~Eratkan Ukhuwah Gerakkan Islah~

 

~ Wednesday, September 28, 2005



Pembela Al-Quds : UMAR AL-KHATTAB

Nama sebenarnya Umar bin al-Khattab bin Naufal. Beliau dari suku Quraisy Bani Adi. Lahir pada tahun 583M. Rasulullah s.a.w. menggelarnya dengan nama al-Faruq yang bererti oreang yang tahu membezakan antara yang benar dan yang salah Saiyidina Umar r.a. juga terkenal sebagai ahli sastera yang hebat, syair yang bijaksana,pahlawan yang berani, orang yang adil dan mematuhi perintah Allah SWT.

Semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab r.a. banyak Negara telah berada dibawah pmerintahan Islam termasuklah Palestin di mana terdapat kota Baitu Maqdis. Umar al-Khattab telah berjaya membebaskan Baitu Maqdis atau al-Quds dari kekuasaan empayar Rom yang zalim. Penduduk al-Quds ketika itu majoritinya beragama Kristian menyambut dengan gembira pemerintahan Islam kerana mereka merasakan bebas dari penindasan dan kezaliman pemerintah Rom sebelum itu.

Setelah al-Quds jatuh ke tangan tentera Islam, penduduk beragama Kristian ingin membuat perjanjian damai dengan Khalifah Umar al-Khattab r.a. sendiri, mereka enggan membuat perjanjian dengan sesiapa pun di kalangan ketua-ketua Islam yang lain. Ini kerana mereka ingin melihat sendiri wajah Khalifah Umar al-Khattab r.a. yang terkenal dengan sifat adil dan kasihnya kepada golongan mustadaffin, fakir dan miskin. Mereka sanggup menunggu kedatangan Umar al-Khattab r.a.

Khalifah Umar al-Khattab memahami hasrat rakyat al-Quds, maka beliau pun berangkatlah ke sana dengan seorang pengiring dan seekor unta sebagai tunggangan dari Madinah. Oleh kerana ada hanya seekor unta sebagai tunggangan, maka khalifah dan pembantunya membuat persetujuann untuk menunggang unta secara bergilir-gilir dengan pembantunya, dimulai dengan khalifah selepas itu pembantunya sehinggalah tiba di kota al-Quds.

Apabila hampir tiba di ibu kota al-Quds, tibalah giliran pembantunya menaiki unta dan khalifah berjalan kaki. Pengiringnya enggan menaiki unta kerana dilihatnya ramai penduduk sedang menyambut kedatangan khalifah Umar al-Khattab, pada pendapatnya tentulah tidak wajar dia yang menunggang unta sedangkan khalifah berjalan kaki. Lagi pun penduduk menunggu kedatangan khalifah, sudah tentu khalifah yang sepatutnya diberi penghormatan menunggang unta bukan pembantunya.

Khalifah Umar al-Khattab marah dengan sikap pembantunya kerana menurut persetujuan sebelum berangkat mereka akan bergilr-gilir menunggang unta, kini adalah giliran pembantunya. Umar al-Khattab dengan tegas tetap menyuruh pembantunya menunggang unta. Menurut Umar al-khattab r.a. "inilah ajaran Islam, keadilan adalah hampir kepada taqwa, aku tidak sedikit pun keberatan berjlan kaki sedangkan engkau menunggang unta. Dan aku sama sekali tidak berasa terhina berbuat demikian. Terpulanglah kepada penduduk Baitul Maqdis untuk membuat tafsiranmasing-masing. Aku sanggup beri penjelasan jika mereka kehendaki. Nah sekarang, ikut perintahku, ikut perintah khalifahmu, naiklah unta ini".

Setelah memasuki kota al-Quds, berduyun-duyunlah penduduk menyambut kedatangan khalifah Umar al-Khattab r.a., alangkah terkejutnya mereka melihat melihat peribadi agung khalifah yang masuk berjalan kaki sedangkan pembantunya menaiki unta. Dengan perasaan hairan bercampur kagum mereka menyaksikjan kejadian yang mengusik kalbu tersebut.

Betapa besarnya perbezaan khalifah Islam dengan Raja Rom yang memerintah mereka sebelum ini. Ini menambahkan lagi rasa hormat mereka pada khalifah Islam yang rendah diri. Inilah salah satu dari keadilan Umar al-Khattab r.a. Berapa ramai pemimpim dan raja-raja yang sanggup mencontohi peribadi mulia ini dizaman sekarang?

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

posted by scouser at 10:28 PM

 

~ Sunday, September 25, 2005



Lima komponen diri penentu tumpuan maksimum

Oleh Siti Aishah Mahamad

Tumpuan sangat penting dalam kehidupan, sama ada ketika solat, belajar, bekerja, beribadat atau bersukan. Sewaktu solat, tumpuan ialah khusyuk. Kita maklum Allah menjanjikan pelbagai kelebihan bagi orang yang khusyuk ketika solat. Dalam sukan pula, kita sering mendapati juara kecundang di gelanggang disebabkan hilang tumpuan ketika pertandingan. Tumpuan sangat penting dalam proses pembelajaran.

Saban tahun kita membaca dalam akhbar cerita kejayaan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Kebanyakan mereka menyatakan bahawa faktor utama mereka lulus cemerlang kerana memberi sepenuh tumpuan ketika guru mengajar.

Tumpuan yang dimaksudkan di sini ialah semua komponen diri iaitu tumpuan jasad, hati, akal, emosi dan roh. Dalam bilik kuliah, tumpuan jasad dimulakan dengan pemilihan tempat duduk yang membolehkan seseorang pelajar mendapat tumpuan maksimum. Tempat duduk terbaik ialah di bahagian mudah dilihat pensyarah dan pelajar senang mendengarnya. Ini disebabkan tumpuan jasad utama ialah tumpuan penglihatan dan pendengaran supaya segala nasihat, panduan dan pelajaran yang disampaikan oleh pensyarah dapat dicerap sepenuhnya.

Tumpuan hati pula perlu dimulakan dengan azam belajar bersungguh-sungguh dan berjaya sebagai pelajar cemerlang. Menghadiri program motivasi, begitu juga membaca cerita kejayaan ahli sains adalah antara cara menumpukan hati terhadap kegiatan berkaitan ilmu pengetahuan. Dalam kelas, keinginan hati perlu dikawal supaya kita hanya memberikan perhatian kepada aktiviti pembelajaran dan hati tidak menyimpang kepada perkara lain yang tiada kaitan dengan ilmu.

Antara cara melakukan tumpuan emosi pula ialah menanamkan tekad untuk berjaya bagi membalas jasa dan memenuhi harapan ibu bapa. Tekad juga termasuk ingin menyumbang kepada agama, negara dan ummah. Pada masa sama, pelajar hendaklah mengawal emosi negatif yang mungkin merencatkan motivasi seperti perasaan tidak sukakan pensyarah, tidak suka sistem atau peraturan universiti. Perkara remeh-temeh ini wujud di mana-mana dan jangan dibiarkan menjejaskan prestasi.

Tumpuan akal pula bermaksud fokus sepenuhnya bagi memahami pelajaran, menyelesaikan soalan latihan, menyiapkan projek, tugasan dan sebagainya. Penumpuan akan menjadikan akal kita kuat. Untuk melakukan penumpuan akal, pelajar hendaklah memberikan sepenuh perhatian kepada pengajaran pensyarah sama ada dalam dewan kuliah atau makmal. Ini bermaksud pelajar hendaklah membaca, mendengar, mencatat dan berfikir dengan penuh minat setiap unit ilmu yang disampaikan pensyarah. Selepas itu, pelajar hendaklah membuat latihan, tugasan, dan sebarang kerja berkaitan dengan topik yang baru diajar itu segera. Kelewatan melakukan kegiatan pengukuhan ini akan mengurangkan kualiti hasilnya. Ini kerana penangguhan boleh menyebabkan kurang motivasi dan kurang daya ingatan. Pelajar perlu mengawal akalnya daripada memikirkan unsur negatif dan kurang utama kerana ini boleh mengurangkan kekuatan dan kualiti pemikiran.

Pembelajaran adalah kegiatan utama pelajar. Kegiatan lain seperti beribadah, bersukan, berekreasi dan sebagainya hendaklah dilakukan untuk menguat atau menyokong aktiviti pembelajaran atau sebagai aktiviti selingan saja. Jangan sekali-kali melakukan kegiatan ini hingga menjejaskan pembelajaran. Contohnya, kegiatan sukan hendaklah dilakukan untuk menyihatkan dan mencergaskan badan. Kita tidak sepatutnya bersukan hingga meninggalkan kelas atau menyebabkan badan terlalu letih. Jika ini berlaku pelajar mungkin tidak dapat memberikan tumpuan kepada pelajaran atau mengulang kaji pelajaran.

Tumpuan roh adalah kemuncak segala tumpuan. Segala ibadat fardu dan sunat yang menjadi amalan orang bertakwa seperti solat, puasa, zikir, membaca al-Quran dan segala aktiviti kebajikan adalah amalan yang mendekatkan diri pelajar dengan Allah. Ia juga dapat menambah kualiti kemanusiaan seseorang. Kegiatan ini akan menguatkan iman, memberikan kesejahteraan hati serta akal dan ketenangan emosi. Juga, insya-Allah segala amalan ini akan memberikan kekuatan dan kesabaran kepada pelajar dalam menghadapi pelbagai dugaan dalam hidup dan cabaran sebagai pelajar remaja.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

posted by scouser at 10:04 PM