~Eratkan Ukhuwah Gerakkan Islah~

 

~ Friday, October 21, 2005



Pendidikan mesra pererat hubungan suci bapa, anak
Oleh Azlina Roszy Mohamad Ghaffar

Bapa adalah orang penting dalam keluarga bagi membentuk sahsiah dan identiti seorang anak. Anak pula adalah penyejuk mata manusia dan buah hati bapa dalam hidup ini.

Justeru, anak yang menggembirakan umur dan menghiburkan hidup bapa. Disebabkan anak-anak, hidup bapa menjadi ceria dan seronok. Kerana anak-anak juga, bapa bekerja keras menampung keperluan seharian demi membesarkan mereka menjadi manusia berjaya.

Oleh itu, wajarlah bapa tidak cuai dalam membentuk pendidikan dan sentuhan kasih sayang kepada anak-anak.

Ia supaya anak-anak membesar dalam suasana penuh penghormatan, didikan tertib dan kasih sayang melimpah ruah.

Rahmat kasih sayang sejati dan akhlak Islam dalam kehidupan Rasulullah diungkapkan oleh Anas seperti mana kata-katanya: "Aku tidak pernah melihat seorang yang lebih merahmati keluarganya daripada Rasulullah."

Kata Anas lagi: "Adalah Ibrahim (putera Rasulullah dari Mariatul Qibtiah) disusukan bagi Rasulullah di utara Madinah, maka Rasulullah pergi ke sana bersama kami lalu memasuki rumah itu dengan mengambil Ibrahim lalu diciumnya, selepas itu baru Baginda kembali." (Hadis riwayat Muslim).

Abu Hurairah meriwayatkan, katanya, bahawa Rasulullah mencium Hussin bin Ali, lalu berkata Al-Aqra' Ibn Habas:"Sesungguhnya bagiku ada sepuluh anak, tetapi aku tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka." Lalu Baginda bersabda : "Sesiapa yang tidak merahmati, dia tidak dirahmati."

Pendidikan dalam bentuk bermesra dan bergurau senda ketika melayani anak amat digalakkan dalam Islam seperti yang ditunjukkan Rasulullah.

Malah, Baginda juga pernah bersabda bermaksud: "Sesiapa yang mempunyai anak kecil, hendaklah menjadi anak kecil terhadapnya." (Hadis riwayat Ibn Asakir).

Rasulullah juga tidak membeza-bezakan layanan terhadap anak lelaki atau perempuan. Ummul Mukminin Aisyah pernah berkata:"Sesungguhnya, apabila Fatimah masuk menemui Rasulullah, Baginda bangun menyambut kedatangan puteri Baginda dan mengalu-alukan kedatangannya, menciumnya dan mempersilakan dia duduk dalam majlis Baginda.

"Begitu juga, apabila Rasulullah masuk menemuinya (Fatimah), dia bangun menyambut Rasulullah dan mencium baginda dan mempersilakan Rasulullah duduk dalam majlisnya. Dan sesungguhnya, Fatimah sudah masuk untuk berjumpa Rasulullah pada masa Baginda sedang sakit menjelang kewafatan Baginda, lalu Baginda mengalu-alukan dia dan menciumnya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Perkembangan semasa menyaksikan penularan gejala keruntuhan akhlak dalam masyarakat, rapuhnya ikatan kekeluargaan dan sesama insan.

Ia turut menular dalam keluarga termasuk keretakan hubungan suami isteri dan anak dengan ibu bapa.

Kajian yang dijalankan menunjukkan, apabila fungsi bapa gagal dijalankan, maka ia akan membentuk sikap sama pada anak lelaki dan perempuan. Selepas berumah tangga, anak-anak itu akan melakukan perkara sama kepada anak mereka.

Dalam buku What A Difference A Daddy Makes oleh Dr Kevin Leman menggariskan sebab kehadiran seorang bapa penting dalam kehidupan anak. Antaranya:


Membentuk keyakinan diri seorang anak.


Mencorakkan maruah diri seorang anak.


Meningkatkan kecerdasan emosi dan kepintaran akalnya.


Membentuk tanggapan anak perempuan terhadap lelaki yang mendampinginya.

Anak-anak sangat memerlukan sentuhan, perhatian, belaian, kasih mesra, gurau senda dan ketegasan daripada seorang bapa.

Bagi anak, bapa yang selalu tidak berada di rumah akan menjadikannya seolah-olah seperti seorang anak yatim.

Justeru, kepulangan bapa tidak pernah disambut. Baginya, kehadiran bapa di rumah seperti ketiadaannya. Ini berlaku disebabkan tidak ada sentuhan sama ada dalam bentuk fizikal, perbuatan atau perkataan.

Lama kelamaan, anak hanya menjadikan bapa sebagai tempat meminta wang, bukannya sebagai tempat mengadu, bermain atau meluahkan masalah.

Anak berasakan mereka tidak 'diterima' oleh bapa sendiri. Ia menyebabkan anak-anak akan mengalihkan perhatian kepada kawan yang menerima mereka seadanya.

Bapa yang terlalu garang, kerap mengkritik anak, tidak pernah mendengar luahan perasaan dan pendapat anak serta sering membuat keputusan yang bertentangan dengan kehendak anak (kerana merasakan keputusan mereka lebih baik) juga menyebabkan anak merasa tersisih dalam rumah sendiri.

Perceraian dan poligami juga kadang-kadang menyebabkan bapa mula mengabaikan tanggungjawab memberi perhatian kepada anak yang sedang membesar.

Keadaan lebih buruk selepas anak meningkat remaja. Mereka akan lebih percayakan kawan dan lebih senang menghabiskan masa dengan kawan daripada keluarga sendiri.

Anak jenis ini akan mudah menerima huluran persahabatan daripada orang luar yang tidak dikenali. Mereka juga akan lebih mudah bersama remaja lain yang juga mempunyai bapa jenis itu.

Penerimaan orang lain terhadap seseorang adalah sesuatu yang diinginkan oleh setiap insan. Begitu juga, anak mahukan bapa menerima kehadirannya dengan sepenuh hati.

Anak juga mahukan bapa menghargai dan menyokong kebaikan anaknya, merangsang dan menggalakkan minatnya serta menegur dengan baik kesilapan dilakukannya.

Jika tugas ini gagal dijalankan oleh bapa, anak akan mengemis 'penerimaan' orang luar yang mungkin mengambil kesempatan daripada anak yang dahagakan kasih sayang.

Perhatian yang diberikan bapa kepada anak perempuan didapati mempengaruhi hubungan anak itu dengan lelaki lain.

Anak perempuan yang mendapat perhatian mencukupi daripada bapa akan meletakkan piawaian tinggi terhadap lelaki yang mendampinginya.

Dia tidak mudah terpengaruh dengan sifat luaran, tetapi mutu yang ada pada lelaki itu.

Kajian mendapati, anak perempuan yang tidak mendapat perhatian bapa kerap bertemu dan berkahwin dengan lelaki yang juga kurang mengambil berat terhadap perasaan isteri, rumah tangga dan anak-anak.

Allah memuliakan kedudukan bapa dan memerintahkan anak-anak taat kepada bapa seperti mana firman-Nya yang bermaksud: "Dan kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada kedua orang ibu bapanya" (Surah al-Ankabuut, ayat 8).

Justeru, wajarlah bapa menunaikan tanggungjawab dan amanah yang dipikul dengan menunaikan hak kepada anak-anak dengan sebaik mungkin.

Hubungan bapa dan anak ibarat tali bersimpul mati. Hubungan bapa dengan anak tidak mungkin boleh dirungkai walaupun bapa sudah bercerai.

Hubungan ini tetap akan dituntut di akhirat kelak iaitu sejauh mana tanggungjawab yang ditunaikan dan hak yang diberikan.

Hubungan suci ini juga tidak akan berakhir walaupun anak itu sudah berkahwin dan berkeluarga. Malah, dalam satu hadis, Rasulullah menjelaskan keutamaan bapa yang berbuat baik terhadap anak yang sudah janda disebabkan kematian suami atau bercerai.

Rasulullah bersabda kepada Suraqah Ibn Ju’syum maksudnya:"Mahukah aku tunjukkan kepada kamu sebesar-besar sedekah atau daripada sebesar sedekah? Suraqah berkata: "Hebahkan wahai Rasulullah." Lalu Baginda bersabda: "Puterimu yang sudah menjadi janda (kerana perceraian atau kematian suami) pulang kembali kepadamu, yang tidak mempunyai tempat bergantung selain daripadamu." (Hadis riwayat Ahmad, An-Nasai dan Ibn Majah).

Sesungguhnya, anak-anak kita mungkin mempunyai ramai teman dan rakan serta boleh bertukar-tukar pasangan hidup, tetapi mereka hanya mempunyai seorang bapa saja di dunia ini.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

posted by scouser at 8:38 PM

 

~ Monday, October 17, 2005



Tentera Uthmaniyah ambil setahun takluki Cyprus Utara

Oleh Hasliza Hassan

Famagusta atau Gazimagusa adalah kota pelabuhan Cyprus Utara di timur Lefkosa yang disinggahi pelbagai tamadun bangsa sepanjang sejarah kewujudannya. Ia juga menjadi pelabuhan sibuk pada zaman Venetian hingga hari ini.

Republik Turki Cyprus Utara merdeka pada 1983, namun hanya Turki satu-satunya negara yang mengiktirafnya sebagai entiti berdaulat.

Hubungan sejarah antara Turki dan Cyprus Utara begitu ketara dan berterusan hingga sekarang dipaparkan melalui episod ke-14 siri Jejak Rasul 11 yang menemui penonton TV3 setiap petang sepanjang Ramadan ini.

Ketika bahtera perang Uthmaniyah melabuhkan sauh di perairan Cyprus pada 1570, anggota tentera Uthmaniyah seramai 80,000 orang sudah bersedia untuk gugur sebagai syuhada dan ternyata kemenangan berpihak kepada mereka.

Sekalipun, kota dan kubu dibina bagi melindungi Gazimagusa daripada kemaraan tentera Sultan Selim II, ia tidak bertahan selamanya apabila tentera Uthmaniyah menduduki kota itu pada 1571.

Ketika zaman Khalifah Uthman Al Affan dan Harun Ar Rasyid, tentera Islam pernah berjaya menawan pulau itu pada 648 dan 791, tetapi berjaya dirampas semula oleh Byzantine.

Sebelum Byzantine kehilangan ibu kotanya Constantinople kepada Uthmaniyah, kuasa Rom timur itu lebih awal dikalahkan di Cyprus oleh Raja England dan sejak itu Byzantine tidak pernah berjaya merampas semula pulau Cyprus.

Pasukan perang Uthmaniyah tiba di pulau itu pada zaman pendudukan Venetian. Untuk menewaskan pertahanan Venetian di Gazimagusa bukanlah tugas mudah walaupun tentera Uthmaniyah mempamerkan keberanian serta daya juang yang tinggi.

Nama pahlawan Turki Uthmaniyah, Cambulat Bey begitu masyhur di kota pelabuhan itu kerana keberanian beliau menunggang kuda dengan laju, merempuh dan berjaya membuka pintu kota yang disekat roda besar dipenuhi mata pisau serta pedang.

Sebenarnya, sebelum kehadiran tentera Uthmaniyah, Raja Venetian sudah lama bersiap sedia kerana bimbang mendengar kisah Sultan Sulaiman Al-Qanuni yang begitu agresif menggerakkan tenteranya ke Eropah hingga Hungary.

Gereja dan bangunan indah yang dibina pada zaman Lusignan dirobohkan manakala batu batan digunakan untuk membina kota pertahanan.

Oleh itu, apabila berita kemangkatan Sultan Sulaiman Al-Qanuni yang tiba, Raja Venetian menarik nafas lega.

Bagaimanapun, serangan tidak berlaku pada zaman Sultan Sulaiman, tetapi penggantinya Sultan Selim II meneruskan misi itu hingga berjaya menguasai pulau Cyprus sepenuhnya sekali gus menamatkan pengaruh Venetian.

Sekalipun, Turki tiba ke pulau ini sebagai kuasa tentera, mereka melaksanakan tanggungjawab sebagai pentadbir dengan baik. Masyarakat tempatan tidak dipaksa menukar kepercayaan asal, sebalik mereka diberi pilihan dan kebebasan.

Sejarah Cyprus turut menceritakan mengenai St Barnabas yang berbangsa Yahudi dan bersama St Paul, beliau menyebarkan agama Masihi di pulau pada zaman pemerintahan Raja Lusignan.

Apabila rajanya yang terakhir, King James mangkat, permaisuri Ratu Conoro menyerahkan pulau yang diwarisi sejak lebih 200 tahun kepada Venetian.

Sejak itu, Venetian menjadi penguasa yang menindas rakyat dengan cukai membebankan sehinggalah tentera Uthmaniyah mengepung Gazimagusa beberapa bulan lamanya dan menyebabkan tentera Vanetian menyerah kalah pada 1571.

FAKTA NOMBOR
80,000 - Tentera Uthmaniyah serang Cyprus

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

posted by scouser at 11:02 PM



Kemahiran bapa mendidik anak elak gejala sosial
Oleh Dr Hafidzah Mustakim

Cabaran dalaman paling mendesak dihadapi Amerika Syarikat pada akhir abad ke-20 adalah penciptaan semula institusi kebapaan sebagai peranan penting kaum lelaki dalam masyarakat.

Itulah yang diungkapkan David Blackenhorn yang dicatatkan dalam buku 'Fatherless America: Confronting Our Most Severe Social Problem'.

Pendapat ini disokong oleh 72 peratus rakyat Amerika dalam satu pungutan suara yang menamakan ketiadaan bapa dalam rumah sebagai masalah sosial atau keluarga paling serius yang dihadapi oleh negara itu.

Dianggarkan, 24.7 juta kanak-kanak hidup tanpa ketiadaan bapa kandung di sisi mereka.

Sememangnya peranan bapa dalam pembinaan keluarga dan pembesaran anak-anak adalah kritikal, terutama pada zaman serba mencabar ini.

Jika dulu, kebolehan bapa memimpin dan mengurus keluarga adalah sesuatu yang bersifat 'instinct' atau semula jadi, namun dalam dunia serba berubah ini, kita merasakan perkara ini adalah suatu kemahiran yang perlu dipelajar, dikuasa dan dikongsi bersama dengan seramai mungkin golongan bapa.

Hari ini, kita dapati semakin ramai anak-anak membesar tanpa bapa di sisi mereka. Bilangan keluarga yang diketuai oleh ibu tunggal terus bertambah.

Pada 2000 saja, lebih 620,000 ibu tunggal terpaksa membesarkan anak-anak tanpa suami.

Untuk sebahagian besar keluarga lain, walaupun bapa ada, namun hakikatnya seolah-olah bapa itu tidak wujud. Hal ini kerana bapa-bapa ini tidak berfungsi dan memainkan peranannya yang sebenar dalam keluarga.

Ada banyak faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku.

Selain faktor bapa yang tidak berkemahiran dan tidak bertanggungjawab, wujudnya fenomena 'overfunctioning mum' (ibu bekerja yang tidak terlalu bergantung kepada orang lain, serba boleh dan mengambil alih semua tugas bapa) lebih merumitkan keadaan.

Keadaan ini memberikan kesan jangka panjang yang bukan sedikit. Sebahagian besar anak-anak yang lahir daripada keluarga tanpa bapa ini mudah terbabit oleh gejala sosial yang semakin hari semakin parah.

Mari kita lihat statistik berikut:

Kanak-kanak yang membesar tanpa bapa mempunyai risiko dua hingga tiga kali ganda untuk menghadapi masalah emosi dan perilaku. Mereka juga berisiko tinggi untuk terbabit dalam penagihan dadah dan alkohol.

Kanak-kanak yang membesar tanpa bapa mempunyai risiko tiga hingga empat kali ganda untuk merokok berbanding remaja yang mempunyai bapa di sisi mereka.

Dalam satu kajian membabitkan 25,000 kanak-kanak, kanak-kanak tanpa bapa memperoleh purata gred yang rendah. Mereka juga mempunyai aspirasi kolej yang rendah, rekod kehadiran persekolahan yang merosot dan kadar keciciran sekolah yang tinggi berbanding mereka yang tinggal dengan kedua-dua ibu bapa.

Sebanyak 71 peratus remaja yang mengandung luar nikah adalah remaja yang membesar tanpa bapa.

Semua fakta yang menggerunkan ini sebenarnya cukup untuk membangkitkan semangat kita, terutama golongan bapa untuk memainkan peranan yang aktif dalam pembinaan keluarga dan pendidikan anak-anak.

Tidak seperti aspek keibuan, kebapaan jarang mendapat huraian dan perhatian sewajarnya.

Namun, kemuliaan status kebapaan dalam Islam itu dirakamkan melalui hadis daripada Abdullah Ibn Amr, katanya Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Keredaan Allah terletak kepada keredaan bapa dan kemurkaan Allah juga terletak kepada kemurkaan bapa." (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Kebapaan sering dibincangkan dalam konteks ketegasan, tanggungjawab kepemimpinan dan saraan hidup, juga pelaksanaan disiplin di kalangan anak-anak.

Dalam masyarakat kita, perbincangan mengenai kebapaan tidak sering diwarnai oleh aspek kasih sayang, komunikasi berhikmah dan kemesraan sepontan.

Dalam al-Quran, ada banyak saranan yang ditujukan kepada golongan bapa. Ayat ini bukan saja menyentuh perintah agar bapa menjaga dan memelihara keluarga seperti ayat mengenai 'Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka.'

Ia juga merangkumi ayat yang menganjurkan bapa agar melengkapi diri dengan kemahiran tertentu dalam mendidik dan membangunkan anak-anak.

Nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya seperti yang dicatatkan dalam ayat 13 hingga 19, surah Luqman adalah contoh jelas bagaimana seorang bapa harus berkemahiran dalam menyusun strategi dalam mendidik anak-anaknya.

Antara kemahiran yang diperlukan oleh seorang bapa boleh diringkaskan seperti berikut :

Kemahiran menjadi suami yang disayangi, dihormati dan disanjungi oleh pasangan masing-masing. Perkara ini merangkumi kemahiran memahami perasaan isteri, menghormati perbezaan pandangan yang mungkin berlaku dan seterusnya kebolehan menyusun strategi bersama pasangan dalam mendidik dan membangunkan keluarga.

Pepatah ada mengatakan bahawa 'hadiah terbaik daripada seorang bapa kepada anak-anaknya adalah menyayangi ibu mereka'.

Kemahiran menjadi ayah yang disayangi, dihormati dan diteladani oleh anak-anak.

Antaranya, meliputi aspek kemahiran berkomunikasi, kemahiran memahami perbezaan tingkah laku anak lelaki dan perempuan; keseimbangan penggunaan teknik pemberian hadiah dan hukuman serta terbabit secara langsung dalam urusan harian anak-anak.

Pelbagai strategi lain yang harus digunakan dalam membesarkan anak-anak dalam dunia yang begitu mencabar ini.

Anak-anak akan membesar dengan cepat dan terdedah dengan pelbagai rangsangan positif dan negatif melalui persekitaran mereka.

Benarlah sabda Rasulullah yang memberikan kefahaman bahawa anak itu dilahirkan dengan fitrah yang bersih. Ibu bapalah yang akan mencorakkan mereka sama ada menjadi Majusi, Nasrani atau Muslim yang patuh.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

posted by scouser at 4:42 PM