~Eratkan Ukhuwah Gerakkan Islah~

 

~ Thursday, January 19, 2006



PENAMBAHBAIKAN PINDAAN RANG UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM PERLU DISEGERAKAN DEMI KESEJAHTERAAN SEMUA

Wanita JIM mengikuti perkembangan isu pindaan Rang Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) baru-baru ini dengan penuh teliti dan prihatin, memandangkan ia berkait rapat dengan kesejahteraan institusi keluarga yang dianggap paling asas dalam pembentukan negara dan masyarakat. Wanita JIM meletak sepenuh keyakinan dan sangkaan baik bahawa tindakan pihak berwajib meminda sebarang undang-undang tentunya untuk tujuan pembaikan dan bukannya untuk menyusahkan apatah lagi mendiskriminasi dan menindas mana-mana pihak. Bila mana terdapat dakwaan pihak tertentu yang mencanangkan bahawa terdapat beberapa pindaan yang dibuat yang dikhuatiri akan menganiaya dan menindas wanita, Wanita JIM merasa terpanggil untuk meneliti isu ini. Sekiranya dakwaan ini benar, WJIM berpendapat pindaan rang undang-undang ini amat perlu diperkemaskan agar nama baik Islam sebagai agama yang mementingkan keadilan dan kebenaran tidak tercemar.

Di peringkat awal, Wanita JIM turut sama menyuarakan kebimbangan dan kegusaran terhadap dakwaan tersebut dan mencadangkan agar pindaan tersebut diperhalusi dan diperbaiki sekiranya perlu. Dalam masa yang sama, Wanita JIM mengadakan beberapa sesi perbincangan bersama Jawatankuasa Undang-undang JIM bagi mendapatkan pandangan dan nasihat pihak yang arif. Keputusan Kabinet untuk menangguhkan pewartaan Rang Undang-undang diterima dengan terbuka dan positif. Ianya tidak harus dilihat sebagai memperkecilkan usaha sebarang pihak, malahan harus dipergunakan sebagai peluang bagi memperbaiki sebarang kekeliruan yang mungkin terkandung dalam rang undang-undang tersebut.

Wanita JIM sama sekali tidak menolak pewartaan pindaan rang undang-undang tersebut. Malahan WJIM akan menyokong pelaksanaannya sekiranya dua langkah di bawah diambil segera oleh kerajaan dalam tempoh penangguhan ini:

1- Mendapatkan pandangan melalui perbincangan yang melibatkan lebih banyak pihak yang berkepentingan ( stakeholders) dan arif seperti para ahli akademik, persatuan peguam, organisasi bukan kerajaan (NGOs) terutamanya NGO wanita dan orang persendirian, bagi mendapatkan kata sepakat yang akan memperkemaskan lagi pindaan tersebut.

2- Mengadakan sesi-sesi penerangan yang berterusan kepada umum melalui wacana diskusi, forum dan seminar yang melibatkan liputan media yang meluas bagi tujuan mendidik masyarakat mengenai aspek perundangan kekeluargaan baik dari sudut sivil dan syariah. Usaha ini akan meningkatkan kesedaran dan tahap celik undang-undang di kalangan rakyat Malaysia.

Akhir sekali, semua pihak mestilah berusaha untuk meningkatkan komitmen mematuhi (comply) sebarang undang-undang yang diwartakan bersama. Tiada gunanya kita mempunyai satu sistem perundangan yang ketat dan terperinci sekiranya tidak dihormati dan dipatuhi dari sudut pelaksanaannya.

Ke Arah Masyarakat Malaysia yang Lebih Sejahtera


Dr.Harlina Halizah Siraj
Ketua Wanita Pusat
Petubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)

posted by scouser at 3:52 PM