dgn menggunakan nama kumpulan.Dorm aku tu la yg paling tinggi kat kem OBS tu.Nak patah pinggang berlari.Bila dah sampai bawah tu aku pecut tak ingat dunia.Dpt la potong beberapa org.Akibatnya???Hehehe...aku collapsed.Aku berenti lari je aku terus rebah.Aku dah tak nampak apa dah.Aku cuma dgr suara je.Bila dah lama tu baru la aku boleh buka mata.Tgk2 kasut aku dah buka,stokin dan cap pun dah ditanggalkan.Aku pun tak sedar ada org kasi air kat aku.Serius sume org cuak.Aku pun cuak gak sebenarnya.First time aku hampir pengsan.Aku rasa mungkin sbb aku push sangat.Kena lak pagi tu dah pancit berkayak.Mmg takde rest la.Alhamdulillah lepas tu aku slow2 recover.Memula tak mampu nak berdiri sbb kaki dah letih sangat.Pastu bila derang kasi air garam,baru la bertenaga sket.Alhamdulillah mmg bersyukur gile aku.Allah je tau apa yg aku rasa time tu.Mlm tu kitorang just rest dan praktis utk persembahan.

Hari ketiga belas plak kitorang cuma buat rock climbing.Nampak je senang,jenuh gak aku nak lepas.Mlm tu kitorang ada BBQ dan persembahan.Cam biasa la,bila on stage ada je yg tak jd.Kalau sume menjadi tak gempaq la org belanda kata kan?

Esoknya majlis penyerahan sijil dan terus balik ke uniten.Alhamdulillah aku jd makin berkeyakinan sejak balik ni.Apa yg perlu kita ingat,utk menangani cabaran bkn bergantung pada fizikal je,tp ketahanan jiwa juga memainkan peranan yg penting.Selama ni aku terlalu judge awal.Bila aku rasa cam susah je task yg diberi,aku terus decide aku tak leh nak complete.Sepatutnya kita selesaikan juga...usah piki mampu ke tak.Buat je dulu,then you'll know the answer.Selain tu,aku rasa leadership skill aku semakin bertambah bagus.Aku rasa makin cepat dan mudah nak buat decision.Otak aku makin pantas plak aku rasa.OKla,setakat tu je la kot buat masa ni.Insya Allah aku akan menulis lagi sbb tak lama lagi dpt pc baru...kuikuikui

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

p/s:Tahniah buat my 2 younger brothers.Muthanna for being offered to further his study in Korea under JPA scholarship.I'm gonna miss you bro :( Munzir for becoming N9 champion in tilawah competition.I'm proud of you,Jir.

posted by scouser at 5:41 PM

 

~ Sunday, June 19, 2005



Bismillahirrahmaanirraheem.Segala puji bagi Allah,Tuhan sekalian alam kerana limpah dan inayahNya masih lagi dikurniakan umo yg panjang.Semoga aku menggunakan umo yg Allah kurniakan ini ke arah yg diredhaiNya.Pertamanya aku minta maaf sbb 2 minggu tak update weblog ni kerana ada urusan rasmi Outward Boundary School (OBS) kat Lumut.Insya Allah kali ni aku akan citer pengalaman kat OBS selama 2 minggu tu.

Malam sblm bertolak ke Lumut kitorang dikehendaki berkumpul kat masjid uniten utk qiamullail.Aku call coordinator program tanya dia sama ada masjid buka ke tak malam tu sbb aku ingat nak tido terus kat masjid je.Sekali rezeki aku murah plak,coordinator kasi aku satu bilik kat residence hotel sebelah masjid tu.Hehehe...daripada niat nak iktikaf bertukar jd tgk bola kat astro. Mudah gile tertewas dgn dugaan duniawi. Dlm pukul 4 pagi ustaz call kejutkan aku qiam.Malu seh,terlajak tido.Tu yg aku malas kalau qiam tido selain dari masjid,aku akan jd malas gile. Lps breakfast,kitorang terus bertolak ke Lumut dgn 3 buah bas dari Residence Hotel dlm jam 10 pagi.Kitorang berenti utk lunch kat R&R kat Teluk Intan.Kitorang terlajak sampai ke Teluk Batik,pastu patah balik ke kem OBS dan sampai dlm jam 3 ptg lebih.First activity kat OBS tu kitorang dipecahkan kepada 7 watches@groups. Tah apa nasib aku,derang lantik aku jd manager utk watch aku utk ari tu.Seb baik half day je,kalau tak pening aku nak handle watch aku ni. Kitorang kena serahkan sume harta yg dibawa kecuali pakaian,kasut,sandal,torch light,dan toileteries (betul ke aku eja ni?).Pastu derang kasi tau kat mana hostel kitorang.Mak bapak,tinggi gile.Kena menapak cam kat Batu Caves tu.Sepanjang 2 minggu kat situ,kalau nak naik ke hostel mmg pancit.Bkn aku sorang je,seluruh dak laki group aku pun cam tu gak.Mmg bapak tinggi tempat tinggal kitorang.Mlm tu plak cuma sesi taaruf sesama ahli kumpulan.Tray,sudu,garfu,dan cawan kena basuh sendiri.

Hari kedua plak,pg tu dimulakan dgn nyanyian negaraku dan lagu korporat TNB.Then, kena jogging 2 km.Lps jogging tu bekpes,then main aktiviti2 yg lawak. Derang suruh pilih pasangan then suruh letak hidung kat perut la.Letak kepala kat lutut pasangan kita la and so on. Objektif dia supaya kita tak rasa geli bila kita terpaksa pegang badan kengkawan kita bila ekspedisi nanti. Lepas lunch kitorang ada rope course.Kitorang panjat dewan OBS dan badan diikat dgn tali yg dikawal oleh kawan masing2.Tujuannya supaya kita trust kawan kita dlm melakukan aktiviti tu.Tp mmg betul pun,kalau kita trust kawan kita jaga kita time aktiviti tu mmg takde rasa takut la nak panjat dewan tu.

Hari ketiga plak, kitorang buat rope course.Aktiviti ni lebih kat atas udara.Tak susah sangat.Just set kan dlm minda yg kita akan selamat.Kalau jatuh pun,kengkawan pegang tali kat badan kita dan kita terapung kat atas tu.Pastu kitorang belaja cara ikatan tali.Apa jenis ikatan utk ikat khemah,utk ikat kapal layar,and so on.Ptg tu plak kitorang buat orientating.Orientating ni cam mini trekking la.Dia kasi kita kompas dan peta,kita cari check point sampai la ke tempat tujuan.

Hari keempat lak baru la jungle trekking yg sebenar.Sekali lg aku dilantik jd ketua. Kali ni jd ketua ekspedisi.Mmg pancit la sbb aku kena jaga 13 org lagi ahli dlm kump aku tu.Kena bekejar depan blkg tgk sama ada ahli kump ok ke tak.A few minutes b4 bertolak aku breif dak2 laki supaya jgn cepat lemah semangat dan jgn tunjukkan diri tu letih.Aku takut nanti dak2 pompuan jd putus asa bila tgk dak laki behaved cam tu.Alhamdulillah dak2 laki sume cekal.Aku je kantoi...hehehe.Tah cam mane aku rasa letih gile utk sampai check point keempat sbb kitorang dah tersesat time tu.Aku mmg respect gile kat dak2 laki lain sbb masih boleh sorokkan keletihan.Tp aku,depan2 instructor aku merangkak bila dia panggil aku.Huhuhu...Kitorang lunch dlm hutan dan sampai ke tempat ekspedisi after 7 jam berjalan merentasi 4 puncak bukit,lebih kurang 7.3 km.Tp mmg itu la tujuan OBS pun,derang kasi mission yg ko rasa tak mampu nak buat tp sebenarnya ko boleh lakukan. Kitorang bermlm satu malam.Yg paling best,yg sediakan makanan malam dak2 laki.Dlm group aku tu ada la 3 org grad dari oversea.Derang ni pandai memasak,so dak pompuan kasi derang ni je masak.Aku try bayangkan cam mana kuatnya Rasulullah boleh mendaki gunung ganang dlm masa 2 minggu (kalau tak salah aku la)masa time hijrah dulu.Aku yg trekking setengah hari pun dah pancit.Mmg kuat la Rasulullah ni.Kena plak aku trekking dlm hutan je,tak expose dgn cuaca panas cam kat padang pasir.

Hari kelima plak kitorang balik semula ke kem OBS.Tp kali ni ikut jalan dekat dan tak yah dari bukit sbb nak kejar solat jumaat.Tp balik2 je dah kena kemas khemah sume.By the time nak solat jumaat tu dah tak larat.In the end solat zohor je,lgpun kitorang musafir. Ptg tu plak kitorang buat rakit pakai tong dan paip PVC.Group aku design rakit and satu lagi group plak tugasnya pasang rakit.Objektif aktiviti ni utk lahirkan semangat kerjasama dan kemahiran komunikasi yg efektif.Pastu kitorang try letak rakit tu atas laut dan alhamdulillah boleh didayung sampai ke tgh laut.

Hari keenam plak kitorang berlatih cam mana nak gunakan whaler@kapal layar. Ada 8 dayung dlm tu dan kitorang diajar cara2 cam mane nak pasang layar dan hal2 yg berkaitan dgn kapal layar.Ptg tu plak kitorang belaja cam mane nak berenang kalau terjatuh dlm laut.Kitorang diajar berenang dgn menggunakan life jacket,so takde la susah sangat.Dah abis tu kitorang try plak bawa whaler tu sampai tgh laut.Ada la 2 org dak pompuan yg mabuk and muntah2 atas whaler tu.

Hari ketujuh plak kitorang belayar keliling pulau pangkor.Sepatutnya kena pegi ke pulan rumbai yg lagi jauh.Tp disebabkan ada satu kump sblm ni yg kena ribut kat tgh laut,so derang tukar lokasi.Derang citer masa ribut tu,sume org muntah2.Arus ombak dgn arah angin plak berlawanan.Whaler tu terombak ambik kat tgh laut tu dipukul ombak n angin.Sume org muntah2.Ombak plak setinggi 2 kali ganda daripada whaler tu.Sorang terjatuh dlm laut,mujur ada safe boat yg sempat selamatkan derang. Alhamdulillah perjalanan kitorang smooth je,weather pun panas je.Terbakar gak la kulit aku sampai cam ada kesan hangus.Bila aku pegang,ada rasa sakit.Mmg sah la kulit aku dah terhangus sket.Aku plak time tu tak pakai sunblock dan pakai lengan pendek je.Alhamdulillah aku tak mabuk laut dan yg paling memberansangkan aku tak berhenti mendayung. Mlm tu mmg aku dah set dlm minda aku yg aku akan buat sume aktiviti non stop sbb aku yakin prog tu dah didesign supaya sume org boleh buat.Ada la dlm 6 jam aku mendayung dlm kapal layar tu sejauh 20 km. Kitorang bermalam kat Pantai Syawal dan esoknya balik ke kem OBS.Bila dikenang-kenang balik,cam mane la alim ulama mcm ibnu battuta dan tentera2 Islam dulu boleh tahan belayar atas laut dlm jangka waktu yg lama.Mmg betul la objektif OBS tu nak kita tanamkan dlm diri kita sebenarnya tiada yg mustahil.Sume tu bergantung pada kekuatan jiwa dan determination kita.So tak heran la kalau para sahabat dulu mampu meredah lautan kerana niat mrk kuat utk menyebarkan Islam.Masa atas kapal tu aku teringat plak kisah Nabi Yunus. Kalau angin sket pun kapal layar dah bergoyang,inikan plak ombak besar dan angin yg kuat.Mmg sengaja Allah tak terbalikkan kapal yg Nabi Yunus naik tu supaya dpt dijdkan pedoman utk diselitkan dlm Al Quran buat kita semua.Sbnr hidup kita ni adalah ulangan sejarah2 yg lalu.Terpulang pada kita utk memikirkkannya ataupun tak.Contohnya kisah group lain yg dilanda ribut kat laut tu,dlm surah al ankabut Allah ada sebut apa reaksi manusia bila berada dlm keadaan cam tu.Masya Allah,indah sungguh mukjizat Al Quran ni.Ditambah lagi dgn kisah2 benar spt Nabi Yunus,mmg ternyata Al Quran itu benar.

Aku rasa cukup sampai sini dulu kot,nanti aku sambung lagi utk hari kelapan sampai hari ke 14.Seronok seh sbb macam2 pengalaman yg aku dpt.So bersabar la sket ;)

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 11:55 PM