~Eratkan Ukhuwah Gerakkan Islah~

 

~ Sunday, October 09, 2005



Perutusan Ramadhan Presiden JIM

Assalamu'alaikum
Semoga dirahmati Allah sentiasa.
Ana ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak. Ana
memberanikan diri mencoretkan ringkas peringatan kepada yang sudah ingat.

Bergema azan Maghrib petang ini tibalah bulan yang dinanti-nanti. Bulan
yang membawa ribuan rahmah. Bulan yang di dalamnya malam al-Qadr. Bulan
muhasabah. Bulan tarbiah. Bulan memulihkan iman. Bulan sedekah. Bulan
turunnya Al-Qur'an. Bulan berlakunya perang Badr.
Sama-samalah kita memanfaatkan bulan ini dengan melebihkan ibadat.
Perbanyakkan tilawah al-Qur'an. Relakannya mengubah diri dan hidup kita. Jangan diakalkan dengan "kepandaian" kita. Jangan ditangguh hingga masa yang sesuai. Biarkan ia meresap membentuk jiwa, faham dan diri kita. Semoga-moga al-Qur'an menjadi akhlak kita juga.

Hiasi malamnya dengan menghadapkan diri kepada Allah. Munajat, solat, berzikir, berkasih, mengadu, berdoa, bertaubat. Pasrah, menjalin hubungan langsung hingga tiada apa yang boleh menyelit di antaranya. Semoga hati kita disucikan daripada noda mementing diri. Semoga hati kita dimandikan kasih hingga berkasih sayangan sesama Muslim. Semoga hati kita tidak sedikit pun terdetik untuk bergantung harap kepada yang lain. Semoga kita bergantung hanya kepada Allah. Sehingga hidup dan mati kita hanya untuk Allah, Rab seluruh alam.
Banyakkan bersedekah di jalan Allah. Harta kita suatu amanah dari yang
empunya. Yang kita beri itulah yang menjadi kita punya di kemudian hari. Janganlah berkira sangat menginfakkan harta. Janganlah pelepasan cukai menjadi perkiraan. Jika Allah memberi rezeki bonus niatkan sebahagian untuk jalanNya. Dakwah kita memerlukan dana yang besar. Utamakan jamaah kita dalam agihan sumbangan kita. Kita percaya kerja kita. Kalau tak kita siapa lagi?
Berbelanjalah dengan berhemah. Jangan sampai lebih makan dari bulan biasa. Rayakanlah Eid dengan berpada. Biar orang lain bersuka sebulan lamanya. Kan kita sedang meratap pemergian bulan yang mulia?

Sama-samalah kita menyempurnakan ibadat puasa pada tahun ini. Jadikan bulan Ramadan bulan ceria kerana peluang-peluang keemasan yang Allah beri. Jadikan ia bulan yang produktif untuk dakwah. Semoga menjelang syawal lahirlah insan baru yang ditarbiah oleh Ramadan, siap siaga menyahut panggilan, walau panggilan Tabuk!
Semoga-moga kita menjadi orang yang bertaqwa.
Ana menyusun jari sepuluh, memohon kemaafan jika ada yang diungkapkan
menggusarkan jiwa ikhwah dan akhawat. Yang memberi ingat tidak lebih baik dari yang diberi ingat.

Hj Zaid Kamaruddin

posted by scouser at 7:02 PM