~Eratkan Ukhuwah Gerakkan Islah~

 

~ Friday, July 29, 2005



Manusia sombong lebih mudah disesatkan syaitan

Oleh Khadijah Ghazali

Banyak peristiwa yang dialami, banyak jalanan yang dilalui, menjadikan manusia sering lupa diri, alpa dan tenggelam dalam kehidupan. Banyak nikmat yang dikecapi, banyak kejayaan yang dijulang, membuatkan manusia berasa diri hebat, berada di kemuncak, menyebabkan wujud rasa sombong dan angkuh dalam diri.

Imam Al-Ghazali mengemukakan panduan supaya kita tidak bersifat sombong dan angkuh. ·

Jika berjumpa kanak-kanak, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita. Ini kerana kanak-kanak belum banyak melakukan dosa daripada kita.

Mungkin susah bagi sesetengah orang untuk mengangkat darjat ke atas orang yang berada di bawah kedudukannya, apa tah lagi mereka adalah kanak-kanak. Tetapi kalau diamati saranan Imam Ghazali ini, kita dapat rasakan betapa Islam begitu suci dan tinggi nilai peradabannya. Begitu halus dan seninya erti rendah diri yang dianjurkan.

Andai kata kita dapat melaksanakan sikap ini, betapa kita menjadi orang yang tinggi pekerti di sisi Allah. Ini kerana kita meletakkan perbandingan dosa antara kita dengan kanak-kanak yang sudah pastilah amat ketara nisbahnya. Sikap inilah yang akan membentuk keinsafan serta membulatkan tekad untuk mengurangkan perlakuan dosa.

Apabila bertemu orang tua, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana mereka sudah lama beribadat.

Kebiasaan kita memang menghormati yang lebih tua. Tetapi, berapa ramai yang sanggup menganggap golongan ini lebih mulia, melainkan ditanam dalam diri sikap yang dianjurkan oleh Imam Ghazali ini. Menghormati orang yang lebih tua dengan andaian bahawa mereka sudah lama beribadat, menjadikan kita lebih bermotivasi dalam meningkatkan amalan yang kononnya lebih muda ini dapat mengatasinya dari sudut kuantiti dan kualiti.

Jika berjumpa orang alim, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana banyak ilmu yang mereka pelajari dan ketahui.

Menjadi lumrah kita menghormati orang alim. Bukan sekadar menghormati, malah dijadikan idola dan teladan untuk ikutan. Islam menganjurkan penghormatan ke atas orang alim bertepatan dengan kemuliaan ilmu serta amalan mereka. Wajarlah kita memuliakan mereka dengan menganggap bahawa memang benarlah mereka banyak mempelajari dan banyak mengetahui ilmu.

Apabila melihat orang jahil, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana mereka membuat dosa dalam kejahilan, sedangkan kita membuat dosa dalam keadaan mengetahui.

Subhanallah. Agungnya agama Allah! Kanak-kanak dimuliakan kerana kurangnya dosa, yang tua dimuliakan kerana banyak amalan dan orang alim dimuliakan kerana banyaknya ilmu serta amalan, si jahil juga perlu dimuliakan. Ini dengan beranggapan bahawa perlakuan dosa mereka adalah dalam kejahilan, berbanding kita yang masih sering melakukan dosa walaupun jelas dan akui ia adalah perlakuan dosa.

Maha suci Allah! Sucinya nilai diri seseorang yang berjaya memuliakan orang jahil dengan menilaikan diri sendiri lebih berdosa kerana kelalaian dan kealpaan.

Jika melihat orang jahat, jangan anggap kita lebih mulia kerana mungkin satu hari nanti dia akan insaf dan bertaubat atas kesalahannya.

Orang jahil dimuliakan kerana masih dalam keadaan jahil, yakni tanpa sedar melakukan dosa, tanpa mengetahui ia berdosa, kini orang jahat juga perlu dianggap mulia. Bukan kerana kejahatannya, tetapi kerana kemungkinan pada masa akan datang mereka akan insaf.

Bagi mendidik diri agar tidak memuliakan diri sendiri berbanding kejahatan orang lain, inilah sikap yang dianjurkan oleh Islam. Kita mendoakan agar si jahat akan insaf dan akhirnya dipandang lebih mulia kerana tidak lagi berada dalam kejahatan. · Apabila bertemu orang kafir, katakan dalam hati bahawa mungkin pada suatu hari nanti mereka akan diberi hidayah oleh Allah dan memeluk Islam. Maka, segala dosa mereka akan diampuni oleh Allah.

Doa adalah cara untuk menghindarkan sifat tinggi diri dan sombong. Ini kerana dengan mendoakan orang kafir akan mendidik diri untuk menghormati semua golongan. Kalau kebiasaannya doa hanya dipanjatkan untuk sesama saudara seIslam, tetapi dengan mendoakan golongan kafir akan membentuk satu sifat rendah diri terhadap kekuasaan Allah dalam menentukan hidayah dan pengampunan ke atas semua makhluk-Nya.

Banyak sebab manusia memiliki sifat sombong, kadang kala tanpa sedar, tetapi selalunya dalam sedar. Manusia akan menjadi sombong dengan kelebihan diri, kononnya lebih cantik, hebat dan baik daripada orang lain. Manusia selalunya menjadi angkuh dengan kemampuan yang dimiliki. Tetapi jika difikir, direnung dan diamati sedalam-dalamnya, apa saja yang dibanggakan dan diagung-agungkan dalam diri, semuanya adalah pemberian Allah. Cantiknya kita siapa yang beri dan hebatnya kita dengan izin siapa, tiada satu pun milik mutlak. Hatta, diri manusia sendiri adalah kepunyaan Allah. Oleh itu, hayatilah panduan Imam Ghazali sebagai penggerak jati diri dalam membentuk sifat mulia sebagai manusia Muslim.

Hindari sifat terkutuk, sombong dan angkuh kerana sesungguhnya orang yang sombong itu adalah manusia yang bodoh terhadap diri sendiri. Ini kerana sikap ini akan menjauhkan mereka daripada Allah yang maha memiliki segala sesuatu yang dimiliki mereka. Sekali pandang, sekadar bacaan, mungkin nampak serba ringkas dan ringan, tetapi jika diamati hakikatnya, amat berat untuk kita pikul dan amalkan. Jika sekadar menghormati dan memuliakan daripada gambaran luaran, memang mampu dilakunkan. Kita mampu menghormati yang tua dan orang alim. Malah, kita juga mampu menganggap golongan kanak-kanak lebih baik daripada kita kerana mengetahui akan kurangnya dosa mereka. Tetapi, hakikatnya mampukah kita memuliakan orang yang ketara jahat dengan beranggapan bahawa dia akan insaf? Mampukah kita mengakui orang jahil itu mulia kerana melakukan dosa dalam kejahilan serta mampukah juga kita mendoakan orang kafir dengan harapan mereka akan diberi hidayah dan diampuni?

Semuanya berbalik kepada iman yang ditanam dalam diri. Jika iman kita kukuh dunia akhirat, maka dunia dan akhirat bakal milik kita. Tetapi, jika iman kita hanya iman di dunia, maka dunia sandaran kita. Sombong dan angkuh adalah sifat yang menyebabkan syaitan yang asalnya makhluk mulia tersingkir dari syurga Allah. Sifat ini juga satu daripada laluan syaitan untuk memasuki dan menakluki manusia agar jauh daripada syurga Allah. Kesombongan akan menjadikan manusia jauh daripada masyarakat. Islam mendidik agar sifat ini dihindari supaya manusia dapat hidup dalam harmoni, penuh nilai hidup suci dan bersih lahir batin. Semoga Islam berkembang dengan terdidiknya hati manusia yang sudi membetulkan diri ke arah pembentukan Muslim sejati.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

posted by scouser at 5:40 PM

 

~ Thursday, July 28, 2005



Ummah dituntut tentukan kepemimpinan

Oleh Ir.Hjh. Endok Sempo Mohd Tahir

Rokiah bertanya rakan sejawatnya, Salmah mengenai pilihan raya. Dia bertanya, di manakah Salmah akan mengundi. Namun, jawapan yang diterima begitu mengecewakan.

"Aku malas nak mengundi!," balas Salmah.

Rokiah kehairanan dan bertanya mengapa. "Aku mengundi ke, tidak mengundi ke, nasib aku macam tu juga. Aku tetap menjadi kerani cabuk! Sesiapa pun yang menang dalam pilihan raya ini aku tetap macam tu juga, ibu tunggal yang melarat, wanita yang terbiar," kata Salmah.

Hujah Salmah lagi:

"Kadang-kadang saya juga terfikir, pilihan raya ni menjadikan ramai antara kita menjadi manusia yang kurang siuman. "Kerana di masa inilah berlaku perkara perkara yang dilarang Allah, memutuskan silaturahim, mengata orang, memaki hamun, merendah rendahkan saudara sendiri, pulau memulau, mengadu domba, kempen angkat bakul yang berlebih-lebihan hingga memualkan tekak."

Rokiah membalas:"Kamu tak boleh cakap macam tu, sebab tidak semua orang macam tu, asalkan kita tidak menjadi seperti mereka. "Kita mesti menjalankan tanggungjawab sebagai warga negara yang baik. Setiap langkah kita yang soleh akan diberi ganjaran daripada Allah jika niat kita kerana-Nya."

Ini hanya satu daripada banyak contoh mentaliti 'ketidakpedulian' rakyat yang layak mengundi dalam menentukan kepemimpinan negara. Pilihan raya umum hanya datang lima tahun sekali, namun ramai rakyat tidak menghargai peluang ini.

Mengapakah sikap ini masih berlaku di kalangan umat Islam di negara ini? Mungkin kerana umat Islam berasa selamat dan berbangga dengan biangan yang ramai. Ketidakpedulian ini perlu dibetulkan dan kefahaman rakyat mengenai ‘poilitik warga’ seharusnya di ketengahkan.

Menurut ulama terkenal, Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, Islam menganggap penyertaan seseorang dalam pilihan raya dan pungutan suara sama dengan memberi kesaksian bahawa calon yang dipilih adalah baik.

Pada pandangan beliau, sesiapa yang memberikan undian/suaranya kepada seorang calon kerana alasan kerabat dekat atau sekampung atau kerana berharap dapat mengambil manfaat apabila calon itu terpilih nanti, maka dia telah menentang firman Allah dalam surah at-Talaq, ayat dua, bermaksud,

"Dan hendaklah kalian dirikan kesaksian itu kerana Allah."

Sementara sesiapa yang tidak menunaikan kewajipannya dalam pilihan raya (tidak keluar mengundi) hingga golongan yang jujur kalah dan golongan yang tidak layak memimpin menang dengan suara majoriti, maka dia juga menentang perintah Allah dalam memberi kesaksian.

Firman Allah bermaksud, "Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil." (Surah al-Baqarah, ayat 282)

"Dan janganlah kalian (saksi) menyembunyikan kesaksiannya dan sesiapa menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya." (Surah al-Baqarah, ayat 283).

Kita perlu membabitkan diri dalam proses pilihan raya sebagai warga negara Malaysia yang bertanggungjawab sama ada sebagai jentera pilihan raya, pengundi atau pemantau rasmi. Gunakanlah kebijaksanaan kita untuk memilih calon yang tepat dengan mencari sebanyak mungkin maklumat mengenainya.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

posted by scouser at 7:29 PM

 

~ Tuesday, July 26, 2005



Kanak-kanak dibiar bebas meneroka cepat membaca

Oleh Rosnah Ahmad

Persoalan yang sering diajukan ibu bapa apabila menghantar anak ke taman asuhan kanak-kanak ialah: "Bila anak saya nak mula belajar menulis?" Semua ibu bapa sedar bahawa setiap anak mesti mempunyai kemahiran menulis kerana ia adalah faktor penentu kejayaan anak di sekolah, universiti dan kerjaya mereka. Mengajar anak menulis adalah amanah sebagaimana sabda Rasulullah:

"Hak anak atas ibu bapanya adalah diajarnya menulis, berenang dan memanah serta diberikan makanan yang halal." – (Hadis Riwayat At-Tarmizi).

Cara yang digunakan kebanyakan ibu bapa untuk mengajar anak mereka menulis ialah dengan memegang tangan anak dan menunjukkan cara menulis A,B,C atau 1,2,3. Kanak-kanak sebenarnya memerlukan kemahiran yang banyak untuk menulis dan kemahiran itu sudah ada sejak awal lagi kerana bayi dilahirkan dengan tindak balas genggaman sangat kuat hingga boleh menampung berat badan sendiri.

Jika bayi diganggu dengan bunyi yang kuat atau pergerakan kasar secara tiba-tiba, tindak balas terkejut akan menyebabkan bayi membuka jarinya seperti bintang dan kejutan itu perlu hilang sebelum bayi memperoleh kemahiran manipulatif. Perkembangan memanupulasi tangan seperti memegang sesuatu berlaku dengan pesat pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak. Ibu bapa seharusnya peka terhadap tahap perkembangan ini supaya mereka dapat menyediakan persekitaran dan rangsangan yang sesuai untuk menyokong setiap perkembangan anak.

Sebagai contoh, ibu bapa boleh menolong mempercepatkan tindak balas genggaman dengan membuka jari anak satu persatu dengan lagu atau nasyid kerana suasana gembira memudahkan bayi membuka genggaman secara perlahan-lahan. Seterusnya rasakan tapak tangan anak dengan benda-benda yang mempunyai tekstur berlainan seperti kain, kertas dan plastik pelbagai jenis bagi menolong menguatkan otot jari tangan selain membiasakan mereka dengan pelbagai objek.

Ada ibu bapa yang sering memarahi anak kerana suka mengutip dan memasukkan apa saja mereka jumpa ke dalam mulut sedangkan peri laku itu adalah penunjuk anak sudah boleh menggunakan ibu jari serta jari telunjuk untuk mengambil sesuatu. Pencapaian kemahiran manipulatif yang hebat ini boleh dilatih dengan memberi anak makan sendiri makanan seperti kismis dan sayuran yang dipotong kecil.

Ada kalanya anak dilihat seperti sengaja melepaskan barang yang dipegang, sedangkan hakikatnya anak itu belajar menggenggam serta melepaskan barang sebagai merangsang tahap perkembangan kebolehan yang baru dipelajari. Anak-anak yang bebas meneroka dan diajar berdikari lebih awal akan cepat memperoleh kemahiran manipulatif kerana mereka berpeluang menggunakan tangan dan jari untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti makan, memakai pakaian dan bermain. Ini akan mempercepatkan lagi kesediaan mereka untuk aktiviti menulis yang terbahagi kepada tiga peringkat utama iaitu pra tulis, awal menulis dan pandai menulis.

Peringkat pratulis bermula apabila kanak-kanak sudah boleh membuat garisan dengan pensil dan menconteng. Berilah latihan yang banyak menggunakan pergerakan halus jari mereka dengan aktiviti mengoyak, meramas, menggentel, melipat, memusing, memutar, memulas, mencantum dan melarik di atas pasir atau udara. Kanak-kanak di sekitar umur satu atau dua tahun yang didedahkan kepada aktiviti begini lebih cepat menguatkan koordinasi tangan dan mata mereka untuk persediaan menulis.

Peringkat awal menulis biasanya bermula di sekitar umur tiga tahun apabila kanak-kanak sudah boleh melukis imej yang boleh dikenali, menulis dengan sokongan dan menulis mengikut garis putus. Sekitar umur empat tahun pula, kanak-kanak biasanya sudah boleh menulis tanpa sokongan dan pada peringkat itu, ibu bapa mestilah lebih kreatif untuk menjadikan aktiviti menulis menarik. Antara cara menggalakkan anak menulis, sebelum keluar membeli-belah, suruh anak menyediakan senarai serta kuantiti barang yang hendak dibeli seperti dua buku roti, sebatang pensil dan empat biji limau.

Anak-anak akan sibuk bertanya ejaan barang yang hendak ditulis dan secara tidak langsung mereka turut belajar mengeja pada masa yang sama. Kebiasaan itu boleh dipraktikkan sebelum pergi berkelah, bercuti atau balik kampung di mana anak digalakkan menyiapkan barang keperluan sendiri seawal usia empat tahun. Aktiviti begini banyak memberi kebaikan dan memudahkan dalam usaha memupuk sifat bertanggungjawab, berdisiplin serta berdikari dalam diri anak di peringkat lebih awal.

Untuk memupuk penulisan kreatif, anak-anak digalakkan berkarya seperti membuat buku catatan peribadi, menulis pantun, puisi, teka-teki dan cerita pendek. Mempunyai diari sendiri juga membantu menggalakkan anak-anak menulis dan berkarya. Sebagai tanda menghargai hasil usaha serta memberi galakan, tampal karya mereka di peti sejuk atau dinding bilik dan jika ada peluang, hantar karya mereka ke majalah kanak-kanak untuk disiarkan. Semua aktiviti menulis nampak seperti terlalu awal untuk dipupuk dan di luar kemampuan anak tetapi jika diberi sedikit tunjuk ajar, kesabaran dan istiqamah, anak boleh melakukannya dengan baik.

Kanak-kanak sememangnya berpotensi untuk melahirkan penulisan kreatif, kritis dan inovatif. Sediakan pelbagai jenis kertas, peralatan menulis dan mewarna bagi memupuk minat anak untuk menulis. Pada peringkat awal, janganlah terlampau memberi perhatian kepada cara anak menulis atau mengeja dengan salah sebaliknya beri kata-kata galakan dan pujian sebelum menegur kesilapan mereka. Kanak-kanak banyak belajar melalui kesilapan dan jadikanlah aktiviti menulis sesuatu yang menggembirakan buat seisi keluarga.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

posted by scouser at 9:36 PM