~Eratkan Ukhuwah Gerakkan Islah~

 

~ Friday, July 08, 2005




Selami kisah Khadijah, Aishah urus keluarga Oleh Norashidah Hashim

Shahidah membuat keputusan berpindah ke selatan tanah air untuk mengikut suaminya yang sedang bertugas di sana. Perpindahan itu menyebabkan beliau terpaksa bertukar kerjaya ke tempat baru. Selepas tiga tahun berada di sana, sekali lagi suaminya ditugaskan ke tempat yang lebih jauh lagi. Dengan cahaya mata seramai empat orang yang memerlukan perhatian beliau sebagai ibu menyebabkannya terpaksa berfikir, bukan dua kali tetapi berkali-kali sama ada perlu bertukar kerja atau terus berhenti supaya dapat mengikut suaminya ke tempat baru. Jika beliau berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa, mampukah suaminya menanggung semua perbelanjaan yang kian meningkat. Bagaimana dengan sewa rumah, ansuran sewa beli kereta, pendidikan anak dan perbelanjaan lain yang semakin bertambah? Kalau berpindah, beliau terpaksa mencari pekerjaan lain. Ada atau tidak peluang pekerjaan yang sesuai dengan kelulusannya sedangkan ramai graduan menganggur hari ini.

Lain pula kisahnya dengan Nafisah. Selepas tamat pengajian di luar negara, beliau ditemukan jodoh dengan seorang pemuda berketurunan Cina yang kelulusan hanya setakat sijil kemahiran. Walaupun mendapat tentangan hebat daripada keluarga dan tohmahan daripada orang kampung, beliau meneruskan juga hasratnya. Nafisah ditawarkan jawatan sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di selatan tanah air, suaminya pula terpaksa bertugas di pantai timur. Anak sulung mereka yang baru berusia dua tahun ditinggalkan bersama neneknya di Lembah Klang. Mereka hanya bertemu sebulan sekali atau pada cuti hujung minggu yang panjang. Peluang untuk beliau bertukar kerja masih belum ada. Persoalan untuk berhenti kerja semata-mata untuk mengikut suami ditentang hebat oleh keluarga. Apatah lagi selepas bersusah payah menamatkan pengajian di luar negara dengan pinjaman daripada Mara.

Musalmah pula sudah tak kisah lagi mengenai keadaan kerja suaminya yang sentiasa bertugas di luar kawasan. Dalam setahun suaminya bertugas di dua atau tiga tempat manakala, beliau dan anak pula menetap di Lembah Klang. Anak mereka sudah biasa dengan keadaan itu sejak mereka mengenal kehidupan di dunia ini. Anak lelaki sulungnya sudah memasuki alam remaja, begitu juga dengan yang kedua. Pernah dia hampir dilamar oleh seorang lelaki yang menyangka beliau seorang ibu tunggal. Mungkin kerana Musalmah menjalankan peranan sebagai ibu dan bapa, suaminya pula tidak pernah dilihat bersama mereka.

Situasi dalam ketiga-tiga kisah di atas mempunyai persamaan iaitu kisah wanita Islam yang mempunyai kerjaya di luar rumah dan mempunyai keluarga yang terpaksa ditinggalkan oleh suami dan bapa kerana tuntutan kerjaya masing-masing. Mungkin jika dibuat tinjauan rambang, kisah begini jarang berlaku tetapi fenomena itu bukanlah sesuatu yang pelik dalam dunia hari ini. Golongan wanita yang mempunyai kelulusan lebih tinggi daripada lelaki menuntut untuk mencari pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan yang dimilikinya. Dalam pada itu, tuntutan fitrah untuk berkeluarga menyebabkan mereka tidak mempunyai banyak pilihan dalam mencari pekerjaan di lokasi yang hampir dengan tempat bekerja. Kalau dulu mungkin persoalan yang timbul ialah, wajarkah wanita Islam bekerja di luar rumah? Di Malaysia hari ini wanita berkerjaya di luar rumah sudah menjadi satu kebiasaan. Persoalan itu boleh dipanjangkan lagi dengan bertanya, wajarkah wanita yang berkeluarga untuk tinggal berjauhan kerana tuntutan kerjaya suami dan isteri. Persoalan ini boleh dikupas untuk melihat kebaikan dan keburukannya. Kembali kepada persoalan asas iaitu mengenai pembabitan wanita di alam pekerjaan di luar rumah.

Pada hari ini wanita adalah sebahagian besar daripada tenaga kerja yang sangat diperlukan dalam pembangunan negara, bukan saja di sektor perkilangan, terutama sebagai pekerja kilang elektronik tetapi dalam bidang profesional. Peningkatan itu disebabkan oleh bertambahnya graduan wanita berbanding lelaki daripada IPT memasuki sektor tenaga kerja di negara ini. Fokus perbincangan ini adalah berkisar kepada kedudukan wanita Melayu Muslim di negara ini dan pembabitan mereka dalam kerjaya dan keluarga. Jika diimbas sekali lalu, kedudukan wanita Melayu pra kemerdekaan dan pasca kemerdekaan hingga hari ini memang menjadi sebahagian daripada tenaga kerja yang sama dengan lelaki. Ekonomi negara dulu yang berasaskan pertanian turut membabitkan wanita membanting tulang membantu lelaki. Kaum ibu membantu bapa di sawah dan di ladang mengikut kesesuaian tenaga yang boleh dicurahkan. Hakikatnya ialah bidang pekerjaan kaum wanita bukan saja terletak di dalam rumah tangga tetapi juga membantu menyara kehidupan sekeluarga seperti ke sawah untuk menanam padi dan berkebun serta menoreh getah di samping menjalankan tanggungjawab sebagai suri rumah. Peranan ini terus dimainkan hingga hari ini dengan keadaan berbeza. Persamaan peluang untuk mendapatkan pendidikan sama seperti lelaki memberi peluang kepada wanita memperoleh pendidikan yang lebih baik daripada ibu bapa mereka dulu. Ekonomi negara mengalami perubahan ke arah negara berasaskan perindustrian menyebabkan keperluan terhadap sumber tenaga kerja dalam sektor itu membuka peluang pekerjaan bagi wanita untuk menyumbang tenaga. Peluang pekerjaan untuk wanita masih di bidang yang bersesuaian dengan fitrah mereka. Sektor perkhidmatan hari ini terutama bidang pendidikan menunjukkan trend perubahan yang mana wanita mendominasi profesion perguruan.

Apa yang ingin dipaparkan ialah pertama, wanita sudah lama mempunyai kerjaya di luar rumah. Kedua, peranan menambahkan pendapatan keluarga bukan saja diletakkan di atas bahu suami, malahan isteri memainkan peranan sebagai penyumbang. Ketiga, peningkatan taraf hidup terutama di bandar menyebabkan perlu untuk isteri sama-sama keluar bekerja bagi menampung peningkatan taraf hidup kehidupan sekeluarga dan keempat, pendidikan tinggi yang dimiliki wanita membolehkan mereka memegang jawatan tinggi setaraf kelulusan. Keadaan itu menimbulkan dilema atau konflik antara keluarga dan kerjaya. Seperti dalam tiga kes di atas, wanita berkenaan menghadapi situasi di mana mereka terpaksa hidup terpisah antara suami dan keluarga kerana memenuhi tuntutan kerjaya. Dalam hal ini, wanita perlu memikirkan kembali dan meletakkan keutamaan selaras tuntutan fitrah dan kedudukan mereka dalam Islam tanpa mengorbankan peranan sebagai wanita, isteri dan ibu. Apa yang berlaku sekarang menunjukkan bahawa beban kerja dan tanggungjawab wanita meningkat dengan bertambahnya tanggungjawab wanita, isteri, ibu, pekerja, atau mungkin sebagai ketua di pejabat. Mampukah wanita menanggung semua ini? Oleh itu, sebagai wanita Islam hari ini, adalah perlu untuk sama-sama menilai kembali peranan yang perlu dimainkan oleh wanita dalam era globalisasi ini.

Islam menetapkan peranan wanita dan menaikkan martabat mereka yang begitu rendah tarafnya sebelum kedatangan Islam di mana mereka ditanam hidup-hidup ketika kecil, diperdagangkan seperti barangan dan sering menjadi sasaran penghinaan. Islam membawa cahaya dan petunjuk bagi menyelamatkan wanita daripada kekejaman jahiliah dan menetapkan hak serta kebebasannya yang hilang dan dirampas. Islam mengangkat darjat wanita ke tempat yang tinggi dengan menerangkan persamaan wanita dengan lelaki daripada sudut kemanusiaan, menjalankan suruhan dan perintah Allah, ganjaran dan balasan yang diterima apabila berbuat kebajikan seperti firman Allah dalam Surah Al Ahzab, ayat 35 yang bermaksud: "Sesungguhnya lelaki Islam dan perempuan Islam, lelaki beriman dan perempuan beriman, lelaki taat dan perempuan taat, lelaki benar dan perempuan benar, lelaki sabar dan perempuan sabar, lelaki merendah diri (kepada Allah) dan perempuan yang merendah diri, lelaki bersedekah dan perempuan bersedekah, lelaki berpuasa dan perempuan berpuasa, lelaki memelihara kehormatannya dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki banyak berzikir menyebut nama Allah dan perempuan yang banyak berzikir menyebut nama Allah, Allah menyediakan bagi mereka seluruhnya keampunan dan pahala yang besar." Jelas dalam ayat ini Allah menyebut mengenai persamaan tuntutan beribadat dan berakhlak akan mendapat ganjaran sama yang dikurniakan Allah kepada lelaki dan wanita. Jadi persoalan menuntut hak persamaan tidak perlu diungkit lagi. Antara lelaki dan wanita bukanlah pesaing tetapi rakan kongsi yang saling memerlukan antara satu sama lain. Peranan wanita sebagai isteri berkerjaya memerlukan keseimbangan dalam melaksanakan tanggung jawab. Semua inginkan kecemerlangan dalam melaksanakan peranan yang dimainkan wanita tetapi keadaan sebenarnya adalah terlalu sukar untuk mereka cemerlang dalam semua bidang. Pengurusan rumah tangga yang bijak, berkesan dan cekap memerlukan wanita untuk lebih kreatif dan inovatif dalam menangani semua masalah dan cabaran. Sifat wanita yang dijadikan Allah penuh dengan kekuatan dalaman yang boleh dicernakan dengan mendekatkan diri kepada-Nya, dengan penuh ketakwaan dan memohon kekuatan dari-Nya dalam menghadapi segala cabaran dan halangan terutama dalam era globalisasi ini. Walaupun zaman berlalu, peranan wanita seperti Saidatina Khadijah, Saidatina Aishah dan ramai lagi ummul mukminin dan sahabiah perlu diteliti kisah hidupnya untuk mencungkil kekuatan yang boleh dicontohi sebagai bekalan dalam menghadapi dunia yang terlalu mencabar peranan muslimah hari ini.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 8:53 PM

 

~ Wednesday, July 06, 2005



Amalan Kerohanian Asas Bentuk Anak Cemerlang Oleh Norhayati Siddikah Abu Bakar

Lazimnya apabila anak menduduki peperiksaan utama persekolahan sama ada Ujian Penilaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, ibu bapa yang lebih berasakan ketegangannya. Pada saat begini, ibu bapa biasanya akan mengambil pelbagai usaha bagi memastikan anak memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki. Kejayaan dalam peperiksaan sering digunakan sebagai kayu pengukur untuk melihat keupayaan seseorang anak. Ia juga tiket peluang mereka melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi. Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab mempersiapkan mereka dari segi mental, fizikal, emosi dan rohani. Kita juga perlu :
1. Mewujudkan kemesraan dan bersikap tegas ketika mendidik mereka.
2. Memberi/menerima cinta tanpa syarat.
3. Menerima kritikan membina daripada mereka.
4. Mewujudkan suasana di mana mereka berasa dimiliki.

Kita juga patut mengelakkan diri daripada mengulangi kesilapan yang sering dilakukan oleh ibu bapa iaitu:
1. Tidak membentuk anak supaya bercita-cita tinggi.
2. Tidak membantu anak menetapkan matlamat jangka pendek dan panjang. 3. Tidak membantu anak mengurus masa dengan bijak.
4. Tidak menyediakan jadual waktu.
5. Tidak peduli jika anak tiada keyakinan diri atau bersemangat.
6. Meletakkan harapan terlalu tinggi kepada anak.
7. Kurang berdoa.

Ibu bapa boleh menggalakkan anak belajar secara berkumpulan. Kaedah ini lebih berkesan kerana biasanya mereka dapat bertukar fikiran dan bersoal jawab jika ada perkara yang kurang jelas. Lagipun, suasana pembelajaran begini tidak membosankan atau boleh membuat mereka mengantuk. Pelbagai kegiatan yang boleh mereka lakukan bersama seperti:
1. Berkongsi nota.
2. Membanding jawapan.
3. Merumus sesuatu idea.
4. Bersaing sesama sendiri secara sihat.

Ibu bapa juga tidak seharusnya memaksa anak belajar berterusan tanpa berehat atau beriadah. Dikhuatiri jika terlampau menerima tekanan, nak boleh sakit ketika hari peperiksaan. Ini pasti menjejaskan keupayaan mereka menjawab soalan. Sebagai ibu bapa yang ingin melihat kejayaan anak, kita boleh membantu meletakkan sasaran yang bersesuaian dengan kemampuan mereka. Contohnya, berapa muka surat yang boleh diulang kaji setiap hari atau berapa jam sehari untuknya belajar secara berkesan. Jika ini dilakukan secara berterusan, insya-Allah anak tidak akan panik menjelang minggu peperiksaan. Tekanan biasanya dialami apabila anak kecewa kerana tidak dapat memenuhi kehendak ibu bapa. Jadi, tidak mustahil jika tidak lama dulu kita dikejutkan dengan kes kanak-kanak sekolah rendah membunuh diri kerana mendapat keputusan kurang baik dalam peperiksaan. Ibu bapa hari ini boleh dikatakan begitu mengambil berat kemajuan anak. Malangnya, hasrat murni ibu bapa belum mencapai tahap yang memuaskan. Ini kerana anak-anak Islam hari ini sama ada di bandar atau desa didapati kurang berminat untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran berbanding anak-anak kaum Cina. Sebagai ibu bapa kita perlu mengajak mereka berfikir mengenai senario akan datang.

Peluang untuk masuk ke institusi pengajian tinggi didasarkan kepada merit. Sektor pekerjaan tentu akan terbuka luas kepada calon yang cemerlang. Jika mereka masih leka dan selesa dengan apa yang ada, pasti anak kita akan ketinggalan dalam pelbagai bidang. Pelajar hari ini kelihatan semakin kurang menunjukkan minat membaca. Masih ramai pelajar yang menjadikan buku hanya teman ketika menjelang peperiksaan, sedangkan budaya membaca ini perlu dipupuk dan dijadikan amalan harian. Sebagai permulaan ibu bapa perlu menyediakan satu ruang atau bilik di rumah masing-masing sebagai tempat anak belajar dan membaca. Boleh dikatakan sebilangan besar keluarga mempunyai bahan bacaan di rumah. Bahan ini ada yang disusun dan diguna dengan sempurna dan tidak kurang pula yang tidak menjaganya dengan baik. Ibu bapa perlu berusaha menyusun bahan bacaan sebagaimana mereka menyusun perhiasan di ruang tamu agar ia dapat dimanfaatkan oleh anak dari semasa ke semasa. Bukankah sudah termaktub dalam lipatan sejarah bahawa ayat yang pertama turun kepada Rasulullah ialah: "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan." (Surah al-Alaq, ayat 1)

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mewujudkan budaya membaca.

Ibu bapa yang gemar membeli bahan bacaan dan membaca akan menjadi ikutan anak. Berdasarkan ini ibu bapa perlu menjadikan membaca sebagai kegiatan seisi keluarga sebagaimana budaya solat, makan dan bercuti bersama. Dengan cara ini, budaya ilmu itu secara tidak disedari akan menjadi amalan yang sangat baik bagi kemajuan ummah. Dalam satu hadis riwayat Abu Nai'm daripada Ibnu Abbas Rasulullah bersabda: "Manusia yang terdekat kepada darjat kenabian ialah orang yang berilmu dan berjihad. Ada pun yang berilmu, maka mereka memberi petunjuk kepada manusia daripada apa yang dibawa nabi. "Dan yang berjihad, mereka berjuang dengan pedang bagi membela apa yang dibawa nabi." Kesimpulannya, peranan ibu bapa adalah sebagai pembimbing dan pendorong kepada kejayaan seseorang pelajar. Apa pun perancangan yang dibuat jika pelajar sendiri tidak bersikap positif dan memandang serius nasibnya, nescaya segala-galanya akan sia-sia saja. Banyakkan melakukan amalan kerohanian seperti berpuasa, solat hajat, berdoa dan membaca surah Yassin ketika anak menduduki peperiksaan. Amalan ini dapat membantu memberi semangat dan keyakinan kepada mereka. Seterusnya bertawakal kepada Allah selepas kita melakukan pelbagai usaha bagi mencapai apa yang dihajatkan. Firman Allah bermaksud : "...Apabila kamu bercita-cita maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal..." (Surah Ali Imran, ayat 159)

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 12:57 AM

 

~ Monday, July 04, 2005



KENYATAAN MEDIA
WANITA PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)

5 Julai 2005

Tangani Eksploitasi Wanita dengan Serius

Baru-baru ini, dalam satu ruangan kemusykilan agama sebuah akhbar mingguan Ahad bertarikh 19 Jun 2005, satu pertanyaan dikemukakan mengenai pandangan Islam terhadap wanita ( contohnya ibu tunggal ) yang 'terdesak' menyara kehidupan keluarga hinggakan terpaksa 'menjual diri' atau terbabit dalam pelacuran. Jawapan yang diutarakan memberikan gambaran bahawa dalam Islam, keadaan 'terdesak' dan 'terpaksa' boleh meng'halal'kan perbuatan zina yang termasuk dalam dosa-dosa besar yang merosakkan nasab keturunan manusia. Dalam keadaan yang dikatakan dharurat, pelacuran yang merupakan satu penghinaan dan pencabulan hak serta maruah yang paling kejam dikatakan boleh menjadi sumber pendapatan bagi menyara anak-anak.
Respon yang diperolehi dari pihak umum membayangkan kegusaran dan kebimbangan yang amat sangat. Implikasi dari kenyataan dan pandangan sebegini yang datangnya dari seorang yang mempunyai kedudukan dan pengaruh dalam masyarakat Islam dikhuatiri menimbulkan kekeliruan serta kesan yang memudharatkan. Pendapat ini ditentang hebat dan dianggap sebagai satu percubaan menghalalkan sesuatu yang jelas haram.
Wanita JIM menegaskan bahawa pandangan terpesong itu mempunyai implikasi yang mendalam terhadap usaha memartabatkan serta mempertingkatkan kedudukan dan status wanita dalam masyarakat. Jelas bahawa masih ramai yang tidak menyedari betapa seriusnya pelacuran sebagai satu pencabulan dan pencerobohan terhadap hak asasi dan maruah serta penghormatan seorang insan. Golongan yang diharapkan mempunyai pengetahuan dan ilmu yang mantap bagi membimbing masyarakat umum juga nampaknya amat kurang arif mengenai dinamisme dan wujudnya lingkaran ganas ( vicious cycle) dalam kancah pelacuran.
Dalam era globalisasi hari ini, pelacuran menjadi satu bentuk perdagangan antarabangsa yang mendatangkan keuntungan berjuta billion. Di kebanyakan tempat seperti di Thailand, dianggarkan sebanyak 33 billion USD diperolehi setahun hasil dari pelancongan seks, di mana pelancong-pelancong yang datang adalah untuk mendapatkan perkhidmatan seks. Dikatakan juga kira-kira hampir satu juta wanita Republik Dominica bekerja sebagai pekerja seks di luar negara. Wanita dan kanak-kanak ( ada yang semuda sepuluh tahun) diambil dari negara-negara seperti Myanmar, Bosnia, Croatia, Ethiopia dan Eropah Timur untuk mengisi rumah-rumah pelacuran di seluruh dunia. Perdagangan seks dan imej wanita yang dijadikan barang dagangan sebenarnya adalah sebahagian bukti bagaimana globalisasi mengikis rasa hormat manusia terhadap maruah dan integriti kehidupan manusia itu sendiri.
Kemiskinan merupakan faktor yang sering dikaitkan dengan desakan kehidupan yang memaksa seseorang wanita itu melacurkan dirinya. Ramai juga anak-anak perempuan yang dijual kepada sindiket pelacuran oleh ibu bapa mereka untuk menyara keluarga. Majoriti mereka yang terbabit dalam kancah pelacuran ini sebenarnya adalah mangsa yang tidak rela diperlakukan sedemikian rupa. Malahan pelacuran sering dikaitkan dengan keganasan terhadap wanita, ketagihan arak, dadah dan juga tahap kesihatan fizikal, mental serta emosi yang rendah. Kewujudan fenomena yang amat menyedihkan ini menjadi bukti kukuh betapa pincangnya masyarakat yang ternyata tidak mampu menggerakkan ahli-ahlinya untuk saling bantu-membantu meringankan beban kehidupan satu sama lain. Malahan apa yang lebih malang, terdapatnya golongan yang mengambil kesempatan menangguk di air keruh, meraih keuntungan lumayan hasil perdagangan tubuh badan ini.
Pelacuran mestilah dilihat sebagai satu penyakit masyarakat yang amat perlu diubati segera. Pelacuran tidak boleh ditangani semata-mata dengan menguatkuasakan undang-undang yang ketat terhadap pelacur sahaja, sedangkan sindiket tempatan dan antarabangsa yang bertanggungjawab terus bebas mencari mangsa seterusnya. Masalah pelacuran tidak dapat diselesaikan sekiranya golongan yang melanggani pelacur ini tidak dikenakan hukuman yang sama beratnya. Selagi mana adanya kemiskinan melarat yang membelenggu kehidupan selagi itulah pelacuran dilihat sebagai satu 'jalan pintas' untuk mendapatkan pendapatan yang lumayan. Pelacuran tentunya tidak akan dapat dihalang sekiranya terdapat pula pandangan dan pendapat cendekiawan agama yang menghalalkannya, semata-mata atas alasan dharuri atau terpaksa.
Wanita JIM menyeru semua lapisan masyarakat di Malaysia yang aman lagi makmur ini, untuk menggembling tenaga dan tekad, berganding bahu membantu semua golongan yang memerlukan bantuan agar tiada di antara mereka, terutamanya golongan wanita dan anak-anak , yang terpaksa menjual diri demi untuk sesuap nasi. Semua mekanisme harus dapat diaktifkan bagi membela kehidupan golongan yang terdesak dan miskin. Pihak berwajib mestilah menyusun strategi agar golongan ini diberikan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk memperbaiki kehidupan mereka. Ibu-ibu tunggal dan anak-anak mereka perlu diberikan pembelaan sewajarnya oleh sanak-saudara, masyarakat, kerajaan serta sistem hadanah ( saraan) bagi mereka yang bercerai hidup.
Wanita JIM tidak rela melihat kaum sejenis di negara ini mahupun di mana jua di dunia terpaksa menggadaikan maruah dan kehormatan diri atas apa jua alasan. Ke arah pembentukan masyarakat hadhari yang seimbang pembangunan fizikal dan hati budinya.

Dr. Harlina Halizah Siraj
Ketua Wanita JIM Pusat

posted by scouser at 11:56 PM

 

~ Sunday, July 03, 2005



Umat Islam dilarang tiru budaya Kristian, Yahudi oleh Roha Hasan

'Remaja, terutama Muslim harus sedar bahawa kita sebenarnya tidak perlu menjadi orang lain. Kita adalah kita. Setiap kita memiliki keunikan tersendiri. Lagipun, belum pasti lagi apa yang dilakukan oleh orang lain itu betul dari sudut keagamaan dan kemanusiaan. Belum tentu juga ia baik untuk anda. Tidak usah ikut orang lain. Tidak perlu terikut-ikut dengan perasan rendah diri dan kecewa atau berasa ketinggalan kerana tidak mengikut budaya kuning yang berlawanan dengan kehendak Allah.'

Pernahkah anda memandang wajah di cermin, kemudian berasa rendah diri kerana merasakan wajah tidak secantik rakan lain. Hidung tidak semancung artis pujaan. Kulit tidak secerah gadis jiran sebelah rumah?

Pernahkah anda berasa ketinggalan dari sudut fesyen rambut, cara penampilan dan berpakaian serta cara bercakap dan berjalan berbanding teman sebaya?

Pernahkah anda tersinggung kerana melihat teman karib memiliki teman lelaki. Pernahkah anda merasakan diri serba kekurangan kerana tiada buah hati?

Pernahkah anda berasa tidak pergi ke disko atau tidak mengambil pil khayal untuk mengubat kerunsingan itu sesuatu yang ketinggalan zaman?

Semua yang disenaraikan di atas sebenarnya bukan satu senario luar biasa. Ia perkara biasa di kalangan remaja masa kini.

Kajian Prof Dr Azimi Hamzah dari Universiti Putra Malaysia berkaitan remaja dan belia menunjukkan bahawa 68 peratus remaja berusia 15 hingga 19 tahun menyukai pakaian trendy berbanding 16.1 peratus yang menggemari pakaian tradisional.

Kajian juga menunjukkan 43.1 peratus menjadikan rakan sebaya sebagai rujukan berbanding 38 peratus menjadikan ibu bapa sebagai rujukan. Sementara, 14.8 peratus menjadikan disko sebagai tempat mencari hiburan.

Kajian juga menunjukkan 31.7 peratus adalah perokok dan 13.6 peratus ketagih alkohol. Sementara, 25.2 peratus menganggap agama tidak penting. Kajian ini bukan saja petanda kepada keadaan kecelaruan remaja hari ini, malahan kecenderungan untuk terpengaruh dengan budaya bercanggah dengan agama melanda dengan hebat remaja kita. Malah, ramai remaja juga menganggap agama tidak penting.

Remaja, terutama Muslim harus sedar bahawa kita sebenarnya tidak perlu menjadi orang lain. Kita adalah kita. Setiap kita memiliki keunikan tersendiri. Lagipun, belum pasti lagi apa yang dilakukan oleh orang lain itu betul dari sudut keagamaan dan kemanusiaan. Belum tentu juga ia baik untuk anda. Tidak usah ikut orang lain. Tidak perlu terikut-ikut dengan perasan rendah diri dan kecewa atau berasa ketinggalan kerana tidak mengikut budaya kuning yang berlawanan dengan kehendak Allah.

Dalam bukunya La Tahzan atau tajuknya dalam penerbitan terjemahan bahasa Melayu Jangan Bersedih – Don't Be Sad, 'Aidh bin Abdullah al-Qarni antara lain menulis:

"Jangan ikut-ikutkan, dengan kata lain, jangan mudah memakai dan meniru-niru ciri sahsiah orang lain. Kerana itu akan menjadi malapetaka yang tidak mudah diterima oleh jiwamu. Orang yang lupa dengan dirinya sendiri, suaranya, gerakan tubuhnya, ucapannya, kemampuannya, dan suasananya sendiri, kebanyakan akan meniru-niru budaya bangsa lain. Dan itulah yang disebut dengan latah, mengada-ngada, berpura-pura dan membunuh secara paksa jati dirinya sendiri.

"Ketahuilah bahawa diri anda adalah sesuatu yang lain daripada lain -unik. Tidak ada seorang pun yang menyerupai anda dalam catatan sejarah hidup ini. Belum pernah ada seorang pun yang diciptakan sama dengan anda. Tidak akan ada orang yang akan sama dengan anda sampai bila-bila pun. Keadaan anda betul-betul berbeza dengan orang lain. Oleh itu, jangan memaksakan diri untuk berbuat latah dan meniru-niru sahsiah orang lain. Tetap berpijak dan berjalan pada keadaan dan sahsiah anda sendiri."

Sebagai umat mulia, remaja Muslim harus memiliki dan memelihara jati diri berasaskan apa yang diajarkan oleh al-Quran dan sunnah. Tidak salah untuk ikut dalam kemajuan zaman, sebab Islam amat menggalakkan umatnya berdaya maju dan menguasai teknologi pada zamannya. Namun, kita harus memiliki panduan dalam keghairahan untuk mengikut trend semasa sama ada dari sudut pakaian, perbuatan, cara hidup dan sebagainya.

Banyak panduan daripada Allah dan Rasulullah dalam persoalan mengekalkan jati diri sebagai seorang remaja Muslim.

Antaranya dari sudut pakaian. Islam menggariskan agar kita memastikan pakaian menutup aurat dan memenuhi tuntutan agama. Hal ini didasarkan pada hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah, bahawa Asma binti Abu Bakar masuk ke rumah Rasulullah dengan pakaian yang tipis, maka Rasulullah berpaling seraya bersabda bermaksud: "Wahai Asma, sesungguhnya seorang wanita yang sudah baligh, maka tidak boleh dilihat tubuhnya kecuali ini dan ini dengan menunjuk wajah dan telapak tangan (sampai pergelangan)." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Allah berfirman bermaksud : "...dan wanita jangan menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang biasa nampak diperhiasan itu."(Surah an-Nur, ayat 31)

Selain itu, Rasulullah mengingatkan supaya tidak cenderung untuk menurut jejak langkah dan budaya orang Yahudi dan Nasrani dari segenap gaya hidup mereka. Sabda Baginda bermaksud: "Kamu telah mengikuti sunnah orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehingga jika mereka masuk ke dalam lubang biawak, kamu tetap mengikuti mereka." Kami bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah yang engkau maksudkan itu ialah orang Yahudi dan orang Nasrani?" Baginda bersabda: "Kalau bukan mereka, siapa lagi?" (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Semoga semua ini sedikit sebanyak dapat menjadi panduan kepada remaja untuk berusaha mengekalkan jati diri sebagai seorang Muslim dalam arus perubahan dunia yang kadang kala melalai dan merosakkan.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 9:04 PM