~Eratkan Ukhuwah Gerakkan Islah~

 

~ Friday, July 15, 2005



Membezakan Sesama Umat Bawa Kehancuran Kaum

Oleh Prof Madya Maznah Daud

UNGKAPAN 'rambut sama hitam, hati lain-lain' sememangnya tidak asing kepada kita. Ia memberi gambaran betapa sukarnya untuk kita cuba mewujudkan perpaduan di kalangan umat kerana manusia dicipta dengan pelbagai ragam serta budaya. Namun, perkara itu bukanlah mustahil. Sejarah membuktikan bahawa Rasulullah berjaya menyatupadukan pelbagai etnik di Madinah dalam masa singkat. Allah mengajak kita kembali kepada perkara pokok iaitu asal kejadian diri. Manusia dijadikan Allah hasil perkahwinan ayah dan ibu.

Allah berfirman yang bermaksud:

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang wanita serta menjadikan kamu berbilang bangsa dan suku supaya kamu saling kenal mengenal. “Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali." (Surah al-Hujurat, ayat 13).

Ayat itu menjelaskan bahawa Pencipta kita adalah satu dan kita dilahirkan menerusi perkahwinan ayah dan ibu. Oleh kerana kita dicipta oleh Tuhan yang esa serta daripada ayah dan ibu yang satu, mengapa harus wujud perbezaan sesama kita hingga ada kalanya tidak boleh duduk bersama?

Asas pertama untuk mewujudkan perpaduan dan kasih sayang ialah kefahaman bahawa semua manusia tidak kira bangsa, jantina, pangkat, warna kulit, bahasa pertuturan, atau adat resam, adalah sama taraf, hak dan tanggungjawab di sisi-Nya. Tidak ada pihak atau puak yang lebih istimewa daripada yang lain. Rasulullah saw pernah memberi amaran bahawa sikap membeza-bezakan antara satu golongan dengan lain adalah punca kehancuran sesuatu kaum.

Dalam hadisnya, baginda bersabda:

"Sesungguhnya yang membinasakan umat sebelum kamu ialah apabila orang atasan mencuri mereka membiarkannya (tidak dihukum). Tetapi apabila orang bawahan mencuri mereka menghukumnya. Demi Allah sekiranya terbukti Fatimah anak perempuan Muhammad mencuri, pasti akan aku potong tangannya."

Asas kedua yang dianjurkan oleh Rasulullah dalam mewujudkan perpaduan ialah menjadikan kasih sayang sesama saudara sebagai pengukur kepada iman seseorang. Sabda baginda bermaksud:

"Tidak beriman seseorang kamu hingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi diri sendiri."

Contohnya, katakan seorang lelaki ingin mencari pasangan hidup, adakah dia mahu mengahwini perempuan yang dinodai lelaki lain? Sudah tentu dia tidak suka. Jika dia sendiri tidak suka, dia pasti tahu lelaki lain juga begitu kerana mereka adalah saudaranya juga. Lantaran itu, dia tidak akan mencabuli maruah wanita yang bukan isterinya atau yang tidak mahu dikahwininya. Kita tidak suka dicerca dan dihina di khalayak ramai. Sebagaimana kita, orang lain begitu juga. Maka, janganlah kita sekali-kali mencerca dan menghina mereka meskipun kita mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Jika sanggup melakukan sesuatu yang kita sendiri tidak suka perkara itu dilakukan terhadap diri sendiri, itu tandanya kita tidak kasih kepada saudara kita. Ia menunjukkan tanda kedaifan iman di hati kita.

Cuba kita bayangkan apabila semua orang berfikir mengenai kepentingan orang lain sama seperti mereka berfikir mengenai kepentingan diri sendiri; memberi kepada mereka apa yang dia suka menerimanya; tidak bermasam muka, tidak menuduh orang lain tanpa bukti dan usul periksa. Jika perkara sebegini berlaku, pasti tidak berlaku perkara yang tidak diingini dalam masyarakat seperti mencuri, merompak, menipu, merogol, memfitnah dan rasuah.

Asas ketiga dalam mewujudkan perpaduan ialah mengembalikan segala pertikaian dan perselisihan pandangan kepada Allah dan Sunnah rasul. Kita sering diperdengarkan firman Allah yang bermaksud:

"Hai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul, dan ulil amri (pemerintah) antara kamu..." (Surah an-Nisaa', ayat 58).

Sambungan ayat itu jarang sekali ditekankan. Sambungan ayat itulah yang sebenarnya menjadi teras kepada perpaduan dan kemakmuran sesebuah masyarakat.

Sambungannya adalah: "... Kemudian jika kamu berlainan pendapat mengenai sesuatu, maka kembalikan ia kepada Allah (al-Quran) dan rasul (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama bagimu dan lebih baik kesudahannya." (Surah an-Nisaa', ayat 59).

Kembali kepada ungkapan 'rambut sama hitam, hati lain-lain', penyelesaian muktamad ialah dengan merujuk kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah sendiri kerana kedua-duanya pusaka yang ditinggalkan Nabi kepada umatnya.

Kesimpulannya, bagi memupuk perpaduan dan kasih sayang di kalangan masyarakat berbilang bangsa dan budaya, tiga perkara mesti dipegang iaitu menerima hakikat semua manusia adalah bersaudara; meletakkan kepentingan saudara sekurang-kurangnya sejajar dengan kepentingan kita sendiri; serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan utama dalam menyelesaikan masalah.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 12:25 AM

 

~ Wednesday, July 13, 2005



Asma Pembakar Semangat Juang Anak Oleh Dr Hafidzah Mustaqim

Ahad lalu, telefon bimbit saya tidak berhenti-henti menerima pesanan ringkas ucapan 'Selamat Hari Ibu.' Semuanya menarik termasuk yang berbunyi "Motherhood is a tough 24 hour job: no pay, no day off, most often unappreciated and yet resignation is impossible!" (Keibuan adalah satu kerjaya 24 jam yang berat, tiada cuti, tiada gaji, kebanyakannya memang tidak dihargai tetapi meletak jawatan adalah mustahil!). Jika ada yang hendak mempertikaikannya, silakan! Sejak dari pagi, anak saya sibuk bergilir-gilir memberikan pelukan istimewa 'Selamat Hari Ibu, Umi.' Malam esoknya kumpulan usrah pula akan mengadakan pertemuan mingguan di tempat yang istimewa untuk kami meraikan Hari Ibu. Bak kata seorang teman, "Let's treat ourself in style." Kalau hendak tunggu suami kita mengaturkan semuanya, mungkin kita akan dianggap 'meminta terlalu banyak' pula. Jadi, lebih baik kita aturkan sendiri pertemuan itu dan menghantar bil saja kepada mereka.

Apabila masuk bab hari istimewa, ada yang mempersoalkannya. Kita tidak perlu hari istimewa kerana dalam Islam setiap hari kita seharusnya menghargai dan mendoakan untuk ibu kita. Memang betul tetapi berapa ramai pula di kalangan kita yang menyatakan penghargaan mereka kepada ibu saban hari tanpa ketinggalan. Oleh itu ambillah peluang pada Mei ini untuk menyatakan penghargaan kita yang tidak terhingga kepada ibu terutama bagi mereka yang masih mempunyai ibu di sisi. (Bagi yang sudah tiada, janganlah lupa kirimkan doa kepada mereka daripada seorang anak yang soleh setiap hari). Saya teringat dengan satu tazkirah oleh seorang ustaz pada satu perhimpunan keluarga warga Jamaah Islah Malaysia (JIM) baru baru ini, mengenai nasihat Luqman kepada anaknya dalam surah Luqman dalam al-Quran. Nasihat kedua Luqman selepas perintah untuk tidak menyekutukan Allah adalah untuk berbuat baik kepada ibu bapa. Dalam konteks ini, Luqman mengingatkan anaknya mengenai keadaan susah payah ibu yang mengandungkannya dalam keadaan lemah selama lebih sembilan bulan dan penat lelah menyusukannya sepanjang tempoh dua tahun. Masya-Allah, dapat kita bayangkan kalau semua bapa di dunia ini menyatakan penghargaan dan penghormatan kepada isterinya, sekali gus menjadikan ia contoh dan menjadikannya satu pengajaran di depan semua anak mereka, beruntunglah sekalian ibu di dunia ini. Tidak akan ada ibu Islam yang menderita kerana dipinggirkan suami dan anak mereka.

Sejarah Islam sarat dengan kisah ibu yang menjadi pendorong kepada anak mereka. Antara cerita yang paling saya sukai dan kagumi adalah kisah Asma binti Abu Bakar ketika mententeramkan anaknya. Memang Asma seorang yang hebat sejak dari zaman gadisi kerana menjadi watak penting dalam sejarah penghijrahan Rasulullah. Hingga ke akhir hayat, Asma yang buta lagi lanjut usia menjadi pendorong dan pembakar semangat anaknya Abdullah bin Zubair yang menentang kezaliman panglima yang menyeleweng iaitu Al Hajjaj Yusuf Ath-Thaqafi. Beliau bersama anaknya, Abdullah mempertahankan kota Makkah ketika Hajjaj mengepung mereka dan menghujani Kaabah dengan peluru meriam menjanik. Ketika Abdullah berasa dia akan tewas pada hari itu dan melafazkan kekhuatiran beliau pada ibunya: "Wahai ibu, aku khuatir kalau musuh berhasil membunuh aku mereka akan menyalib mayat aku." Asma lantas menjawab: "Wahai Abdullah, sesungguhnya kambing yang sudah disembelih itu sedikitpun tidak akan berasa sakit ketika dilapah." Dengan berbekalkan kata keramat daripada seorang ibu, Abdullah mara dan akhirnya menjadi syahid. Asma yang buta itu mengetahui kematian anaknya dengan meraba tubuh puteranya yang tidak bernyawa di tiang salib. Kurang seminggu dari tempoh syahid Abdullah, Asma meninggal dunia pada usia genap 100 tahun dan ketika itu giginya masih asli dan ingatannya masih kukuh. Allahu Akbar. Inilah yang paling saya takuti. Bersediakah kita menjadi seperti Asma, idola dan pendorong serta pembakar semangat anaknya hingga ke hujung usia. Tentu ibu ini mempunyai hubungan yang kuat dengan anaknya dan menunjukkan contoh teladan ikutan anaknya di jalan dakwah. Marilah sama-sama kita fikirkan hubungan kita dengan setiap anak. Adakah kita berasa yakin bahawa setiap mereka akan mewarisi dan mengamalkan Islam yang syumul. Kalau tidak, masih belum terlewat untuk kita lakukan sesuatu.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 10:39 PM



Contohi Rasulullah Hargai, Perjuang Nasib Pekerja oleh Endok Sempo Tahir

Cuti hujung minggu yang panjang sempena sambutan Hari Pekerja, Maulidur Rasul dan Hari Wesak memberi peluang masyarakat negara ini berehat selain melaksanakan perkara yang sudah dirancang. Bagi masyarakat Islam, bulan ini lebih dikenali dengan bulan sambutan Maulidur Rasul, yang ia dimanfaatkan sebahagian Muslimin untuk melahirkan rasa cinta terhadap Nabi Muhammad. Kedatangan serentak 1 Mei dengan sambutan Maulidur Rasul menambah makna kepada cuti kali ini bukan saja masa untuk berehat tetapi juga menilai serta menginsafi makna di sebalik sambutan kedua peristiwa bersejarah ini. Bagi golongan yang prihatin, inilah saatnya mengimbas kembali sumbangan serta perjuangan yang belum berakhir dengan mengambil iktibar daripada sejarah perjuangan junjungan besar Nabi Muhammad.

Rasulullah adalah seorang pemimpin yang sangat dicintai dan dihormati oleh umat Islam di mana apabila baginda mengambil wuduk, orang ramai merebut mendapatkan sisa air wuduknya. Apabila baginda bercukur, sahabat hampir berkelahi untuk memperoleh hanya selembar rambutnya dan orang daripada pelbagai lapisan berpusu-pusu serta berasak asak untuk sekadar mencium tangannya. Pengikut Rasulullah menyimpan dengan penuh penghormatan apa saja benda yang pernah disentuhnya termasuk pinggan, piring, selipar, cincin, jubah, mahupun tongkat. Setiap tahun, jutaan kaum Muslim mengucapkan salam takzim dengan suara sayu disertai linangan air mata di hadapan makam baginda dengan ucapan, Assalamualaika ayyuhan Nabiy wa rahmatullahiwa barakatuh. Pada satu pertempuran, seorang sahabat menjilat luka Rasulullah SAW dan menjelang wafatnya, sahabat yang lain memeluk serta mencium perut baginda. Sesudah baginda wafat, Saidina Abu Bakar, mencium wajah Rasulullah seraya berkata, "Engkau tetap indah, baik ketika engkau hidup mahupun sesudah engkau wafat." Puteri Rasulullah, Fatimah, setiap hari mencium tanah pusara ayahnya sambil bersyair: "Apakah mungkin orang yang mencium tanah pusara Ahmad, mahu mencium wangian lain sepanjang masa?" Ramai orang ingin mencium sekurang-kurangnya makam Rasulullah tetapi siapakah gerangan yang tangannya pernah dicium oleh Nabi yang mulia itu? Terdapat dua orang yang tangannya pernah dicium oleh Rasulullah iaitu puterinya sendiri, Fatimah dan seorang buruh kasar yang juga sahabat kepada baginda. Apabila Fatimah datang menemui ayahandanya, Rasulullah akan segera berdiri, menjemput puterinya itu, mengambil tangannya dan menciumnya. Baginda pernah berkata di hadapan sahabat-sahabatnya, "Fatimah belahan nyawaku. Siapa yang membuatnya marah, mereka juga membuatkan aku marah. Siapa yang menyakitinya, mereka juga menyakitiku". Ketika anak-anak perempuan dihina bahkan dibunuh semasa kecil, Rasulullah mencium tangan puterinya dengan penuh kasih sayang seakan ingin menunjukkan tangan wanita adalah tangan yang dicintai Allah. Tangan itu yang mencorakkan masa depan umat dan negara, oleh itu tangan itulah perlu dihormati, dijaga dan ditatang kerana kedudukan mereka.

Seorang sahabat, Saad Al-Anshari, bercerita pada suatu hari seorang sahabat Rasulullah memperlihatkan tangannya yang hitam dan melepuh. Apabila baginda menanyakan mengenai perkara itu, beliau menjawab bahawa tangannya melepuh kerana bekerja keras. Sahabat itu bekerja memecah batu dan tanah keras dengan kapaknya untuk mencari nafkah yang halal bagi keluarganya. Mendengar cerita itu, Rasulullah, yang mulia mengambil tangannya dan menciumnya. Seakan-akan baginda ingin menyatakan kepada seluruh pengikutnya bahawa tangan yang melepuh kerana kerja keras adalah tangan yang cintai Allah. Jika memandang di sekeliling, kita akan melihat jutaan tangan yang menghitam di pinggir jalan, di sawah dan ladang, di tengah hutan, di lautan kerana mencari sesuap nasi. Bayangkan peneroka yang membanting tulang memerah keringat seperti abdi, nelayan kecil di laut yang bersaing dengan kapal besar, petani yang terdedah di bawah terik mentari mencangkul tanah yang kain lama makin tidak subur. Kenangkan juga nasib buruh kilang yang menggerakkan jentera berat tanpa perlindungan majikan. Dan bertanyalah kita, "Ya Rasulullah, setelah engkau, siapakah gerangan pemimpin yang akan mencium tangan mereka ini? Siapakah dikalangan pemimpin yang akan memperjuangkan nasib kaum buruh yang sering dilupakan?"

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 1:12 AM