~Eratkan Ukhuwah Gerakkan Islah~

 

~ Thursday, September 08, 2005



Bercerita kisah al-Quran bantu bentuk watak anak

Oleh Rosnah Ahmad

SETIAP kali sebelum tidur terngiang-ngiang suara dan terbayang-bayang mimik muka arwah emak bercerita kepada kami lima beradik. Kami berebut-rebut untuk duduk paling rapat dengan emak untuk mendengar kisah dari al-Quran, cerita rakyat yang sarat dengan teladan dan kesusahan hidup emak ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu. Kami adik beradik tidak jemu-jemu mendengarnya walaupun berkali-kali ceritanya diulang. Inilah kegiatan yang kami sukai pada musim tengkujuh apabila tidak dapat bermain di luar rumah. Saat itu mendamaikan jiwa dan masih menenangkan perasaan saya apabila mengenangkan kembali nostalgia itu.

Kini, tradisi ini diteruskan kepada anak saya yang berusia lapan, tujuh dan satu tahun. Mata mereka akan bersinar kegembiraan dan kadang-kadang dahi berkerut kerana cuba memahami apa yang diceritakan. Soalan mereka banyak sekali. Adik kecil yang baru berusia setahun juga seperti mengerti dan sesekali cuba bertanya dengan mengeluarkan bunyi yang belum difahami. Sangat susah untuk berhenti daripada bercerita kerana permintaan anak banyak sekali. Ia kadang-kadang agak meletihkan, tetapi kegembiraan anak dan ucapan sayang serta terima kasih daripada mereka selepas selesai bercerita cukup menghiburkan.

Kanak-kanak dan cerita bagaikan tidak boleh dipisahkan.

Peranan cerita adalah besar dalam proses pendidikan sebuah generasi. Cerita dapat membantu kanak-kanak memperkuatkan imaginasi, meningkatkan pengalaman, mengembangkan penguasaan bahasa serta memberikan pelajaran budi pekerti dan nilai murni melalui peristiwa yang diungkap dalamnya.

Ramai ibu bapa merungut apabila anak seperti tidak mengendahkan kata-kata apabila cuba memberi nasihat atau mendisiplinkan mereka dengan akhlak mulia. Mereka kadang kala tidak menurut kata ibu bapa bukan kerana degil tetapi tidak faham nasihat atau arahan yang diberikan. Contohnya, kanak-kanak berusia lima tahun diberi nasihat supaya jangan menderhaka kepada ibu bapa kerana perbuatan ini dimurkai Allah dan berdosa. Perkataan menderhaka mungkin biasa bagi kita, tetapi ia adalah baru dan susah untuk mereka fahami.

Cara paling berkesan menerangkan maksud menderhaka adalah dengan bercerita. Contohnya, kisah Si Tanggang yang derhaka kepada ibunya. Anak akan lebih mudah memahami sesuatu perkataan apabila mereka dapat mengaitkannya dengan cerita yang disampai atau dibacakan kepada mereka. Aktiviti bercerita juga dapat menyelesaikan banyak masalah emosi anak. Contohnya, apabila menunggu kehadiran adik baru dalam keluarga, anak biasanya mempunyai perasaan yang bercampur baur, gembira serta sedikit gusar dan cemburu. Mereka khuatir perhatian dan kasih sayang ibu bapa akan beralih kepada adik baru.

Buku cerita mengenai adik baru akan membuka ruang kepada anak untuk bertanya apa saja persoalan yang bermain pada fikiran mereka. Ini dapat menolong meyakin dan menyediakan mereka dari segi emosi untuk menyambut kehadiran adik baru.

Zaman kian berubah, kini aktiviti bercerita banyak diambil alih oleh cikgu sekolah, tadika, pengasuh taska, television dan komputer. Apa pun ibu bapa harus memupuk minat dan mencari masa untuk bercerita kepada anak. Bercerita adalah aktiviti masa berkualiti yang sangat berkesan untuk mendekati anak dalam kesibukan ibu bapa sekarang. Secara tidak langsung anak akan merasakan mereka diberi perhatian dan dihargai.

Ada juga ibu bapa yang merasakan apabila anak pandai membaca, kerja mereka semakin mudah kerana mereka mampu membaca sendiri cerita kegemaran masing-masing. Mereka tidak perlu lagi bercerita. Pakar pendidikan mengatakan bahawa ibu bapa masih perlu membacakan cerita kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun. Kanak-kanak pada usia ini masih memerlukan panduan daripada ibu bapa untuk menerangkan maksud perkataan yang tidak mereka fahami dan untuk memperjelaskan mesej sebenar di sebalik cerita yang dibaca.

Islam sangat menggalakkan aktiviti bercerita. Al-Quran mengandungi banyak kisah. Manusia memperoleh pelajaran berharga daripadanya. Keunggulan al-Quran terbukti mendidik manusia dari generasi ke generasi dan tiada tandingannya. Kita diajak bercerita mengenai kisah nyata yang diceritakan Allah dalam al-Quran seperti firman-Nya yang bermaksud:

Maka ceritakanlah kisah-kisah itu agar mereka berfikir.(Surah al-Araf, ayat 176)

Kisah Al-Quran sentiasa mengajar bahawa kebenaran akan melenyapkan kebatilan. Ini dapat memberi kesan dalam diri anak bahawa orang yang suka membuat dosa dan maksiat akan kecundang akhirnya. Perasaan ini penting untuk membenihkan keimanan dan akhlak mulia anak sejak kecil lagi. Keagungan dan kebesaran Allah boleh disampaikan melalui cerita mengenai kebaikan dan keindahan makhluk ciptaan Allah seperti haiwan, serangga dan tumbuh-tumbuhan sesuai dengan fitrah anak-anak yang sukakan haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Kisah Rasulullah, nabi, sahabat dan pahlawan Islam juga akan dapat membantu anak-anak mencintai dan mencontohi sifat terpuji mereka.

Ibu bapa juga boleh mereka sendiri watak yang boleh disesuaikan dengan mesej yang hendak disampaikan kepada anak-anak. Anak-anak saya sudah mengenali watak Abu yang saya cipta. Ada banyak cerita mengenai Abu seperti Abu balik kampung dan Abu dapat adik baru. Cerita ini saya reka secara spontan ketika cuba menangani masalah anak-anak. Ia banyak mengandungi unsur nasihat dan humor yang disesuaikan dengan mesej dan nasihat yang hendak disampaikan.

Cara ini lebih berkesan kerana ego anak-anak tidak menjadi penghalang mereka menerima nasihat berbanding menasihati mereka secara terus. Banyak teknik bercerita yang boleh digunakan, termasuk bercerita secara lisan, dengan bantuan buku cerita, kad bergambar dan patung. Carilah cerita yang akan memberi manfaat dan mengandungi unsur humor yang dapat menarik perhatian anak-anak.

Apabila bercerita secara lisan, gunakan nada suara dan mimik muka yang sesuai supaya menarik perhatian, mudah difahami dan menyentuh perasaan. Elakkan cerita yang terlampau susah untuk difahami dan banyak mengandungi penafsiran yang belum mampu digarap oleh anak-anak. Jadikanlah bercerita satu aktiviti keluarga yang menarik dan disukai oleh mereka.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

posted by scouser at 12:12 AM

 

~ Monday, September 05, 2005



Istilah pengganas ciptaan Barat untuk hina umat Muhammad
Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

Akhir-akhir ini kita sering dikejutkan dengan peristiwa pengeboman berani mati di beberapa negara, terutama di tempat awam seperti stesen bas dan kereta api.

Pengeboman terbaru paling mendapat perhatian berlaku pada 7 Julai lalu di kota raya London. Kesannya adalah terhadap masyarakat Islam lain yang dipandang serong, penuh curiga, dicaci, dicela, dipukul serta ditindas seperti berlaku di Perancis, Amerika Syarikat dan Britain.

Kita sentiasa mencari cari jawapan terhadap pelbagai persoalan yang berkaitan dengan keganasan dan pengebom berani mati. Persoalan ini terjawab sedikit sebanyak apabila menghadiri satu persidangan baru-baru ini. Pada Isnin lalu, saya menghadiri persidangan Meja Bulat di Ampang, Selangor yang membincangkan 'Aksi Pengeboman Kota London, 7 Julai 2005: Impak kepada Umat Islam' Persidangan anjuran MAPWIM-Yadim (Majlis Perundingan Wanita Islam Malaysia) dihadiri perwakilan dari lebih 15 pertubuhan bukan kerajaan wanita Islam.

Ahli panelnya ialah tiga tokoh akademik iaitu Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya (UM), Prof Dr Azizan Baharudin; Ketua Jabatan Sejarah UM, Prof Madya Dr Radzuan Othman dan Fardah Abd Jalil dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Persidangan itu merumuskan bahawa peristiwa pengeboman kota London dan beberapa siri pengeboman terdahulu (kalau pun yang mengebomnya orang Islam) adalah tindakan individu Islam dan keputusan sendiri. Ia bukan kerja kumpulan yang terancang seperti al-Qaeda (Osama bin Laden) atau pengebom berani mati ala Hamas.

Tindakan individu ini adalah manifestasi daripada perasaan marah, kecewa dan putus asa dengan sikap Barat yang berlaku zalim terhadap umat Islam di Palestin, Iraq dan Afghanistan.

Sikap talam dua muka Amerika membiarkan Israel menekan, menganiaya, membunuh dan menjajah rakyat Palestin menjadi barah dendam di dada umat Islam yang tidak akan sembuh kecuali masalah Palestin dapat diselesaikan secara adil.

Tindakan pengebom berani mati ini juga dilihat sebagai cubaan untuk menakutkan dan menentang tindakan Barat yang keterlaluan itu. Namun, ahli politik di Barat tidak pernah hendak mengetahui punca permasalahan pengebom berani mati.

Mereka tidak mahu tahu - mengapa? Mereka hanya mahukan - apakah tindakan hendak dikenakan?

Hakikat kehidupan kita kini didedahkan dengan sikap media Barat yang sentiasa memberikan persepsi negatif terhadap Islam. Mereka melabelkan Islam dengan mengaitkannya dengan keganasan. Apabila seorang Islam melakukan satu jenayah pengeboman, maka ia dinamakan 'Islamic terrorism', tetapi apabila John, Roger atau Siva, melakukan jenayah yang sama, mengapa mereka tidak pula di panggil pula 'Jewish, Catholic, Christian atau Hindu terrorism'?

Sebenarnya tidak ada keganasan dalam Islam. Islam adalah 'keamanan' dan pada masa sama mengagungkan 'jihad' yang mempunyai banyak cabang termasuk 'jihad qital - peperangan'. Jihad qital hanya diwajibkan apabila negara dijajah dan dalam keadaan terpaksa apabila negara diserang oleh orang asing. Hal ini berlaku di bumi Palestin. Jelas ’Islamic terrorism’ adalah ciptaan ideologi Barat untuk menghina umat Islam. Kita jangan terperangkap dengan istilah yang berat sebelah ini.

Dr Radzuan yang juga pakar kajian Islam dan politik Timur Tengah mengatakan bahawa profil orang yang disyaki mengebom kota London tidak menepati profil atau ciri pejuang berani mati Hamas di Palestin seperti yang dikumpul oleh pihak perisik Barat. Pejuang berani mati mempunyai profil tersendiri. Antaranya:

Pengebom itu mesti seorang yang masih bujang (lelaki atau wanita).

Berumur bawah 40 tahun. Contohnya, 20 hingga 30 tahun.

Mempunyai sebab untuk membalas dendam kerana menebus maruah keluarga (honour killing) apabila adik beradiknya atau ibu bapanya dibunuh oleh pihak Israel.

Meninggalkan wasiat sebelum melakukan aksi berani mati.

Membaca al-Quran sepanjang malam dari selepas Isyak hingga ke waktu Subuh.

Kelima-lima ciri ini tidak ada pada orang yang disyaki oleh polis London itu.

Mengenai status pengebom berani mati kita perlu meletakkan isu ini pada perspektif yang betul. Kita perlu bezakan antara istilah pejuang berani mati (Palestin) dengan pengebom berani mati (tempat lain).

Semua umat Islam perlu sepakat mengutuk perbuatan mengebom tempat awam seperti berlaku di kota London. Kita perlu mengutuk perbuatan seumpama tidak kira sama ada dilakukan oleh orang Islam atau bukan Islam.

Apabila membincangkan isu pejuang dan pengebom berani mati, kita perlu fahami dan mengambil kira kepada tiga perkara:

Pengeboman berani mati oleh orang Islam di tempat awam yang tidak ada sebarang kaitan dengan peperangan.

Perbuatan yang sama dalam suasana peperangan.

Mengapa hanya difokus kepada orang Islam?

Berhubung dengan pengeboman berani mati oleh orang Islam di tempat awam yang tidak ada sebarang kaitan dengan peperangan, jelas sekali hukumnya adalah haram dan dikutuk. Berhubung dengan pengeboman di London dan Sharm el-Sheikh, Pertubuhan Ulama Islam Antarabangsa, yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf Qardawi baru-baru ini, mengeluarkan kenyataan mengutuk perbuatan itu.

Berhubung dengan suasana perang, contohnya di Palestin, hukumnya adalah berbeza. Malah, ulama Islam menganggap pengeboman yang dilakukan oleh pejuang berani mati dalam suasana perang bertujuan

memusnahkan musuh adalah jihad yang diizinkan Islam.

Kematian yang berlaku boleh dianggap syahid. Bacalah fatwa yang dikeluarkan oleh Allahyarham Sheikh Fuad Mukhaymar, Pengerusi Institusi Institusi Ahli Sunah Mesir sebelum ini.

Mengapa Barat tidak mengutuk kezaliman pengganas Israel? Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sudah mengeluarkan lebih 70 resolusi mengutuk kekejaman Israel. Mengapa Amerika membiarkan keganasan berleluasa, malah memberikan tambahan dana, persenjataan dan latihan kepada Israel? Mengapa media Barat tidak lantang mengutuk keganasan yang dilakukan di Afghanistan, Iraq dan seumpama?

Mengapa keluhan hanya berlaku apabila keganasan dilakukan oleh orang Islam? Ketidakadilan ini juga menggerunkan dan sepatutnya dikutuk.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

posted by scouser at 7:49 PM