~Eratkan Ukhuwah Gerakkan Islah~

 

~ Thursday, July 21, 2005



Bukan Islam boleh diajak tangani isu Palestin

Oleh Maryam Jailani

Minggu Palestin atau 'Palestinian Week 2004' yang berakhir 19 April lalu anjuran Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menimbulkan ra-sa prihatin 'masalah umat' di kalangan remaja yang cintakan keamanan sejagat.

Program yang dirancang pada kali ini diberi nafas baru dan meniupkan kesedaran yang sungguh mengguris jiwa setiap yang hadir. Program begitu seharusnya disuburkan di pusat pengajian tinggi lain dan seterusnya di sekolah menengah seluruh negara. Malah, saya amat yakin program 'Video and Talk Show' dalam program itu yang menampilkan Datuk Dr Jemilah Mahmood (dari Persatuan Bantuan perubatan Malaysia – MERCY) sebagai ahli panel tunggal dan Nizal Mohamad (dari TV3) sebagai pengerusi majlis, berjaya memberi kesan sangat mendalam kepada hadirin yang memenuhi dewan.

Antara isu berkaitan yang perlu diambil perhatian ialah perkongsian isu Palestin dengan seluruh masyarakat yang lebih meluas termasuklah masyarakat bukan Islam. Isu Palestin yang sudah lebih 50 tahun diperjuangkan tidak harus terus diperjuangkan masyarakat Islam saja. Demi mewujudkan dunia yang aman, perpaduan dan kesatuan dalam isu antarabangsa ini harus diperluaskan dan diperjelaskan kepada seluruh lapisan masyarakat termasuklah masyarakat bukan Islam. Saya pasti rakyat Palestin juga mahukan masa depan dunia yang damai dan harmoni.

Saya juga yakin mereka bersedia menyahut cabaran untuk terus memperjuangkan kebenaran. Malah, saya amat pasti ramai di kalangan masyarakat bukan Islam yang sangat sensitif dengan isu pencabulan hak asasi manusia walaupun di mana saja, apatah lagi isu Palestin yang memaparkan episod pencabulan hak asasi manusia yang tidak dapat diterima oleh sesiapapun yang mengaku dirinya sebagai manusia.

Hati siapa yang tidak tersentuh dengan penderitaan rakyat Palestin yang juga berbilang agama?

Hati mana yang tidak terusik dengan pembunuhan kanak-kanak tidak berdosa dan pencabulan maruah wanita yang lemah tidak berdaya?

Nurani siapa yang tidak terguris dengan pengeboman Sheikh Ahmad Yasin, pejuang Palestin yang lumpuh di kerusi rodanya?

Alangkah baiknya jika kita sebagai insan pencinta keamanan, 'berkongsi' rasa hati dan idealisme perjuangan dengan mereka di luar sana? Mengapa kita kecilkan medan perjuangan keamanan dan hak Palestin ini hanya dikalangan umat Islam? Mengapa tidak kita bersatu dengan semua pencinta keamanan lain?

Bumi ini dikongsi bersama, maka mengapa hanya berjuang seorang diri berusaha untuk memastikan bumi aman? Malah di Palestin sendiri, ramai sukarelawan dan masyarakat Palestin bukan Islam yang turut memperjuangkan kemerdekaan dan hak rakyat Palestin hingga mereka sanggup menggadaikan nyawa sendiri. Mengapa? Ini kerana, mereka juga manusia yang mempunyai naluri kemanusiaan. Mengapa? Ini kerana, mereka juga cintakan keamanan. Mereka juga tahu membezakan prinsip keadilan dan kezaliman. Mereka juga percaya bahawa masih ada peluang untuk kebenaran bertapak kukuh di bumi Palestin dan di dunia ini. Mereka juga percaya bahawa peperangan lebih membawa kepada kemusnahan dan kehancuran.

Malah, sebagai pelajar perbandingan agama, saya juga yakin semua agama menuntut penganutnya berpegang dengan prinsip etika yang sama sekali akan menidakkan tindakan kejam dan bersifat haiwan ke atas manusia.

Bagi penganut agama Buddha yang berpegang dengan konsep 'Nirvana' dan '10 Precepts' tentu sekali tidak akan membenarkan pembunuhan kejam yang berlaku di Palestin berdekad-dekad lamanya. Penganut agama Kristian pula tentu sudah lazim dengan ajaran Kitab Injil yang menolak kekejaman dan pencabulan hak asasi manusia. Maka, di sinilah relevan isu ini untuk dikongsi bersama hatta dengan masyarakat bukan Islam. Titik pertemuan yang sangat berhubung kait ini sudah tentunya akan membuka lembaran baru dalam kehidupan masyarakat dunia yang memperjuangkan keamanan.

Penyatuan tenaga dan usaha seumpama inilah yang kita nantikan selepas sekian lama. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Tentu sekali masih ada ruang untuk kita bergabung tenaga dan idea, menyumbangkan bantuan kewangan dan harta benda, malah menyebarkan isu perjuangan di Palestin dengan fakta yang sahih ke dalam kepelbagaian bahasa dan bangsa di negara ini. Umpamanya, seluruh lapisan masyarakat boleh memperluaskan isu ini melalui lagu, kartun, majalah dan akhbar dalam pelbagai dialek dan bahasa.

Pendek kata, pendidikan dan pemahaman mengenai isu sebenar di Palestin ini perlu disebarkan melangkaui batasan bangsa, bahasa dan agama dengan satu matlamat yang kita semua impikan iaitu mewujudkan dunia yang lebih aman. Masyarakat Malaysia berbilang kaum bersatu menyumbang dan membantu misi kemanusiaan di wilayah Bam, Iran dan juga Iraq. Pengorbanan itu tentunya tambah bermakna dengan kesediaan untuk terus mengekalkan perpaduan dan sokongan dalam isu Palestin ini. Kesatuan dan perpaduan unik ini tentunya akan menghasilkan suara baru yang teguh memperjuangkan keamanan dan kedamaian.

Maka, seluruh masyarakat Islam perlu diajak untuk bersama-sama 'bercerita dan berkongsi' isu Palestin sebenar dengan masyarakat bukan Islam. Masyarakat bukan Islam perlu diajak untuk sama-sama menganalisis tragedi di Palestin daripada kaca mata pencinta kedamaian. Justeru, marilah kita berganding bahu demi merealisasikan keamanan dunia yang kita impikan.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 8:35 PM

 

~ Tuesday, July 19, 2005



Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah segala puji bagi Allah,Tuhan sekalian alam kerana limpah kurnia dan inayahNya masih lagi diberi peluang utk mengecapi nikmat kehidupan di alam yg fana ini. Actually dah lama gile tak menulis,otak pun dah jd beku bila nak menulis ni. Since keja ni,mcm2 tanggungjawab yg menyebabkan aku tak sempat nak menulis sendiri dlm weblog ni.

Skrg ni aku tgh baca buku Yusuf Qardhawi bertajuk Fatawa Al-Mu'ashirah. Aku terjumpa satu topik yg menarik bila sorang ni tanya Yusuf Qardhawi apa yg terjadi kat dunia ni dah tertulis dan merupakan takdir yg tak leh diubah. So dia tanya kenapa kena berusaha utk memajukan hidup sdgkan kehidupan ni Allah dah takdirkan utk setiap insan. Jawapan yg diberi oleh Qardhawi mmg menarik. Dia bagi contoh apa yg berlaku pd zaman Umar Al Khattab. Masa tu berlaku wabak penyakit kat Syam. Lps syura dgn sahabat2, derang decide balik semula ke madinah. Bila org tanya adakah Umar cuba lari dari takdir. Umar jawab,"Kami lari dari qada dan qadar yg ini kepada qada dan qadar yg lain". Maknanya pencegahan daripada sesuatu yg buruk itu juga merupakan qada dan qadar ataupun takdir yg Allah tetapkan ke atas kita. Bukan ke ilham utk mencegah atau mengubati sesuatu yg merbahaya itu datangnya dari Allah juga? Maknanya solution to any problems tu adalah sebahagian daripada qada dan qadar.

Lagi satu kisah yg menarik berlaku antara panglima Islam bernama Mughirah bin Shu'bah dan panglima tentera Rom. Panglima Rom tanya pada Mughirah, "Siapakah kalian semua ini?" Mughirah jawab,"Kami adalah qada dan qadar yg telah Allah hantarkan kepada kamu semua sbg ujian. Andai kata kalian berada di langit atau di awan,akan kami kejar sampai ke sana supaya kamu turun berhadapan dgn kami". Bagi aku isu perbualan ni bukan la berkaitan qada dan qadar sgt. Tp lebih nampak kepada betapa beraninya umat terdahulu dlm berdepan dgn musuh. Aku rasa kalau ada org ckp kat aku cam tu pun aku leh jd psiko. Kalah sblm berperang la jdnya. Tp kalau dilihat kemenangan tentera Islam dlm peperangan bukan la tertakluk pd bantuan Allah semata-mata. Sbb Allah hanya akan bantu kita jika kita berusaha, berdoa, dan bertawakkal. Antara usaha yg dimainkan oleh tentera Islam utk menang ialah semangat utk mati syahid. Susah nak jumpa semangat cam tu dlm mana2 tentera di dunia skrg ni. Sume nak menang je. Bila target sekadar nak menang,bila dah nak kalah,mereka akan menyerah terus. Why? Sbb dah tertanam dlm diri manusia,gagal sekali tak bermakna takkan menang. Jd mereka akan cuba lagi sekali utk menang pd peperangan yg akan dtg. Biarlah kalau buat kali pertama sbb derang boleh belaja dari kesilapan. Tp kalau berjuang kerana inginkan syahid halnya berbeza. Why? Sbb mati syahid hanya sekali je,takde byk kali. Alang2 nak meninggalkan dunia yg fana ni,biarla mati dgn cara yg terhormat. Bunuh seramai musuh yg mungkin sblm tak dpt membunuh lagi. Maknanya mati melawan dgn bersungguh-sungguh ibarat singa betina yg mempertahankan anaknya daripada diganggu. Itulah istimewanya mati syahid ni. Ni pun setakat pandangan aku je. Ntah betul ntah tidak.

Bila ckp pasal jihad ni,terkenang plak time masa kat oversea dulu. Mmg betul la belaja tu pun berjihad gak. Org kata sbb 'jihad' tu berasal dari root word 'jahada' iaitu bersungguh-sungguh. Tp aku punya pandangan lain sket sbb mmg byk bentuk jihad yg berlaku time study kat oversea ni. Pertamanya kena jihad lawan emosi. Masa memula nak fly tu berat gile nak tinggalkan famili. Masa kat airport tu mak ayah aku menangis je,aku pun terus leleh gak. Adik aku yg second mmg mudah nangis la. Tambah plak dia yg paling rapat ngan aku. Bila dah sampai kat sana plak berjihad lawan perasaan putus asa. Yela,mcm2 dugaan memula sampai tu. Dgn cuaca yg sejuk,rumah plak takde lagi time tu. Menumpang umah senior. Bila dah dpt umah plak,takde tilam nak tido, menggigil je bila tido tu. Bila dah start belaja kena jihad lawan perasaan malas plak. Bila masuk summer,kena jihad lawan hawa nafsu sbb pepaham je la...hehehe. Bila dah nak grad kena jihad lawan kemewahan. Bila dah lama menetap kat sana,kira dah established la. Sume kelengkapan kita dah ada. Time la nak duga kita sanggup berkorban atau tak utk junior2 yg serba kekurangan kelengkapan. Jihad nak gagahkan diri utk membela Islam di tgh2 masyarakat yg membenci Islam. Mcm2 jenis jihad la. Benda cam ni kekadang kita tak sedar. Bila ada masa lapang,sbb tu Rasulullah kata berfikir sesaat lebih baik daripada solat sunat seribu rakaat. Sbb solat tu melibatkan amalan pd waktu dlm solat tu je la. Tp bila piki ni,melibatkan benda2 ataupun amalan yg kita dah buat time dulu2 dan time yg akan dtg. Mana taknya,bila kita piki kita akan ingat apa yg kita dah buat dan rancang apa yg akan kita buat. Kira cam muhasabah la. Tambahan plak piki ni bkn kena gerak memana pun. Duk satu tempat pastu menung je la,compared dgn solat yg banyak pergerakannya. Bkn la aku menafikan kehebatan solat,cuma aku nak point out pentingnya berpiki ni.

Bila aku kenang2 balik,benda ni akan dilalui plak oleh adik2 aku. Ahad lepas masa anta adik aku balik ke Sulawesi. Aku sendiri menitiskan air mata. Baru la aku dpt rasa apa yg mak ayah aku rasa. Dah besarkan anak hampir 20 tahun,akhirnya terpaksa dilepaskan demi menuntut ilmu. Rasa seolah-olah satu kehilangan sbb tak penah berjauhan sblm ni. Tambahan plak setiap anak tu ada keistimewaan yg tersendiri. Bila takde tu,mmg terasa rindu dan sunyi. Aku since duk kat umah ngan parents ni baru la aku terasa betapa rindunya dgn adik2. Mungkin time study dulu ada kengkawan utk menemani,so takde la rasa sunyi. Skrg baru aku paham kenapa mak ayah aku menangis time nak anta anak balik belaja. Kekosongan anak dlm keluarga tu tiada penggantinya buat mereka. Tp kita boleh isi kekosongan keluarga dgn kawan2. Besarnya pengorbanan mak ayah ni. Bila derang sunyi,derang tak cari anak angkat utk replace kekosongan yg kita tinggalkan. Tp kita plak,isi kekosongan tu dgn kengkawan. Tak malukah kita? Aku betul2 insaf bila piki hal ni. Tak lama lagi adik laki aku plak nak gi Korea. Aku tak tau nak ckp apa,skrg ni pun aku dah menangis sensorang tak sanggup nak berjauhan dgn adik aku. Aku pun tak tau nape,walhal dulu aku duk oversea 4 tahun takde mende pun. Besar sungguh anugerah rindu yg Allah berikan. Tak terungkap dgn kata2. Subhanallah. Aku harap aku akan tabah hadapi sume dugaan dari Allah ni. Aku percaya sume yg berlaku adalah qada dan qadar dari Allah. Setiap yg dtg dari Allah tu ada hikmah di sebaliknya.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 9:21 PM

 

~ Monday, July 18, 2005



Perkara Sunat Tidak Boleh Dianggap Amalan Sukarela

Oleh Prof Madya Maznah Daud

Perkara sunat sering ditakrifkan sebagai sesuatu yang jika dilakukan mendapat pahala, jika ditinggalkan tidak berdosa. Ungkapan 'tidak berdosa' seolah-olah memberi gambaran bahawa ia suatu perkara sukarela – terserah kepada diri masing-masing sama ada hendak melakukannya atau sebaliknya. Lantaran itu ada umat Islam tidak begitu mengambil berat dalam mengerjakan amalan sunat, khususnya yang berkaitan ibadat seperti solat, puasa, sedekah dan zikir.

Anehnya, dalam urusan harian atau perkara tidak termasuk dalam kategori ibadat khusus, kita tidak berpada dengan yang wajib saja, malah begitu menitikberatkan perkara remeh temeh yang tidak sampai ke martabat sunat pun. Contohnya, pakaian yang diwajibkan adalah memakai pakaian yang menutup aurat dengan kriteria tertentu seperti tidak ketat dan jarang. Namun dalam menyempurnakan yang wajib ini kita berlebih-lebih pula mementingkan perkara sampingan seperti fesyen, warna dan aksesori sampingannya.

Allah menciptakan manusia dan diberinya pelbagai kelebihan. Disediakan untuk mereka pelbagai kemudahan untuk menjalani kehidupan di dunia yang sementara ini. Segala kelebihan dan kemudahan seperti bumi terbentang sebagai hamparan, langit sebagai bumbung tidak bertiang, udara bertiup segar, cahaya membekalkan tenaga dan kepanasan serta air yang sesuai untuk diminum dan bercucuk tanam, semuanya diberikan dengan percuma. Firman Allah bermaksud:

"Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Dia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). “Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar untuk kepentingan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu. “Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian daripada tiap-tiap apa yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya." (Surah Ibrahim, ayat 32 hingga 34)

Sesungguhnya terlalu besar nikmat Allah yang kita terima. Jika kita cuba hendak menghitungnya, pasti sepanjang hayat tidak akan selesai. Begitu juga jika kita ingin berterima kasih kepada-Nya, sepanjang hayat tidak mampu berbuat demikian yang sepadan dengan nikmat itu. Rasulullah cuba melahirkan rasa syukurnya terhadap nikmat Allah dengan bersembahyang pada waktu malam hingga bengkak kakinya. Isterinya, Aisyah bertanya:

"Kenapa Rasulullah lakukan semua ini (berdiri lama ketika solat malam hingga bengkak kaki), pada hal Allah telah mengampun segala dosa Rasulullah baik yang dulu atau kemudian." Dengan tenang baginda menjelaskan: "Tidakkah patut aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?" (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini mengajar kita bahawa solat sunat adalah antara cara seorang hamba menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada Allah. Waktu paling baik untuk melakukan solat sunat ialah tengah malam atau sepertiga terakhir daripada malam. Waktu seluruh alam dibungkus kegelapan. Lebih indah lagi, jika amalan ini dikongsikan bersama ahli keluarga.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Allah merahmati seorang lelaki yang bangun pada waktu malam, lalu bersembahyang. Kemudian dia mengejutkan isterinya. Jika isterinya enggan bangun, direnjisnya air ke mukanya. "Begitu juga Allah merahmati seorang perempuan yang bangun pada waktu malam lalu bersembahyang. Kemudian dia mengejutkan suaminya. Dan jika suaminya enggan bangun, direnjiskan air ke mukanya." (Hadis riwayat Abu Daud).

Selain menyatakan rasa syukur kepada Allah, amalan sunat, khususnya solat dapat menyelamatkan kita daripada seksa di akhirat kelak. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda maksudnya:

"Sesungguhnya amalan seseorang manusia yang mula-mula dihisab pada hari kiamat nanti ialah solatnya. Jika baik solatnya, maka dia selamat dan berjaya. Jika rosak solatnya, maka dia rugi dan kecewa. "Jika ada sedikit kekurangan pada solat fardunya, Allah memerintahkan: "Lihatlah! Apakah ada tercatat hamba-Ku melakukan solat sunat? Jika ada, tampungilah apa yang kurang daripada solat fardunya." "Kemudian, begitulah caranya akan diperhitungkan semua amalan-amalannya." (Hadis riwayat at-Tarmizi).

Bayangkanlah nasib yang bakal menimpa seorang hamba yang lemah pada hari kiamat nanti jika tiada langsung bekalan yang dibawa daripada amalan sunat. Mengharapkan amalan yang fardu atau wajib saja, adakah terjamin semuanya sempurna? Di samping itu, banyak melakukan amalan sunat menjadikan seseorang hamba itu dikasihi oleh Tuhannya.

Rasulullah bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah berfirman: "Sesiapa yang memusuhi kekasih-Ku, maka sesungguhnya Aku mengisytiharkan perang dengannya. Tidak ada perkara yang paling Aku sukai dilakukan oleh hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku selain daripada dia melakukan apa yang Aku fardukan ke atasnya. “Dan sentiasalah hamba-Ku itu menghampirkan dirinya kepada-Ku dengan melakukan amalan yang sunat hingga Aku kasihkannya. Maka apabila Aku telah kasihkannya, maka Akulah pendengaran yang dia mendengar dengannya, penglihatan yang dia melihat dengannya, tangan yang dia menghulur dengannya dan kaki yang dia berjalan dengannya. Jika dia meminta dari-Ku, akan Ku berikan apa yang dipintanya. Dan jika dia memohon perlindungan, pasti akan Ku lindunginya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Daripada hadis di atas, jelas bahawa sunat tidak boleh dianggap sebagai suatu amalan sukarela. Siapa yang suka dia buat. Kalau tidak suka, tidak payah buat. Sebaliknya sunat adalah amalan yang sangat diperlukan oleh Muslim beriman. Ia sebagai tanda kesyukuran seorang hamba kepada Tuhan Yang Amat Pemurah, sebagai penyelamat daripada seksa api neraka pada akhirat nanti dan sebagai satu cara mendekatkan diri kepada Allah agar menjadi seorang hamba yang dikasihi-Nya.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

posted by scouser at 9:31 PM