~Eratkan Ukhuwah Gerakkan Islah~

 

~ Thursday, December 01, 2005



Yes Sir ! - Tauladan Arafat yang dipekakkan

Sudah terang lagikan bersuluh, hanya itu sahaja dapat di simpulkan pada situasi pemimpin Fatah ini. Tauladan demi tauladan di persembahkan kepada mereka, natijah-natijah telah ditunjukkan pabila membiarkan leher dan hidung mereka diikat dengan rantai Zionis tapi bagaikan orang mabuk todi, kepala masih mengangguk YeS, Sir !! dengan puak rejim Zionis ini. Mengapa ??? Maszlee Malik menyeludup menyuluh jawapan ...

Usai Gaza setengah merdeka dari penjajahan Zionis, IDF (Israeli Defence Force) telah mengganas semula. Di Jabaliyya, di Gaza city dan juga beberapa tempat yang lain telah menyaksikan bagaimana pihak IDF telah membunuh, menembak dan menyerang rakyat Palestin di atas alasan memburu pengganas, walaupun pihak pejuang Palestin dari pelbagai fraksi telah mengisytiharkan tahdi ah (gencatan senjata sementara). Itu mungkin bukan sesuatu yang pelik, kerana itulah sikap Zionis, dulu, kini dan selamanya. Ada perkara yang lebih pelik berlaku di Gaza dan juga Tegin Barat, iaitu kegilaan Palestinian Authority (PA) melakukan aksi-aksi agresif terhadap HAMAS.

Jika kegilaan pihak Fatah yang merupakan tunjang kepada PA telah dapat dirasi semasa pilihanraya peringkat perbandaran kedua pada awal tahun ini, apa yang berlaku kini adalah lebih dahsyat. Jika pada pilihanraya tersebut mereka telah membakar peti-peti undi yang dimenangi oleh wakil-wakil HAMAS, menggugut rakyat dengan senjata agar tidak mengudi wakil-wakil HAMAS, melakukan kekecohan di tempat-tempat pengundian yang HAMAS dijangkakan menang dan juga membatalkan beberapa keputusan yang dimenangi HAMAS (walau bagaimanapun HAMAS berjaya memenangi hampir separuh daerah mengundi daripada 26 daerah yang diadakan pengundian tersebut dan peratusan undi popular menunjukkan lebih 48% berpihak kepada HAMAS), apa yang berlaku kini adalah lebih gila.

Dua hari sebelum pilihanraya diadakan, pihak rejim telah menangkap lebih 300 aktivis HAMAS di Gaza dan Tebing Barat. Lebih dahsyat lagi kebanyakan mereka yang ditahan itu adalah calon-calon HAMAS yang dijangkakan bakal memenangi pilihanraya yang disertai. Malah dua pemimpin utama HAMAS di Tebing Barat, Hassan Yusuf dan juga Muhammad Ghazal telah ditahan dan sehingga kini masih lagi berada di dalam tahanan. Tahanan tanpa bicara, itulah kehebatan rejim Israel yang mendakwa mengamalkan demokrasi di dalam negara "haram" tersebut.

Biarkan rakyat mati, asalkan perut pemimpin belaan Zionis buncit membulat

Di pihak Fatah pula, belum lagi pun keputusan pilihanraya diumumkan, sepertimana taktik keji yang mereka amalkan sebelum ini, mereka telah mendakwakan kemenangan di pihak mereka. Lebih menarik lagi, di tempat-tempat yang HAMAS tidak bertanding sekalipun, dan mereka memenanginya tanpa pertandingan didakwa sebagai kemenangan calon mereka ke atas HAMAS. Lebih melucukan lagi, di tempat-tempat yang mereka tidak bertanding pun mereka mendakwakan kemenangan di pihak mereka. Tidak hairanlah di bandar-bandar besar yang sukar dilakukan penyelewengan dimenangi HAMAS dan pihak Fatah menyembunyikan keputusan tersebut dari media. Hasilnya HAMAS memenangi 36.2% kerusi aripada keseluruhan kerusi yang dipertandingkan (229 kerusi daripada 632). Peratusan undi popular pula menunjukkan HAMAS mendapat 34.5 % suara pengundi (30.742 undi daripada 89,008 pengundi) dan juga mereka berjaya memenangi 40 kerusi daripada 78 yang disertainya (daripada keseluruhan 82 kerusi dipertandingkan).

Fatah pilihan Zionis

Di pihak rejim Zionis, ternyata mereka menginginkan kemenangan Fatah. Bukan kerana Fatah lebih moderat, atau mereka lebih cekap, tetapi kerana para pemimpin mereka adalah kuli-kuli yang boleh diharapkan untuk menjayakan agenda rejim Zionis tersebut. Mereka semua bersedia untuk menggadaikan maruah bangsa, negara dan agama demi mendapatkan kekayaan samada dari pihak rejim mahupun dari korupsi ke atas kekayaan rakyat. In bukanlah sesuatu yang pelik, malah media antarabangsa yang sering muncul dengan analisis bahawa HAMAS lebih diminati rakyat tidak dapat menyembunyaikan lagi bahawa faktor utamanya ialah kerana para pemimpin HAMAS adalah di kalangan mereka yang bersih, amanah dan boleh berkhidmat utnuk rakyat. Itu bukanlah yang rejim Zionis mahukan, mereka tidak akan mendapatkan keuntungan apa-apa dari pilihan rakyat Palestin. Yang mereka mahukan ialah keamanan dan keselamatan mereka hasil dari ketakutan rakyat Palestin yang tidak akan menuntut kemerdekaan negara mereka, apatah lagi masjid mereka yang suci di Baitul Maqdis.

Anti klimaks Fatah dan PLO

Apa yang berlaku kini bukanlah pertama kali. Lihatlah apa yang dilakukan oleh Arafat lewat Intifadah pertama yang dikenali dengan jolokan Intifadah enam tahun (1987-1993). Ketika rejim Zionis berada di dalam keadaan yang begitu tertekan, Arafat dan PLO segera menjadi kambing hitam mereka untuk berkhidmat sepenuhnya kepada rejim tersebut. Apabila termeterainya Oslo 1993, Initfadah itu diisytiharkan tamat oleh PLO walaupun bukan mereka yang memulakannya. Yang pasti Oslo 1993 yang gagal (dan ini diakui oleh semua pihak), telah berjaya mengekang kemaraan rakyat dan perjuangan mereka. PLO melalui Fatah ternyata hamba abdi Zionis yang paling berkesan dan paling taat. Bagaimana tidak?!!!, usai "Oslo 1993", dengan kuasa autonomi terhad yang diberikan kepada mereka, mereka telah menangkap, membunuh, menyiksa dan juga mengekang para pejuang Palestin dari segenap fraksi, hatta dari kalangan anggota mereka.

Sejauh mana keikhlasan pemimpin Fatah dalam isu Palestin ?

Kini mereka mengulanginya sekali lagi. Tatkala perjuangan rakyat Palestin bermomentumkan Intifadah 2000 (kedua) berjaya membuahkan hasilnya sehingga rejim terpaksa berundur dari Gaza, mereka muncul menjadi pengekangnya. Tidak dapat disembunyikan lagi usaha segelintir pemimpin Fatah melalui PLO untuk mendapatkan sokongan rejim Zionis agar mereka terus berkuasa benar-benar telah berjaya menghalang prestasi momentum tersebut. Individu-individu Fatah yang begitu rakus ingin mengaut keuntungan dari korupsi dan juga pecah amanah amat takut jawatan mereka terlepas kepada golongan yang lebih berhak, bertanggung jawab, bersih dan juga menjadi pilihan rakyat Palestin. Demi untuk mengaut keuntungan duniawi, mereka sanggup melakukan apa sahaja, hatta terpaksa menggadaikan negara mereka, malah masjid al-Aqsa!

Sejarah berulang lagi!

Bagi mereka yang meniti sejarah, apa yang berlaku kini sudah dijangka, malah perkara yang lebih berat dan lebih dahsyat akan berlaku ke atas perjuangan rakyat Palestin di masa-masa ke hadapan berbanding Intifadah yang pertama. Jikalaulah kekangan yang dipaksakan ke atas Intifadah pertama (samada melalui Oslo dan pengkhianatan Fatah melalui PLO dan PA) telah mencetuskan Intifadah kedua yang berakhir dengan separuh kemerdekaan Gaza, kekangan yang lebih dahsyat di masa kedepan ini pula akan menghasilkan Intifadah ketiga yang akan memperlihatkan prestasi yang lebih cemerlang dengan natijah yang lebih lumayan. Jika Intifadah pertama mengambil masa enam tahun, Intifadah kedua mengambil masa lima tahun, maka Intifadah yang akan datang ini pula akan mengambil masa yang lebih singkat untuk kemenangan rakyat Palestin yang mungkin akan dapat memerdekakan Baitul Maqdis, Tebing Barat, Haifa, Akka, Nablus dan lain-lain lagi. Biarkan waktu sahaja menjadi saksi utamanya...

Semakin FATAH berkuasa, semakin sempit kehidupan rakyat. Apa kejadahnya semua ini ?

Memang agak indah andaian tersebut, namun bagi pihak rakyat Palestin dan pejuang-pejuang Palestin dari pelbagai fraksi, terutamanya HAMAS, harga yang terpaksa mereka bayar amat besar. Lihatlah zaman pasca Oslo bagaimana pihak PA telah menangkap dan memenjarakan, malah membunuh saudara seIslam, saudara sedarah daging mereka demi mengikuti telunjuk Zionis. HAMAS walau bagaimanapun, tetap konsisten dengan pendirian mereka untuk tidak menumpahkan darah sesama rakyat Palestin. Jika tidak kerana kesabaran HAMAS, sudah tentu sudah lama peperangan saudara berlaku di Palestin. Apa yang menariknya ialah strategi HAMAS melancarkan serangan mereka berdasarkan teori segitiga. Jika mereka menerima tekanan dari PA, maka mereka akan melancarkan serangan ke atas Zionis. Semakin kuat tekanan yang PA berikan ke atas mereka, semakin kuat serangan yang akan dikenakan ke atas Zionis yang menjadi dalang utama. Atas dasar inilah Arafat telah hilang punca untuk menekan HAMAS di penghujung hayatnya, lebih-lebih lagi selepas rejim Zionis pula mengenakan tekanan ke atasnya kerana gagal mengekang HAMAS dan juga kemaraan rakyat Palestin terutamanya pasca Intifadah 2000.

Perpecahan Fatah

Samada disedari umum ataupun tidak, yang pastinya Mahmoud Abbas sememangnya terperangkap di antara tekanan rejim Zionis dan konco-konco Zionis di dalam Fatah, terutamanya Ahmad Dahlan, dan juga di antara arus rakyat. Di satu sudut beliau sendiri secara peribadai telah melakukan beberapa pertemuan dengan pimpinan HAMAS menggesa agar mereka menyertai pilihanraya legaslatif dan menjadi sebahagian daripada PLO.

Ini berdasarkan dua faktor, yang pertama, beliau inginkan keyakinan rakyat Palestin yang rata-ratanya memilih HAMAS berdasarkan keputusan pilihanraya perbandaran pertama yang telah berjalan dengan bersih (di mana HAMAS telah memenangi 77 buah kerusi daripada 118 kerusi yang dipertandingkan. Manakala dari sudut undi popular pula, dari keseluruhan 196,628 pengundi, HAMAS telah memenangi 65.25% daripada undian mereka). Beliau juga inginkan penyertaan HAMAS agar pesaing-pesaing politiknya di dalam Fatah akan dapat ditenggelamkan dengan kebanjiran wakil-wakil HAMAS. Bukanlah sesuatu yang rahsia persaingan di antara beliau dan juga rakan-rakan Fatahnya untuk jawatan kepimpinan di dalam PA, PLO dan juga Fatah.

Di satu sudut yang lain pula, rejim Zionis dan juga Washington telah memberikan amaran kepadanya tentang penglibatan HAMAS di dalam pilihanraya. Washington melalui setiausaha luar AS, Condoleeza Rice telah menegaskan bahawa AS tidak akan mengiktiraf penyertaan HAMAS di dalam pilihanraya legaslatif. Menurut Washington adalah mustahil sebuah kumpulan militan yang mempromosikan keganasan menjadi sebuah parti politik dan menggunakan saluran demokrasi. Di pihak rejim Zionis pula, Sharon telah memberikan amaran akan menggagalkan pilihanraya tersebut jika ianya disertai oleh HAMAS. Sehingga kini, nampaknya Abbas masih lagi tersepit tetapi kecenderungannya lebih untuk tunduk kepada tekanan AS dan Zionis. Mengapa tidak, lihatlah tuduhan beliau terhadap letupan yang berlaku di Jabaliyya sewaktu HAMAS mengadakan perarakan. Dengan mengenepikan pandangan saksi-saksi majoriti yang menyaksikan jet Zionis mengebom perarakan tersebut, beliau telah mengutuk HAMAS yang dituduh menyalahgunakan senjata sehingga menyebabkan letupan yang mengorbankan naywa orang awam yang menyaksikan perarakan tersebut.

Ketika pasukan polis PA cuba menangkap anak Allahyarham Dr A Aziz al-Rantisi yang menyebabkan pertempuran di antara pihak polis dengan pejuang HAMAS, beliau tanpa bertangguh telah menundingkan jarinya kepada HAMAS. Ini semua dapat dibaca bahawa beliau sedang mengikuti agenda Zionis yang ingin memaksa HAMAS agar melucutkan lansung senjata mereka dan menghentikan perjuangan menuntut kemerdekaan seluruh bumi Palestin.



Suara HAMAS memondankan pemimpin Zionis

Abbas dan konco-konconya sebenarnya sedang bermain dengan api. Tidak hairanlah jika 244 orang pemimpin muda mereka di Refah telah meletakkan jawatan dan keluar dari gerakan tersebut yang didakwa tidak mengamalkan demokrasi serta bersifat kuku besi. Ancaman dari sayap ketenteraan Fatah, Briged al-Aqsa untuk meneruskan perjuangan walaupun Fatah telah mengumumkan gencatan senjata juga dapat dilihat sebagai ancaman kepada Abbas dan juga gerakan Fatah. Kesimpulannya, permainan yang diikuti oleh Fatah berdasarkan telunjuk Zionis lambat laun akan memakan diri mereka sendiri. Tidak mustahil Fatah akan hancur di tangan pemimpin-pemimpin mereka sendiri yang rakus di dalam mengikuti agenda Zionis.

Belajar dari Arafat!

Persoalannya, tidakkah Mahmoud Abbas dan konco-konconya belajar dari Arafat?, bukankah Arafat dahulunya hamba rejim yang paling setia?, akhirnya mati diracuni oleh pihak rejim apabila dia telah gagal untuk menghalang rakyatnya dari terus bangkit dan menyebabkan kemusnahan paling teruk bagi pihak rejim dalam sejarah sepanjang lebih 50 tahun negara "haram" Israel ditubuhkan. Dikenakan kurungan di dalam pejabat, diserang dan hampir menemui ajalnya, dan akhir sekali diracun. Nasib beliau tidak ubah dengan nasib Saddam. Setelah digunakan sehabis-habisnya oleh Amerika Syarikat (AS) suatu waktu dahulu. Apabila telah selesai diperah tenaga mereka dan telah habis rakyat mereka dibunuh, mereka pula ditendang keluar tanpa belas kasihan. Tidakkah mereka ingin belajar dari Arafat???

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

posted by scouser at 11:42 PM